Tuntut taat pada ketua Pemuda undang 'boo'
Perwakilan Pemuda PAS Johor membangkitkan isu walak (taat setia) yang didakwanya diamalkan secara terpilih dalam parti Islam itu.
Syafiq Aziz mempersoalkan mengapa terdapat segelintir ahli yang hanya walak kepada individu tertentu tetapi tidak kepada pemimpin sayap kanan parti itu Suhaizan Kaiat.
"Mutakhir ini timbul masalah tarbiah contohnya yang berlaku ialah walak yang terpilih. Kita tak walak pada keputusan parti tetapi kita boleh walak pada individu tertentu.
"Sebagai contoh, kita semua dalam dewan muktamar ini bersetuju untuk walak kepada presiden, tetapi kenapa dalam konteks Pemuda, kita tidak walak kepada ketua pemuda dan saf pimpinannya hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar ketua pemuda di Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Shah Alam hari ini.
Kenyataan yang dibuat Syafiq itu mendapat "boo" dari pemerhati serta perwakilan sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Tetap Dr Ridhuan Mohd Noor meminta supaya semua orang bertenang.
"Bertenang," kata Ridhuan.
Suhaizan dicabar anak ikon ulama PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sepenggal mengemudi dewan itu, beliau dilihat berdepan cabaran besar mempertahankannya kali ini susulan kebangkitan arus besar kumpulan proulama dalam PAS.
Pertikai bacaan al-Quran Suhaizan
Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Terengganu pula menegur bacaan al-Quran Suhaizan sebelum melaungkan slogan perjuangan.
"Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, fakih dan haraki yang diutarakan?" kata Raja Arizal.
Perkara sama turut dibangkitkan oleh perwakilan Selangor Mohd Zuhdi Mat Piah.
"Saya tak minat nak kritik dalam Facebook tetapi saya nak kritik di sini, di muktamar. Sepatutnya ucapan itu dibaca berkali-kali dan dirujuk dulu dengan mereka yang mahir terutamanya kalimah yang menggunakan bahasa Arab.
“Saya minta maaf dan saya tak nak ia berulang dan disebut di media sosial di luar sana. Kita sebut di sini (muktamar),” katanya. -mk
PAS: Suhaizan Kena "Boo" Beberapa Jam Sebelum Pemilihan Pemuda
Kurang 12 jam sebelum berlangsungnya proses pemilihan parti, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dilihat ‘kurang bernasib baik’ apabila di’boo’ sekumpulan lelaki, dipercayai pemerhati muktamar sayap parti itu. Respons tersebut diterima ketika penyandang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu berada di pentas bagi memberi penjelasan berhubung isu dan perkara yang dibangkitkan perwakilan melalui perbahasan di Muktamar Pemuda PAS ke-56, malam Selasa.
Suhaizan tampil selepas dijemput oleh Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan beberapa perwakilan berkaitan dirinya dan isu kepartian.
Antara yang dipersoalkan adalah sejauh mana Suhaizan, atas kapasitinya sebagai ketua sayap parti itu mengadakan perbincangan dengan DAP yang dilihat semakin lantang menentang hudud dan menyerang kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perasaan ‘kurang senang’ dengan Suhaizan dapat dilihat sebaik sahaja beliau naik ke pentas apabila kedengaran suara-suara, dipercayai pemerhati yang ditempatkan di dewan berasingan.
Keadaan masih tenang apabila Suhaizan menjawab satu demi satu persoalan, termasuk mengenai pendirian konsisten DAP berkaitan hudud.
Kemuncak ketidakpuasan hati itu ditunjukkan kumpulan tersebut apabila kedengaran dengan jelas - "boo" ketika beliau menyatakan pendirian bahawa Pemuda PAS mengangkat idea dan kepimpinan Hadi.
Tidak cukup dengan "boo", ada juga terselit suara yang melaungkan perkataan ‘penipu’, ketika beliau memberi penjelasan.
Pada pemilihan parti yang berlangsung pada pagi Rabu, Suhaizan dicabar calon yang bukan calang-calang iaitu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dilihat mempunyai pengaruh besar kepimpinan bapanya yang juga bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sebelum ini Suhaizan dilihat lebih mesra Pakatan Rakyat namun situasi itu mungkin berakhir jika Nik Abduh berjaya merampas kedudukan tersebut.
Berbanding Suhaizan, Nik Abduh lebih lantang mengkritik kepimpinan DAP dan PKR khususnya dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti Islam itu termasuk yang terbaharu berkaitan pelaksanaan hudud. -mstar
ULASAN GB
Berlaku lagi, seperti tahun lepas, segolongan Pemuda PAS dengan gelagat "memboo".
Namanya Pemuda Parti Islam SeMalaysia, kononnya mereka memperjuangkan dan mempertahankan kepimpinan ulama, tapi akhlaknya syaitan. Mengalahkan akhlak dan perangai parti lawan.
Inilah akibatnya apabila TIADA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL terhadap mereka pada muktamar yang lepas. Mustafa Ali, kamu berdiri dan jawab di padang masyar nanti mengapa kamu melakukan tindakan berpilih di dalam hal disiplin ahli dan sikap kamulah yang mengnancurkan parti.