5 Mac 2009

Institusi Kehakiman Telah lama Dilacurkan

Apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin apabila Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim menafikan hak V.Sivakumar untuk menggunakan peguam persendirian mengajak kita untuk merenungi betapa kerajaan UMNO-BN telah lama melacurkan institusi kehakiman negara bermula daripada pemecatan Tun Salleh Abbas serta dua orang hakim lagi iaitu Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah pada tahun 1988.

Pengesahan kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas kerana menyedari kesilapan kerajaan memecat mereka.

Betapa keadilan tiba-tiba boleh dijual beli dengan wang ringgit.

Ia tidak berkesudahan di situ. Hakim-hakim yang menggantikan hakim yang dipecat penuh dengan korupsi dan apakah kita boleh mengatakan insitusi kehakiman negara ini bersih dan boleh diharapkan rakyat untuk mendapatkan keadilan jika:

Kes percutian melibatkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dan peguam, V. K. Lingam di New Zealand pada 1994. Badan kehakiman itu adalah laksana ikan yang busuknya bermula daripada bahagian kepala. Ikan yang busuk di Kamar Ketua Hakim Negara akhirnya terus menular kepada kamar para hakim yang ada. Apabila Badan Pencegah Rasuah membuat siasatan ke atas Tun Eusoff, sepatutnya dia bertindak mengikut amalan seorang hakim yang bermaruah dan mementingkan kebebasan dan ketelusan badan kehakiman itu; dengan meletakkan jawatannya. Tetapi, Tun Eusoff Chin bukannya orang bermaruah seperti itu.

Nama bekas Ketua Hakim Tun Hamid Omar yang menggantikan Tun Salleh Abbas pernah disebut dalam perbicaraan melanggan pelacur artis (Haslinda Marican) satu ketika dahulu. Hamid juga pernah didakwa terlibat dengan rasuah oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang ketika era akhir 80an dan awal 90an, Wee Choo Keong seperti melibatkan diri dalam perniagaan Syarikat Seri Azha Sdn Bhd, kekayaan melebihi dari kelayakan, menjual kereta Mercedes Benz 280SE no.plat WBD 1 kepada presiden @ cheif executif MBF Loy Hean Hong dan pertemuan dengan Loy pada jam 10.00 pagi di Supreme Court yang mana kes Loy masih lagi berjalan melawan MP Bukit Bintang itu.

Malangnya tidak sebarang tindakan diambil terhadap Hamid, sebaliknya laporan polis dan laporan kepada BPR yang dibuat oleh Wee Choo Keong dianggap oleh Peguam Negara [ketika itu Mohktar Abdullah] sebagai laporan palsu dan Wee Choo Keong dihukum oleh Mahkamah Tinggi penjara dua tahun akibat laporannya itu membabitkan Hamid dianggap menghina mahkamah.

Hakim-hakim sendiri menolak keterangan saksi-saksi dalam perbicaraan sesuka hatinya saja, hakim menolak kehadiran saksi-saksi penting dan ini jelas di dalam kes Altantuya yang telah melepaskan Abdul Razak Baginda semata-mata ada kaitan dengan TPM.

Peguam Negara satu ketika bersubahat dengan polis mereka-reka tuduhan kepada Sdra Anwar Ibrahim, Dr Munawar, Sukma, Dato' Nalla dan lain-lain.

Itu semua rentetan betapa jijiknya institusi kehakiman negara dipenuhi oleh hakim-hakim bangsat yang mengkhianati profesyen mereka serta menipu rakyat yang mengharapkan keadilan dari institusi kehakiman. Terlebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan oleh Ketua-ketua hakim negara.

Jika Ketua Hakim Negara sudah sedemikian hina dan kotor bagaimana pula hakim-hakim dibawahnya?

Kita juga masih ingat bekas setiausaha Datuk VK Lingam membuat pendedahan yang mengejutkan terhadap bekas bosnya itu ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

Dalam akuan bersumpahnyanya, GN Jayanthi, 45, berkata beliau bekerja hingga jam 3 pagi di pejabat Lingam untuk menyediakan draf penghakiman yang akhirnya menjadi keputusan penting yang dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin dalam kes saman fitnah Tan Sri Vincent Tan terhadap MGG Pillai.

Lingam waktu itu mewakili Tan, seorang ahli perniagaan, dalam kes saman sebanya, RM10 juta itu.

"Saya kemudiannya mendapati penghakiman yang disediakan oleh Lingam itu digunakan sepenuhnya dalam penghakiman rasmi hakim berkenaan," katanya.

Moktar Sidin masih bebas tanpa disiasat dan didakwa. Demikianlah betapa dasyat institusi kehakiman di negara ini.

Ini tidak kita masukkan lagi bagaimana penguatkuasa undang-undang pula menyeleweng dan rasuah. Kisah tahanan mati dalam penjara/kurungan. Kisah polis menggunakan modus operandi dengan cara menembak mati mangsa dengan sesuka hati. Kisah BPR melepas dan menyiasat secara terpilih. Tiada bukti kukuh terhadap Khir Toyo kata mereka, tetapi ada bukti kukuh terhadap Khalid Ibrahim.

Justeru itu apa yang berlaku di dalam mahkamah-mahkamah di negara ini penuh dengan pelbagai konspirasi dan skandal para hakim dengan pihak tertentu untuk kepentingan-kepentingan tertentu dan semuga Allah mendedahkan setiap satunya serta menjatuhkan hukuman ke atas hakim-hakim yang khianat ini, termasuklah polis dan anggota SPRM yang nampaknya mewarisi sebagaian besar najis yang terdapat di dalam institusi kehakiman negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.