"Kerajaan yang ada sekarang ini boleh saja melaungkan ratusan slogan tetapi ianya akan terus hanyut kerana sistem pemerintahan yang masih sama kerana UMO/BN terperangkap dalam sistem amalan politik kuno yang bertunjangkan perkauman bermatlamatkan kebendaan dan penerusan kuasa dalam apa jua keadaan," katanya.
Slogan 1Malaysia tidak mungkin berjaya kerana di dalam dalaman UMNO dan BN sendiri bercelaru dan tidak bersatu.
Presidan PAS berkata hal tersebut diperburukkan lagi dengan ketiadaan konsep pemisahan kuasa dianatar eksekutif, legislatif dan kehakiman dan sistem politik yang dicelarukan oleh keegoan politik, pencerobohan dan kerakusan kuasa, mencampuri urusan kehakiman dan pentadbiran.
"Perpaduan masyarakat pula tidak akan mampu dicapai dengan pemberian hak ekonomi dan politik semata-mata. Perjalanan menuju kepada sebuah negara bagi Malaysia tidak akan ke mana-mana sekiranya demokrasi negara kita tidak matang hasil dari peranan UMNO/BN yang telah memundurkan demokrasi dan rakyat terus menerus dijadikan bahan peras-ugut oleh mereka. Istilah demokrasi hanya digunakan untuk mengekalkan kuasa politik mereka," tegas Ustadz Hadi lagi.
Kehebatan dunia pendidikan Islam pula telah dilemahkan oleh dasar pendidikan tajaan UMNO, maka lahirlah pemimpin yang tidak bermoral, yang berkuasa melalui rasuah dan penipuan, rakyatnya pula dibanjiri gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah yang makin merebak, miskin jiwa dan harta, dan akhirnya menjadi pengundi yang boleh ditipu dan dibeli dengan harga yang murah.
Menurut Ustadz Hadi, PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia sepertimana firmanullah
Wahai manusia bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada yang satu dan Ia telah menciptakan darinya (daripada yang satu itu) isterinya. Dan Ia kembang biakkan daripada keduanya lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu saling meminta dengan (nama)Nya dan (peliharalah)hubungan kekeluargaan (silaturrahim). Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu. (An Nisaa’1).
Ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”. – (surah al-Hujarat:13)
Ustadz Hadi menegaskan perubahan yang direncanakan ini adalah bukan akibat daripada tekanan rakyat, atau tekanan golongan bangsawan atau tekanan masyarakat dunia, dan bukannya akibat desakan sesiapa, tetapi perubahan yang hakiki untuk kesejahteraan hidup manusia di atas muka bumi ini.
"Perubahan yang hakiki inilah yang seharusnya kita laksanakan dalam negeri yang diperintah secara bersama oleh PAS dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Bertitik tolak dari perubahan hakiki inilah, maka rakyat akan melihat keupayaan dan keadilan hakiki yang kita perjuangkan ini. Matlamat kita mestilah jelas, iaitu kita merencana ke arah kebaikan kerana ianya adalah suatu tuntutan fitrah dan serasi dengan fitrah manusia dan tanggungjawab bersama, dan bukannya kerana desakan sesiapa," katanya
Dalam kita memahami perubahan yang dipimpin oleh Islam ini, maka kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah ad-din yang lengkap dan syumul. Ianya tidak sama sekali bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis Barat yang buruk sangka terhadap Islam.
"Dalam mempastikan perubahan yang berlaku dalam masyarakat hanya bergerak ke arah jalan yang baik, ke arah yang diredhai oleh Allah dan RasulNya, maka ianya mesti dipimpin oleh mereka yang beriman dan budiman, menjadikan Al Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas," tegasnya. -Greenboc
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.