Jadi kalau negara diserang oleh negara luar seperti Mongolia misalnya, maka barulah UG itu relevan. Tapi, itu pun ada pengecualian juga...
Dalam debat dan ulasan di blog-blog, di warung-warung kopi, akhirnya terserlah jua satu alasan yang cukup kukuh mengenai kerelevanan Kerajaan Perpaduan ini.
Iaitu, Kerajaan Perpaduan hanya relevan dan boleh diwujudkan jika negara diserang oleh musuh. Tanpa alasan ini, maka tiada keperluan menubuhkan Kerajaan Perpaduan itu.
Situasi yang lebih kurang sama berlaku pada zaman arwah Ustaz Fadhil Noor ketika Dr Mahathir diserang Amerika. Di situ Dap, Umno, Pas dengan tiba-tiba bersatu bersama Dr Mahathir ketika berdepan dengan USA.
Jadi kalau negara diserang oleh negara luar seperti Mongolia misalnya, maka barulah UG itu relevan. Tapi, itu pun ada pengecualian juga.
Misalnya jika Mongolia berkata, "Kami enggan bermusuh dengan rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kami nak tangkap seorang saja, iaitu Najib Razak."
Maka, jika itu saja kehendak Mongolia, Kerajaan Perpaduan mungkin kekal sebagai idea yang tidak relevan juga. Ini kerana, Mongolia bukannya mahu meluaskan empayarnya ke Malaysia. Tapi mereka cuma mahukan Najib Razak sahaja.
Penyelesaiannya, serahkan sahaja Najib Razak kepada Mongolia. Jawatan PM diserahkan sahaja kepada Muhyiddin Yassin yang sedang menunggu Najib jatuh.
Bagi Muhyiddin, beliau kemungkinan besar akan setuju. Ini kerana, inilah masanya untuk melompat menjadi PM dalam masa yang cepat. Dalam proses biasa, Muhyiddin tentunya sukar menjadi PM.
Dan kita pun pulang kepada sistem perang yang asal, iaitu BN vs PR sehingga pilihan raya umum ke-13. Tidak perlu lagi langkah mundur ke belakang untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan itu.
Cikgu Pa dah jumpa TGNA, Ust Nasha dah jumpa ke belum?
Cikgu Pa pernah berjumpa TGNA selepas Nik Aziz marahkan Cikgu Pa kerana keluarkan kenyataan di muka depan Harakah, berhubung 16 September yang tak akan berlaku. Tidak diketahui adakah Ust Nasha sudah bertemu dengan TGNA atau pun tidak?
Pendokong idea UG perlu bertanggungjawab meminta maaf kalau dia silap. Tetapi, kalau mereka yakin bahawa apa yang dibuatnya itu adalah betul, apatah lagi setelah mengkritik ahli-ahli Pas sebagai tak faham konsep Kerajaan Perpaduan, maka menjadi kewajipan di atas pundaknya untuk berjuang memberi penjelasan mengenai apakah Kerajaan Perpaduan guna memahamkan ahli-ahli Pas sendiri.
Relevan UG dengan sebab Abdullah Ahmad Badawi?
Dalam wawancara di dalam majalah Editor I, TGHH menyatakan bahawa UG ini relevan ketika Abdullah Ahmad Badawi jadi PM, Presiden Umno. Selepas Najib jadi Presiden Umno, merangkap PM, maka idea UG ini, menurut TGHH, sudah tidak relevan lagi.
Hujah ini pun masih boleh didebatkan. Jika terjadi Kerajaan Perpaduan ketika Pak Lah sebagai Presiden Umno dan PM, dan ditakdirkan 2, 3 bulan selepas itu, Najib dinaikkan sebagai pengganti Pak Lah, adakah Pas masih setia mempertahan UG dalam keadaan Najib yang dilanda masalah yang pelbagai ini?
Maka, di manakah letaknya relevan UG ini yang sebenarnya? Kerana partinya (Umno) atau kerana orangnya (Najib, Pak Lah).
Kenyataan Cikgu Pa ketika mahu ‘merayu’ agar pemimpin Pas menutup mulut di dalam isu UG ini pun menarik diteliti juga. Beliau berkata, pada masa sekarang ini, UG dah tak relevan. Sambil berseloroh, dan kerap menyalahkan laporan wartawan, beliau berkata,
“Jangan pula you tulis, pada ketika ini UG tidak relevan, selepas (pilihan raya) Manek Urai, (relevan).”
Ayat ini pun masih lemah. Sebab, kerelevanan itu masih tergantung kepada masa. Kita akan tertanya-tanya, sehingga bilakah UG ini boleh jadi relevan? - Lentera Jingga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.