10 Dis 2008

Siapa Calon PAS dalam PRK P36 Kuala Terengganu, Mohd Sabu atau Khazani?

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan datang.

Katanya, memandangkan Mohamad telah bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini, tidak ada sebab untuk beliau tidak dicalonkan sekali lagi, dalam pilihan raya kecil yang akan datang.

Namun, Dewan Pemuda Pas Terengganu sepakat dan begitu komited untuk mengetengahkan calon mewakili golongan muda yang juga anak tempatan bagi bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi. Ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya kini mempunyai calon tersebut yang dilihat mempunyai kredibiliti tersendiri dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal diserahkan.

Calon tersebut ialah Prof. Dr. Mohamad Khazani Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia

Di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu BN berentap dengan PKR, dan kini di Kuala Terengganu giliran PAS pula. Bezanya Permatang Pauh adalah kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan senario dari awal pilihanraya kecil pada ketika itu sudah nampak memihak kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu keadaannya lebih menarik kerana ia dikira 50-50 antara BN dan PAS.

Allahyarham Datuk Razali menang dua kali di kerusi parlimen itu setelah menewaskan Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pada pilihanraya umum 2004 dengan 1,933 undi. Allahyarham dapat 30,994 undi manakala Dr Syed Azman 29,061. Pada pilihanraya umum lalu dalam pertandingan tiga penjuru antara Timbalan Menteri Pelajaran itu dengan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan mak chik Maimun Yusof yang bertanding atas tiket bebas Allahyarham menang dengan majoriti tipis 648. Datuk Razali dapat 32,582 undi, Mohamad Sabu 31,934 manakala Maimun 685.

Proses pemilihan calon ini akan berjalan mengikut proses biasa iaitu dari peringkat percalonan dari kawasan Kuala Terengganu ke Perhubungan Negeri Terengganu dan seterusnya dipilih di peringkat pusat.

Banyak faktor perlu dipertimbangkan di dalam menetapkan pemilihan calon yang tepat untuk pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu nanti.

Menelek latarbelakang calon yang diketengahkan oleh Pemuda PAS Terengganu yang berbeza dari calon yang dihasratkan oleh Mursyidul Am PAS, nampaknya calon tersebut (Prof Dr Khazani) mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan calon-calon lain seperti Mohd Sabu dan Mustafa Ali (pesuruhjaya PAS Terengganu) yang juga namanya turut kedengaran disebut-sebut sebagai calon PRK P36 nanti.

Namun, ada banyak juga faktor yang perlu difikirkan dengan mengketengahan ahli akademis yang berpotensi dan berwibawa berkenaan.

Pertama sudahkah kita mampu untuk tidak lagi menerima calon yang ditonjolkan oleh Mursyidul Am PAS sekalipun ia adalah pilihan peribadinya. Kemungkinan ini peluang dan hasrat terakhir Mursyidul Am PAS berbuat demikian selagi hayatnya dikandung badan dan ketika masih menjadi Mursyidul Am dan tentunya pemilihannya berasaskan kepada beberapa sebab serta pengalamannya yang banyak sebagai tokoh politik yang disegani oleh kawan dan lawan. Terbandingkah dengan orang lain?

Kedua, Prof Khazani, dengan usianya yang muda, sudahkah kita mampu untuk mengorbankan seorang yang begitu berpotensi dan berwibawa untuk mengketengahkan beliau di gelanggang politik sekalipun sumbangan beliau di dalam bidang akademik dan kejuruteraan begitu diperlukan oleh sekalian ummah (beliau ialah Tokoh Saintis Muda Negara 2001 sewaktu berusia 31 tahun).

Ketiga, oleh kerana pilihanraya ini adalah satu pilihanraya kecil, BN sepastinya akan mengerahkan segala tenaga untuk memenangi PRK ini "at all costs" dan mampukah kita mempertaruhkan masa depan seorang ahli akademis yang amat berharga sedangkan peluangnya lebih cerah jika bertanding di dalam pilihanraya umum dan bukan di dalam satu pilihanraya kecil.

Namun apapun keputusan yang ditetapkan oleh PAS Pusat tentunya adalah keputusan mesyuarah yang lebih baik dari pandangan-pandangan peribadi dan semuga ia mendapat limpahan keberkatan dari Allah s.w.t. jua.

Wallahu 'alam.


3 ulasan:

  1. saya amat bersetuju dgn pandangan sdra.

    BalasPadam
  2. sdr GB, tolong jangan siarkan gambar Prof Dr Khazani dulu, biarlah pimpinan membuat keputusan dulu, sangat tidak elok dan memberi kesan kpd beliau.Mat Sabu Orang politik, Dr masih ahli akedemik walaupun sudah bersara, kalau pimpinan buat keputusan lain, ianya memberi kesan kpd beliau.Terima Kasih atas kerjasama.

    BalasPadam
  3. too late.
    MKA tolak jadi calon, sbb byk blog yg siarkan gambar dia, dan ada yg siarkan juga nama company dia. Ini sesuatu yg amat tidak elok sebelum dan selepas pencalonan.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.