19 Mei 2009

Nizar Tetap Akan Dapat Kerusi MB Semula

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan tinggi bahawa Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memperoleh semula kerusi Menteri Besar Perak sekiranya diadakan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Md Isa berkata, DUN Perak harus dibubarkan untuk membolehkan rakyat mengundi sekaligus menangani kemelut krisis politik di negeri itu yang dilihat tiada kesudahannya.

Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bersikap lebih rasional dan tidak sewajarnya meletakkan tekanan kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah semata-mata.

“Adakah beliau berani untuk bersemuka atau berbincang dengan Nizar kemudiannya berjumpa dengan Sultan untuk membubarkan DUN Perak bagi mengatasi kemelut yang berlaku.

“Sekiranya tidak berani untuk berbuat demikian, janganlah menggunakan nama Sultan demi survival politik mereka,” katanya.

Nasaruddin berkata demikian ketika berucap di majlis Ceramah Perdana 'Krisis Perak Demokrasi Tercabar' bertempat di Stadium Malawati di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan Ronnie Liu serta kira-kira 10,000 penyokong PR.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali telah mengarahkan seluruh jentera Pas bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Perak yang berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Beliau turut melahirkan perasaan bimbang dengan situasi yang berlaku di Perak yang masih berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya kecil.

Dr Hasan berkata, jentera Pas perlu bersedia dari sekarang sekiranya diarahkan untuk membantu pada pilihan raya kecil itu.

Beliau menyifatkan pilihan raya kecil DUN Perak kali ini adalah pilihan raya kecil berbeza daripada sebelumnya kerana ia dijangka melibatkan pembubaran DUN Perak sekiranya ia diadakan.

“Keperluan persiapan petugas lebih besar dari sebelumnya. Saya harapkan setiap ahli melakukan pengorbanan yang termampu. Bila masa untuk kita diminta bertugas kita segera berangkat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.