Sikap SPR dengan cadangan-cadangan baru mereka memperlihatkan bahawa ada agenda tersembunyi SPR bagi membantu parti pemerintah yang sekarang ini "ketandusan" penyokong di dalam setiap kali pilihanraya umum dan pilihanraya kecil diadakan.
Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara tersebut hari ini, demikian lapor MSTAR.
"Jadi nampaknya dah kita tak setuju, pilihan raya akan dijalankan seperti biasalah," kata beliau ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan antara wakil-wakil Pakatan Rakyat dengan SPR di sini hari ini.
SPR mengadakan pertemuan itu bagi mencari penyelesaian bagi mengelakkan kehadiran ramai penyokong di pusat penamaan calon dan pengundian sehingga menyukarkan pihak polis mengawal keadaan ketika pilihan raya khususnya semasa pilihan raya kecil diadakan.
Justeru, hari ini SPR telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan mengenai kaedah bagi memperbaiki kelancaran proses pilihan raya.
Wakil BN mengadakan pertemuan dengan SPR pada sebelah pagi manakala komponen Pakatan Rakyat pula mulai 2.30 petang tadi.
Tambah Mustafa, Pakatan Rakyat melihat kehadiran penyokong dengan jumlah yang ramai tidak akan mencetuskan masalah besar hingga mengganggu proses pilihan raya.
"Kadangkala wujud sedikit kececohan. Itu perkara biasalah... tetapi masih dalam keadaan terkawal," katanya.
Jelas beliau lagi, Pakatan Rakyat juga menidakkan dakwaan SPR bahawa jumlah penyokong yang ramai pada hari mengundi boleh menjejaskan kehadiran pengundi bagi menjalankan tangungjawab mereka.
"SPR kata bila orang ramai, pengundi tak berani datang mengundi... tapi kita bagi hujah pada SPR dengan mengatakan sebenarnya pengundi tetap ramai yang keluar mengundi," katanya.
Ditanya mengenai usaha SPR untuk menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berkaitan mengenai larangan berkempen selepas waktu tengah malam hari terakhir berkempen dan sepanjang hari pengundian, beliau berkata, Pakatan Rakyat semangnya mematuhi arahan tersebut.
"Kita memang patuhi arahan itu sejak dulu lagi, kita tak berkempen dengan ceramah selepas waktu tengah malam dan hari mengundi," katanya.
Menjelaskan berhubung kehadiran penyokong dan perayu undi yang ramai pada hari pengundian, beliau berkata, perkara tersebut tidak bertentangan dengan undang-undnag.
"Merayu undi pada hari mengundi tidak bertentangan dengan undang-undang.
"Merayu dibenarkan di luar kawasan 50 meter daripada tempat mengundi," katanya.
Ditanya sama ada SPR memohon sebarang jaminan daripada Pakatan Rakyat agar mengawal perlakuan para penyokong mereka, Mustafa berkata, SPR tidak menyatakan mengenai perkara tersebut.
Sementara itu Naib Presiden PKR, R. Sivarasa yang turut hadir dalam pertemuan tersebut berkata, pihaknya juga membangkitkan mengenai kenyataan beberapa pihak berhubung trend mengosongkan kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Jelas beliau, mengikut undang-undang sesuatu pilihan raya mesti diadakan jika wujudnya kekosongan.
"Undang-undang itu jelas... berdasarkan Perlembagaan Persekutuan jika ada kekosongan, wajib diadakan pilihan raya kecil.
"SPR tidak boleh sekat sama ada kekosongan itu munasabah atau tidak munasabah kerana itu semua tidak berbangkit langsung.
"Jadi kita mesti menghormati hak dan pilihan raya kecil mesti diadakan," katanya.
Mengenai kekosongan kerusi kawasan DUN Penanti, Sivarasa berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan pilihan raya kecil di DUN berkenaan akan diadakan.
"Beliau berkata pilihan raya Penanti memang akan diadakan, tapi tak dinyatakanlah bila tarikhnya... SPR akan umumkan pada Isnin ini," katanya.
Wakil Pakatan Rakyat yang turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja), Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Jeff Oii (DAP-Jelutong), Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Fong Kui Loon (DAP-Bukit Bintang) dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.
Ditanya sama ada SPR memaklumkan untuk melaksanakan undang-undang baru pada pilihan kecil Penanti, Mustafa berkata: "Kalau pandangan kita ini diterima iaitu tiada sekatan terhadap jumlah penyokong, maka semuanya macam biasalah."
Dalam pada itu BN yang mengadakan pertemuan dengan SPR pada sebelah pagi tadi mengambil ketetapan menyokong sebarang usaha suruhanjaya tersebut bagi melancarkan proses pilihan raya.
Pegawai Khas kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Abu Khamis yang ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa positif dengan keputusan SPR untuk melaksanakan apa jua usaha untuk memastiakn pilihan raya berjalan dengan lancar.
"Kami akan menyokong apa jua yang akan dibuat oleh SPR yang tidak timbulkan ketegangan dan boleh berikan kebaikan kepada pengundi dan rakyat," katanya.
Bagaimanapun ditanya sama ada perbincangan bersama SPR turut membincangkan mengenai cadangan mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon dan hari pengundian, beliau berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan.
"Mengenai jumlah kehadiran penyokong, perkara itu tidak timbul (dibincangkan), kita hanya beri pandangan untuk kelancaran pilihan raya," katanya.
Selain Abu, wakil BN yang hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow dan Setiausaha Eksekutif MIC, Ramany Krishnan. - Greenboc
Apabila ada perubahan dalam peraturan dan undang-undang SPR, maka kita ingin mencadangkan pada para pemimpin parti Pakatan Rakyat agar mengkaji segera setiap usul yang dibawa oleh mereka.
BalasPadamApa yang kita ketahui bahawa SPR bukan badan bebas yang kita sangka selama ini, mereka dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional. Biar apa pun alasannya, pekerja parti mesti sentiasa berwaspada terhadap tipu muslihat yang bakal mereka laksanakan dalam setiap pilihanraya yang akan diadakan.
Pada hakikitnya SPR hanya menguruskan perjalanan pilihanraya saja namun kali ini mereka telah bersuara dan akan bertindak lebih dari bidang kuasanya. Jika dibiarkan akan mendatangkan masaalah yang besar kepada parti dan pengundi dikemudian hari.
"Adalah lebih baik mencegah daripada merawat".