28 Okt 2007

200 pelajar perempuan didenda dalam kolam kotor

Posted on Monday, July 23 @ 11:36:14 MYT by greenboc
Berita aSIBU: Kira-kira 200 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini dipaksa masuk ke dalam kolam ikan yang kotor selama sejam, gara-gara seorang daripada mereka membuang tuala wanita yang telah digunakan dalam mangkuk tandas.

Pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkata Lima itu didakwa telah dipaksa masuk ke dalam kolam di dalam kawasan sekolah itu mulai pukul 4 hingga 5 petang Rabu lepas oleh seorang warden wanita.


Warden tersebut mengawasi para pelajar sambil memegang payung di tengah hujan.

rBeliau juga didakwa telah memberi amaran kepada pelajar untuk tidak memberitahu sesiapa tentang hukuman tersebut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, yang turut mengelola kantin sekolah berkenaan, menyaksikan kejadian tersebut dan kemudian menghubungi sebuah akhbar tempatan untuk mendedahkan perkara itu.

Menyifatkan hukuman itu sebagai keterlaluan, Kiu berkata beliau akan berbincang dengan ibu bapa pelajar yang tinggal di rumah panjang berhampiran sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Sementara itu apabila dihubungi Bernama, seorang pegawai sekolah itu mengesahkan kejadian tersebut.

Sumber itu berkata pelajar dihukum kerana mereka beberapa kali melakukan kesalahan yang sama sebelum ini.

"Warden tersebut mengambil keputusan menghukum pelajar apabila tiada seorang pun daripada mereka mengaku melakukannya. Ia bukan murah untuk membaiki mangkuk tandas apabila tersumbat.

"Sebenarnya para pelajar itu baru sahaja habis membuat kerja biasa mereka membersihkan kawasan sekolah sebagai sebahagian kempen kebersihan sekolah," katanya.

Pegawai tersebut berkata air kolam ikan itu tidak sekotor sebagaimana didakwa kerana ia sering digunakan untuk program membentuk siasah diri pelajar.

BERITA TERBARU DARI UTUSAN

Warden pertahan rendam 200 pelajar dalam kolam
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

SIBU 22 Julai – Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, dekat sini yang mengarahkan 200 pelajar perempuan berendam di dalam kolam ekoran tindakan seorang daripada mereka membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sekolah Rabu lalu, mempertahankan tindakannya.

aWarden wanita itu, Wee Yim Pien (gambar) berkata, beliau telah berulang kali mengingatkan para pelajar supaya tidak membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah pelajar tidak menghiraukan amarannya menyebabkan saluran tandas kerap tersumbat.

Keadaan itu katanya, menyebabkan pengawas sekolah terpaksa menggunakan tangan untuk mengeluarkan tuala wanita yang dibuang ke dalam mangkuk tandas setiap kali saluran tandas tersumbat.

‘‘Sedangkan tempat membuang sampah memang disediakan di luar tandas untuk pelajar perempuan membuang tuala wanita.

‘‘Pihak sekolah turut menyediakan surat khabar lama untuk memudahkan pelajar membalut tuala wanita yang telah digunakan sebelum ia dibuang ke dalam bakul sampah,” katanya.

Beliau mendakwa, walaupun disediakan kemudahan tersebut, keadaan masih tidak berubah.

Malahan, baru-baru ini beliau sekali lagi memberi amaran akan menghukum pelajar yang membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas dengan merendam mereka ke dalam kolam.

Beliau yang merupakan guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan berkata, Selasa lalu ketika membersihkan hostel, seorang pengawas memberitahunya bahawa satu tuala wanita ditemui di dalam mangkuk tandas.

Jelasnya, beliau hilang sabar dengan kejadian itu lalu menghukum pelajar dengan mengarahkan mereka berendam di dalam kolam.

Guru lepasan ijazah yang berasal dari Kuching itu berkata, pada awalnya beliau mahu menghukum pelajar dengan merendam mereka selama lima minit.

‘‘Tetapi para pelajar membuat bising menyebabkan saya melanjutkan hukuman sehingga setengah jam,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika pelajar memasuki kolam, hujan renyai tetapi rberhenti tidak lama kemudian dan tiada kilat pada masa kejadian.

‘‘Hujan lebat selepas semua pelajar keluar dari kolam,” katanya.

Guru itu turut menafikan laporan akhbar bahawa kolam berkenaan kotor.

Justeru beliau menolak dakwaan air kolam berkenaan yang menyebabkan pelajar mengalami gatal-gatal dan ruam sehingga ada yang demam.

Laporan sebelum ini mendakwa air kolam berkenaan kotor kerana bercampur dengan sisa makanan dan air kotor yang dibuang dari kantin sekolah.

Menurutnya, air kolam itu kerap digunakan untuk aktiviti luar kelas seperti program orientasi dan juga motivasi.

Bagaimanapun menurutnya, ia merupakan kali pertama beliau mengenakan hukuman sedemikian kepada pelajar.

‘‘Saya mencuba pelbagai cara supaya pelajar menjaga kebersihan kawasan sekolah tetapi gagal,” katanya.

Jelasnya lagi, tugas sebagai warden sekolah bukan mudah dan tidak ramai guru mahu melakukannya.

Ditanya kemungkinan berdepan dengan tindakan disiplin ekoran kejadian itu, katanya, beliau hanya menjalankan tugas.

susunan greenboc
imej oleh multidimid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.