31 Dis 2011

Sembilan Kepala Babi Depan Masjid. Provokasi Siapa?

Johor Bahru – Penduduk Islam di Taman Desa Jaya, dekat sini, gempar apabila sembilan kepala babi ditemui di luar pintu Masjid Al Falah, di sini, dalam dua kejadian berasingan.

Dalam kejadian pertama, empat kepala babi yang dibungkus dengan plastik ditemui oleh beberapa penduduk di pintu bahagian tepi masjid ketika datang ke rumah ibadat itu untuk membersihkan kawasan sekitarnya, jam 5 petang kelmarin.

Susulan penemuan, jawatankuasa masjid membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Belum pun reda dengan kejadian pertama, jemaah masjid dikejutkan dengan penemuan lima lagi kepala haiwan itu diletakkan di pintu pagar hadapan mas­jid kira-kira jam 5.10, pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Falah, Kasim Darim, 62, berkata, pengurusan masjid kesal dengan tindakan kumpulan atau individu yang menyentuh sensitiviti masyarakat di kawasan itu.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di kawasan masjid berkenaan.

“Sebelum ini, pihak kami (masjid) tidak mempunyai­ masalah dengan masyarakat setempat dan saya tidak menuduh sesiapa yang melakukan perkara ini.

“Namun bagi kami, jika ada masalah, kita boleh berunding tanpa perlu membuat perkara seperti ini. Saya kecewa dengan sikap kumpulan atau individu yang melakukan perbuatan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kassim berkata, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Desa Cemerlang.

Sementara itu, Biro Keselamatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jaya, Mohd Khairi Abdul Latip menyifatkan perbuatan itu menggugat keharmonian masyarakat setempat.

“Perbuatan ini boleh dianggap sangat biadab kerana tidak menghormati masyarakat di sini.

“Kami berharap agar pihak polis dapat menyiasat dan mencari dalang yang melakukan perbuatan yang menghina agama ini,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 100 orang, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, me­ngadakan perhimpunan aman di depan masjid berkenaan bagi membantah perbuatan tersebut. -SH

DAP kutuk tindakan meletak kepala khinzir di hadapan masjid

GEORGETOWN: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala khinzir di luar pintu Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Baharu.

Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu diberkas dan diberi hukuman yang setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu dikutuk oleh semua rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kepercayaan mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung insiden sembilan kepala khinzir ditemui di hadapan pintu Masjid Al-Falah semalam.

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor mahu pihak polis memberi keutamaan terhadap siasatan kes ini.

"Pada malam menjelang tahun baru ini insiden memalukan seperti ini tidak harus berlaku," katanya. - BERNAMA


Abang Terkejut ‘Beruk’ Adik Buat Maksiat Dengan Minah Indon Di Rumah Sewa

Melaka: Seorang adik sanggup menjadikan rumah sewa di Taman Selendang, Batu Berendam, di sini, yang dikongsi bersama abangnya sebagai ‘lubuk maksiat’ apabila ‘menyeludup’ teman wanitanya ke kediaman berkenaan bagi melampiaskan nafsunya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, lelaki berusia 28 tahun itu terpinga-pinga apabila sekumpulan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) memeriksa rumah itu selepas mendapat aduan seorang wanita bukan muhrim dilihat masuk ke kediaman berkenaan.

Pemeriksaan di dalam bilik adiknya berusia 22 tahun itu menemui teman wanitanya yang juga seorang warga Indonesia berusia awal 20-an menyorok di dalam tandas dalam keadaan bogel.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata berdasarkan maklumat sepasukan anggotanya ke lokasi berkenaan dan setibanya di kediaman terbabit, mereka mengetuk pintu sebelum dibuka oleh abang suspek.

Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat atas anggotanya mendapati sebuah bilik yang bertutup dan ia dibuka seorang lelaki separuh bogel dan yang hanya memakai tuala paras pinggang.

“Pemeriksaan lanjut menemui ada seorang wanita berada di dalam tandas dalam keadaan mengaibkan dan soal tanya mendapati kedua-duanya bukan muhram.

“Pasangan terbabit terus ditahan untuk siasatan lanjut dan abang kepada suspek berkenaan turut terperanjat kerana mendakwa langsung tidak mengetahui adiknya menyembunyikan teman wanitanya di biliknya,” katanya, di sini, semalam.

Rahimin berkata, soal siasat mendapati pasangan terbabit mengakui sudah terlanjur ketika berdua dalam rumah berkenaan beberapa kali selain memberitahu baru saja selesai melakukan hubungan seks.

Katanya, kedua-dua mereka adalah pekerja industri di kilang sama dan sudah berkenalan kira-kira tiga bulan lalu sebelum menjalin hubungan. “Kedua-dua pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhram.

“Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. -hm

Seorang Anggota Polis Wanita Dera & Toreh Kemaluan Anak Angkatnya

Didera ibu angkat

ALOR SETAR - Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai didera ibu angkatnya sejak empat bulan lalu berakhir apabila dia diselamatkan polis Rabu lepas.

KESAN lebam yang terdapat pada perut mangsa (gambar kecil) ketika ditemui di Alor Setar semalam.

Perkara itu terbongkar selepas seorang jiran membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk diperiksa selepas mendapati badan dan mata kiri kanak-kanak itu lebam-lebam. Lebih tragis kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan torehan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditinggalkan ibu angkatnya untuk dijaga oleh jiran di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini pada pukul 4.30 petang Rabu lalu.

Katanya, wanita itu meninggalkan mangsa sementara di situ kononnya kerana hendak ke Kelantan.

"Jiran mangsa yang berusia 39 tahun kemudian terperanjat apabila menemui kesan lebam dan torehan pada badan mangsa ketika hendak memandikannya sebelum membawanya ke hospital.

"Polis kini mencari ibu angkat mangsa berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak," katanya. -kosmo

Kemaluan mangsa dera ibu angkat kena toreh

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selain kesan torehan pada kemaluan, dipercayai akibat didera ibu angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, perbuatan kejam ibu angkatnya yang juga seorang anggota polis itu terbongkar selepas kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sementara di bawah jagaan jirannya, berikutan suspek yang berusia lingkungan 30-an mahu pulang ke kampungnya di Kelantan.

Jiran wanita itu yang bersetuju membantunya menjaga kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati banyak kesan lebam pada badan, selain bekas torehan benda tajam di bahagian kemaluan mangsa ketika mahu memandikan kanak-kanak itu, sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan, berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian kemaluan dengan kesan torehan benda tajam, selain terdapat kesan lebam di bahagian mata dan badan.

Katanya, kanak-kanak itu diselamatkan jiran suspek yang melaporkan kes itu kepada polis selepas mengesan kesan dera berkenaan pada tubuh mangsa, kelmarin.

“Mangsa kini berada di HSB untuk pemeriksaan lanjut dan polis sedang mengesan suspek yang menghilangkan diri. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, mangsa dipercayai dipelihara suspek yang masih bujang itu sejak daripada kecil dan tinggal bersamanya di rumah wanita itu di Taman Derga Jaya, di sini.

“Wanita itu dipercayai mendera mangsa sejak beberapa bulan lalu berikutan terdapat banyak kesan lebam dan kecederaan di bahagian kemaluan, mata dan badan kanak-kanak itu,” katanya.

Mangsa kini di bawah pemerhatian doktor dan pengawasan polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. -BH


[INGATAN] Saman Tak Guna Talipinggang Belakang Bermula Esok

Kuala Lumpur: Bermula esok, tiada alasan boleh digunakan pemilik kenderaan di negara ini sekiranya didapati gagal menggunakan tali pinggang keledar depan atau belakang.

Ini kerana, tempoh pengecualian tiga tahun akan tamat bermula jam 12 tengah malam ini (1 Januari 2012).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Hesdey Ahmad berkata, selepas tempoh itu, tindakan menyaman pemilik kenderaan akan diambil pihak berkuasa.

“Kita percaya, ramai pemilik kenderaan akan memberi pelbagai alasan termasuk tidak tahu ia sudah dikuatkuasakan.

“Berikutan itu, kita ingatkan bahawa penguatkuasaan terhadap penggunaan tali pinggang keledar belakang sudah bermula 1 Januari 2009 dan pengecualian tiga tahun itu hanya membabitkan kenderaan didaftarkan sebelum 1 Januari 2005 atau kenderaan tidak dilengkapi dengan kemudahan tali pinggang keledar.

“Justeru, bermula esok, tiada lagi kompromi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pemilik kenderaan yang gagal mematuhinya,” katanya.

“Jadi, sekali lagi kita ingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa akan mengeluarkan saman jika mereka masih berdegil dan tidak mahu memasang tali pinggang mulai esok,” katanya. -hm

Aziz Bari Sedia Tanding Pilihanraya Wakili Pakatan

Aziz Bari tawar diri sebagai calon Pakatan

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Pakar perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari menawarkan diri sebagai calon berpotensi pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat, mengatakan beliau mahu mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Pensyarah akademik yang lantang ini berkata beliau “tidak ghairah” tentang menjadi anggota parti sambil menambah sistem dua parti yang berkesan membenarkan reformasi dan pentadbiran yang bagus.

“Maksud saya, seperti mengambil bahagian dalam pemilihan parti, saya hanya mahu menjadi wakil rakyat jika mereka (Pakatan Rakyat) merasakan saya sesuai untuk menjadi calon mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui kiriman emel.

Beliau mengesahkan menerima tawaran “tidak rasmi” dari semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP namun berkata “masih terlalu awal untuk membuat keputusan” parti mana yang akan ditandinginya.

Abdul Aziz (gambar) menambah beliau tidak memilih tentang bertanding di bawah mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat memandangkan “semua parti komited untuk melaksanakan dasar dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia pentung bagi mewujudkan sistem dua parti.”

Namun bekas pensyarat Universiti Islam Antarabangsa ini berkata keputusannya adalah untuk terlibat dalam politik dan berminat menyertai pilihan raya dan bukan sebagai anggota parti yang disifatkan tidak mempunyai “stamina” melakukannya.

“Ini adalah perkara yang dihalang untuk dilaksanakannya. Menyertai politik bukan bermakna terlibat dalam politik parti.

“Apa pun dalam politik, seperti kerjaya dalam akademik atau NGO, ia hanya platfom untuk perubahan. Tidak kisah apa pun saya terlalui tua untuk menjadikan politik sebagai kerjaya. Jika saya berumur 40 tahun ia berbeza tapi saya akan mencecah 53 tahun,” tambahnya.

Abdul Aziz terlebih dahulu digantung tugas dari UIA kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau dilaporkan memperhatikan kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dipegang Abdul Rahman Bakri, yang dijangka akan dibicarakan pada Jun kerana didakwa membuat sembulan tuntutan palsu.

Pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA kerana mengkritik Sultan Selangor.

Selain itu Abdul Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. -TMI

[Video] Kemalangan Babitkan 40 Buah Kenderaan, 2 Maut & 61 Cedera

New orleans, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.

Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.

Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.

"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.

Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.

Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.

Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.

Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.

Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.

"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV. - Agensi/Kosmo



Kes Kematian Rozana Ditikam 35 kali: Tiga Pemuda Ditahan

Kekasih muda kena tahan

GOMBAK: Seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai teman lelaki kerani bank yang dibunuh kejam minggu lalu ditahan semalam bersama dua lagi rakan bagi membantu siasatan kes itu.

CEKUP...tiga suspek ditahan seminggu bagi membantu siasatan.

Polis turut menemui komputer riba milik Rozana Mohd Yusak, 35, yang ditikam 35 kali dalam kejadian di rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, Kepong di sini pada 22 Disember lalu.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia 19 dan 20 tahun itu menjual komputer riba berkenaan kepada wanita yang dikenali mereka dengan harga RM600.

Menurut sumber, perbuatan kejam mereka ini terbongkar apabila polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengadakan serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Kampung Datuk Keramat, malam kelmarin.

“Polis yang menemui bukti baru pembabitan ketiga-tiga lelaki terbabit termasuk seorang daripadanya adalah teman lelaki mangsa selepas penemuan pisau yang digunakan menikam Rozana.

“Difahamkan, pisau itu ditemui di dalam longkang berhampiran kediaman mangsa kelmarin,” katanya.

Sumber berkata, dalam serbuan pertama jam 8 malam, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam bersama seorang lagi suspek berusia 19 tahun.

“Hasil serbuan pertama itu polis mengesan seorang lagi suspek di rumah di Kampung Datuk Keramat kira-kira jam 1 pagi. -hm




Rozana mati angkara samun

TIGA lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Rozana berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Selayang, Gombak semalam.

KUALA LUMPUR – Kes pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditemui mati dengan 15 tikaman minggu lalu memasuki episod baharu apabila polis dapat menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan kes yang bermotifkan samun itu.

Suspek-suspek berusia di antara 19 dan 22 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek diberkas di Kampung Dato’ Keramat.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi mangsa pada hari kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu hanya dua daripada suspek naik ke rumah mangsa manakala seorang lagi menunggu di bawah.

“Maklumat yang kita dapat mengatakan salah seorang suspek berumur 19 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa bercadang mencuri wang serta komputer riba mangsa untuk dijual kepada rakannya yang berusia 22 tahun. Jenayah itu hendak dilakukan ketika mangsa sedang tidur.

“Bagaimanapun, mangsa yang tersedar cuba menghalang perbuatan teman lelakinya sebelum berlaku pergaduhan. Keadaan kemudian menjadi tegang menyebabkan salah seorang suspek menikam mangsa bertubi-tubi dengan pisau,” katanya. -kosmo


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] Musnahnya Sebuah Sejarah Warisan Di Sura Jetty

Teluk Lipat – Pepatah Melayu mengatakan, ‘sekali ombak menghempas, sekali pantai berubah’, inilah realiti berlaku terhadap pantai peranginan Teluk Lipat yang menjadi kebanggaan warga Dungun susulan tragedi ombak besar sejak beberapa hari lalu yang disifatkan tsunami kecil itu.

Penduduk yang menyaksikan peristiwa itu bagaimanapun terpaksa akur dengan fenomena alam yang melumpuhkan hampir keseluruhan sistem lanskap sebagai penyeri kepada keinda-han pantai yang menjadi daya tarikan pelancongan di daerah ini sejak lebih suku dekad lalu.

Setiausaha Persatuan Sejarah Melayu Terengganu cawangan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah menyifatkan, tragedi ombak besar itu sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak untuk mengambil insiatif awal memelihara khazanah alam yang amat berharga agar tidak terus musnah sehingga boleh menjejaskan ekosistem, budaya serta tidak mustahil memberi kesan kepada ekonomi masyarakat tempatan.

Katanya, dalam konteks warisan, keaslian pantai Teluk Lipat atau nama sejarahnya Sura Jetty sudah lenyap dari pandangan dan tidak boleh dikembalikan semula biarpun usaha untuk memulihkannya semula dilakukan.

“Biarpun jutaan kos dikeluarkan untuk membentuk semula struktur landskap Teluk Lipat yang musnah akibat hakisan ombak itu, namun ia gagal mengembalikan nostalgia asalnya yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi itu.

“Bagi mereka yang pernah menyaksikan peristiwa kegemilangan pelabuhan Sura Jetty, visual tersebut hanya satu kenangan dan sedikit sisa-sisa sejarah yang ada gagal disaksikan kerana kegagalan kita menyemalatkan warisan kita sendiri yang amat berharga ini,”katanya. -SH






Kes NFC: Ini Wayang Ke Apa? Boleh Tersenyum Girang Bila Kena Dakwa?

Datuk' didakwa menipu pengerusi NFC

Seorang ahli peniagaan didakwa bergelar "Datuk", hari ini mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Shamsulbahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibunegara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan pada 22 Disember.

Shamsulbahrin yang kelihatan ceria ketika dibawa ke mahkamah hari ini berdepan hukuman sebat, denda serta penjara antara satu hingga sepuluh tahun sekiranya didapati bersalah.

Tidak bayar jamin

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport beliau.

Ketua pengarah eksekutif Shamsulbahrin Ismail Resources Sdn Bhd itu tidak dapat membayar jaminan tersebut hari ini.

Mahkamah turut menetapkan kes berkenaan untuk disebut semula pada 31 Januari.

Tertuduh yang kini masih dalam siasatan polis – dilaporkan disiasat untuk 10 kes penipuan berasingan.

Peguam J Rao memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana aset tertuduh telah dibekukan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 pada 23 Disember.

Aset berkenaan juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 pada 27 Disember. -mk

Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu pengerusi NFC

Datuk Shamsubahrin Ismail keluar dari mahkamah sambil melambaikan tangan kepada media. — Foto oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” yang cuba memberi rasuah kepada pegawai kanan CCID semasa siasatan skandal Pusat Fidlot nasional (NFC) hari ini didakwa atas tuduhan menipu di Mahkamah Tinggi di sini.
Datuk Shamsubahrain Ismail dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan untuk mendapatkan perkhidmatan penasihat.

Shamsubahrin didakwa dengan dua tuduhan menipu di bawah seksyen 420 Kanun Jenayah.

Beliau dikatakan melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 20 November di sebuah restoran di Bukit Tunku dan antara 25 November dan 6 Disember di Solaris Mont Kiara, juga di Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan Shamsubahrain boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Beliau mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Shamsubahrain menyerahkan passportnya.

Kes ini akan disebut semula pada 21 Januari.

Shamsubahrain sebelum ini ditahan reman oleh polis kerana dikatakan cuba memberi rasuah kepada tiga hingga empat pegawai kanan CCID yang menyiasat skandal NFCorp.

Polis menyiasat NFCorp atas kesalahan pecah amanah berikutan dakwaan PKR bahawa syarikat itu menyalahgunakan dana jutaan ringgit yang diberikan kepada NFC.

Shamsubahrain, yang memiliki syarikat khidmat perunding dan syarikat teksi premium kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti-rasuah itu telah mengumumkan akan menyiasat dakwaan terhadap NFCorp walaupun sebelum ini mengatakan tidak akan berbuat demikian.

SPRM turut merampas sebuah komputer dan beberapa dokumen semasa melakukan serbuan di ibu pejabat NFCorp di Solaris Mont Kiara.

PKR membangkitkan perkara itu selepas projek ternakan lembu bernilai RM250 juta yang dibiayai kerajaan — diuruskan Mohamad Salleh, suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil — gagal mencapai sasaran pengeluaran dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Parti pembangkang juga turut membuat beberapa pendedahan berkaitan dengan skandal itu termasuk pembelian dua unit kondominium oleh NFC di Bangsar dan mendakwa syarikat itu menggunakan dana projek untuk perbelanjaan peribadi dan ke luar negara.

Ia juga mendakwa berlaku perpindahan wang ke syarikat yang tidak berkaitan dengan NFCorp di Singapura serta pembelian Mercedes-Benz CLS350 berharga RM534,622 dan dia lot tanah di Presint 10 Putrajaya bernilai RM3,363,507.

Pendedahan terbaru dibuat PKR Selasa lalu, menuduh sebanyak RM10 juta telah digunakan untuk pembelian seunit kondominium di Singapura untuk keluarga Shahrizat.

Shahrizat cuba mengelak daripada dituduh terlibar dengan mengatakan hanya beliau “satu-satunya isteri” pengerusi NFC dan tiada apa-apa kaitan dengan NFC.

Beliau turut berdepan dengan gesaan agar meletakkan jawatan sebagai menteri termasuk dari pemimpin Umno serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -TMI


Ulasan GB

Pendakwaan yang dilakukan ke atas "Datuk" Shamsulbahrin Ismail sungguh menimbulkan prasangka dan pelbagai spekulasi dari rakyat.

Pertama, kerana tertuduh lansung tidak menampakkan sebarang riaksi takut, cemas atau resah sewaktu dibawa ke mahkamah, sebaliknya tersenyum girang malah boleh melambai-lambai tangan kepada pihak media sekalipun tangannya bergari. Sesuatu senario yang amat jarang berlaku terhadap mana-mana kes yang seumpama. Apakah skrip yang disediakan terlupa untuk mengarahkan "datuk" berkenaan supaya berlagak seperti orang salah?

Kedua, yang disuruh siasat oleh rakyat sebelum ini ialah suami Shahrizat, iaitu pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail. Tetapi lain pula yang disiasat dan orang lain pula yang didakwa. Shamsubahrin dikatakan menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya dan didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Seolah-olah kini polis dan SPRM bertindak bagi pihak NFC dan Mohamad Salleh dengan mendakwa dan membuat tuduhan kepada Shamsubahrin.

Shamsubahrin memang sudah ada rekod penipuan. Apakah beliau kini dipergunakan untuk menjadi "kambing hitam" bagi menyelamatkan NFC dan suami Shahrizat?

Tidak mengapa. Tuhan ada. Kita serahkan kepadaNya untuk mendedahkan kebenaran dan keadilan".

Allah itu Hakim Yang seadil-adilnya. Justeru perbanyakkanlah berdoa seperti yang selalu GB nukilkan di blog ini:

Kita sebagai rakyat terbanyak hanya mampu terus berdoa kepada Allah s.w.t.

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ
وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ

1) Allahumma arinaal haqqa haqqaan, warzuqnattiba’ah,
wa arinaal bathila bathilaan, warzuqnajtinaabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً
وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathil innal bathila kaana zahuuqa

Ya Allah, masukkanlah kami dengan cara yang benar dan keluarkanlah(pula) kami dengan cara yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:


Firman Allah bermaksud,

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Kebimbangan rakyat nampak nya
semacam menjadi kenyataan

klik untuk baca





30 Dis 2011

Tindakan Jamil Khir & MAIWP Khianati Golongan Asnaf Tidak Berakhlak

Jamil Khir khianati golongan asnaf

SHAH ALAM: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dalam tempoh 48 jam terhadap tindakannya yang didakwa menyeleweng wang zakat untuk kepentingan diri.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad dalam sidang media berkata Jamil menghina hukum Islam apabila menyalah guna kuasa dan mengkhianati golongan asnaf yang lapan dengan membiayai kos guaman untuk kepentingan peribadi.

Maka beliau mendesak Jamil yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam memohon maaf dan sekiranya gagal, mereka akan membawa isu tersebut untuk perkenan Yang Dipertuan Agong.

“Tindakan beliau (Jamil) tidak berakhlak termasuklah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain yang menggunakan wang zakat untuk kepentingan diri.

“Jingga 13 meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci penyalahgunaan kuasa dilakukan Menteri serta dua individu lain tanpa prejudis.

“Jamil bukan sahaja tidak layak menjadi Menteri manguruskan hal ehwal agama tetapi wajar meletakkan jawatan andai beliau seorang yang berakhlak dan bermaruah. Ini termasuk Che Mat dan Shamsuddin,” katanya selepas membuat laporan penyelewengan tersebut di pejabat SPRM di sini pagi tadi.

Semalam FMT melaporkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Muhammad Yamin Ismail menyatakan pembiayaan kos guaman Jamil Khir dan dua lagi pegawai kanan agensi itu dalam menghadapi kes permohonan qazaf
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

Sebelum ini Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. -FMT

Zakat: Jingga 13 mahu Agong pecat Jamil Khir jika tidak minta maaf

SHAH ALAM, 30 Dis — Gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 hari ini akan meminta Yang di-Pertuan Agong memecat Datuk Seri Jamil Khir Baharom dari pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Setiausaha Jingga 13 Saifuddin Shafi Muhammad memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

“Jika beliau (Jamil Khir, gambar) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di sini.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumour mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut laporan itu, Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain telah menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu juga mengesahkan wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

PKR memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam MAIWP berkata peruntukan khas telah disediakan untuk membiayai kos guaman. -TMI



Kes Ujian Dara: Samira Bongkar Rahsia Tentera Mesir

Kaherah: Seorang wanita Mesir yang menuduh tentera mencabul kehormatan tahanan wanita di penjara kini dianggap 'hero' kaum Hawa di negaranya selepas mahkamah mengarahkan tentera menghentikan amalan itu yang dilabel 'ujian kononnya untuk menentukan seseorang masih dara atau tidak.'

Kes itu difailkan Samira Ibrahim (gambar), 25, yang mendakwa dipaksa tentera untuk menjalani ujian itu pada 9 Mac lalu selepas dia ditahan semasa menyertai protes di Dataran Tahrir.

“Kes ini adalah untuk semua wanita Mesir, bukan saja saja. Saya rasa amat kecewa. Saya dicederakan dan tidak menyangka askar boleh bertindak begitu. Satu perkara yang diberitahu ayah saya ialah hanya undang-undang akan membantu kamu,” katanya.

Pengurus pemasaran itu mendakwa menerusi video YouTube dikenakan kejutan elektrik atas tuduhan menjadi pelacur. Dia diarah menanggalkan pakaian di depan askar dan diperiksa oleh lelaki di hadapan sekumpulan anggota tentera yang mentertawakannya.

Doktor tentera yang menjalankan ujian itu kini berdepan dengan perbicaraan pada 3 Januari depan di mahkamah tentera, menurut stesen televisyen kerajaan.
Jeneral yang memerintah menafikan anggota tentera menjalankan ujian itu dan tidak meminta maaf.

Ketua perundangan tentera, Jeneral Adel el-Mursi, berkata penghakiman itu tidak boleh dilaksanakan kerana tentera tidak menjalankan ujian dara secara paksa, menurut laporan agensi berita MENA.

Seorang lagi jeneral yang enggan disiarkan namanya dipetik sebagai berkata ujian itu dijalankan hanya untuk melindungi tentera daripada tuduhan merogol.

Minggu lalu, tentera mengumumkan penyiasatan terhadap insiden itu. Organisasi hak asasi manusia pula percaya, banyak lagi ujian seumpama itu dilakukan askar.

“Mahkamah mengarahkan pelaksanaan prosedur ujian dara terhadap gadis dalam tahanan tentera dihentikan,” kata hakim Mahkamah Pentadbiran Kaherah, Aly Fekry sambil disambut tepukan gemuruh orang awam yang mendengar keputusan itu.

Samira adalah seorang daripada tujuh wanita yang mendakwa mereka diarah menjalani ujian itu selepas ditahan tentera.

Pengurusan jeneral ketenteraan dalam kerajaan peralihan negara itu mengundang kritikan hebat daripada aktivis hak asasi tetapi laporan layanan buruk wanita di tangan askar ketika ditahan meningkatkan kemarahan rakyat Mesir.

Antara contoh kekerasan terhadap wanita berlaku baru-baru ini apabila tentera dirakam menarik rambut seorang wanita tidak bersenjata, memukulnya hingga menyebabkan colinya kelihatan. – Reuters/Agensi

Rumah Terbakar Di Besut - Empat Lari Bertempiaran

Empat lari bertempiaran

BESUT - Empat bersaudara bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila sebuah rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian ketika hari hujan di Kampung Lak Lok Dalam dekat Alor Selising, Jertih, di sini semalam.

Mangsa, Siti Hasmah Taji Mohamad, 25, berkata, kejadian jam 7.30 pagi semalam itu berlaku ketika dia bersama seorang anak saudara dan dua sepupunya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan di dalam rumah terbabit.

Menurutnya, dia terhidu bau hangit seperti sesuatu terbakar di bahagian dapur rumah dan selepas diperiksa mendapati penjuru dapur yang menempatkan ruang yang ditutup dengan almari telah terbakar.

“Sebaik menyedari kejadian itu saya terus mengejutkan anak saudara saya, Aqil Qayyim Ramadan Azwan, 4, dan dua sepupu Syazaliani Shamsuddin, 15 serta Mohd Said Ismail, 21, yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.

“Kami keluar sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting,” katanya.

Siti Hasmah berkata, ketika kejadian dua sepupunya tidur di rumah berkenaan untuk menemaninya kerana ibunya, Siti Mariam Ab Fatah, 55, tidak ada di rumah kerana melawat saudara yang sakit di Bachok, Kelantan.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan sebuah motosikal milik bapanya yang bekerja di Kuala Lumpur musnah, termasuk beberapa set pelamin milik kakaknya untuk disewakan.

Siti Mariam berkata, dia redha dengan kejadian itu walaupun rumahnya musnah, kerana yang paling penting nyawa anak, cucu dan anak saudaranya yang berada di dalam rumah itu selamat.

Dia menganggarkan kerugian yang dialami melebihi RM100,000.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Zuzuki Safei, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.39 pagi lalu menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.

Kata beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 10 minit selepas bomba tiba di tempat kejadian dan 90 peratus rumah kayu itu musnah.

“Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan antaranya sumba­ngan­ Ahli Parlimen Besut dan Adun Jertih melalui wakilnya. -SH

Isu Hakim Memplagiat: Tindakan Ketua Hakim Negara Memalukan!

Aduan dakwaan hakim plagiat penghakiman ditolak

Siasatan yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara mendapati dakwaan peguam Karpal Singh bahawa seorang hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada 2000 tidak mempunyai merit.

Berikutan itu, aduan tersebut ditolak, kata pegawai khas 1 kepada Ketua Hakim Negara, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Dalam satu kenyatannya hari ini, beliau berkata Karpal telah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu melalui surat dari pejabat Ketua Hakim Negara.

Menurut Che Wan Zaidi, Ketua Hakim Negara telah menerima satu surat aduan bertarikh 29 September 2011 dari Karpal yang mendakwa seorang Hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada tahun 2000.

"Satu siasatan telah dijalankan oleh YAA Ketua Hakim Negara.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan dan setelah berbincang dengan Presiden Mahkamah Rayuan menurut Seksyen 13 (1) Kod Etika Hakim 2009, YAA Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa dakwaan plagiarisma oleh Hakim Mahkamah Rayuan seperti yang dibangkitkan oleh YB Encik Karpal Singh adalah tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

"YB Encik Karpal Singh telah juga dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini melalui surat daripada Pejabat Ketua Hakim Negara.," tambahnya.

Sebelum ini, Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku. -mk

Ulasan GB

Tindakan Ketua Hakim Negara yang menolak aduan karpal Singh mengenai seorang hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada 2000 tidak mempunyai merit amat memalukan negara.

Ketua Hakim Negara jelas cuba menutup perbuatan salahlaku hakim berkenaan.

Apabila Ketua Hakim Negara sendiri gagal untuk menjalankan keadilan di dalam institusi kehakiman, apa lagi yang boleh kita harapkan dari para hakim yang ada?

Hukum Kebenaran dan keadilan akan tetap berlaku dimana di satu hari Ketua Hakim negara itulah nanti yang akan diminta meletakkan jawatannya kerana kegagalan mengenakkan kebenaran dan keadilan.

GB sudah mengulas sebelum ini. Petikan:

Ini satu jenayah serius. Bagaimana boleh seorang hakim bertindak memplagiat keputusan hakim lain dari negara lain di dalam mengadili kes yang dia sepatutnya melakukan pengadilan secara serius di dalam menegakkan kebenaran dan keadilan?

Lebih memalukan ialah beliau adalah seorang hakim di Mahkamah Rayuan.

Apakah ini standard dan darjat hakim-hakim yang ada di Istana Keadilan negara?

Seorang pelajar pun jika ditangkap memplagiat hasil kerja orang lain, belaiu akan diberikan markah kosong, malah tindakan disiplin diambil menghlangnya menduduki peperiksaan / menyerah tugasan untuk beberapa tahun. Inikan pula seorang "hakim". Binatang punya manusia!

Dahulu pernah Suruhanjaya Diraja Siasatan Kes Lingam, seorang hakim bernama Mokhtar Sidin yang bersikap durjana menggunakan sepenuhnya apa yang ditulis oleh peguam VK Lingam dalam penghakiman rasmi hakim berkenaan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Anugerah Ilahi: Kisah Seorang Nenek Matanya Buta Tetapi Hatinya Celik

Besut: Seorang wanita cacat penglihatan, Mek Long Salim, 79, layak digelar ‘warga emas super’ apabila masih mampu melakukan rutin harian tanpa mengharapkan bantuan.

Warga emas itu bukan saja mampu memasak, membasuh dan mengemas rumah, malah boleh melakukan kerja berat yang tidak terdaya dilakukan orang celik seperti memanjat pokok kelapa.

Keistimewaan Mek Long itu menjadikannya kebanggaan penduduk yang menganggapnya wanita luar biasa.

Mek Long yang tinggal bersama suami ketiga, Hassan Awang, 69, di Kampung La, Hulu Besut, di sini, berkata, dia tidak memiliki rahsia atau mengamalkan petua, sebaliknya menganggap ia anugerah Allah.

“Kita kena kuat semangat dan rajin usaha. Seumur hidup, saya tak pernah minta bantuan orang. Saya bersyukur Allah beri saya hati yang terang.

“Sejak muda hingga sekarang, saya buat kerja termasuk jual sayur dan pucuk paku di Pasar Jertih, berkebun dan cari kayu api di hutan. Semuanya buat sendiri.

“Cuma sejak diserang asma, saya tak buat kerja itu lagi dan banyak berehat di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

KEMAS...Mek Long mengemas rumah sambil ditemani Hassan.

Mek Long yang menghidap asma sejak tujuh bulan lalu berkata, walaupun tidak boleh melihat, namun dia boleh membezakan antara siang dan malam, malah mengetahui tiba waktu solat hanya berpandukan suara ayam berkokok.

“Biasanya jika masuk waktu Subuh, ayam berkokok sekali manakala jika waktu Zuhur, ayam berkokok dua kali berturut-turut.

“Jika waktu Asar pula, ayam berkokok tiga kali berturut-turut. Jika waktu Maghrib, ayam berkokok di bawah rumah,”
katanya.

Sementara itu, adik Mek Long, Azizah Salim, 66, berkata, dia bangga mempunyai kakak luar biasa dan menganggap semua itu anugerah Allah yang tidak ternilai.

“Hati dia terang walaupun tidak nampak, tetapi kehidupannya sama seperti orang celik. Tidak hairan kerana apa yang berlaku kuasa Allah,” katanya.

Azizah yang tinggal bersebelahan rumah Mek Long berkata, kakaknya itu tidak pernah meminta bantuannya, sebaliknya melakukan semua kerja sendiri termasuk menguruskan keperluan suami yang juga buta.

“Tanggungjawab terhadap suami dilakukannya sama seperti wanita celik lain. Dia bukan saja memasak, mencuci atau mengemas rumah, tetapi boleh membeli barangan keperluan harian sendiri.

“Orang kampung sudah biasa dengannya, tetapi kalau orang tak biasa tengok, mesti ingat dia celik. Dia berjalan laju, tak macam orang buta.

“Jika terlajak lorong rumah penduduk kampung yang dia nak pergi, dia akan berhenti dua atau tiga saat dan berpatah semula sebelum masuk ke lorong rumah berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, kakaknya seorang yang kuat bekerja dan tidak pernah mengabaikan solat sejak kanak-kanak hingga sekarang selain penyabar.

“Walaupun tidak nampak tetapi boleh membezakan antara malam dengan siang.

“Pernah ketika bersembang bersama jiran, tiba-tiba dia memberitahu kami ketika itu sudah masuk waktu sembahyang sama ada Zuhur, Asar atau Maghrib. Biasanya selepas dia kata begitu, selang beberapa minit kemudian azan berkumandang
.

“Pernah juga pada Ramadan, dia mengejutkan saya untuk bersahur,” katanya.

Azizah berkata, Mek Long ketika kanak-kanak seorang yang celik, tetapi penglihatannya kabur sedikit demi sedikit sebaik memasuki zaman remaja.

Katanya, penglihatan wanita berkenaan hilang sepenuhnya selepas beberapa bulan berkahwin dengan lelaki celik dari kampung sama ketika berusia 27 tahun.

“Masa baru kahwin, dia ‘buta ayam’ tetapi beberapa bulan selepas itu terus tidak nampak,” katanya.

Azizah berkata, Mek Long dan suami mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 seorang bagi menampung kehidupan mereka.

“Sejak sakit, saya bimbang terjadi apa-apa kepadanya dan sentiasa berdoa semoga Allah melindunginya dan suami,” katanya. -hm

Ulasan GB

Itu kisah seorang yang zahirnya buta tapi hatinya celik.

Ia pengajaran kepada kita - yang ramai diantara kita zahirnya celik tapi hatinya buta.

Nenek itu tahu masuknya waktu solat berpandukan kokok ayam sekian lama. Bagaimana pula dengan kita yang ramai ini yang mempunyai jam di dinding, di tangan tetapi seringkali melewatkan waktu untuk mendirikan solat?

Jika nenek yang buta itu tahu mensyukuri rahmat Allah, bagaimana kita yang celik ini, adapakah kita mensyukuri sangat-sangat kerana tidak buta, atau hati kita telah buta kerana tidak mengingati Tuhan yang telah menganugerahkan kita sekalian banyak kenikmatan?

Marilah sama-sama kita hayati:




Bapa Rantai Dua Anak Dalam Tandas Direman

Butterworth: Dua beradik diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang tergamak mengikat kaki mereka dengan rantai besi, mengurung mereka dalam tandas selama lebih lima jam dan membiarkan mereka kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Mawar, Raja Uda, di sini, semalam, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengikat kaki kiri anak perempuannya berusia enam tahun serta anak lelakinya berusia dua tahun ketika hendak keluar bekerja kira-kira jam 3 petang.

Suspek yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa anaknya nakal dan tiada siapa hendak menjaga mereka ketika dia keluar bekerja.

Suspek dikatakan sudah berpisah dengan isterinya yang dipercayai warga Thailand yang bertindak keluar rumah sejak sebulan lalu.

Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Suspek yang pulang ketika dua kanak-kanak itu diselamatkan, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata kejadian itu disedari jiran yang terdengar jeritan kanak-kanak terbabit meminta tolong supaya dilepaskan.

"Jiran terbabit terus menghubungi polis kira-kira jam 8 malam dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian bersama-sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelamatkan dua beradik itu," katanya. -BH



Rantai 2 anak di tandas

KEJAM...dua beradik dirantai di dalam tandas rumah mereka.

BUTTERWORTH: Hanya kerana dua anaknya dikatakan nakal dan tiada orang menjaga mereka, seorang bapa bertindak kejam apabila mengurung kedua-dua kanak-kanak itu di dalam tandas dalam keadaan kaki mereka dirantai di sebuah rumah di Taman Mawar, Raja Uda dekat sini, kelmarin.

Mujur penderitaan dua beradik, lelaki berusia dua tahun dan perempuan enam tahun, tidak lama apabila jeritan meminta tolong mereka disedari jiran sebelum kedua-duanya diselamatkan pada jam 8 malam selepas kira-kira lima jam dikurung.

DIREMAN...bapa dua beradik terbabit yang direman empat hari.

Difahamkan, bapa mereka yang berusia 40-an, keluar bekerja pada jam 3 petang, namun sebelum meninggalkan rumah dia mengurung dua beradik itu di dalam tandas rumah mereka yang kotor serta busuk, malah kaki kanak-kanak itu turut diikat menggunakan rantai besi.

Disebabkan lapar, kesakitan serta tidak tahan dengan persekitaran yang kurang selesa selepas lima jam dikurung, dua beradik itu menjerit meminta tolong dan bernasib baik apabila jeritan mereka didengari jiran. -HM