13 Sep 2015

"Amanah" Bergema Di dalam Kongres Rakyat

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar mensasarkan pada tahun 2015 keyakinan rakyat terhadap agensi itu meningkat 70 peratus.

Beliau ketika berbahas usul pada Kongres Rakyat berkata ketika awal penubuhan SPRM keyakinan rakyat sekitar 39 peratus sahaja.

Sehingga tahun 2014 keyakinan rakyat terhadap SPRM sudah meningkat 68 peratus.

"Integriti kepimpinan itu penting, apabila pemimpin terima amanah dan melaksanakan amanah tersebut dengan baik maka segalanya akan selesai dengan sempurna.

"Penting pemisahan kuasa perlu ada dalam kita melaksanakan intergriti sebenar dalam SPRM, dengan pengasingan kuasa inilah bukan sahaja amanah tertunai tetapi setiap kes diselesaikan dengan baik," ucap beliau di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.

Ucap beliau lagi, rakyat mahu agar SPRM bebas dari campurtangan politik dalam isu-isu penguatkuasaan.

"Dalam SPRM kita ada pelbagai entiti bagi memastikan keberkesanannya, namum SPRM hanya membuat siasatan terhadap laporan.

"Pendakwaan masih lagi dibawah bidang kuasa Peguam Negara yang menentukan sama ada kes tersebut boleh didakwa ataupun tidak," ucap beliau.

Beliau menyarankan agar rakyat terus menjadi mata dan saksi kepada SPRM agar segala penyelewengan rasuah dan kuasa dapat dibendung sepenuhnya. -HD

ULASAN GB

Perkataan "Amanah" tiba-tiba bergema di dalam Kongres Rakyat anjuran PAS semalam. Zahirnya yang berucap ialah seorang bekas pegawai kerajaan namun hakikatnya ia pengajaran penting dari Tuhan. Ia adalah satu peringatan dari langit untuk semua yang menghadiri Kongres Rakyat anjjuran PAS tersebut - bahawa menurut bekas Timbalan Ketua SPRM, DS Zakaria Jaffar - "Integriti kepimpinan itu penting, apabila pemimpin terima amanah dan melaksanakan amanah tersebut dengan baik maka segalanya akan selesai dengan sempurna."

Menjadi seorang itu Islam semata-mata tidak mencukupi jika tidak ada sifat amanah! Berapa ramai pemimpin di kalangan umat Islam yang tidak amanah dengan tanggungjawabnya. Korupsi, rasuah, opportunistik, bersikap zalim walaupun ahirnya kelihatan alim dan seumpamanya - berlaku di kalangan pemimpin Islam. Berlaku di dalam parti walaupun ia menggunakan nama Islam.

Termasuk di dalam hal-hal yang tidak amanah ialah tidak melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang dituntut ke atas diri seseorang - misalnya khianat kepada janji (walaupun janji dengan bukan Islam), ponteng kerja atau tidak melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat serta ketua yang mencerai-beraikan parti walaupun dia disuruh mempersatukan.

Amanah berkait rapat dengan IMAN seperti sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

“Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah”. Riwayat Imam Ahmad

Demikian pentingnya "amanah" - kerana ia ciri orang beriman.

Orang beriman tidak celupar mulutnya, tidak mengeluarkan perkataan keji atau mencaci orang lain dalam apa keadaan sekalipun.

Islam itu di zahir yang ditampakkan melalui rupa fizikal seperti berjubah, berserban, berjanggut dan seumpamanya manakala Iman itu dari lubuk hati yang suci bersih, walaupun ada ketikanya si beriman itu tidak berjubah, tidak berserban serta tidak berjanggut. Seperti sebuah kereta, fizikalnya yang cantik tidak semestinya enjinnya baik. Ia tidak mampu untuk berfungsi sebagai kereta jika enjinnya rosak. Seroang Islam belum tentu beriman, jika hatinya masih penuh dengan sifat-sifat keduniaan - mazmumah - walaupun bibirnya basah dan bijak mengaturkata mengenai Islam.

Pada zaman Rasulullah sudah ada sekelompok orang yang mengaku Islam, tetapi tidak ada imannya. Dalam Al-Quran, Allah swt berfirman:

“Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman.” Katakanlah (olehmu Muhammad kepada mereka): “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah Islam’ kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat pada Allah dan Rasul-Nya, Dia tak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Al-Hujurat [49]:14).

Di situlah bezanya kumpulan (parti) orang Islam dengan kumpulan (parti) orang amanah!









IKLAN BERBAYAR






[BERGAMBAR] Lebih 500 Borang Parti Amanah Negara Diserahkan Di Hari Pelancaran PAN Melaka


Lebih 500 borang keahlian Parti Amanah Negara yang telah siap diisi telah diserahkan kepada Pengerusinya, Tuan Hj Mohammad bin Sabu di majlis pelancaran Parti Amanah Negara peringkat negeri Melaka di dalam satu upacara yang gilang gemilang di Hotel Mahkota Melaka pagi tadi.

Borang-borang berkenaan telah diserahkan oleh Penyelaras kawasan-kawasan Parti Amanah Negara negeri Melaka dimana Bukit Katil merupakan kawasan yang paling banyak menyerahkan borang, diikuti dengan Kota Melaka, Jasin, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Tn Hj Mohammad Sabu di dalam ucapan perasmiannya menyatakan penubuhan Parti Amanah negara merupakan wadah baharu yang komited meneruskan legasi politik Islam yang pernah ditunjukkan Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menyatakan Parti Amanah Negara meletakkan Islam itu sebagai "rahmatan lil alamin" (rahmat untuk sekalian alam).

Beliau turut menyatakan bahawa urusan pengambil-alihan Parti Pekerja-pekerja Malaysia telah diselesaikan dan beberapa pindaan seperti nama serta perlembagaan parti akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan tarikh hari pelancaran parti baharu tersebut akan diadakan pada 16 September ini di IDCC Shah Alam.

Gelombang kebangkitan rakyat yang mendokong Parti Amanah Negara, menurutnya lagi bertiup dari arah selatan tanah air dimana sokongan besar terhadap penubuhan parti baharu amat jelas di negeri-negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Pengerusi Parti Amanah Negara Melaka, Tn Hj Adly Zahari didalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa selepas dari majlis pelancaran ini, Amanah Melaka akan mengorak langkah ke hadapan termasuk mengemaskinikan jawatankuasa di peringkat negeri dimana lajnah-lajnah akan dibentuk untuk melancarkan lagi gerak kerja parti.

Majlis pelancaran Parti Amanah Melaka telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan beberapa pimpinan parti pembangkang negeri Melaka serta ngo-ngo yang telah turut hadir menyerikan majlis berkenaan. Diantara mereka yang hadir termasuklah Ketua DAP Melaka, YB Goh Leong San, YB Khoo Poay Tiong (ADUN Ayer Keroh) dan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Sim Tong Him, Pengerusi Keadilan Negeri Melaka yang juga ahli parlimen Bukit Katil, YB Shamsul Iskandar Mohd Akin dan timbalannya, Sdra Gooi Teik. Pemimpin ngo IKRAM Melaka, Sdra Zairi Suboh dan Ahmad Mohd Zainal turut hadir.


PAN jangka keanggotaan lebih 100,000 menjelang hujung tahun

Parti Amanah Negara (PAN) menjangkakan lebih 100,000 orang termasuk anggota PAS akan menyertai parti itu menjelang hujung tahun ini.

Presiden PAN Mohamad Sabu berkata sehingga kini PAN menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur daripada pelbagai pelbagai parti politik di negara ini.

"Kita mengedarkan borang keahlian PAN di seluruh negara dan menjangkakan bilangannya akan meningkat sehingga akhir tahun ini.

"Pada hari ini PAN menerima borang keahlian sebanyak 500 melibatkan penduduk Melaka termasuk anggota PAS.

"Di Johor PAN menerima 5,000 borang keahlian manakala di Kedah sebanyak 2,721 borang keahlian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PAN Melaka di Melaka, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PAN Melaka Adly Zahari dan Anggota Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka.

Mohamad berkata PAN Melaka akan bergerak sebagai sebuah parti politik bermula hari ini dan terus bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu.

Beliau berkata PAN juga bersedia bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan PAS dalam sesuatu isu sekiranya perlu.

Mengulas tentang anggota PAS iaitu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar memilih untuk yang menyertai PKR, katanya ia tidak memberi kesan kepada PAN kerana mereka masih anggota Pakatan Rakyat.

"Tidak apalah...asalkan mereka berada dalam Pakatan Rakyat..barangkali mereka ada pandangan masing-masing..saya mengalu-alukan mereka menyertai PKR," katanya.
– Bernama












IKLAN BERBAYAR