2 Mei 2009

PENANTI : SPR Degil Tahap Gaban, Masih Terus Halang Pondok Panas

Walaupun telah dibantah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap hendak menguatkuasakan peraturan melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Keputusan itu menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah muktamad.

Wan Ahmad menjelaskan, walaupun larangan mendirikan pondok panas dan meraih undi minit-minit terakhir akan dikuatkuasakan, namun pihaknya tidak menghalang kehadiran jumlah penyokong yang sejak kebelakangan semakin meningkat.

Ia ketara ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Larangan kita ialah agar tidak dirikan pondok panas dan tidak berkempen pada hari pengundian.

"Mengenai jumlah penyokong, kita tidak halang atau sekat mereka datang kerana kawasan di luar lingkungan 50 meter dari tempat mengundi adalah kawasan awam.

"Jadi jika mereka nak datang juga, pastikan bukan untuk berkempen," katanya.


Jelas beliau, tujuan SPR untuk menguatkuasakan larangan mengadakan pondok panas bermula pilihan raya kecil Penanti bulan ini ialah bagi mengelakkan parti-parti politik yang bertanding menjadikan ia sebagai medan berkempen.

"Ada parti yang gunakan pondok panas sebagai tempat untuk berkempen di saat-saat akhir... ini yang kita nak elakkan.

"Jadi kita harapkan apabila pondok panas ini sudah tidak dibenarkan, orang yang datang tidak ada tempat untuk berteduh dan secara tidak langsung kita boleh kurangkan kesesakan di sekitar tempat mengundi bagi memudahkan kehadiran pengundi," katanya.

Wan Ahmad berkata, jika ada mana-mana parti politik yang ingkar larangan tersebut, pihak polis akan mengambil tindakan.

"Jika ada yang masih tidak patuhi larangan ini nanti, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan lanjut berdasarkan undang-undang yang ada," katanya.

Sementara itu beberapa pimpinan Pakatan Rakyat melahirkan rasa kesal mereka terhadap kenyataan dan ugutan Wan Ahmad dan mereka berpendapat sudah pasti akan berlaku kesesakan di tempat penyemakan nombor dan saluran mengundi bagi pengundi-pengundi di kaunter SPR akibat tiada lagi pondok-pondok panas parti politik yang bertanding yang selama ini membantu melakukan proses berkenaan.

"Jika berlaku kesesakan itu, kita minta Wan Ahmad letak jawatan segera dan jangan nak berdalih menuduh parti-parti politik berkempen pada hal mereka ingin menjalankan nkonspirasi untuk memudahkan pengundi-pengundi hantu dan pengundi berulang seperti yang dikesan di dalam beberapa pilihanraya yang lalu," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.