Hal ini diakui oleh Najib sendiri yang sebaik saja Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Najib telah mengeluarkan amaran kepada rakyat Perak agar jangan "terlalu teruja" dengan keputusan itu malah berjanji “kita akan selesaikan segala masalah.”
Justeru tindakan luarbiasa Mahkamah rayuan yang dengan serta merta mendengar dan membuat keputusan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam adalah "sebahagian perencanaan Najib berserta Peguam Negara yang telah diaibkan oleh keputusan Hakim Mahkamah Tinggi.
Sebab itu sudah sampai masanya untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuk Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tukul besinya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengulas Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir seperti dilaporkan harakahdaily.
Beliau juga menyeru Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin, mengambil pendirian yang berbeza dari Najib dan jangan sesekali berada dalam bakul kemusnahan yang sama.
Menurut Husam, keutamaan Najib bukan lagi masa depan Umno dan Barisan Nasional (BN) "tetapi memilih untuk melayari tempoh honeymoon sebagai Perdana Menteri baru dengan agendanya sendiri tanpa menoleh kepada realiti yang berlaku".
Walaupun BN memperolehi perintah mahkamah yang menyebelahi mereka, kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu, tetapi keyakinan rakyat terhadap kesucian doktrin pengasingan kuasa di bawah BN semakin luluh.
"Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Zambry tidak mengejutkan. Itulah sistem kehakiman Malaysia," katanya.
Najib, katanya, "telah kehilangan peluang keemasan untuk muncul mendapat political mileage dari keputusan Mahkamah Tinggi semalam.
"Beban ke atas Najib semakin berat. Hari ini, empat kenyataan penting meminta pilihanraya semula di Perak dibuat".
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan penyelesaian terbaik bagi krisis di Perak ialah dengan mengadakan pilihan raya yang baru di negeri itu.
Pandangan yang sama juga datang Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dan Ahli Jawatankuasa Kerjanya, Dr Hsu Dar Ren.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berpendapat bahawa krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Pengerusinya Tan Sri Abu Talib Osman.
Mengulas desakan-desakan itu, Husam berkata: "Kalau sekutu Umno sendiri sudah bersuara dari dalam kelambu BN, menunjukkan mereka bukan sahaja mempunyai mimpi yang berbeza dalam isu ini, malah mungkin tilam yang juga berbeza".
Keputusan Mahkamah Rayuan itu, katanya, tidak dapat membeli keyakinan anggota BN sendiri, apatah lagi membeli keyakinan rakyat.
MCA dan Gerakan, katanya lagi, lebih jujur mengenai ketakutan mereka terhadap hukuman rakyat yang lebih dahsyat akibat tingkah laku Umno di Perak.
"Jika sikap keras kepala Umno berterusan, bermakna pilihanraya umum akan datang adalah masa gelap bagi BN.
"Namun, Umno masih dilamun mimpi. Jalan undang-undang yang menjerut diri walaupun kehilangan rasa hormat rakyat kepada mereka masih pilihan mereka," katanya.
Beliau menyeru Dr Chua, Teng Chang Yeow dan Dr Hsu bertindak lebih lanjut dan menggesa Najib supaya bersetuju dengan pembubaran disuarakan dalam forum BN yang lebih efektif.
Jika Najib masih terus berfantasi untuk berkuasa dengan membelakangkan suara hati rakyat Perak yang mahukan pilihanraya, itu petanda kekuasaan Najib dan UMNO BN sudah berada di penghujung.
Ada suara suara yang jelas dari kalangan wakil rakyat AMNEO ,sekarang ni kita kena kumpul harta dari peluang yang ada.
BalasPadamSebab PRU 13, AMNEO(BN) pasti bungkus punya.