23 Mac 2009

LAMBAIAN BUKIT GANTANG : MENANTI KEPULANGAN ANAK PERAK

Mursyidul Am Pas menggesa pengundi Islam menyahut seruan agama dalam pilihanraya itu nanti kerana Bukit Gantang adalah medan menegakkan prinsip Islam dan keadilan sejagat melawan perasuah, penindas dan perkauman.

Markas Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Taman Melewar sesak dengan kehadiran orang-ramai mendengar amanat Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menghadapi Pilihanraya Kecil Bukit Gantang 7 April nanti.

“Islam tidak mengiktiraf semangat perkauman,” kata Nik Aziz di hadapan lebih 2,000 pengundi-pengundi Perak yang menetap di serata Lembah Klang.

“Umno memisahkan agama dari politik, supaya mereka boleh terus rasuah dan menekan bukan Islam. Islam melarang perkara-perkara ini dan kerana itu kita harus lawan,” tambah beliau disambut seruan takbir dari hadirin.

Nik Aziz berkata demikian di Forum Tabung Kebajikan Pas Bukit Gantang dalam usaha mengembeleng pengundi-pengundi Perak di Lembah Klang dalam kempen menghadapi pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Mursyidul Am Pas itu menjelaskan antara faktor kemenangan Pas di Kelantan dalam PRU-12 yang lalu adalah kerana kebanjiran undi dari pengundi-pengundi Kelantan yang pulang dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengundi di negeri itu.

Beliau berkata kepekaan politik pengundi-pengundi Perak di Lembah Klang kunci kepada kempen Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.

Menurut beliau, Umno kini sedang bersungguh-sungguh untuk menawan Parlimen Bukit Gantang dan akan berusaha walau apa cara pun.

Dalam ucapannya juga, Nik Aziz menjelaskan bahawa rasuah kini adalah merupakan bala kepada parti Umno.

Melihat kepada situasi politik yang melanda, beliau menambah bahawa kini Umno kian terhimpit dan menjadikan pengamal rasuah sebagai pemimpin mereka.

Ini merupakan satu episod terdesak yang mana membabitkan ramai pemimpin Umno yang terlibat di dalam rasuah.

Walaupun mereka secara terang terlibat di dalam rasuah, namun mereka masih dipilih, katanya.

Selain dari Nik Aziz, turut berucap sama adalah Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Persuruhjaya Pas Perak Ahmad Awang, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Presiden Ikatan Anak-Anak Perak di Perantauan Ahmad Idzham Ahmad.

Nizar di dalam ucapannya menceritakan apa yang berlaku sepanjang tempoh krisis yang berlaku di Perak baru-baru ini dan yakin beliau dan Pakatan Rakyat adalah kerajaan negeri Perak yang sah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.