26 Mei 2009

PENANTI : UMNO BN Tersengih Dengan Pendedahan Aminah.

Salah satu pra-syarat untuk menjadi ahli politik berkaliber apa lagi wakil rakyat ialah ketangkasan berhujah dan kepintaran memulas dan mematikan terjahan lawan. Ilmu bijak berkomunikasi ini kadang-kadang timbul secara semula jadi dan tidak perlu berkelulusan tinggi. Penjual ubat dan peraih ikan di pasar pun seringkali pandai berhujah untuk menarik pembeli mendekati mereka, apa lagi pemimpin politik.

Dalam berita TV malam tadi saya ternampak calon Bebas dalam PRK Penanti, Aminah Abdullah sedang membaca kenyataan akhbar mengenai sogokan RM80,000 yang konon cuba diberikan kepadanya. Saya nampak dia baca teks yang telah disediakan dengan suara agak tergagap-gagap dan seperti tiada keyakinan diri.

Melihat cara dia bercakap yang tergagap-gagap itu saja tidak meyakinkan saya dia adalah pemimpin yang wajar diangkat sebagai Wakil Rakyat. Melihat cara dia bercakap saja meyakinkan saya jika diajak berdebat mengenai isu-isu negara, mungkin mak cik ini akan mudah sangat ditundukkan. Saya pun tidak faham mengapa watak sepertinya boleh menjawat satu jawatan yang tinggi dalam PKR dahulu.

Bagi saya berdasarkan penampilan pertama beliau yang saya lihat dalam media itu, tempat yang paling sesuai untuknya ialah di rumah, menjaga cucu atau setidak-tidaknya menjaga kebajikan suami dengan tinggal dalam rumah sambil memasak dan mengemas rumah. Sangat tidak sesuai susuk yang tidak nampak seperti orang politik ini menceburi bidang politik yang penuh ranjau dan duri itu.

Saya tidak yakin majoriti pengundi Penanti akan terpikat dengan penampilan Mak Cik Minah. Tapi jika ditakdirkan mak cik itu memenangi PRK Penanti bermakna pengundi-pengundi telah menzalimi Mak Cik Minah dengan memaksa beliau menggalas satu beban yang dia nampak tidak berupaya menanggungnya. Jadi kepada pengundi Penanti, kita berharap tidak menzalimi Mak Cik Minah dengan mengundinya. Kasihanilah Mak Cik Minah yang lebih beketrampilan sebagai suri rumah sepenuh masa dan bukannya ahli politik itu. -pendikargunungkriang



1 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.