Saya Islam, tetapi saya tak lupa asal usul, kata bekas model Playboy
Sudah lapan bulan sejak bekas model Playboy Felixia Yeap memeluk Islam. Tindakan beliau pada masa itu menarik pelbagai reaksi daripada orang Islam dan bukan Islam, dengan beberapa pihak menuduhnya hanya mencari publisiti.
Tetapi, wanita berusia 28 tahun dari Ipoh yang kini dikenali dengan nama Islam, Raisyyah Rania Yeap atau Rara itu berkata, keputusan itu dibuat dengan niat yang suci dan baik.
Namun, sebagai seorang Islam, ia tidak menghalangnya daripada meraikan Tahun Baharu Cina dan menyertai keluarganya untuk makan besar bersama, kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Malah katanya, tahun ini beliau pertama kali menyambut kedatangan tahun baru lunar sebagai seorang Islam, membuatkannya lebih menghargai keturunan bangsanya.
Berikut sebahagian daripada temu bual dengannya di mana beliau menjelaskan mengenai pandangannya terhadap perayaan dan tradisi Tahun Baharu Cina.
TMI: Tahun Baharu Cina bukan perayaan agama tetapi lebih merupakan sambutan budaya. Apa pandangan anda mengenai perkara ini? Bagaimana anda menyambutnya dan memastikan ia tidak bercanggah dengan kepercayaan sebagai seorang Islam? Terdapat beberapa ritual yang dijalankan semasa sambutan berlangsung, bagaimana anda melihatnya?
Rara: Ya, saya bersetuju kebanyakan perayaan Tahun Baharu Cina tiada kaitan dengan agama atau kepercayaan agama, tetapi sebaliknya satu sambutan tahun baharu dalam kalendar Cina yang kekal dengan budaya Cina yang berwarna-warni.
Walaupun dahulu saya tidak mempunyai kepercayaan agama (ateis /freethinker), saya hampir tidak pernah terlibat dalam upacara berdoa atau ritual, dan saya percaya saya bukan satu-satunya yang begitu sebagaimana ia banyak dilakukan oleh orang tua pada masa kini. Oleh itu, sebagai seorang Islam kini nampaknya tidak banyak berbeza dengan keadaan di mana sebelum saya mengucapkan syahadah.
TMI: Sebagai seorang Islam apakah perkara-perkara yang anda tidak akan lakukan atau akan elakkan dalam merayakan Tahun Baharu Cina?
Rara: Saya menikmati perayaan budaya seperti yang lain, tetapi saya memastikan ia tidak bercanggah dengan agama saya, seperti mengelakkan semua yang haram – judi, makanan tidak halal, sembahyang dan ritual mereka serta alkohol. Saya tidak berjudi atau minum sebelum Islam, jadi semua ini mudah sahaja bagi saya, tidak banyak yang perlu dielakkan.
TMI: Akan ada makan malam perjumpaan besar dengan keluarga. Bagaimana susunan hidangan untuk anda dan keluarga? Sesetengah keluarga mempunyai daging babi sebagai hidangan utama mereka. Bagaimana pula dengan anda?
Rara: Ya, “Reunion Dinner” memang sangat dinanti-nantikan atau dalam bahasa Kantonis, "Tuen Yuen Farn". Kami Hakka, jadi kita akan mempunyai semua masakan Hakka seperti yang kita hidang setiap tahun, dan ya, daging babi panggang dengan salad dicelup sos manis adalah salah satu kegemaran keluarga.
Bagi pinggan mangkuk saya, ibu saya menyediakan peralatan memasak yang baharu untuk saya memasak makanan halal sendiri dari rumah, dan saya akan membawa makanan yang dimasak untuk dihidang dan dimakan bersama keluarga.
Ia masih sama, hanya saya menikmati hidangan berbeza daripada yang lain. Ia adalah satu simbol kebersamaan sebagai keluarga besar, setiap Tahun Baharu Cina duduk dan makan bersama-sama, dan ia sangat penting bagi semua keluarga Cina pada malam itu. Makanan hanya makanan untuk mengisi perut. Nenek saya memahami perkara ini dan dia hanya mahu saya makan di meja yang sama dengan semua orang, walaupun saya makan makanan yang berbeza.
TMI: Apakah mengenai Tahun Baharu Cina yang anda suka?
Rara: Perasaan semua ahli keluarga berada di rumah dan riuh rendah. Sangat seronok melihat semua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu dan ketawa bersama mendengar jenaka bodoh dan juga masa yang terbaik untuk mengimbas kenangan dengan rakan sepermainan masa kecil. Oh, tidak lupa keseronokan balik kampung dan menikmati udara segar juga.
TMI: Ceritakan sedikit mengenai persiapan Tahun Baharu Cina anda, berapa lama cuti yang anda biasa ambil bagi merayakan Tahun Baharu Cina bersama keluarga?
Rara: Sebelum Islam, saya memperuntukkan maksimum 4 atau 5 hari setiap kali Tahun Baharu Cina di kampung dengan alasan saya mahu kembali bekerja dan dapatkan lebih banyak peluang kerja. Tetapi tahun ini dan seterusnya selepas Islam, saya mahu memastikan saya memperuntukkan sekurang-kurangnya 7 hingga 10 hari bersama keluarga setiap tahun, terutamanya pada Tahun Baharu Cina.
Saya suka menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga selepas memberi keutamaan kepada kerja selama bertahun-tahun. Saya sedar, hidup ini singkat dan saya bersyukur kerana masih boleh menghargai mereka. Bagi hiasan Tahun Baharu Cina, ibu saya jarang menghiasi rumah kami kerana kami akan menghabiskan sebahagian besar masa di tempat nenek saya di kampung. Kami hanya akan membersihkan rumah bersama-sama sebelum Tahun Baharu Cina dan meletakkan beberapa lampu.
TMI: Apakah perbezaan anda menyambut Tahun Baharu Cina sekarang berbanding sebelum menjadi seorang Muslim?
Rara: Dahulu saya selalu membeli pakaian dan mahu memakai pakaian paling bergaya dan terkini untuk Tahun Baharu Cina tetapi kini, selepas pengalaman Raya yang pertama pada tahun lepas dan diperkenalkan kepada budaya Melayu, membeli kain dan membuat pakaian raya sendiri, saya lebih teruja untuk merekabentuk dan membuat jubah sendiri dan pakaian untuk Tahun Baharu Cina dengan motif dan gaya Cina.
Ia benar-benar membuat saya tertarik untuk meneliti dan mempelajari pakaian tradisional Cina serta mendapatkan inspirasi dari sana, dengan ciri-ciri Islam dalam rekaannya. Anda akan kagum mengetahui pakaian tradisional Cina hampir sama dengan jubah dan ia longgar dan besar, sama seperti bagaimana wanita Muslimah sepatutnya pakai. Saya katakan, saya kini belajar untuk lebih menghargai akar umbi keturunan Cina saya. Alhamdulillah. -TMI