8 Apr 2009

Kabinet Baru Najib Ditangguh Ekoran Kekalahan BN Di Bukit Gantang Bukit Selambau

Dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih dalam proses memuktamadkan kabinet barunya dan pengumuman yang dijangka diadakan hari ini ditangguhkan, menurut pegawai rasminya.

Najib, dijangka mengumumkan barisan kabinet barunya esok sebelum berlepas ke Thailand bagi menyertai persidangan serantau di negara berkenaan.

Najib mengambil langkah tersebut dipercayai ekoran kekalahan teruk Barisan Nasonal di pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau semalam di mana beliau dikatakan akan memperkemaskan kabinet dengan sasaran untuk membantu beliau merealisasikan janjinya untuk membawa pembaharuan.

Sekurang-kurangnya enam menteri mungkin digugurkan, dengan menggabungkan beberapa kementerian, selain mewujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen yang dimansuhkan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Difahamkan Najib sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi semalam berhubung pelantikan barisan Kabinet barunya.

Antara menteri yang dikatakan akan digugurkan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang tewas jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti itu, tahun lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang turut kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, juga dijangka digugurkan.

Dua menteri lain dijangka digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meletak jawatan, berkuat kuasa hari ini, selepas tewas pada pemilihan Umno.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden, dijangka dikekalkan.

Difahamkan, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan dilantik sebagai Senator untuk diserapkan dalam Kabinet baru. Shahrizat dijangka mengetuai kementerian lamanya, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bekas menteri, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis juga dikatakan akan kembali ke Kabinet, manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin akan dinaikkan pangkat menjadi menteri.

Tiga Naib Presiden Umno diramal bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ke Kementerian Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Shafie Apdal bertukar ke Kementerian Pertahanan.

Antara kementerian dikatakan akan digabungkan ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diserapkan ke Kementerian Pelancongan; Kementerian Pengajian Tinggi disatukan dengan Kementerian Pelajaran, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergabung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Taniaraikan.

Khairy Jamaluddin dijangka tidak akan disenaraikan ekoran tekanan dari Tun Dr Mahathir yang tidak mahu Najib mengambil mereka yang dikatakan terpalit dengan isu politik wang dan rasuah. Ini akan menglangi tindakan Mahathir sendiri yang tidak melantik Ketua Pemuda UMNO di dalam barisan kabinet seperti yang berlaku ke atas Ahmad Zahid Hamidi selepas pilihanraya 1999 dahulu.

Mukhriz Mahathir yang tewas di dalam pemilihan Ketua Pemuda dijangka akan disenaraikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.