28 Mac 2015

[VIDEO] Peniaga Ludah Air Minuman Yang Dibungkus Jadi Viral Semula


Kajang – Satu klip video yang memaparkan aksi peniaga meludah dalam bungkusan air minuman dijual hangat semula diperkatakan.

Difahamkan kejadian itu sudah lama berlaku, namun menjadi viral di laman sosial dan aplikasi WhatsApp. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil maklum perkara itu dan akan menyiasat jika terdapat aduan baru mengenainya.

Penolong Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, jika ada laporan pihaknya akan mengambil tindakan untuk siasatan selanjutnya.

Setakat ini, katanya, tiada aduan secara rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kandungan klip video itu.

“Pihak majlis akan buat semakan semula. Gerai itu tiada lesen perniagaan, selepas gelagat peniaga dirakam dan menjadi viral, gerai itu sudah hentikan operasi,” katanya.

Dalam klip video berdurasi 2.17 minit itu, peniaga minuman terbabit dirakam meludah ke dalam setiap bungkusan air minuman dijualnya tanpa sedar gerak-gerinya dirakam.

Perakam dipercayai wanita berdasarkan suara dalam rakaman klip video itu, kedengaran beristighfar sambil menyatakan lokasi sebenar gerai itu beroperasi.

Video menunjukkan peniaga itu memasukkan air gula ke dalam plastik bungkusan, mencedok air minuman dari tong dan menundukkan kepala (dipercayai meludah), sebelum mengikat bungkusan terbabit.

Menerusi klip video itu, peniaga terbabit menggunakan kanopi berwarna biru dan menjalankan perniagaan di tepi jalan.

Dalam rakaman sama, peniaga itu dilihat meludah tiga kali ke dalam tiga bungkusan air dijualnya dipercayai sebagai pelaris jualan. -SH


[TERKINI] Mat Sabu & Hishamuddin Rais Ditangkap


Polis meneruskan operasi ke atas para aktivis dan para pemimpin Pakatan Rakyat menjelang perhimpunan perhimpunan besar Kita Lawan di Kuala Lumpur.

Seorang daripadanya, aktivis sosial Hishamuddin Rais 'diculik' oleh beberapa individu yang berdekatan dengan tempat protes duduk Kita Lawan dan dibawa ke Balai Polis Daerah Dang Wangi.

Seorang lagi, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu ditahan dalam kejadian berasingan di Pulau Pinang, kata senator PKR, Syed Husin Ali.

Menurut PKR, polis turut memanggil naib presiden parti itu, Tian Chua untuk siasatan di IPD Dang Wangi.

"Beliau kemungkinan besar akan ditahan malam ini," kenyataan rasmi parti itu dipetik.

Kejadian melibatkan Hishamuddin berlaku berhampiran persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman sejurus selepas Hishamuddin turun dari teksi.

Beberapa lelaki yang menunggang motosikal menariknya dan membawanya masuk ke dalam kereta berwarna perak yang mengekori teksi tersebut.

Lebih 10 orang aktivis yang ternampak kejadian itu mengejarnya, menyebabkan kenderaan tersebut terburu-buru membuat pusingan-U.

Beberapa penunggang motosikal bertindak memanjat pembahagi jalan untuk beredar dari situ.

Selipar Hishamuddin kemudiannya ditemui berhampiran tempat kejadian.

Beberapa minit selepas kejadian berlaku, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainol Samah diminta untuk mengesahkan sama ada Hishamuddin ditangkap.

Bagaimanapun, Zainol berkata dia tidak tahu mengenai perkara itu.

Namun, para aktivis kemudiannya dapat mengesahkan bahawa Hishamuddin ditahan di IPD Dang Wangi.

Di Pulau Pinang, kejadian melibatkan Mohamad dikatakan berlaku pada kira-kira jam 11.40 malam di sebuah restoran di Sungai Dua.

Saksi, seorang MP PAS, Datuk Mujahid Yusuf Rawa berkata bedliau pada masa itu sedang minum bersama timbalan presidennya itu selepas habis bermesyuarat.

"(Mohamad ditahan) polis dari Bukit Aman lengkap dengan ski mask dan senjata lalu dibawa ke balai polis Seberang Jaya.

"Kami PAS Pulau Pinang berasa kesal dengan tindakan penangkapan ke atas pesuruhjaya kami yang juga timbalan presiden PAS," katanya dalam satu kenyataan. -mk

Sekretariat #KitaLawan Dakwa IGP Tipu Untuk Tutup Keganasan Polis


Sekretariat #KitaLawan menyifatkan Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar menipu rakyat untuk menutup keganasan yang dilakukan pihak polis terhadap peserta duduk bantah kempen itu.

Di laman twitternya, Khalid mendakwa perserta perhimpunan aman di Dataran Merdeka malam semalam bertindak ganas dan membelasah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL).

“Sekretariat #KitaLawan menafikan tuduhan liar beliau bahawa anak muda yang duduk bantah secara aman di Dataran Merdeka telah bertindak ganas terhadap penguatkuasa DBKL.

“Ini jelas membuktikan bahawa IGP menipu dan cuba menghasut rakyat di Twitter bahawa anak muda #KitaLawan bertindak ganas.

Bukti-bukti di tempat kejadian jelaslah menunjukkan bahawa anak muda yang berhimpun secara aman telah dikasari,” katanya.

Menurut sekretariatnya, terdapat bukti rakaman video di facebook yang menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas termasuk memukul peserta dan menarik mereka secara kasar.

“Rakaman video juga menunjukkan bahawa peserta telah meminta individu-individu yang tidak dikenali (dipercayai polis tidak berpakaian uniform) yang menyerbu ke arah orang ramai untuk menunjukkan kad kuasa mereka. Namun, mereka enggan berbuat demikian.

“Sebaliknya mereka bertindak ganas dengan menumbuk Chang Lih Kang, ADUN Teja serta bertindak kasar dan memukul orang ramai yang cuba melindungi Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing,” katanya.

Oleh itu katanya, IGP perlu dipecat untuk menjaga nama baik pasukan polis dan #KitaLawan akan terus memperjuangkan isu rakyat walaupun ditekan.

“Dengan pendedahan penipuan ini, IGP wajar dipecat dengan segera demi menjaga nama baik dan maruah pasukan polis.

“Kami tidak mampu untuk berdiam diri melihat harta negara terus dirompak sedangkan rakyat ditindas dan yang berkuasa terus menyalahgunakan kuasa untuk menghukum dan menyekat rakyat daripada terus bersuara.

“Kekerasan yang digunakan juga seolah-olah untuk menutup suara rakyat yang menentang pelaksanaan cukai GST. Namun ugutan dan tindakan kasar mereka tidak akan melemahkan semangat anak muda,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sekretariat itu turut mengajak semua rakyat untuk bersama hadir pada malam 27 Mac 2015 di Dataran Merdeka untuk Ceramah Rakyat Menentang GST serta himpunan #KitaLawan yang dijadualkan berlangsung 28 Mac 2015.

Susulan daripada kekecohan tersebut, 6 orang peserta telah ditangkap iaitu Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Michael Tamil AL, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang dan Yong Ming Chong. -KeadilanDaily


Polis: Peserta himpunan pukul pegawai DBKL

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata pasukannya menahan aktivis yang menyertai perhimpunan duduk bantah malam tadi selepas kejadian seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipukul.

Katanya, para pegawainya menyaksikan kejadian tersebut dan terus bertindak menahan enam orang peserta berkenaan, termasuk dua orang ADUN.

Zainol tidak menamakan mana-mana individu namun difahamkan, dua wakil rakyat itu ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang (Teja).

Zainol berkata seramai antara lima hingga 10 orang pegawai DBKL pada masa itu sedang menurunkan dan merampas kain rentang yang mengandungi slogan anti ketua polis negara, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pegawai DBKL itu dihalang dari berbuat demikian dan seorang daripada mereka dipukul oleh peserta perhimpunan sehingga salah seorang daripada pegawai itu cedera di muka, hidung dan tangan,” katanya.

Pakaian seragam pegawai berusia 45 tahun itu juga terkoyak dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, aktivis Kita Lawan bagaimanapun menuduh polis berbohong mengenai kejadian itu.

Sekretariatnya dalam satu kenyataan menafikan bahawa aktivis mereka bertindak ganas ke atas penguatkuasa DBKL itu.

"Rakaman video oleh saksi mata jelas menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas, termasuk memukul peserta dan menangani mereka dengan kasar," kenyataan itu dipetik.

Seramai enam orang individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke balai polis Jinang.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, serta Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
-mk


Rafizi Ditangkap Lagi Kerana Seru PKR Hadiri #KitaLawan


Rafizi Ramli ditangkap sekali lagi

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ditangkap di pusat perkhidmatannya di Pandan petang ini mengikut Akta Hasutan kerana satu kenyataan yang dikeluarkannya berhubung perhimpunan #KitaLawan esok.

Menurut Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil, Rafizi akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Rafizi mengeluarkan satu kenyataan semalam meminta pemimpin PKR menggerakkan ahlinya untuk perhimpunan itu yang akan diadakan di ibu negara esok.

"PKR berharap semua rakyat Malaysia yang sayangkan Malaysia akan hadir dan bersuara demi menuntut hak kita dan menentang kezaliman kerajaan persekutuan.

"Kami juga berharap pihak berkuasa tidak cuba melanggar hak kami berhimpun secara aman," katanya.

Perhimpunan esok akan bermula di 3 lokasi sekitar bandar raya diikuti dengan perarakan ke pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tujuannya menuntut pembebasan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan pada 1 April.


Perhimpunan besar #KitaLawan yang terakhir pada 7 Mac menyaksikan 11 orang ditahan, kebanyakannya pemimpin politik pembangkang.

Peguam Rafizi, Michelle Yesudas ketika dihubungi memberitahu, beliau dalam perjalanan ke balai Dang Wangi.

"Saya dalam perjalanan ke balai polis. Saya tidak dapat menghubunginya buat waktu ini," katanya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga setiausaha agung PLR itu ditangkap beberapa kali oleh polis sebelum ini berhubung beberapa insiden termasuk perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.

Beliau juga pernah ditangkap kerana mendedahkan akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya Mohd Salleh Ismail.