23 Jan 2015

[BERGAMBAR] Tok Guru Nik Aziz Yang Luar Biasa, Penuh Tawaduk


Sebagai seorang wartawan separa-veteran, amat jarang saya mengkagumi seorang politikus. Benar, ramai yang saya hormat dan ada juga yang dipandang tinggi, namun secara umum saya tidaklah terlalu ambil pusing tentang mereka.

Namun ada sebilangan kecil, dan khususnya seorang sosok yang telah menegaskan kepercayaan saya terhadap mereka, golongan yang memerlukan undi kita untuk dipilih mentadbir dan memimpin, kalau pun tidak sebenar-benarnya berkhidmat kepada rakyat.

Walaupun belum sampai sedekad saya menjadi wartawan, hampir sepanjang tempoh itu telah didedikasikan untuk membuat liputan dan laporan tentang politik Malaysia.

Sudah banyak perkara yang saya lihat dan alami. Saya menjadi penat dan bosan, sudah terlalu biasa dengan kekecewaan, ketidakjujuran, cakap kosong dan buruk-memburuk daripada watak-watak politik yang kita kenal.

Saya mungkin menjadi mangsa kepada penyakit yang biasa dihadapi mereka yang cukup dekat untuk melihat sendiri kesilapan-kesilapan kecil di tembok kekuasaan, yang menjadikan seseorang itu sebagai sinis yang pesimistik.

Namun ada seorang insan di kalangan ramai dalam dunia politik yang tegap berdiri di tengah-tengah kancahnya, yang mengembalikan kepercayaan saya terhadap politikus, walau pun tidak semua.

Insan itu adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat, seorang daripada sebilangan tokoh yang setakat ini gagal memenuhi jangkaan sinikal saya tentang politikus. Beliau adalah Mursyidul Am PAS, bekas Menteri Besar Kelantan dan masih sebagai Adun Chempaka.


Seperti kata-kata editor saya, beliau adalah politikus Melayu yang sukar lagi untuk dilihat pada masa ini, benar-benar luar biasa dan tiada duanya.

Tidaklah sehingga mencetuskan sentimen “Politikus Melayu hebat terakhir”, namun mungkin tidak terlalu jauh daripadanya.

Ada sesuatu dalam gayanya yang membawa kita ke zaman dahulu. Di saat yang telah dilupakan dan malah mungkin sehigga saat sahabat Nabi Muhammad SAW dan gambaran kepimpinan yang dicetuskan mereka.

Satu zaman…

Di saat pemimpin tidak terlalu bongkak dan beromong kosong.

Di saat pemimpin berkata-kata dengan lembut dan baik.

Di saat pemimpin melangkaui permainan politik murahan yang biasa.

Di saat hidup mereka bukan sahaja didedikasikan kepada rakyat terbanyak, tetapi memang dilihat begitu.

Di saat politikus lain hidup jauh lebih selesa selepas mendaki tangga politik, Nik Aziz terus dengan gaya hidup sederhana.

Beliau bahagia di rumah kampung, walaupun ketika berjawatan besar dan mendapat kediaman rasmi. Memandu kereta lama, walaupun beliau boleh mendapat kereta mewah hanya dengan menyatakannya.

Ketika politikus lain memiliki gambar mereka yang penuh gaya di dalam dan luar negara, diiringi pengiring rasmi dan polis walaupun ketika urusan peribadi, Nik Aziz menjalani hidup dengan tawaduk.

Gambar dirinya yang diambil rakyat dan dimuat naik di internet langsung tidak menunjukkan gaya seorang politikus yang memegang kuasa.

Tiada gambarnya bercuti di pusat beli belah dan taman tema luar negara, bermain golf dengan Presiden negara luar atau menganjurkan majlis mahal di tempat yang juga mahal.

Yang ada hanya gambar beliau bersolat, berehat atau pun tidur di masjid, atau berjalan kaki ke masjid berhampiran rumahnya. Juga ketika membeli makanan dan minuman di warung tepi jalan, atau membacakan doa kepada bayi yang baru lahir apabila ibubapa datang berjumpa dengan beliau.

Gambar-gambar yang ada hanya menunjukkan seorang lelaki berumur yang hidup biasa, kecuali pakain rasminya ketika di pejabat. Malah, itu pun tidak cukup gah seperti yang sering dilihat.

Ketika mengundi sewaktu pilihan raya, beliau beratur menunggu giliran seperti orang lain.

Cukup banyak kisah tentang kehidupan dan gaya rendah dirinya di alam maya, serta yang tersebar dari mulut ke mulut oleh mereka yang pernah bertemu mata dengannya.

Satu kisah yang menjadi viral berhubung seorang individu yang berhadapan masalah apabila keretanya rosak di Kelantan. Beliau kemudian dibantu seorang lelaki berumur yang memandu kereta lama. Lelaki berumur itu menghubungi mekanik dan, menurut kisah itu, turut meminjamkan keretanya.

Hanya selepas diberitahu mekanik yang baru tiba, individu itu mengetahui bahawa lelaki berumur yang membantunya adalah Nik Aziz, Menteri Besar negeri itu.

Walaupun ada kisah serupa melibatkan politikus lain, serta gambar mereka yang penuh rendah diri dan berkhidmat kepada rakyat, saya sering menemui unsur jenaka di dalamnya.

Namun dengan Nik Aziz, deria jenaka saya tidak pernah terjentik, dan mata saya yang mampu mengesan helah politikus tidak mendapati apa-apa niat tersembunyi.

Sememangnya gaya penuh teladan itu telah menjadikannya seorang insan yang sering dipandang tinggi bukan sahaja oleh orang Islam, tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Ada yang harus diperkatakan tentang bagaimana tingginya penghormatan kepada beliau. Gelaran “Tok Guru”-nya – satu gelaran yang membawa penghormatan yang tidak dimiliki ramai.

Mungkin salah satu sebab adalah cara hidupnya, tidak seperti kebanyakan politikus dan pemimpin yang sering berkata-kata tentang perjuangan namun tidak menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

Jika saya tidak mencapai apa-apa dalam kehidupan, saya hanya berharap mampu mengikut jejak langkahnya untuk berpegang kepada prinsip saya, seperti mana beliau berpegang kepada prinsipnya.

Terutama dalam kerjaya yang memerlukan saya berhujah tentang baik dan buruk, benar dan salah pihak lain. Memang mudah untuk memuntahkan retorik dengan penuh api namun pada masa sama tidak jujur dan serius tentang apa yang dikatakan…atau mengamalnya sendiri.

Kepada Tok Guru yang paling dihormati, saya berdoa kepada Allah SWT agar beliau yang kini dalam keadaan lemah kembali sembuh dengan segera. Malaysia perlukan Tok Guru, dan tidak akan ada lagi tokoh seperti Nik Aziz Nik Mat. -Hazlan Zakaria/theaintdaily



TGNA TERKINI: Belum Berapa Sihat Tapi Positif


Nik Aziz: Doktor Mungkin Buka Alat Bantuan Pernafasan

Alat bantuan pernafasan yang digunakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan ditanggalkan jika keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan yang lebih positif.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, Mursyidul Am PAS itu diserang batuk dipercayai akibat jangkitan.

"Oleh kerana semalam ramai tetamu yang masuk ziarah, ayahanda batuk sedikit. Justeru doktor menasihati agar pelawat hanya diizinkan untuk melihat dari luar bilik sahaja untuk mengelak jangkitan.

"Jika keadaan bertambah baik, petang ini doktor mungkin akan menanggalkan alat bantuan pernafasan," katanya menerusi kenyataan pada petang Khamis.

Mengulas lanjut Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu bahawa keadaan kesihatan ayahnya itu bertambah baik serta mampu berkomunikasi.

"Alhamdulillah kesihatan ayahanda terus meningkat lebih baik. Pagi ini kami dapat lebih banyak berkomunikasi dengannya. Ayahanda minta untuk makan dan pihak hospital telah menyediakan nasi air.

"Doktor belum menggunakan perkataan 'sihat', sekadar ada perkembangan positif," katanya.

Nik Aziz, 84, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Isnin malam berikutan tahap kesihatannya yang menurun sejak banjir besar melanda Kelantan bulan lepas, selain menghidap kanser prostat.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) HUSM pada Selasa petang akibat keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan. -mstar

ULASAN GB

Marilah kita terus doa agar Allah menyembuhkan TGNA