"Adalah tidak mungkin sesuatu persidangan dapat dijalankan sedangkan penetapan Menteri Besar yang merupakan pentadbir utama sesebuah negeri masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah dan ini bererti sidang DUN yang dipanggil pada 7 Mei dengan sendirinya tidak mempunyai makna apa-apa malah boleh disifatkan sebagai cuba mendahului keputusan hakim," jelas seorang pensyarah undang-undang hari ini.
"Atas kapasiti apa yang kerajaan Zambry boleh memanggil sidang DUN sedangkan kedudukan beliau sendiri masih belum ditetapkan sebagai seorang MB yang sah di sisi undang-undang? Apa-apa keputusan yang diambil di dalam persidangan DUN itu nanti adalah terbatal jika mahkamah memutuskan Zambry bukan sebagai seorang MB yang sah," tambahnya.
Di dalam perkembangan yang berkaitan semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan Peguam Negara untuk memberi penjelasan terhadap situasi yang membawa kepada wujudnya 2 Menteri Besar di Perak. Hakim Datuk Abdul Aziz Rahim memberi arahan itu setelah membenarkan Tan Sri Gani Patail masuk campur dalam perbicaraan berhubung kemelut politik itu.
Menurut peguam Sulaiman Abdullah, hakim ingin mendapat pandangan peguam negara tentang isu berkaitan dengan situasi dimana menteri besar tidak meletak jawatan, dewan undangan tidak dibubarkan walhal Sultan kononnya telah melantik seorang MB baru, jadi hakim menyatakan ini adalah satu isu yang baru, macamana boleh dua MB berkuatkuasa serentak.
Terdahulu itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said berhujah bahawa permohonan Peguam Negara itu harus dibenarkan bagi semakan kehakiman yang memerlukan tafsiran Perlembagaan Perak serta memberi kesan kepada perlembagaan negeri lain yang mempunyai peruntukan sama dengan negeri Perak.
Beliau berkata demikian ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Abdul Gani.
Permohonan itu dibantah oleh peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, atas alasan bahawa Peguam Negara gagal menunjukkan sebarang keperluan untuk dia mencelah dalam prosiding itu.
"Ini adalah soal negeri Perak. Situasi sebenar di sini adalah bahawa keduadua pemohon (Mohammad Nizar) dan responden (Zambry) mendakwa sebagai Menteri Besar. Ini tidak ada pembabitan langsung dengan kerajaan Persekutuan dalam isu ini dan kepentingan mereka tidak terjejas," katanya.
Hakim Abdul Aziz menetapkan 4 Mei ini bagi mendengar permohonan Mohammad Nizar bagi memeriksa balas kenyataan Penasihat Undang-Undang Perak Datuk Kamal Md Shahid yang mendakwa dia (Mohammad Nizar) tidak konsisten dengan afidavit yang dikemukakan dalam saman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.