16 Apr 2009

PASCA BUKIT GANTANG : Malaysia ditahap JAKUN demokrasi

Cara pilihan raya dijalankan di Malaysia masih belum berubah dan berada di takuk lama. Kebebasan berkempen, bersuara, berkomunikasi dalam media tetap di tahap jakun yang amat sangat.

Malu kita dengan demokrasi Indonesia. Cara pilihan raya dijalankan di Malaysia masih belum berubah dan berada di takuk lama. Kebebasan berkempen, bersuara, berkomunikasi dalam media tetap di tahap jakun yang amat sangat.

Polis dikerah untuk berkubu dan mengawal tempat pilihan raya kecil seperti kawasan perang atau darurat. Khemah-khemah putih ada di mana-mana seolah-olah kita melintasi Padang Arafah di Makkah.

Segala alat kenderaan seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda, trak dan bas, kereta penyembur air dan gas ditempatkan di lokasi strategik seolah-olah dalam suasana perang.

Entah berapa juta perbelanjaan sebenar pihak keselamatan dalam pilihan raya kecil di Malaysia kebelakangan ini.

Operasi polis seperti ini saya pernah lihat di sempadan Lubnan-Israel (Palestin). Tentera, kenderaan serta khemah penempatan tentera PBB bagi mengawal sempadan Israel-Palestin. Suasana itu boleh dilihat dalam pilihan raya kecil di Malaysia.

Majlis pengumuman calon di Bukit Gantang cuba diganggu dan dihentikan. Bagi polis majlis itu hanya untuk mengisytiharkan nama calon bukan untuk berceramah. Soalnya, kalau tak ada ceramah, tak perlulah permit berhimpun daripada jam 8 hingga 12 malam.

Mengumumkan nama calon cukup 5 minit sahaja. Sudah tentu himpunan itu untuk berceramah dan mengumumkan nama calon. Ketegangan diwujudkan oleh pihak polis di malam penamaan calun Bukit Gantang.

Bagaimanapun sepanjang kempen berjalan, pihak polis memberi kerjasama yang baik. Seratus peratus sepanjang kempen pilihan raya, RTM dan TV3 menjadi medan kempen BN. Menteri dan pegawai-pegawai di RTM dan TV3 tidak rasa malu langsung di atas perbuatan mereka.

Jentera BN sebenarnya tidak perlu berceramah kepada orang ramai dan pengundi kerana TV3 dan RTM telah bertindak bagi pihak BN. Perbuatan tidak bertamadun terus diperaktikkan kerajaan BN, walaupun rakyat sudah meluat dengan cara media kerajaan digunakan dalam pilihan raya. "Over Kill" terhadap pembangkang pada setiap warta berita TV3 dan RTM menimbulkan kemeluatan kepada kerajaan BN itu sendiri.

Namun, di Indonesia, kempen-kempen pendek dan janji-janji daripada parti-parti yang bertanding sering ke udara atau melalui kaca TV. Parti-parti politik bergilir ganti berkempen menggunakan TV kerajaan atau swasta di TV Indonesia. Malaysia - 'Jakun Demokrasi'

Semasa Malaysia menikmati sedikit kebebasan demokrasi, Indonesia berada di bawah diktator dan demokrasi terpimpin, dan kebebasan bersuara hampir tidak ada di bawah regim Order Baru Suharto itu. Selepas reformasi rakyat Indonesia mula menikmati kebebasan, manakala demokrasi Malaysia pula berada di alam "jakun demokrasi".

Dalam lawatan saya ke Jakarta, hari Sabtu 4 April, parti PDIP pimpinan Megawati dijadual mengadakan rapat umum di Stadium Senayan Jakarta. Di awal subuh pihak polis lalu-lintas telah bersedia di jalan-jalan utama untuk menjaga dan melicinkan perjalanan rakyat ke Stadium Senayan.

Saya tidak nampak sebarang kenderaan berat polis seperti trak, bas, dan kereta penyembur gas/air di sekitar jalan utama ke Stadium Senayan. Hanya polis lalu-lintas yang bertugas. Saya difahamkan dua parti besar membuat rapat umum di stadium Senayan di sebelah pagi dan petangnya.

Kalau himpunan seperti itu dibuat di Malaysia, entah berapa sekatan polis terpaksa rakyat tempuh termasuk deretan kereta pancutan air dan gas. Entah berapa ribu anggota FRU dan polis simpanan digunakan.

Demokrasi dan perjalanannya di Malaysia mesti terus diperjuangkan. Kebebasan berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan media harus diperjuangkan terus.

Kawalan dan sekatan untuk menjaga keamanan memang diperlukan, tetapi bukan dengan mewujudkan ketakutan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pasukan keselamatan adalah rakan yang dihormati, bukan musuh yang perlu dibenci dan ditakuti.


1 ulasan:

  1. Memang jakun, hingga demonstrasi diistilahkan sebagai rusuhan. Orang berdemonstrasi dipukul, didera. Tetapi penjenayah, penculik kanak-kanak bermaharaja lela.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.