Tahun 2004 sehingga awal 2008 adalah tahun Umno berada di kemuncak. Kerajaan Pas Kelantan ketika itu hanya bersandarkan kepada kelebihan satu kerusi untuk mengharungi segala perit getir di bawahan tekanan Umno. Di waktu itu, Umno sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan Kerajaan Pas di bawah Tuan Guru Nik Aziz.
Tidak dapat dibayangkan deritanya MB Kelantan itu di dalam mempertahankan sebuah kerajaan negeri yang diharapkan menjadi model pemerintahan Islamik. Tidak mudah untuk kita lupakan bagaimana Umno menjalankan kerja gerak sarafnya dengan menggunakan segala bentuk jentera yang mereka kuasai untuk menumbangkan kerajaan negeri yang penduduknya hampir 100% Melayu Islam itu.
Menjelang Pilihanraya Umum Ke 12, satu program dan misi khas telah direncanakan oleh Umno untuk merampas Kelantan dari Pas. Umno begitu yakin bahawa mereka mampu untuk mengembalikan Kelantan ke tangan mereka kerana kekuatan Umno ketika itu di Kelantan hanya kurang satu kerusi sahaja. MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz sering bertanya kepada Umno atas sebab apakah mereka bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan dari Pas. Adakah kerajaan Pas telah melakukan rasuah di dalam pentadbirannya?
Jika Umno ikhlas untuk membela orang-orang Melayu seperti yang sering mereka laungkan, mengapa Umno sampai hati menganiayai kerajaan negeri tersebut sehingga ke peringkat bercita-cita untuk merampasnya? Bukankah Kelantan adalah sebuah negeri yang benar-benar boleh dikatakan negeri Melayu?
Ini semua tidak dihiraukan oleh Umno kerana yang penting bagi mereka adalah kuasa. Pedulikan P.Pinang walaupun telah berkurun lamanya diperintah oleh bangsa asing, yang penting adalah kuasa. Kerajaan Kelantan di bawah Pas yang dipimpin oleh tokoh Melayu Islam bahkan seorang Ulamak mesti dirampas. Tidak terlintas ketika itu soal Kerajaan Perpaduan.
Hasil keberkatan dan kesabaran MB Kelantan disertai dengan istiqamahnya rakyat Kelantan terutama ahli-ahli Pas dan pendokong-pendokong PR, di dalam Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu PAS telah mengajar kesombongan dan keegoaan Umno. Umno bukan sahaja terduduk di Kelantan, bahkan di empat buah negeri yang lain.
Di saat itu, rakyat mula merasakan bahawa Umno bukan lagi parti `keramat' yang tidak boleh ditumbangkan. Umno bukan sahaja gagal membela nasib orang-orang Melayu, bahkan bangsa-bangsa lain juga merasai mereka teraniyai oleh Umno. Setelah merasakan kekuatan mereka hampir pupus dan mereka tidak lagi boleh berharap kepada kuasa dan jentera-jentera kerajaan untuk menarik sokongan rakyat, barulah Umno berani menyebut soal perpaduan.
Memang benar, Pas yang memulakan idea Kerajaan Perpaduan ini tetapi Pas juga yang menutup isu Kerajaan Perpaduan tersebut memandangkan tidak sedikit pun Umno menunjukkan minat ke arah Kerajaan Perpaduan. Mereka hanya manis di mulut menyebut untuk sedia bekerjasama dengan Pas di dalam Kerajaan Perpaduan. Terlalu banyak perkara yang telah Umno lakukan yang tidak menunjukkan keikhlasan untuk bersatu di dalam Kerajaan Perpaduan. Maka, memang wajar Pas menarik kembali niat baik mereka.
Walaupun Pas telah memutuskan tidak akan meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan dengan Umno, tetapi sehingga kini Umno pula seperti `meroyan' mengulangi perkara tersebut. Tidak cukup dengan media-media yang mereka kuasai, Umno menggunakan pula beberapa pertubuhan dan individu untuk menyokong betapa baik dan mulianya jika Kerajaan Perpaduan itu dapat direalisasikan.
Mufti Perak adalah satu-satunya tokoh ugama yang dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk melihat Kerajaan Perpaduan ini seperti juga MP Pasir Mas Ibrahim `Al-Kataki'. Tidak tergamak saya untuk menyamakan Mufti Perak dengan `raja katak' tersebut, tetapi jika ada yang ingin menyamakan kedua-dua insan tersebut saya boleh bersetuju.
Kerja Mufti Perak sekarang lebih banyak menyerang Tuan Guru Nik Aziz daripada berani menyerang Najib. Mungkin pada beliau begitu teruk dan `munafik'nya MB Kelantan itu daripada PM. Mufti Perak `buta' mata daripada melihat apa yang berlaku di Perak tempat beliau mencari rezeki. Apa yang berlaku di depan mata beliau di Dun Perak baru-baru ini sama sekali tidak berupaya `mencelikkannya'.
Saya menasihatkan Umno agar lupakan sahaja impian untuk menjahanamkan Pas dan PR dengan menjual isu Kerajaan Perpaduan ini. Di dalam Pas sekali pun, sekiranya masih ada seorang dua tokoh yang berani menyebut dan mengulangi idea jahat tersebut, sudah pasti akan dicerca dan dihina oleh penyokong mereka sendiri. Umno perlu wujudkan perpaduan sesama ahli-ahli mereka sendiri termasuk parti-parti komponen Bn terlebih dahulu. Umno perlu `bersih'kan tangan-tangan mereka sebelum menghulurkan salam perpaduan bersama Pas.-wfauzdin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.