30 Jun 2009

MANEK URAI : Timb Menteri Sokong Debat Nik Aziz-Najib

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menyokong cadangan untuk mengadakan debat terbuka antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, debat terbuka ini harus diadakan bagi memberi peluang kedua-dua pihak mengutarakan idea masing-masing.

“Saya setuju debat terbuka ini diadakan bagi memberi peluang kedua-dua pihak mengkritik dan mempertahankan idea masing-masing.

“Namun begitu, saya berharap agar debat ini ditukar kepada forum agar lebih elok jika kedua-duanya duduk sama-sama berbincang dengan cara yang baik,” katanya ketika mengulas cadangan Nik Abdul Aziz agar diadakan debat terbuka antaranya dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, forum di antara UMNO dan Pas pernah diadakan sebelum ini iaitu antara bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dengan bekas Presiden Pas, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor.

“Namun begitu, saya melihat debat ini sukar direalisasikan kerana ada latar belakang yang kurang manis iaitu kita baru sahaja selesai dengan polemik kerajaan perpaduan.

“Tetapi, bagi saya, debat bukan membuang masa asalkan dibuat dengan cara yang baik, tajuk yang dipersetujui bersama dan diadakan di tempat yang sesuai,” katanya.

Menurutnya, debat ini lebih baik daripada rakyat membaca blog yang ditulis oleh ‘blogger’ yang tidak boleh dipertahankan jika ada sesuatu perkara tidak baik ditulis.

“Debat politik yang diadakan akan lebih mematangkan politik negara dan ahli politik yang baik mesti berani untuk berdebat idea politik di depan khalayak.

“Tidak semestinya Nik Abdul Aziz dan Najib sahaja tetapi juga mana-mana pemimpin UMNO dan Pas boleh berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin juga membenarkan tokoh pembangkang memasuki universiti untuk berucap dengan syarat ianya diadakan dalam bentuk forum.

“Forum ini perlu ada tiga orang, pertama, tokoh pembangkang, kedua, tokoh kerajaan dan ketiga ahli akademik. Mahasiswa sekarang tidak hanya melihat kepada tokoh tetapi idea yang dibawa oleh seorang ahli politik.

“Mereka sudah layak mengundi dan mempunyai hak untuk menyokong mana-mana idea yang mereka rasakan betul dan mahasiswa sudah cukup matang untuk menilai mana yang baik atau tidak,” katanya. -SH


3 ulasan:

  1. debat hanya buang masa .. buat ape nak beza2kan? buat kerja utk rakyat lagi penting daripada asyik bercakap jer kerja... entah bila kerja nak siap .. kan? kan? hikss

    BalasPadam
  2. Debat... ok jugak. Debat bukan bermaksud nak berkelahi. Debat tu nak jelaskan kedudukan yang betul. Melalui debat ilmu boleh berkembang tak la mcm katak dalam gelas. Sape2 pun mesti paham. Orang yang educated mesti paham. Orang yang tak educated mmg la tak paham atau buat2 tak paham.

    BalasPadam
  3. Aku fikir ketua pemuda pas lebih berfikiran rasional. Dipetik dlm akhbar hari ini, beliau lebih suka diadakan muzakarah berbanding debat. Mudah2an pas akan dapat Ketua Pemuda yg lebih praktikal.

    Pada aku, ini adalah salah satu corak pemikiran Islam yg kita hendak dari pemimpin yg menonjolkan dirinya dari kelompok parti yg bercorak islam. Nk kata nk perjuangkan Islam skg, sudah tak ada dh agaknya, sbb moto pun dh tukar kpd "negara kebajikan" sahaja. Dh tak dengar perjuangan nk tegakkan negara Islam.

    Kalo nik ajis handal sangat, sepatutnya dap tu dia ajak berdebat pasal negara islam. Itu aku sokong. Tp nik ajis ni political animal, dia takkan buat begitu. Dia lebih suka peleceh umat seagamanya.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.