12 Mac 2009

Minibajet 60 Billion Banyak Kelemahan Asas - Anwar

K
etua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion yang diumumkan Menteri Kewangan Najib Abdul Razak pada 10 Mac lalu tidak mapan mengatasi kemelut ekonomi hari ini.

Anwar berkata Pakej Rangsangan II ini tidak mampan kerana tidak menerapkan prinsip ketanggungjawaban dan ketelusan dalam rumusannya.

“Persoalan sebenar yang harus diberi perhatian ialah ketelusan dan pertanggungjawaban institusi serta memecahkan tembok psikologi rakyat terbanyak, peniaga juga pelabur agar yakin dengan pengurusan ekonomi negara,” tegas Anwar di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Najib Abdul Razak membentangkan Pakej Rangsangan II di Dewan Rakyat untuk menangani kemelesetan ekonomi. Pakej RM60 bilion ini adalah susulan kepada Pakej Rangsangan I yang dibentang tahun lalu.

Pakej Rangsangan I yang mencecah RM7 bilion dikritik hebat dan menyerlahkan keraguan atas keupayaan Najib mengemudi ekonomi negara.

Keputusan beliau untuk menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan disalurkan ke firma ValueCap untuk menyelamatkan syarikat-syarikat terpilih mencetuskan bantahan ramai pihak.

Kegagalan kerajaan Pusat melaksanakan reformasi sewajarnya bagi membasmi gejala rasuah dan kebocoran memburukkan lagi keadaan.

Anwar turut mempersoalkan Pakej Rangsangan II yang dilihat seolah-olah alat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu.

Pakatan Rakyat juga melihat saranan Najib Razak supaya gagasan itu bekerjasama dengan Barisan Nasional menangani kemelut ekonomi sebagai retorik politik, tanpa berpaksi kepada keikhlasan.

Sambil menyifatkan pelawaan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam supaya kerajaaan dan pembangkang sepakat dalam menangani masalah ekonomi umpama 'menghulurkan ranting zaitun', pelawaan itu tidak ada gunanya jika pada masa yang sama, rakyat 'ditikam' dengan pelbagai tindakan zalim dan ditindas.

Mengenai pertemuan Anwar dan Abdullah di Hulu Langat, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menafikan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri semalam, sebelum melepaskan jawatan hujung bulan ini, telah merundingkan 'caturan politik'.

"Kehadiran kedua-dua pimpinan adalah di atas jemputan Al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Mahmud Al-Majzub (yang lebih selesa dikenali dengan panggilan Tok Ayah) bersempena dengan majlis Maulidur Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor," kata beliau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.