2 Mac 2009

Antara Kematangan Politik dan Rakus Kuasa

Setelah lebih dari 51 tahun berkuasa di Malaysia, UMNO/BN berjaya menjadikan kerakusan kuasa sebagai satu strategi politik yang berisiko, tetapi boleh dilakukan dengan berjaya jika mempunyai cukup wang untuk dibelanjakan bagi maksud itu. Tetapi mereka gagal memperlihatkan kematangan politik. Mereka bercakap tentang tamadun, adab, sikap demokratik, kejujuran berpolitik dan sebagainya, tetapi perbuatan mereka di Perak memperlihatkan sebaliknya.

Paling ketara ialah sikap anti-rakyat yang mereka perlihatkan dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyerahkan kepada rakyat membuat pilihan mereka setelah berlaku kebuntuan yang merugikan rakyat seluruhnya, akibat perbuatan UMNO sendiri. Apa yang berlaku di Perak sekarang diceritakan dengan terperinci oleh Sejarah Melayu dalam berpuluh episod yang menunjukkan kesalahan raja-raja Melaka membuat keputusan, sehingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat di samping menyerlahkan kezaliman raja-raja Melaka yang menjadi teras sistem beraja Melayu moden.

Mujurlah muncul seorang tokoh besar Melayu dalam diri Tun Perak yang sabar dan bijaksana itu. Banyak kali raja-raja Melayu diselamatkan oleh tindakan berhemah dan bijaksana Tun Perak. Anak-anak muda sekarang, termasuk ahli politik yang bercita-cita tinggi, harus membaca kembali kitab penting ini. Perkara ini disebut di sini untuk menyedarkan orang Melayu bahawa raja-raja Melaka, yang menjadi teras kesultanan Melayu, adalah manusia biasa yang mewariskan kelemahan mereka kepada raja-raja Melayu yang kemudian, sebagai manusia yang sentiasa membuat silap betapa pun tingginya daulat mereka.

Raja dan rakyat yang menerima hakikat ini adalah golongan beriman yang menerima ajaran para nabi dan para sahabat baginda. Ucapan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah menjadi teras prinsip kepemimpinan dalam Islam dan dalam tamadun Melayu sebelum dikotorkan oleh pengaruh Barat. Hal ini pun disebut dalam Sejarah Melayu dan perlu dicari sendiri oleh orang muda dan pemimpin politik untuk dijadikan teladan.

Para pemimpin UMNO/BN banyak sekali membuat laporan polis tentang kejahatan ketua-ketua parti pembangkang. Hampir semua laporan itu tidak memperlihatkan kematangan berpolitik kumpulan yang telah berkuasa lebih dari 51 tahun. Banyak daripada laporan itu hanya untuk melepas geram dan menunjukkan perasaan benci meluat yang amat sangat, kerana kuasa dan peluang yang selama ini dinikmati oleh puak ini menjadi semakin nipis setelah golongan ini menerima kekalahan dalam PRU 12, April 2008.

Dengan muka bengis seorang samsing, para pelapor ini menyeranah lawan politik mereka sebagai penderhaka, biadab, kurang ajar dan segala makian yang tidak pantas keluar dari mulut pemimpin yang sudah berkuasa lebih dari 51 tahun yang sedia kala mengaku paling sopan, beradab, jujur dan bersih. Semua ini terjadi kerana sifat kerakusan kuasa itu sudah menjadi darah daging, tidak boleh lagi bertolak ansur untuk menerima kekalahan dalam pilihan raya secara gentleman. Mereka akan menjadi lebih bengis dan merbahaya jika dibenarkan berkuasa selama 50 tahun lagi.

Seperti yang dibayangkan dalam amaran seorang Bendahara Melaka, orang yang biasa makan daging tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja yang tidak disenanginya. Dan pembunuhan politik di zaman moden boleh berlaku dalam 100 cara. Barangkali di situlah tersembunyi kematangan politik para political animals. Kemuncak kerakusan itu diperlihatkan dalam tempik sorak penuh makian di luar Dewan Rakyat oleh sekumpulan pemuda UMNO yang marahkan YB Karpal Singh yang dituduh telah menghina raja-raja Melayu dan pemuda UMNO.

Beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat, seolah-olah Dewan Rakyat itu rumah pemuda UMNO yang tidak boleh dimasuki tanpa izin tuan rumah. Dalam dunia politik yang matang, lebih banyak digunakan perbahasan dan perdebatan yang diucapkan dengan wibawa, iaitu wibawa dari segi kelakuan dan berwibawa dari segi ilmu. Nampaknya orang UMNO kehilangan punca bila berdepan dengan lawan mereka yang jauh lebih pintar berhujah dan pandai bermain dengan kata-kata yang boleh membuat pihak sebelah lagi menjadi gila.

Itulah yang terjadi di halaman Dewan Rakyat pada hari Khamis 26 Februari 2009, satu tarikh dan kejadian yang sangat penting dalam perkembangan demokrasi di Malaysia. Siapakah yang akan menghukum mereka? Dalam politik demokrasi di Malaysia, yang akan dihukum seringkali pihak yang berkata benar, bukan yang bertindak liar dan biadab.


Mohd Affandi Hassan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.