23 Mac 2009

ISU GOBIND - Usul MP Kuching Ditolak

Sekali lagi speaker Dewan Rakyat tidak dilihat menjalankan tugasnya secara profesyenal apabila beliau menolak usul ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen untuk membahaskan kesahihan usul menggantung ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari menghadiri sidang dewan selama satu tahun dengan tidak diberikan kemudahan dan elaun.

"Speaker tidak segan silu untuk bersedia berbincang dan melulus usul dari wakil Padang Rengas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abd Aziz minggu lepas untuk mengantung ahli Parlimen Puchong, tetapi menafikan usul dari pembangkang untuk menyemak semula keputusan yang dilakukan oleh ahli-ahli parlimen mengenainya," kata seorang tokoh politik yang menyaksikan perbahasan parlimen pagi ini.

"Yang paling celupar pula YB Kinabatangan Bung Moktar Radin yang mengampu tak tentu pasal menghalang wakil rakyat Kuching membangkitkan hal itu," tambahnya.

Tindakan wakil Kinabatangan itu telah ditempelak oleh ahli parlimen bagi Kota Melaka, Kerk Kim Hock.

"Kalau Kinatangan sendiri kena (gantung dan dinafikan elaun selama setahun) baru tahu," kata Kerk di dalam Dewan Rakyat.

Chong mendakwa usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Abdul Aziz 16 Mac lalu melanggar Akta Saraan Ahli Parlimen.

"Paling tinggi Dewan Rakyat hanya boleh halang Gobind dari memasuki dewan. Itu (hukuman) yang paling tinggi yang boleh dilakukan. Tetapi mereka bertindak melangkauinya sehingga menafikan elaun dan lain-lain kemudahan yang diberikan kepadanya di bawah undang-undang." jelas Chong.

Gobind dikenakan tindakan itu ekoran dua kenyataannya yang mendakwa timbalan perdana menteri Datuk Najib Tun Razak terbabit di dalam pembunuhan Altantuya selain dari menghina timbalan yang dipertua dewan rakyat setelah diperintah keluar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.