Sekurang-kurangnya enam media internet iaitu Malaysiakini, The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah, Merdeka Review dan Laksou tidak mendapat kelulusan akreditasi media daripada ibu pejabat UMNO. Tidak ada alasan pula diberikan mengapa media internet tersebut tidak dibenarkan membuat laporan. Mungkin kerana media internet ini terlalu telus dan kerana itu ia perlu dianggap musuh oleh UMNO yang gemar menyembunyikan fakta itu?
Namun tidak semua media internet tidak dibenarkan membuat liputan berita perhimpunan agung UMNO. Agenda Daily yang sering memaparkan berita memuji UMNO yang lebih kurang sama dengan Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times diberikan pas media untuk menghadiri perhimpunan itu.
Membaca berita penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan serta perintah tidak memberi kebenaran kepada enam media internet membuat liputan perhimpunan agung UMNO mengingatkan kita kepada era kegemilangan komunisme dahulu. Di negara blok komunis, termasuk dua kuasa besar ketika itu - Soviet Union dan Republik Rakyat China - tiada langsung kebebasan media. Yang ada ketika itu cuma akhbar-akhbar yang hanya memaparkan berita mengenai pemerintah yang bersumberkan agensi berita utama - Pravda di Soviet Union dan People Daily News di Republik Rakyat Cina. Ketika itu teknologi komunikasi belum secanggih kini, jika tidak, mungkin media internet juga tidak dibenarkan membuat liputan berita di negara-negara itu.
Kini komunisme telah runtuh. Negara-negara di bawah paksi Soviet yang dulu berbangga dengan ideologi komunis kini telah menerima demokrasi sepenuhnya. Di China, walaupun masih diperintah oleh Parti Komunis, tetapi kebebasan memberi pendapat sudah dibuka luas. Akhbar-akhbar yang dulunya hanya bersumberkan berita dari Pravda dan People Daily News, kini dibenarkan memaparkan berita, termasuk mengkritik kerajaan.
Namun Malaysia kelihatan sebaliknya. Ketika negara blok komunis membuka "jeriji besi" dan membenarkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, kita mundur beberapa tapak ke belakang. Memang dasar kapitalisme yang diamalkan Malaysia kini berbeza sama sekali dengan komunisme era Soviet dan China, namun cara kita mengawal media tidak ubah seperti zaman kegemilangan komunis dahulu!
Semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau telah merintis jalan mengadakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China yang komunis itu. Kini anak lelaki allahyarham seperti mempunyai minat yang mendalam dengan ciri-ciri pemerintahan komunis yang anti-kebebasan media melapor berita!
Oleh: pendikar gunung kriang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.