3 Nov 2007

Menjawab Persoalan Permit Perhimpunan 10 Nov

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin telah meminta Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mesti mendapatkan permit polis untuk mengadakan perhimpunan awam pada 10 November ini ketika ketika pertemuan dengan delegasi lima orang dari Bersih di ibupejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur.

Terlepas daripada hasrat untuk membelakangkan undang-undang negara, kami mempersoalkan apakah permintaan Datuk Zulhasnan itu hanya sebagai satu alasan serta justifikasi untuk anggota polis di bawahnya bertindak ganas nanti seperti yang berlaku di teragedi-tragedi perhimpunan sebelum ini?

BERSIH atau mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan aman sebelum ini sememangnya membuat permohonan permit dari pihak polis, namun apa yang mendukacitakan, menurut rekod, terdapat beberapa permohonan yang lansung tidak mendapat respon serta balasan dari polis.

Sebagai contoh tragedi Batu Burok 8 September 2007 dimana pihak penganjur telah memohon permit untuk mengadakan majlis perhimpuanan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu. Pihak polis memberikan jawapan sekalipun rayuan telah dibuat.

Apa yang berlaku rentetan dari kegagalan polis itu sebahagiannya telah menjadi arkib sejarah, sebahagiannya di mahkamah dan sebahagian lagi bersama linangan darah dan air mata rakyat. Ia kita ulangi di sini agar Datuk Zulhasnan dapat membuka mata seluas-luasnya betapa tidak adil dan kejamnya polis di dalam tindakan mereka terutama apabila berhadapan dengan pihak-pihak yang bukan-kerajaan.

Pada peristiwa itu, pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah yang jika mengikut undang-undang polis telah melakukan pencerobohan (trespassing) yang tanpa waran, tanpa izin dan perintah mahkamah sesuka hati melanggar, menceroboh serta merosakkan pentas yang ada di premis persendirian! Ini undang-undang mana yang polis gunakan? Ini undang-undang siapa polis pakai? Ini ajaran sistem pemerintahan komunis mana yang dipegang?

Kemudian, polis membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan supaya orang ramai tidak masuk ke kawasan itu dan pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).

Sekalian ramai pimpinan tertinggi tersebut bertemu dengan pihak polis untuk berbincang, namun polis lansung tidak menghormati mereka dan masih enggan untuk membenarkan perhimpunan diadakan malah dengan megah dan zalim membawa FRU menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabi-buta sehingga jam 1.30 pagi.

Pada awalnya setelah perbincangan diadakan, demi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis sehingga salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman dan terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya.

Sekali lagi kami ingin bertanya kepada Datuk Zulhasnan, inikah caranya polis bertindak dan apakah ini yang diajarkan kepada seluruh anggota PDRM - iaitu menimbulkan provokasi untuk memburukkan keadaan supaya dapat mencalarkan nama pihak penganjur serta menjadi alasan kukuh untuk polis menggunakan FRU serta menembak rakyat sesuka hati?

Dunia mengetahui, senario kotor yang menimpa Batu Burok adalah hasil perbuatan kotor pihak polis. Tidak lain dari itu. Kejinya polis yang bersekongkol dengan pihak parti pemerintah menyisihkan serta menafikan hak orang lain adalah merupakan sebab utama berlakunya kacau-bilau di mana-mana perhimpunan aman yang dianjurkan oleh pihak bukan-kerajaan.

Polis tiba-tiba menjadi makhluk-makhluk yang tidak siuman, menggunakan kekerasan dan kekejaman, bertindak melulu membabi buta persis perserta perhimpunan laksana penjenayah-penjenayah yang perlu dibelasah, dipukul, di sepak, ditendang malah ditembak sesuka hati. Ini polisi siapa? Ini prinsip polis mana? Ini dasar binatang apa yang bertindak sesuka hati tanpa memperdulikan undang-undang? Apakah polis sebagai pelaksana undang-undang justeru itu mereka tidak perlu mematuhi undang-undang? Saya ingin bertanya Datuk Zulhasnan, ini ajaran siapa, kerajaan mana dan ugama apa?

Lantaran itu, kami meminta Datuk Zulhasnan membetulkan sikap polis terhadap golongan rakyat yang rata-rata tidak pernah berhasrat untuk menimbulkan sebarang kacau-bilau atau ketegangan di mana-mana perhimpunan aman. Jangan meminta kami mematuhi unang-undang negara sedangkan polis menggunakan undang-undang rimba. Kami ingin menegaskan disini bahawa perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan tidak pernah dan tidak akan menggugat keselamatan JIKA IANYA TIDAK DIKACAU ATAU DIPROVOKASIKAN OLEH PIHAK POLIS!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.