Enam lagi yang dipecat adalah M.Jeyaratnam, N.Shanmuganathan, K.Tanggaraju, S.Kanesan, S.Saravanan dan R.Rajandran, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh lembaga itu selepas mesyuarat di sini.
Mesyuarat dua jam itu disertai 39 anggota Lembaga Disiplin, dan ia turut dihadiri Presiden Parti Datuk M.Kayveas.
Menurut lembaga itu berdasarkan kepada Artikel 19.2, mereka yang tidak puas hati dengan keputusan boleh membuat rayuan bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat kepada Majlis Tertinggi, untuk perhatian Setiausaha Agung.
"Kami merasa sedih dalam membuat keputusan ini memandangkan kami sudah memberi masa kepada T.Murugiah untuk menemui Majlis Tertinggi, beberapa kali sejak 10 bulan lepas. Nampaknya semua mereka ini memang minta dipecat," menurut kenyataan lembaga itu.
Lembaga itu berkata Murugiah dipecat kerana menggunakan pejabatnya, iaitu pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, untuk mengadakan satu persidangan akhbar yang mencemar nama baik parti dan membuat kenyataan yang bersifat fitnah mengenai parti, Majlis Tertinggi dan kepimpinan parti.
Tambahan pula menurut lembaga itu, Murugiah mengugut peguam parti dan juga anggota majlis tertinggi, dengan mengatakan bahawa beliau akan menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk membatalkan pendaftaran parti PPP.
"Tindakan ini dianggap oleh Lembaga Disiplin sebagai satu kesalahan yang berat di bawah perlembagaan parti dan tidak boleh dikecualikan daripada menghadapi tindakan disiplin.
"Tindakan meminta supaya parti anda sendiri dibatalkan pendaftarannya, adalah tindakan seorang pengkhianat bagi mana-mana jua pertubuhan," menurut lembaga itu.
Pada 9 Mei lepas Majlis Tertinggi PPP membuat kenyataan memohon supaya Murugiah dipecat dari parti, namun keputusan itu ditangguhkan oleh Kayveas.
Menurut lembaga itu ia ditangguhkan atas ihsan Presiden parti yang ingin memberikan peluang dan masa yang mencukupi buat Murugiah untuk berbaik semula dengan anggota Majlis Tertinggi dan pemimpin negeri.
"Apabila parti tidak memecatnya atau mengambil sebarang tindakan disiplin terhadapnya, dia mewujudkan keadaan seolah-olah dia dipecat dan dia cuba mendapatkan simpati daripada pelbagai sumber," menurut lembaga itu.
Sementara itu PPP Selangor pula bercadang mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) peringkat kebangsaan untuk meminta anggota parti meluluskan undi tidak percaya terhadap Kayveas sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.
Ketua PPP Bahagian Selayang K.Tanggaraju, yang termasuk dalam senarai anggota yang dipecat hari ini berkata cadangan itu dibuat memandangkan ramai anggota parti tidak bersetuju dengan tindakan Kayveas yang memecat tujuh anggota parti sesuka hati sehingga menimbulkan rasa hilang kepercayaan anggota terhadap pucuk pimpinan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.