27 Feb 2014

Saman RM2 Juta - Siapa Yang Sudah Sabotaj Ust Hadi Dan Soal Kompetensi Peguam PAS


Penghakiman ingkar: Juham jawab fitnah peguam cuai

Sejak meletusnya isu Penghakiman Ingkar Kehadiran yang dimasukkan ke atas Presiden PAS yang dikasihi beberapa hari lalu, JUHAM ingin melahirkan rasa kehairanan apabila secara tiba-tiba muncul begitu ramai ‘peguam’, ‘pendakwaraya’ dan juga ‘hakim’ di kalangan ahli dan pemimpin PAS.

Lebih membimbangkan, wujud satu fenomena ‘menjatuhkan hukuman’ kepada para peguam PAS terutamanya Tuan Haji Asmuni Awi kerana kononnya peguam telah cuai, leka, tidak kompeten bahkan sampai ke tahap peguam dituduh mensabotaj Presiden PAS hingga Penghakiman Ingkar tersebut dimasukkan.

Walaupun kami amat kecewa dengan fitnah jahat yang amat tidak berasas ini, namun kami memahami bahawa mereka yang terlibat menyebarkannnya atau yang terkeliru dengan pelbagai fitnah yang sedang berlegar saat ini adalah di kalangan orang awam (layman) yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan dengan fakta sebenar yang terjadi di dalam kes ini. Mereka juga nampaknya sangat tidak memahami prosedur undang-undang yang digunakan di dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah. Oleh yang demikian, kami bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan sebenar supaya tidak lagi timbul sebarang fitnah yang akan memburukkan lagi keadaan.

Penjelasan teknikal berhubung dengan apakah dia Penghakiman Ingkar Kehadiran dan prosedur asas di dalam sesuatu saman sivil yang difailkan di mahkamah telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar di dalam tulisan saya sebelum ini bertajuk ‘JID for Dummies.’ Pada kali ini, saya hanya ingin mendedahkan fakta ringkas yang berlaku di sebalik Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini (Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Guaman Sivil No. 22NCVC-39-12/2013 di antara Mohd Shamsul bin Mat Amin v. Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang) yang dikatakan tidak pernah diterima oleh pihak Presiden PAS sendiri mahupun peguam kepada beliau iaitu Tuan Haji Asmuni Awi hingga membawa kepada kegagalan memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam tempoh masa yang ditetapkan yang akhirnya mengakibatkan Plaintif memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran ke atas Presiden PAS.

Untuk makluman, pihak JUHAM telah memperolehi salinan dokumen (iaitu Afidavit Penyampaian) yang difailkan di mahkamah oleh peguam Plaintif dimana Plaintif mendakwa bahawa mereka telah menyerahkan saman tersebut kepada pihak Defendan melaui pos berdaftar akuan terima (pos AR berdaftar). Afidavit Penyampaian ini walaupun ianya merupakakan dokumen yang difailkan di mahkamah, tetapi ianya adalah dokumen umum yang diperolehi melalui carian yang dijalankan di kaunter pendaftaran mahkamah.

Di dalam afidavit tersebut yang bertarikh 11 Februari 2014, Plaintif telah melampirkan sama dokumen berikut iaitu:

1) sesalinan Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini,
2) surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Presiden PAS bagi tujuan menyerahkan Writ Saman tersebut; dan
3) Kad AR pejabat pos yang mengandungi nama dan tandantangan pihak yang menghantar dan menerima Writ Saman tersebut beserta dengan tarikh penghantaran dan tarikh penerimaan.

Di dalam surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Defendan bagi tujuan penyerahan Writ Saman bagi kes ini, tertera di dalam surat tersebut bahawa peguam Plaintif telah menyerahkan saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Pusat Khidmat Parlimen Marang, Bangunan PAS Marang (depan Masjid Rusila), 21080 Kuala Terengganu. Alamat penerima yang tertera di dalam surat ini jelas membuktikan bahawa peguam Plaintif tidak menghantar Writ Saman tersebut ke pejabat peguam Haji Asmuni Awi yang terletak di Ipoh, Perak. Maka, adalah tidak wajar sama sekali untuk menyalahkan Tuan Haji Asmuni Awi di atas penghakiman ingkar yang dimasukkan ke atas Presiden PAS tersebut.

Manakala berdasarkan kepada kad AR yang disertakan bersama dengan surat dan Writ Saman tersebut bagi tujuan merekodkan bukti penghantaran dan penerimaan, surat bersama Writ Saman tersebut telah diposkan oleh Peguam Plaintif pada 9 Januari 2014. Kad AR yang sama seterusnya menunjukkan bahawa Writ Saman tersebut telah diterima pada 16 Januari 2014 di alamat Presiden PAS sebagaimana yang tertera di dalam surat iringan tersebut. Bahkan terdapat cop Pejabat Pos Marang di atas Kad AR tersebut sebagai menunjukkan bahawa kiriman Writ Saman tersebut telah sampai ke Marang dan diproses oleh Pejabat Pos Marang sebelum diserahkan ke alamat Presiden PAS di Marang.

Di dalam Kad AR yang sama juga tertera tandatangan dan nama seseorang yang menerima serahan Writ Saman tersebut bagi pihak Presiden PAS. Walau bagaimanapun, JUHAM tidak boleh mendedahkan nama individu yang tertera di kad AR tersebut bagi mengelakkan sebarang unsur subjudis terhadap kes. Pihak Plaintif seterusnya telah menggunakan AR kad ini sebagai bukti yang diterima oleh mahkamah bagi menyokong hujahan mereka bahawa saman tersebut telah berjaya disampaikan dengan teratur kepada pihak Presiden PAS.

Pihak JUHAM bagaimanapun tidak dapat mengesahkan siapakah dia individu yang menerima AR kad tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri telah menjelaskan bahawa pejabat Presiden PAS langsung tidak dapat menemui atau mengesan Writ Saman yang dikatakan telah disampaikan pada 16 Januari 2014.
-dimerahkan oleh GB.

Dalam hal ini, memandangkan writ saman ini tidak diserahkan oleh Peguam Plaintif kepada Tuan Haji Asmuni selaku peguam kepada Presiden PAS dan pada masa yang sama Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri mengesahkan bahawa Pejabat Presiden PAS juga tidak dapat mengesan Writ Saman tersebut, di mana asas dan logiknya Tuan Haji Asmuni dituduh sebagai leka dan lembap sedangkan beliau, sama seperti Presiden PAS dan juga Setiausaha Politik Presiden PAS, tidak mengetahui akan wujudnya Writ Saman tersebut?

Saya dimaklumkan bahawa pejabat Haji Asmuni hanya memperolehi salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014. Merujuk kepada fakta ini, ada cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa memandangkan Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 17 Februari 2014 tersebut direkodkan di mahkamah pada tarikh Pengurusan Kes yang diadakan 23 Februari 2014 , maka ianya jelas kecuaian di pihak Haji Asmuni memandangkan Haji Asmuni telah menerima Writ Saman tersebut terlebih awal iaitu pada 11 Februari 2014. JUHAM ingin menegaskan bahawa pandangan ini jelas adalah salah dan tidak mengikut undang-undang.

Suka saya menjelaskan bahawa pada ketika Haji Asmuni menerima salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014, ianya sudah melewati had masa 14 hari bagi Defendan memfailkan Memorandum Kehadiran yang dikira bermula dari tarikh 16 Januari 2014 iaitu tarikh penerimaan Writ Saman secara rasmi sebagaiman yang direkodkan di dalam Kad AR yang dilampirkan di dalam affidavit Plaintif. Dari segi undang-undang terutamanya peruntukan-peruntukan di dalam Rules of Court 2012, selepas dari tamatnya tempoh 14 hari tersebut, Plaintif berhak untuk memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran. Pada saat ini tiada apa yang boleh dilakukan Defendan meskipun Defendan menghantar satu ‘batalion’ peguam sekalipun ke mahkamah pada tarikh 23 Februari 2014 yang lalu untuk menyekat penghakiman ingkar tersebut. Pilihan yang ada bagi Defendan sekarang ialah memfailkan Notis Permohonan untuk mengketepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut sebagaimana yang telah saya jelaskan di dalam tulisan bertajuk ‘JID for Dummies’ yang lalu. JUHAM dari awal lagi memberikan komitmen untuk mengerahkan segala kekuatan yang ada untuk membantu membela Presiden PAS di dalam kes ini.

Satu lagi cerita dongeng yang disebarkan ialah kononnya Penghakiman Ingkar tersebut yang memerintahkan Presiden PAS untuk membayar gantirugi sebanyak RM2 juta kepada Plaintif bakal mengakibatkan Presiden PAS hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN dan akan menyebabkan berlangsung pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Pandangan sebegini juga adalah salah, penuh dengan imaginasi serta berbahaya kerana mereka ini tidak dapat membezakan di antara kes sivil dan kes jenayah. Kes saman yang dihadapi Presiden PAS ialah kes sivil. Ianya bukan kes jenayah yang membawa pelbagai hukuman seperti hukuman gantung, penjara, sebat atau denda. Berdasarkan Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, antara perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen ialah apabila dia disabitkan dengan satu kesalahan jenayah yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan denda tidak kurang dari RM2 ribu ringgit. Di sini jelas, kes saman sivil yang membabitkan Presiden PAS atau mana-mana Ahli Parlimen sekalipun tidak akan menjejaskan status mereka selaku Ahli Parlimen.

JUHAM juga ingin memberikan respon terhadap tulisan terbaru Ustaz Zaharudin Muhammad bertarikh 26 Februari 2014 di laman facebook beliau yang menyatakan bahawa, “Semua akan lupa bertanya siapa yg letakkan alamat pejabat marang yang sepatutnya ialah alamat firma guaman terbabit? Apa lawyer yang telah diberikan amanah lakukan selepas mendapat mandat menguruskan kes? Bukankah surat pertama kes ini diserahkan tidak lama selepas ianya diterima?”

Sebagai jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Ustaz Zaharudin Muhamad, beliau perlu terlebih dahulu memahami apakah yang dimaksudkan dengan “Plaintif”, “Saman” dan apakah yang dimaksudkan dengan “Defendan”. Di dalam kes ini, yang menyaman adalah Plaintif dan Defendan di dalam kes ini ialah Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mana-mana saman bagi kes sivil, Plaintif bebas untuk meletakkan mana-mana alamat Defendan yang difikirkan sesuai bagi Plaintif. Dari segi undang-undang, Defendan tidak mempunyai kuasa untuk meminda alamat Defendan di dalam Saman yang difailkan oleh Plaintif. Meskipun sebelum dari Writ Saman ini difailkan lagi Hj Asmuni telah memaklumkan secara bertulis kepada peguamcara Defendan memohon agar sebarang Writ Saman yang difailkan dapat diserahkan kepada Haji Asmuni sendiri, namun adalah di luar bidang kuasa Peguam Defendan sekiranya pihak Plaintif tetap ingin menyerahkan Saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Marang. Justeru, Hj Asmuni sebagai Peguam Defendan langsung tidak boleh dipersalahkan apabila pihak Plaintif meletakkan alamat Defendan di Marang kerana ia adalah hak sepenuhnya di pihak Plaintif.

Sebagai kesimpulan, JUHAM berharap agar pihak-pihak tertentu yang sedang giat menabur fitnah dan menyebarkan cerita-cerita palsu berkaitan kes ini supaya berhenti dari melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini. JUHAM amat kesal dengan situasi yang berlaku ini yang seolah-olah meletakkan hukuman kepada seluruh jentera Peguam PAS yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membela PAS serta pimpinan dan ahli-ahlinya. JUHAM khuatir situasi sebegini akan mengundang gelak-ketawa pihak musuh di luar sana.

Dalam hal ini, JUHAM bersedia untuk bersemuka dengan siapa sahaja yang inginkan penjelasan JUHAM berkaitan perkara ini. Moga segala kekalutan dapat dijernihkan dan kita semua dapat menumpukan kepada agenda perjuangan yang lebih besar.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS Malaysia. -HD

PAS fail permohonan ketepi penghakiman ingkar RM2 juta


KUALA LUMPUR: Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS akan memfaikan permohonan untuk mengenepikan perintah penghakiman ingkar terhadap Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secepat mungkin.

Permohonan itu dijangka difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 Februari lalu mengarahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar saman RM2,000,000 dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.

Ini berikutan kegagalan Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.

Setiausaha Luham, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan mengambil langkah wajar untuk membatalkan penghakiman tersebut .

"Merujuk kepada perkara tersebut pihak Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Pas Pusat akan mengambil tindakan sewajarnya pada hari esok (hari ini) untuk suatu proses membatalkan penghakiman tersebut," kata beliau.

Sementara itu, Peguam PAS, Asmuni Awi berkata, pihaknya yakin perintah tersebut boleh diketepikan.

"Kita menerima perintah itu hari ini (semalam) dan kita akan failkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu esok (hari ini) juga.


"Saya yakin perintah ini boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes ini," kata Asmuni kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu satu sidang media akan dibuat oleh Asmuni pada jam 3 petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu berkait kes itu.
-HD (24 FEB 2014)bahagian yang dimerahkan oleh GB.


ULASAN GB

Menarik. Kerana ia mendedahkan satu hal yang sebelum ini tersembunyi. Ia itu:

Di dalam Kad AR yang sama juga tertera tandatangan dan nama seseorang yang menerima serahan Writ Saman tersebut bagi pihak Presiden PAS. Walau bagaimanapun, JUHAM tidak boleh mendedahkan nama individu yang tertera di kad AR tersebut bagi mengelakkan sebarang unsur subjudis terhadap kes. Pihak Plaintif seterusnya telah menggunakan AR kad ini sebagai bukti yang diterima oleh mahkamah bagi menyokong hujahan mereka bahawa saman tersebut telah berjaya disampaikan dengan teratur kepada pihak Presiden PAS.

Pihak JUHAM bagaimanapun tidak dapat mengesahkan siapakah dia individu yang menerima AR kad tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri telah menjelaskan bahawa pejabat Presiden PAS langsung tidak dapat menemui atau mengesan Writ Saman yang dikatakan telah disampaikan pada 16 Januari 2014.
-dimerahkan oleh GB.


1. Siapakah sebenarnya yang telah menerima serahan Writ Saman tersebut bagi pihak Presiden PAS? Pihak JUHAM mengetahuinya tetapi tidak mendedahkan kerana dikatakan "bagi mengelakkan sebarang unsur subjudis terhadap kes".

Baik. Jika demikian halnya ini bererti tumpuan kini ialah siapa "kulprit" yang telah penyapkan writ saman tersebut sehingga ianya tidak diterima oleh defenden (TG Abdul Hadi Awang) dan kini identitinya tidak pula boleh didedahkan di atas alasan subjudis terhadap kes.

Sedangkan defenden berhak untuk mengambil tindakan terhadap kulprit itu kerana dengan sebabnya mahkamah telah menerima Penghakiman Ingkar yang dimasukkan oleh pihak plaintif?

Yang GB kesan dari kenyataan JUHAM di atas, kulprit yang menerima writ berkenaan itu bertugas di Pusat Khidmat Parlimen Marang, Bangunan PAS Marang kerana "tertera di dalam surat tersebut bahawa peguam Plaintif telah menyerahkan saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Pusat Khidmat Parlimen Marang, Bangunan PAS Marang (depan Masjid Rusila), 21080 Kuala Terengganu."

Lebih serius lagi menurut laporan malaysiakini bahawa:

Laporan itu menyebut, Vasudevan berkata Abdul Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes itu disebut di mahkamah dan tidak mengemukakan sebarang memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu. -malaysiakini


Ini bererti sudah tiga kali kes itu disebutkan di mahkamah dan defenden berserta peguamnya lansung tak tahu mengenainya!

2. Soal kompetensi peguam PAS. GB pernah mempersoalkan "professionalisme" peguam PAS. Masakan telah tiga kali disebut di mahkamah peguam PAS lansung tidak tahu menahu mengenainya dan tiada sebarang komunikasi di atas peguam defenden dengan plaintif? Ia bukan FITNAH sepertimana yang dikatakan oleh JUHAM. Malah sehingga ke hari ini, belum ada berita mengenai permohonan untuk mengenpikan Penghakiman Ingkar tersebut dilakukan sekalipun ianya sepatutnya dilakukan pada 24 Februari yang lalu sepertimana yang dijanjikan oleh LUHAM:

Permohonan itu dijangka difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.


Ini dipertegaskan oleh Asmuni Awi:

Sementara itu, Peguam PAS, Asmuni Awi berkata, pihaknya yakin perintah tersebut boleh diketepikan.

"Kita menerima perintah itu hari ini (semalam) dan kita akan failkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu esok (hari ini) juga.


Sekarang sudah 27 Februari sedangkan tarikh yang dijanjikan oleh LUHAM dan peguam PAS untuk memohon mengenepikan perintah ingkar itu ialah pada 24 Februari. Sudah 3 hari berlalu. Bukankah itu inkompetensi namanya?

Lebih buruk lagi dijanjikan juga:

Dalam pada itu satu sidang media akan dibuat oleh Asmuni pada jam 3 petang ini (24 Februari) di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu berkait kes itu


Rakan GB di Terengganu cuba untuk menghadiri sidang media berkenaan tetapi hampa, tidak ada sidang media berkenaan! Bukankah itu inkompetensi namanya, malah mungkir janji?

Dan di dalam tulisan GB yang lalu, GB tidak memfitnah tetapi berdasarkan kes-kes yang lalu, peguam PAS memang tidak kompeten.

Tiada tindakan selepas GB dedahkannya. Tetapi Allah tidak buta dan tidsak lupa. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan apabila berlaku kesilapan teknikal pada kertas undi bagi Ahli Jawatankuasa iaitu terdapat nama calon yang tiada dalam kertas undi sehingga memaksa Asmuni Awi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan!


Bukankah itu bukti yang nyata terhadap inkompetensi beliau? Bukan niat GB untuk mengaibkan sesiapa tetapi setiap inkomptensi itu sebenarnya ada "harga yang perlu dibayar" oleh ahli parti nantinya.

GB rasa lebih baik LUHAM, JUHAM dan peguam PAS menumpukan kerja dan masa untuk mempercepatkan permohonan pengepian Perintah Ingkar berkenaan daripada mempertahankan inkompetensi mereka dan menuduh ia sebagai fitnah. Ia bukan fitnah tetapi KEBENARAN!

Ketiga, seorang Naib Presiden PAS menegur bahawa sepatutnya kita perlu mengesahkan terlebih dahulu maklumat yang diperolehi sebelum mengulas sesuatu isu. Bagus saranan itu, tetapi isu itu telah meletup dan pihak musuh telah menggunakan isu berkenaan untuk mengdiskreditkan parti. Jawapan pantas perlu diberikan. Blogger bukan reporter. Blogger mengulas mengikut pemerhatian mereka terhadap rentetan peristiwa yang berlaku. Dan bukan mudah untuk blogger mendapatkan maklumbalas atau penjelasan dari pimpinan PAS atau peguam PAS. Pengalaman GB sendiri, banyak SMS yang GB hantar kepada beberapa pimpinan-pimpinan PAS selama ini tidak berjawab menyebabkan kita malas nak berhubung dengan mereka lagi... sehinggakan kami para blogger terpaksa mengggali maklumat dengan segala kepayahan dari sumber lain sebelum isu tersebut terus merosakkan nama parti. Ialah siapa kami... itu sebab GB selalu kata PAS tak pernah menghargai jasa bloggernya tetapi kutuk lagi ada. No hal tentang itu, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa apa yang telah kami lakukan selama ini dan semuga Dia sahaja yang membalasnya sekalipun pimpinan sering lupa tentang mereka. Yang kutuk itu pun bakal terima juga balasannya. Bukankah Allah itu Maha Adil?

Keempat: GB dan ramai ahli PAS yang lain masih tidak menerima sesuatu tuduhan oleh sesiapa pun sekalipun tidak secara khusus ditujukan kepada sesiapa juga terhadap sesuatu perkara

GB serta rakan-rakan lain dalam parti telah menerima tarbiah dari Ustadz Abd Hadi sendiri bahawa kita tidak boleh menuduh jika tiada saksi:

Di antara contoh keadilan yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali karamallahu wajhah, beliau telah menahan seorang Yahudi yang membawa baju besi miliknya. Saidina Ali yang menjadi ketua negara pada masa itu tidak terus merampas baju besinya tetapi membawa Yahudi tersebut ke mahkamah Islam yang diadili oleh kadi Syuraih al-Kandi, seorang hakim yang alim, zuhud dan bersifat dengan seorang hakim Islam.

Syuraih telah membuktikan keadilan Islam yang bukan takut kepada Ali tetapi takut kepada Allah Taala. Sekiranya Syuraih takut kepada Ali tentulah beliau memenangkan Ali di dalam perbicaraan tersebut tetapi Syuraih menegakkan keadilan dengan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak. Hakim Syuraih telah meminta Saidina Ali melakukan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:

"Saksi diperlukan kepada orang yang menuduh dan sumpah bagi orang yang menafikan tuduhan".

Lalu Syuraih berkata kepada Saidina Ali: Di manakah saksi anda wahai Amirul Mukminin?

Walau pun baju besi itu haknya, Saidina Ali tidak dapat membawa saksi. Oleh itu hukum Syuraih membuat keputusan menyerahkan baju itu kepada Yahudi tersebut.
L

Apabila Yahudi itu keluar dari mahkamah membawa baju tersebut dan Saidina Ali juga berjalan keluar, selepas beberapa langkah Yahudi tersebut berpaling kepada Saidina Ali dan berkata:

"Wahai Amirul Mukminin! Ambil baju ini, sesungguhnya baju ini kepunyaan Amirul Mukminin. Saya mengambil baju ini ketika ianya terjatuh daripada Amirul Mukminin." Kemudian Yahudi itu berkata "Itulah hukum yang adil dan itulah hukum para nabi, oleh itu saya mengaku, tidak ada Tuhan kecuali Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
- TG Abdul Hadi Awang


Itu amirul-mukminin yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah, gagal di dalam kes berkenaan kerana tiada saksi, takkan Presiden PAS tidak dapat juga mengemukakan saksi terhadap wujudnya mereka yang menjual pil kuda serta calon kominis dari rakan kita di dalam Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan tuduhan? Sungguh GB tidak dapat menerimanya samasekali.

Kelima: Seruan Solat hajat untuk selamat Presiden. GB tiada masalah tentang itu. Tidak menentang tetapi bagi GB adalah terlebih baik untuk solat hajat dan memohon Allah menunjukkan kebenaran itu sebagai kebenaran dan kebatilan itu sebagai kebatilan, bukan untuk mempertahankan sesuatu yang kita masih samar mengenainya sepertimana doa yaang yang GB selalu anjurkan di blog ini:

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

Sekadar itu ulasan GB. Mungkin ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Tiada masalah bagi GB. Tetapi sebagai ahli parti yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan, sepertimana yang diperintahkan oleh Rasullah saw, kita tidak sama sekali boleh bersikap "assabiyah" (membantu kumpulanmu di atas dasar kezaliman) sekalipun mereka berjawatan paling tinggi di dalam parti. Tiada alasan untuk mempertahankan kebatilan di depan Allah swt nanti.

GB sentiasa bersama Presiden PAS, tetapi ada masanya GB tidak boleh terima apabila ianya tidak mengikuti kebenaran dan keadilan.

Presiden PAS perlu "dibebaskan" daripada dipengaruhi mana-mana individu dan kumpulan di dalam membuat keputusannya.

Pemimpin PAS dan JUHAM nak cadangkan GB dipecat dari parti kerana tak membela Presiden? Silakan!

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kita doakan situasi panas ini akan mengendur apabila kebenaran dipancarkan oleh Ilahi dan segala-galanya menjadi tenang semula demi untuk kebaikan Pakatan Rakyat umumnya dan jemaah PAS khususnya.

Wallahu 'alam bissawab.

20 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju apa yang dituliskan oleh GB sebagai pejuang islam perlu menyokong yang benar walaupun ia sangat pahit barulah orang bukan islam akan pandang islam itu ugama yang benar.

Tanpa Nama berkata...

bagus luahan GB ni.. komen yg bernas.

Tanpa Nama berkata...

tg hadi mungkin tersilap..gb pn mungkin tersilap..sbb kita manusia.tg hadi "dengar2" je..gb pn "dengar2" je cerita ni tanpa jumpa yg berkenaan..so? jgn burukkan keadaan..nak tau lbh lanjut jumpa yg sepatutnya.itu lebih baik drpd berbalas hujjah dimedia tanpa tahu ttg perkara sbnr.ahli pas jgn terlalu emosi..begitu jg gb yg mencabar utk mmecatnya...jgn emosi.saidina umar r.a pn pernah emosi waktu kewafatan nabi saw...tp ditenangkan oleh saidina abu bakr r.a dgn cara hikmah.wallahulam..

Tanpa Nama berkata...

Salam..Dear GB...please..please and please do not mislead others eventhough GB ada komen GB sendiri..u have your own followers..please jgn burukkan lagi keadaan..Let the lawyers do their work...Benda saman menyaman ini tak seburuk yang disangka..its not e issue of incompetency..saya tahu every stage kes mahkamah bcos i'm part of it...Let the 'people' do their work..they know what to do...and as outsiders pleaseeeee...jgn duk fitnah sapa-sapa..baik TGHH..baik LUHAM or JUHAM or HAKIM etc...PLEASEEEE

Unknown berkata...

anon 9:29 AM menulis:

"nak tau lbh lanjut jumpa yg sepatutnya.itu lebih baik drpd berbalas hujjah dimedia tanpa tahu ttg perkara sbnr"

Perkara ini perlu didedah dan dibahas secara terbuka, barulah perkara sebenar akan diketahui. kadangkala berjumpa "org yang sepatutnya" pun tak dapat kebenaran apabila "orang yang sepatutnya" itu menyembunyikan kebenaran.

kedua katanya ahli pas jgn terlalu emosi..begitu jg gb yg mencabar utk mmecatnya...jgn emosi.saidina umar r.a pn pernah emosi waktu kewafatan nabi saw...tp ditenangkan oleh saidina abu bakr r.a dgn cara hikmah

GB tidak mencabar, tetapi GB dituduh memfitnah. Jika demikian GB kata "Pemimpin PAS dan JUHAM nak cadangkan GB dipecat dari parti kerana tak membela Presiden? Silakan!".

Wallahu alam

Tanpa Nama berkata...

Semoga komen GB membuka minda2 kita semua..JazakAllah

Unknown berkata...

Anon 10:50 AM

Can you please tell me which part of my writings that has "mislead others"?

Yes I do understand "Let the lawyers do their work". But till date has they file the application to set aside the RM2 million judgment as promised? The promised to do it on the 24th Feb, but today is already 27th., Isn't that incompetence?

".jgn duk fitnah sapa-sapa..baik TGHH..baik LUHAM or JUHAM or HAKIM etc.

Baca semula siapa yang memfitnah siapa?

tembagasoso berkata...

terbaik lah gb

BaDiN berkata...

nak tahu apa benarkah bekas calun PKR yg dimaksudkan terlibat dgn dadah.apakah apa yg disampaikan kpd Presiden bersumberkan dari mana?Siapa pembawa berita ini juga kena siasat .Kerana Nila setitik Rosak Susu Sebelanga.Di setiap Dun2 ada ketuanya dan ketua inilah yg bertanggungjawab hingga kes tuduhan sebegini berat tak dapat diselesaikan lebih awal.Tampilkan orang yang jadi sebab kes.Dalam perkara begini Presiden serba salah,Terlajak Kereta boleh undur TAPI terlajak Kapalterbang buruk padahnya.JUHAM,Asmuni,LUHAM mesti turun kesetiap Dun terlibat,cari orang yg jadi penyebab kes,Dapatkan keterangannya adakah ianya benar apa yg diUcapkan oleh Presiden.Maruah seseorang harus dijaga.Adakah Nasi Sudah Menjadi Bubur?

Tanpa Nama berkata...

Bermula dgn "arinal'HAQQAN-HAQQA' warzuknat'tibaah"..inilah matlamat dan martabat prjlnan hidup insan apb dia ISLAMkan @ PASRAHkan @ SURRENDER kan dirinya spenuh2 sbnr2 semutlak2 sekudus2nya hanya kpd ALLAH!

Kes saman 2juta ini adalah ibarat cabang @ RANTING drp sepohon pokok yg tak mungkin berdiri klu TANPA batang yg berpaksi kpd akar-TUNJANG ,,krn akar-TUNJANG ini adalah ibarat PUNCA..PUNCA no.1 yg wajib dilihat dan diHALUSI terlebih dulu..

Klu ddlm sesebuah parti Presiden lah yg mnjd akar-TUNJANG nya..klu akar-TUNJANG nya rapuh 'anai2' dgn mudah MENGUASAInya shinggalah pohon itu roboh..

akar-TUNJANG kpd sgl 'kemelut2' yg besar pula ialah khianat dan FITNAH,,,krn khianat FITNAH adalah 'nyawa' kebanggaan IBLIS, dan sbb itu dosa FITNAH lebih besar drp mmbunuh!

Jika diHALUSI knapa kena saman?
Tidakkah wajar dan molek sblum isu pil kuda/tindih kerusi itu diwar2 kan, pndapat Nik Aziz dan Anwar disePAKATI dahulu? DAN kenapa dgn sengaja coba mngKHIANATI prjanjian?\\

Lupakah kita kpd sunnah SEMUA nabi2, bhw mrk TIDAK akan barang sesekalipun mngKHIANATI prjanjian walau kpd musuh skalipon!

Sbb itu saya ulangi kes saman 2juta ini adalah RANTING...akar iaitu akar-TUNJANG isu ini bermula sejak NIAT berUG mekar segar subur dihati Presiden parti..

Hanya kanak2 'umayyis'@ hingusan yg asyik terpegun dan 'mabuk' bermain2 dgn isu RANTING yg pasti TIADA kesudahannya..

Sebaliknya kpd insan yg bnar2 DEWASA akan peka mngHALUSI isu dan masalah2 RANTING ini dan ianya hampir tak akan wujud samaskali jk TANPA akar-TUNJANG sbg punca & mnjd PAKSInya!

"arinal'HAQQA-HAQQAN"..adalah jwpan dan hikmah-HAKIM kudus dgn kebijaksanaan yg tepat sekali.. barulah hakikat ISLAM @ PASRAH @ SURRENDER itu bnar2 maha indah disisi ALLAH..

Tanpa Nama berkata...

saya rasa ramai kenal GB melalui tulisan2nya.

GB memang penyokong TGHH tetapi ada ketikanya GB hentam TGHH cukup-cukup misalnya di dalam isu UG dulu. Kali ini pun sama. Beliau hentam TGHH kerana mudah diperalat oleh menantunya.

Teruskan GB. Kebenaran dan keadilan bersama orang yang memperjuangkannya.

Tanpa Nama berkata...

I no komen dalam hal ni cause bab undang - undang mahkamah i lemah. Tapi lu better cari spenyelesaian ASAP sebelum ini bakal jadi isu oleh Munafikun UMNO. Once jadi isu i khuatir Terengganu akan dikuasai Munafikun UMNO 2/3 kerusi pada PRU akan datang. Do something atau lu nak tunggu Munafik UMNO ambil Terengganu 2/3 kerusi.

Tanpa Nama berkata...

saya nasihat pimpinan pas dengar cakap gb. ada banyak kebenaran di dalam tulisannya.

kita berjuang di atas landasan yg benar, tetapi dicemari dengan unsur tidak sihat spt kes di terengganu ini.i saat akhir... dan watikah extra ini ditandatangani oleh presiden sendiri...huhu..

yg saya cukup pelik bgmn watikah extra boleh muncul d


p/s gb memang tegas dari dulu... teringat suaranya di gb.fm hentam ug..hahaha..

Unknown berkata...

Nyatakan lah kebenaran walau pun pahit....

Ipohmali berkata...

Kena faham.. Untuk failkan Kes untuk ketepi perintah kena dokumen lengkap.. Alasan yg digunakan berdasarkan ucapan asmuni itu bukan janji, itu komitmen peguam.. Kalau korang ikuti kes Anwar Ibrahim pun selalu akan terlewat mengailkan kes, bukan sebab peguam, tetapi keperluan dokumen dan saksi, jadi toksahlah dicati salah mcm asmuni tu janji akan hari itu juga perintah mahkamahkamah akan ketepikan tuduhan.. Kalau fail pun belum tentu perintah akan dikeluarkan hari tersebut. Jadi kalau kerja ostad.. Jadi tukang kebun, jgn berbicara mcm lebih pandai dari pakar perlembagaan.. Payah.. Maksud hari ini itu komitmen mereka.. Komitmen mereka untuk mulakan kes atau study kes. Kumpulkan dokumen kes. Mereka pun kena temu bual Tok guru serta dapatkan segala dokumen yg diterima di pejabat PAS Terengganu.

Gemuruh berkata...

Respect GB's opinion and stand on this matter. Yg tak betul perlu ditegur tak kira mereka presiden atau khalifah. Sy juga tidak dapat menerima tuduhan TGHH terhadap calon pkr tanpa mengemukakan bukti yang sah. Tidak salah merendah diri memohon maaf jika telah melakukan kesilapan.
Begitu juga dgn JUHAM, sy tidak faham kenapa begitu defensive dlm kenyataan di atas semata2 nk tunjukkan mereka tidak bersalah. Cara kerja anda blh menyerlahkan keupayaan anda dan kenyataan yg di atas hanya menyerlahkan mentaliti tidak blh ditegur yg amat tidak baik untuk jemaah!

Tanpa Nama berkata...

ada jugak di kalangan pas mangkuk spt ipohmali yang pertahankan kejumudan dan kelembapan org yg diamanahkan.... patut pun pas payanh nak menang...

Tanpa Nama berkata...

apa yg GB tuliskan kebanyakannya betul, malangnya hujjah GB dicedok dan diplagiat pula oleh golongan UG untuk menyalahkan 100% ke atas peguam.

sedangkan GB juga menegur presiden pas yg dipengaruhi oleh menantunya. bab ini pulak kumpulan UG tak mahu plagiat pula

isk isk isk

Tanpa Nama berkata...

Ini kempen serupa saja dengan kempen menjatuhkan kerajaan PR Kedah dulu tu...

Kunun nak jatuhkan Ustaz tak kompeten...

Tengok-tengok dengan kerajaan sekali tumbang!

Memanglah mana-mana parti politik kerjanya nak menjatuhkan parti lawan...

Tak terkecuali parti-parti sekutu meskipun dah ada perjanjian masing-masing cuma tunggu peluang tiba saja...

Yang paling ajaibnya bila ahli parti sendiri yang jadi agen sukarela tolong bagi jatuh itu kerajaan!

Nyatakanlah kebenaran walaupun pahit...

Mai sini cek nak habaq satu kebenaran...

Jangkaan selamanya bermaksud jangkaan...

Sejak bila pulak jangkaan bermaksud satu kepastian?

Itulah kebenaran yang cek nak habaq.

Wallaahu a'lam bissawaab.

Tanpa Nama berkata...

Anonymous February 27, 2014 at 9:54 PM...

Hang mengata dulang paku serpih...

Hang mengata orang hang yang lebih...

Awat hang tak mau komen pasai National Recon pulak?