16 Jun 2015

PR Tidak Wujud Lagi, K'jaan Selangor Akan Disusunsemula Tanpa PAS (?)


Pakatan tak wujud lagi, umum DAP

DAP hari ini mengumumkan menerima keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan mereka, sekali gus membuatkan gabungan pembangkang tidak lagi wujud.

“Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS secara berkesan telah menamatkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud,” kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun itu.

Lim berkata, ketika penubuhannya, dicapai untuk mendukung prinsip muafakat dan kepercayaan bersama bersama demi membawa era baru politik yang telus dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, tambah Lim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak setahun lepas gagal patuh kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan, antaranya dalam isu krisis menteri besar Selangor.

Keadaan itu, tambah Lim, menyebabkan gabungan itu hampir lumpuh.

Perkara itu, jelas Lim diburukkan lagi dengan kesediaan Hadi membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno serta menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah-tengah kontroversi 1MDB.

Tidak terkecuali, Lim juga membangkitkan soal pelaksanaan hudud apabila pindaan enakmen Kelantan dan usaha mengemukakan rang undang-undang persendirian di parlimen tidak dibincangkan terlebih dahulu. -mk


Dengan PKR, DAP mahu cari sekutu baru

DAP memberi jaminan terus bekerjasama dengan PKR serta menteri besarnya Azmin Ali di Selangor walaupun telah mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata mereka juga akan bekerjasama dengan mana-mana pihak demi menamatkan pentadbiran Umno dan BN serta membentuk semula politik Malaysia.

“DAP akan terus bergerak ke arah gabungan baru lebih meluas dan berprinsip yang akan muncul untuk mengisi kekosongan politik yang boleh menyalakan semula harapan perubahan untuk merealisasikan impian Malaysia untuk masa depan lebih baik untuk semua,” katanya.

Lim juga berkata DAP akan menyokong kepimpinan Azmin untuk “membentuk semula” kerajaan negeri dengan gabungan berdasar manifesto Pakatan 2013 yang mendapat mandat lebih 60 peratus dalam pilihan raya umum.

Lim mengumumkan menerima keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan mereka, sekali gus membuatkan gabungan pembangkang tidak lagi wujud.

Pakatan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun itu.

DAP juga senaraikan tindak-tanduk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak sejak setahun lalu yang didakwa gagal patuh kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan.
-mk



PKR arah tutup mulut, mesyuarat malam ini

PKR mengarahkan pemimpinnya di semua peringkat menutup mulut daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Pakatan Rakyat sehingga parti itu memuktamadkan tindakan mereka.

Setiausaha agungnya Rafizi Ramli berkata biro politik PKR akan bermesyuarat malam ini di ibu pejabatnya di Petaling Jaya susulan pengumuman DAP bahawa Pakatan tidak lagi wujud.

“Pimpinan PKR di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan,” katanya.
-mk


ULASAN GB

Sebelum ini GB sudah menjangkakan hal ini akan berlaku.

Tetapi kerajaan PR Selangor akan terus dapat bertahan walaupun tanpa PAS kerana sekurang-kurangnya dua orang ADUN PAS akan menyertai kerajaan baharu PR di Selangor.

Sekarang ulama-ulama PASlah perlu dipertanggungjawabkan.

[VIDEO & GAMBAR] Mat Sabu, Terbuang Tetapi Tetap Terbilang


Mohammad Sabu, sekalipun tewas di dalam mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden di dalam pemilihan PAS baru-baru ini, BELIAU masih terus mendapat tempat di hati akar umbi apabila ceramah perdananya di Perkarangan Madrasah Atas Kubur, Kota Bharu malam tadi dihadiri oleh ramai penyokong Pakatan Rakyat.

Sekalipun hujan telah turun, namun para hadirin terus tidak berganjak.

Berbanding dengan program ceramah kumpulan pro- ulama oleh salah seorang Naib Presiden PAS di Seremaban malam kelmarin yang hanya dihadiri sekitar 20-30 orang pendengar ternyata, akar umbi dan penyokong PR masih memilih golongan progresif.

Di dalam ceramahnya malam tadi Mat Sabu telah menyentuh isu Hudud yang menurutnya PAS telah ditipu oleh UMNO dalam isu berkenaan.

Beliau mempertikaikan mengenai kebijaksanaan pimpinan PAS yang terus mempercayai UMNO untuk membentang Private Bill yang sehingga sesudah dua kali Parlimen bersidang, ia masih gagal untuk dibentangkan.

"UMNO tipu kita, betul atau tidak," soalnya dan disambut "BETULLL" oleh para hadirin.

"Kenapa pergi percaya kepada UMNO?" beliau bertanya dengan lantang dengan membuat sindiran pedas kepada golongan yang kononnya mempercayai UMNO itu ikhlas.

"(Akibatnya), Kita berpecah, usul tak naik, kita yang memikul masalah," tambahnya.

Beliau menyatakan ini bukan dipatuk ular kali kedua tapi ke lapan, dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin.

Ceramah Perdana malam tadi turut menampilkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dari PKR dan ahli Parlimen Raub, Mohd Arif Sabri dari DAP.

Mat Sabu ikrar bersama Pakatan, tolak yang mahu berbaik dengan Umno

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berikrar akan terus bersama Pakatan Rakyat (PR) dan tidak akan bersama dengan mana-mana pihak dalam parti Islam itu yang mahu membantu Umno kekal di Putrajaya. Dalam ceramah pertama beliau di Kota Baru malam tadi selepas tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam PAS, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tegas akan menolak mereka yang mahu berbaik-baik dengan Umno.

"Jangan siapa niat nak bantu Umno kekalkan Putrajaya, Abang Mat akan lawan habis-habisan kali ini... No, no, no," kata Mat Sabu disambut dengan takbir oleh orang ramai yang hadir.

Baginya, usaha menamatkan pemerintahan Umno perlu diteruskan kerana katanya parti Melayu itu tidak boleh membuat apa-apa kebaikan lagi, lebih daripada apa yang dibuat selama ini, ekoran pelbagai isu yang berbangkit sekarang.

Beliau dengan jelas menyindir sesetengah pimpinan PAS, terutama yang menang dalam pemilihan PAS baru-baru ini, kerana kelihatan mahu berbaik-baik dengan pemimpin parti tunggak dalam BN itu, yang juga sedang menghadapi masalah itu.

"Dalam suasana begini, kita nak bagi nafas kepada Umno untuk memerintah lagi... 'how can', mana boleh... Jangan bagi sambungan ajal kepada Umno dan BN," katanya.

Ucapan beliau disambut teriakan takbir dan tepukan tangan daripada orang ramai yang penuh sesak walaupun di tengah hujan renyai.

Ini kali kedua Mat Sabu memberikan ceramah selepas berbuat demikian di Lembah Pantai, ibu negara, kelmarin yang juga penuh sesak dengan orang ramai.

Malam ini, Mat Sabu akan bersama dengan rakan-rakan progresif yang kalah di Muar, Johor untuk menyertai "Perhimpunan Jasamu Dikenang" yang dianjurkan untuk mereka.

Beliau dalam ucapannya turut kesal kerana isu hudud memecahkan PAS dan juga PR padahal jelas mereka ditipu oleh Umno.

Bagi beliau, tuduhan kononnya ada pemimpin PAS yang tolak hudud tidak benar kerana yang jelas hanya cara melaksanakannya yang mempunyai perbezaan pendapat dan masih banyak yang boleh dilakukan walaupun hudud masih tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Selepas 25 tahun perintah Kelantan, macam-macam kita boleh buat. Cuti dua hari seminggu, cuti bersalin 60 hari, tubuh pajak gadai Islam, pindah akaun dari bank riba kepada bank Islam.

"Kenapa kita boleh kata tak mahu pergi ke Putrajaya kalau tidak dapat laksana hudud?" soal Mat Sabu terhadap sikap sesetengah pemimpin PAS yang melihat perjuangan parti itu hanya untuk melaksanakan hudud semata-mata.

Sekarang, katanya, terbukti apa yang dijanjikan Umno untuk membantu dalam pelaksanaan hudud adalah bohong semata-mata dan hanya bertujuan memecahkan PR.

"Kita sudah berada di ambang kuasa, ibarat naik pokok kelapa, dah sampai ke atas dan nak pulas buah kelapa saja. Tiba-tiba ada orang jolok punggung kita, itu tidak boleh lah," kata Mat Sabu menyindir pihak yang cuba memecahkan PR dan menyekatnya daripada mara ke Putrajaya.

Beliau juga membangkitkan mengenai usaha Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tergesa-gesa membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen tanpa berbincang dengan pemimpin parti lain dan PR kononnya selepas dijanjikan sokongan oleh Umno.

"Penggal dulu tak naik (usul ini), janji penggal ini pula. Sidang tinggal dua hari lagi, tak naik juga... ertinya Umno tipu kita.. Yang geramnya, kenapa kita percayakan Umno?" soal Mat Sabu penuh perasaan.
-TMI





Soladiriti Untuk Rakan Profesional, Amirudin Tolak Jawatan PJ PAS Kedah


Amirudin pula tolak jawatan pesuruhjaya PAS Kedah

Selepas Mazlan Aliman melepaskan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, seorang lagi pemimpin Datuk Amirudin Hamzah menolak jawatankuasa pesuruhjaya Kedah yang ditawarkan kepadanya.

Menurut sumber, Amirudin sudah menghantar surat memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat PAS yang beliau tidak menerima tawaran itu.

Amirudin yang juga bekas AJK PAS Pusat sejak beberapa penggal lalu turut tewas dalam pemilihan baru-baru ini apabila perwakilan hanya memilih calon dalam 'cai' kumpulan konservatif.

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan, mesyuarat pertama AJK Pusat yang baharu melantik Amirudin sebagai pesuruhjaya Kedah menggantikan Datuk Mahfuz Omar.

Amirudin mendapat perhatian apabila sedia bertanding merebut jawatan yang dipertua PAS Kuala Kedah melawan presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Namun Phahrolrazi tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang sejak sekian lama itu menyebakan Amirudin menang tanpa bertanding.

Pagi tadi, pada sidang medianya Mazlan, satu-satunya anggota kumpulan progresif yang menang, meletakkan jawatan sebagai AJK PAS Pusat yang dimenanginya dalam pemilihan baru-baru ini.

Sementara itu di Johor, mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Johor hanya berjalan dengan dihadiri 11 ahli daripada 26 kawasan di Johor.

Mesyuarat pertama itu sepatutnya dihadiri 52 ahli iaitu yang dipertua dan setiausaha kawasan di samping Pesuruhjaya Johor Datuk Dr Mahfudz Mohamad yang dilantik PAS Pusat.

Mesyuarat pada 13 Jun itu diteruskan dengan melantik dua timbalan pesuruhjaya sahaja daripada tiga yang diperuntukkan manakala pengarah pilihan raya masih belum dilantik.

ULASAN GB

Syabas kepada Datuk Ir. Amirudin Hamzah.

Satu tindakan yang menampakkan solidariti untuk rakan-rakan dari kalangan progresif yang dipermain dan disingkirkan oleh ulama-ulama PAS melalui perbuatan "cai" semasa muktamar.

Kita berharap semua rakan-rakan dari kalangan profesional/progresif akan menolak sebarang tawaran/perlantikan jawatan di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan bagi membantah "geng ulama" yang berlagak bijak dan berlagak berkuasa melalui tindakan-tindakan mereka sekalipun secara tidak berakhlak dan tidak islamik, mengaut jawatan-jawatan untuk kumpulan mereka.

Mengejutkan juga apabila di Johor diberitakan hanya 11 orang ahli dari 52 orang yang sepatutnya hadir di dalam mesyuarat BPPJ yang kini Pesuruhjayanya ialah Datok Mahfodz Mohamed, yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Ia juga menunjukkan PAS kawasan-kawasan di Johor rata-rata menolak pertukaran Pesuruhjayanya dari Tn Hj Aminolhuda Hassan kepada Datok Mahfodz.

Sementara itu di Seremban malam tadi, ceramah yang disampaikan oleh Naib presiden PAS yang baru, Ustaz Idris Ahmad bersama-sama PJ Negeri Sembilan yang barum begitu lengang dan hanya dihadiri oleh tidak sampai 20 orang pendengar.


Demikianlah, bahananya apabila kumpulan profesional "disingkirkan" umpama pembersihan etnik Rohingya oleh golongan ulama yang gila kuasa dan gila jawatan dalam parti.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Para ulama kini sedang mengkuburkan PAS dari persada pilitik tanahair!