11 Sep 2015

Bandingkan Kenyataan Ust Ahmad Awang Dgn Tulisan Subky Latif Ini....

Ghairahnya mahu runtuhkan rumahtangga orang P;ej Usta Ahmad Awang

Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri.

Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.

Terbaru tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga itu.


Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.

Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.


Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.

Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.

Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.

Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yang memberi jalan keluar kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.


Tidaklah dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang dilakukan oleh PAS.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’ melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.

Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.

Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk mewajarkannya.


Institusi keluarga

Institusi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.

Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan) syariah yang lima perkara.

Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.

Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.

Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.

Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):

“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:

“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:

“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”

Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.

“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata: Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”

Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.


Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:

“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

"Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”


Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.

Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”

Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.

Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.

Bermohon istighfarlah dengan Allah. Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Allah Maha Mengetahui bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).

Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.

Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.

Realiti kerosakan masyarakat

Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.

Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.

Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.

Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.

Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.

Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.


Hubaya-hubaya meremeh bai’ah Oleh Subky Latif



AMAT memilukan betapa antara orang yang ditarbiyah bertahun-tahun meremehkan bai’ah yang setiap calon PAS amal selama ini. Ia sudah diadakan sebelum era kepimpinan ulama dan diteruskan setelah konsep kepimpinan ulama diwujudkan. Tiada siapa dalam PAS mempertikainya dan tidak ada calon yang menolaknya.

Tidak ramai yang masih hidup tahu bagaimana ia bermula. Tetapi PAS ada pengalaman apabila kerajaannya yang pertama di Terengganu ditumbangkan awal 1960-an apabila beberapa Adunnya menyokong undi tidak percaya kepada Menteri Besar Mohd Daud Abdul Samad yang diusulkan oleh Adun Perikatan, Ibrahim Fikri. Jemaah Islam itu mengira ia satu pengkhianatan. Ahli dan penyokong bertungkus lumus, berhabis menegakkan kerajaan yang pertama itu, ia tumbang oleh wakil rakyat yang tidak setia.

Mengutuk orang meninggalkan parti tidak berguna. Yang penting ialah membendung perbuatan yang tidak bermaruah itu. Cara terbaik ialah memperkenalkan bai’ah kepada calonnya. Antara kandungan bai’ah ialah mereka akan dilaknat Allah jika khianat. Kebelakangan ini ada yang menambah tertalak tiga isterinya. Ia tidak sekadar calon biasa, bahkan pemimpin dan tok guru melafazkan bia’ah itu.

Yang dikira khianat itu bukan calon yang menang saja, malah ada calon lari semasa kempen menyebabkan masuk pilihan raya dengan calonnya hilang. Mungkin yang meninggalkan PAS itu kerana marahkan ketua parti, tetapi ketika kerajaan PAS Terengganu tumbang itu ketua parti ialah Dr Burhanuddin alHelmy dan Prof Zulkifli Muhammad yang tidak pernah dicela oleh ahli PAS dulu dan sekarang.

Tiada calon yang membantah. Setengah calon masa dulu dipaksa jadi calon, tetapi tiada paksa berbai’ah. Mereka diberi pilihan berbai’ah untuk menjadi calon. Jika mereka kira ia dipaksa, mereka boleh tarik diri dari bertanding. PAS boleh gantikan dengan calon lain. Tidak ada yang menolak bai’ah.

Ada mufti dari Perlis dan Pulau Pinang mengira bai’ah hingga tertalak tiga isteri tidak laku di sisi agama. Maka pandangan mufti dijadikan sandaran bagi wakil rakyat dan setengah pemimpin untuk berpisah dengan PAS. MP dan Adun tidak merasa perlu meletak jawatan setelah meninggalkan parti. Ia dirasakaan tidak khianat, tidak tertakluk dengan laknat yang pernah dilafazkan dan tidak tercerai isterinya.

Bagus dan bertuahlah kiranya ia tiada apa atau tidak laku. Tetapi kalau laku seperti yang hakim syariah Kelantan kata, macam mana. Saya teringat tentang perli seorang mahasiswa terhadap rakannya yang tak tinggal solat dan puasa. Bagaimana dengan solat tunggang-tonggeng setiap hari, bila mati, tiada neraka dan tiada syurga. Jawab kawan itu, jika tiada syurga dan neraka, dia tidak apa-apa. Bagaimana kalau ada? Ia tidak rugi, sebaliknya yang tidak solat dan tidak puasa akan rugi. Terdiam orang yang meremehkan syurga dan neraka itu.

Jika bai’ah itu laku orang yang dikira khianat itu akan berdepan dengan laknat dan isterinya tercerai. Jika dia tidak percaya bai’ah itu laku, dia akan bersekedudukan dengan jandanya secara tidak sah, justeru perkahwinannya sudah terbubar.

Cerai itu pula talak tiga. Untuk berbalik semula, janda itu kena kahwin lain dulu. Kalau suami isteri itu tidak mahu bercerai, maka Waibi akan kehilangan isterinya terus. Ada sistem yang menggunakan Cina buta. Yang jantan mengambil upah. Lepas nikah dicerainya. Tetapi pandangan masyhur ulama, Cina buta itu tidak laku. Macam nikah mutaah yang diamalkan oleh Syiah dulu.

Ada yang mengira pelanggaran bai’ah itu dapat ditebus dengan memberi makan sejumlah orang miskin. Adakah terhapus pantang itu dengan memberi makan saja sedang kerusi yang dibawa lari tidak dipulangkan? Atau tidak gugur talak? Jika menjamu makan dibolehkan, maka ini ertinya dia mengakui pelanggaran telah dilakukan. Jika pelanggaran itu diakui, tidak memadai sekadar menjamu makan, tetapi dia mesti menyatakan penyesalan dan minta maaf kepada sekalian yang terlibat, pulangkan balik kerusi dan mengaku tidak akan mengulanginya lagi. Atau kembali semula ke pangkuan PAS, taubat dan kemudian berjamu. Tetapi sekadar mengaku taubat, tidak minta maaf, tidak menyesal, sama seperti orang mengaku taubat, lepas itu dia terus langgar taubatnya.

Mungkin juga pendapat dua mufti itu laku. Tetapi mufti yang lain diam. Majlis mufti tidak pula membincangkannya. Mufti itu juga ulama. Maka mereka boleh berbeza panangan dengan ulama yang lain. Kemudian orang boleh menimbang pandangan ulama mana lebih kuat. Kita kena tanya mufti yang dua tu dulu. Cara mana pandangan itu mereka buat. Adakah sekadar ilmu yang ada dan kitab fekah yang dibaca dan ada kajian yang luas?

Terutama mufti Perlis yang diketahui seorang warga universiti. Orang universiti biasanya dia ada kajian termasuklah menemui pihak yang ada hubungan berkaitan. Ilmu dan pengetahuan saja tidak cukup. Dia mesti jumpa Majlis Syura Ulama PAS, tanya mengapa mereka buat begitu dan begini? Apa yang medorongkan Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli dulu buat begitu? Dan bagaimana ulama zaman Dato’ Asri Muda putuskan bai’ah itu?

Macam mana Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Dr Haron Din dan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang luluskan bai’ah sedemikian. Mufti adalah atas dari kadi dan hakim syariah. Hakim tidak jatuhkan hukum sebelum mendengar kesaksian yang dituduh, peguam bela dan pendakwa. Dalam sejarah ulama rasmi atau ulama yang mendekati umarak tidaklah sama bisanya dengan ulama bebas dan yang tidak makan gaji. Ulama bebas itu menjauhkan diri dari umarak kerana celakalah ulama yang mendekati umarak. Bahagialah umarak yang mendekati ulama tetapi kurang bahagiannya bila umarak itu mendekati ulama yang mendekatinya siang dan malam.

Mufti yang makan gaji luas pengalamannya dengan semua hukum hakam dan pentadbiran yang berkaitan bidang kuasanya. Tetapi mereka tidak ada pengalaman menjaga orang politik. Ulama PAS kaya dengan pengalaman politik dan kerenah orang politik bersamanya. Antaranya ialah menghadapi rakannya yang lari dari jemaah.

Abu Hurairah, Imam Bukhari, Imam Muslim kaya dengan ilmu hadis tetapi tidak sama dengan Sayidina Umar al-Khatab, Ali Abu Talib dan Umar Abdul Aziz yang tidak sekadar mahir dengan ilmunya tetapi mentadbir dengan ilmunya. Para khalifah dan gabenornya tidak sekadar memanfaatkan ilmunya tetapi berijtihad dalam perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.

Itulah lebih ulama yang berpolitik. Apapun pandangan mufti tentang bai’ah itu menjadi rujukan kepada setengah orang PAS yang hendak lari dari bai’ahnya. Jika 50,000 orang tidak menghargai bai’ahnya, besar jasa mereka pada perkembangan politik umat. Mungkin bai’ah itu tidak wajib, tapi samalah ia tidak wajib taklik bagi setiap pengantin laki-laki. Mengapa taklik yang mungkin dikira bidaah oleh setengah orang disyaratkan oleh pentadbiran syarak? Tentu ada muslihatnya.

Hubaya-hubaya meremehkan bai’ah, takut tertipu diri sendiri. Elakkan berloyar buruk. Bukan orang lain yang binasa. Takut kita sendiri binasa. -Detikdaily via harakahdaily


ULASAN GB

GB sengaja membawa dua tulisan di atas, satu dari Ust Ahmad Ahmad Awang, seorang tokoh ulama yang bertahun-tahun menjadi Presiden Persatuan Ulama Malaysia ndan kini Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Kawasan Asia Fasifik yang pernah menjadi Naib Presiden PAS. Manakala tulisan yang satu lagi oleh penulis politik veteran, Subky Latif yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah.

Jelas kepada kita tulisan Ustaz Ahmad Awang sarat dengan nas-nas aqli dan naqli, manakala tulisan Subky Latif hanya bersandarkan emosi dan setimen politik semata-mata.

Di dalam satu tulisannya yang lain, Subky menyatakan memperlecehkan ulama dibimbangi datang "tulah". Tetapi ternyata Subky sendiri memperlecehkan ulama seperti Ustaz Ahmad Awang.

Bagi orang-orang PAS termasuk Subky, ulama hanya ada dalam PAS. Kalau tidak menyertai PAS atau sudah keluar dari PAS maka seseorang itu tidak bergelar ulama lagi(?)

Hatta, Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusof Al-Qardhawi tidak diiktirafkan sebagai ulama oleh orang-orang PAS. Kerana Sheikh Yusof Qardhawi menyatakan [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud. Tetapi bagi orang PAS, hudud perlu ditegakkan dahulu dan sesiapa menangguhkannya dianggap sebagai penentang hudud.

Begitu juga di dalam soal Baiah Talak. Dr Yusuf Al-Qaradawi apabila ditanya berkaitan Isu Cerai Ta'liq, beliau menjawab dengan kenyataan berikut :-

"Sesungguhnya pandangan yang saya berpegang padanya dan yang telah saya fatwakan sejak bertahun lamanya adalah -

SESUNGGUHNYA TALAK MUAALAQ YANG TERIKAT TALAQ ITU DENGAN SESUATU ATAU LARANGAN SESUATU (BUKANLAH TALAQ YANG DISYARIATKAN OLEH ALLAH S.W.T) UNTUK MEMISAHKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI.

AKAN TETAPI IA BERKAITAN DENGAN SUMPAH. SEKIRANYA JIKA DIA MELANGGAR SUMPAH ITU MAKA CUKUPLAH BAGI DIA UNTUK MEMBAYAR KAFARAH SUMPAH IAITU (Memberi 10 Makan Orang Miskin @ 10 Orang Pakaian)

Pandangan ini adalah pandangan sebahagian SALAF yang dirajihkan oleh Ibnu Taimiyyah Dan Anak Muridnya Imam Ibn Qayyim. Pandangan ini saya pilih dan rajihkan. Saya melihat ianya sesuai dengan Ruh Islam. Pandangan ini juga adalah pandangan ramai AHLI ILMU dan AHLI FATWA dizaman kita ini. RUJUKAN : Dr Yusuf Al-Qaradawi, Fatawa Muasirah, Jil 3, M/s :342, Cetakan Darul Qalam Linnasyar Wa Tauzi' KUWAIT. 2013

Tetapi PAS bersakit-sakit menyatakan jatuh talak tiga bagi wakil rakyat yang melompat parti. Kerana apa? Bukan kerana ilmu, tetapi kerana sakit hati, dengki hati dan dendam kesumat yang tak terperi.

Lagipun tujuan asal baiah talak ialah untuk menghalang seseorang wakil rakyat itu untuk melompat ke parti UMNO/BN. Apa yang berlaku wakil-wakil rakyat berkenaan TIDAK melompat ke parti UMNO BN, Mereka berpindah kepada parti Islam yang lain iaitu Parti Amanah.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.







IKLAN BERBAYAR




19 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bekas Naib Ketua UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, suara akar umbi berjaya menyelamatkan kedudukan Muhyiddin dan Shafie di sebalik khabar angin mengatakan mereka akan dipecat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada Rabu.

Unknown berkata...

Subky latif adalah awang selamat versi pas

Tanpa Nama berkata...

Pas perosak Islam sebenar yg seharusnya membawa rahmat sekalian alam.

Unknown berkata...

Subky Latif bersandarkan emosi. Lu lawan ulamak, wa pancung lu org!

Tanpa Nama berkata...

Menjual MARUAH...Terjual 'LURAH'
Menjual AKIDAH...Menjual AGAMA
Menjual Ter'JUAL...Di Sepanjang SEJARAH
Puncak PUNCA nya...Di Umpan HARTA!


Di Umpan HARTA...Bukan KEPALANG
Puluhan JUTA...Ratusan JUTA
Fitnah PONTENG...Balak di TEBANG
Bai'ah yg SONGSANG..Menngalih kan CERITA



Ramai PENULIS...Di UPAH Menulis
Ramai BLOGER...Be Ribu BAYARAN nya
PENULIS di Upah...Penulis yg "MUFLIS"
SELFLESS to d TRUTH...TAK minta APA2..


SELFLESS to d TRUTH...TAK Kelahap APA2
HARTA pangkat...Nobat dan GLAMOR
Kaseh kan UMMAH...CINTA yg'ESA
Lebih ber "HARGA"..Dari segala-GALAnya


SELFLES to d TRUTH...TAK Minta APA2
Seperti Nabi2..& Wali-Wali NYA
MAKNA...ERTI...DEFINASI pon..Ter BUKA
Rahsia..""PEWARIS""...Menyuloh SEGALA2 nya

cucu tok dolah ceroi berkata...

klu nak tulis apa yg takat di ketahui,aku pun boleh menulis

Tanpa Nama berkata...



Jika benar seperti yang di katakan oleh Subky ternyata semua pemimpin PAS tidak yakin dengan Allah. Manakan tidak, dari bai'ah yang terkandung akan di laknat Allah di tambah pulak tertalak tiga ke atas isteri. Mereka seperti tidak yakin dengan janji Allah.

Dan adakah benar semua pemimpin dan termasuk tok guru melafazkan bai'ah cerai talak tiga? Kerana kenyataan Subky mengelirukan apabila dalam mengatakan kandungan awal bai'ah ialah di laknat Allah dan kemudian, kebelakangan di tambah talak tiga. Jadi bai'ah yang mana satu telah di lafazkan oleh pemimpin dan tok guru yang dikatakan oleh Subky yang sebenarnya.

Tulisan Subky tidak banyak membantu malah menimbulkan masalah dan keraguan.

Subky memberi contoh keadaan yang secara jelas tidak sama dengan keadaan sekarang. Subky memberi keadaan Kerajaan PAS di tumbangkan dan keatas calon yang lari dan hilang. Tidak kah selalu nya calon yang lari kerana dapat habuan manakala yang hilang pada masa itu kerana di culik dan di halang supaya tidak sampai ke pusat undi? Sedangkan pemimpin yang keluar dari PAScai tidak menumbangkan kerajaan dan tidak mendapat habuan?

Lebih menyedihkan Subky mempersoalkan kemampuan dua orang yang bergelar mufti. Mengapa Subky tidak mempersoalkan Hj Hadi kerana dalam hal ini Hj Hadi senyap seribu bahasa? Adakah Ulama Politik seperti Hj Hadi adalah benar-benar Ulamak bebas?

Ini bukan soal laku atau tidak laku tetapi adakah ini menurut Islam atau tidak? Macamana penulis berpengalaman seperti Subky boleh mengenepikan pandangan dan jawapan Dr Yusuf Al-Qardawi yang jelas menyatakan bai'ah tersebut terikat dengan sesuatu yang bukan di syariatkan oleh Allah? Subky sendiri mengatakan 'kebelakangan ini ada yang menambah ...' Mengapa perlu di tambah talak tiga?? Apakah Subky tidak faham bai'ah pengantin laki-laki ialah terus dengan perempuan yang di nikahinya?

Semakin cuba memahami maksud Subky semakin celaru dengan pandangan Subky. Jika Subky mempersoalkan cara mana pandangan dua orang Mufti membuat pandangan masing-masing tetapi mengapa Subky tidak langsung mempersoalkan ilmu dan kitab mana yang di pakai oleh Ulamak PAS yang pandai-pandai menokok tambah cerai talak tiga dalam bai'ah? Subky terus mengaitkan nya dengan sejarah silam dan bukannya meminta ulamak PAScai yang menyatakan nya sendiri kitab apa dan ilmu apa yang di pakai oleh mereka?

Apa gunanya Mufti berkenaan berjumpa dengan Ulamak berpolitik? Apa lagi Ulamak yang menyokong Ketua Negara yang banyak memberi masalah kepada rakyat dan terbaru memasukkan berbillion ringgit ke dalam akuan nya sendiri ? Lagi pun pemimpin PAScai diberi ruang oleh media untuk menjelaskan mengenai bai'ah tetapi mereka hanya menekan kan talak tiga dan perlu kosong kan kerusi kerana khianat pada parti.

Isu nya (situasi) sekarang ialah kerenah Ketua yang banyak lari dari keputusan dan kehendak rakan-rakan yang lain. Sebusuk-busuk Najib, Najib tidak mengelarkan Muhyiddin dan orang-orang nya nyamuk apa lagi barua dan tolol. Dan Najib tidak berani memecat Muhyiddin kerana akur dengan kehendak akar umbi.

Subky jangan sekadar pandai menulis hal-hal politik tetapi mesti pandai dalam hal-hal kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Kepada Allah dikembalikan.

Amuraria berkata...

Moga Allah SWT memberi kelapangan dada & minda pada semua pejuang pejuang Islam insya-Allah...ABU !

aku berkata...

Allah beri kita kitab Al quran untuk dijadikan panduan sepanjang zaman, Al Quran bukan hanya untuk ulama sahaja, lihat peperangan Jamal dan peperangan Siffin dua2 melibatkan pembunuhan sesama Islam, perang Iran Iraq, sekarang peperangan di Syria semua melibatkan pembunuhan sesama Islam, apa ulama buat?

Unknown berkata...

Pada aku, mudah saja. Tidak perlu dipertikai pasal bai'ah yang telah dilafazkan. Yang lepas, lepas lah. Tapi ADUN dan MP yang terlibat perlu pandang ke hadapan, fikir-fikirkanlah bagaimana untuk menyelesaikan segala masalah yang diorang sendiri ciptakan, bertanding atas tiket PAS tapi tetap menyatakan bertanding atas tiket PR sedangkan lambang yang digunakan adalah bulan. Hidup bukan lama, tambah lagi kebanyakan yang yang telibat, umur sudah hampir kepada senja. Walau dapat hidup seratus tahun lagi pun tetap jugak tak sampai hujung kelingking panjangnya jika dibandingkan dengan usia kita di akhirat nanti. Akhirnya kita akan kembali juga kepadaNya. Bagi ADUN dan MP yang terlibat, buatlah yang terbaik demi ugama, bangsa dan negara. Jangan sekali-kali mengkhianati apa yang telah diperjuangkan semasa ingin menjadi calun dulu. Kita semua akan ditanya di Mahkamah Allah nanti. Yang penting, hidup sentiasa tenang dan tidak diselubungi dengan perasaan bersalah.

Unknown berkata...

Apa ulalam buat..?

Mereka hanya mesyuarat dan terus bermesyuarat..berkereta mewah dan duduk dalam banglo kenyang perut.

Abdul Said berkata...

Sejak Almarhum TGNA tiada macam-macam hal berlaku dengan PAS. Tidak keterlaluan rasanya kalau dikatakan dengan izin Allah s.w.t. Almarhum semasa hayatnya penenang jiwa yang bercelaru dan pengaman fikiran yang kusut dihasut syaitan dan nafsu. Bila beliau pergi maka mana-mana yang sakit telah kehilangan bekalan ubat. Itu yang Haji Hadi and the gang hidup bercelaru tu!!!

Unknown berkata...

Dan akhirnya dimasukkan kedalam syurga beserta dgn ahli2 pas yg lain termasuk Dewan Himpunan Penyokong Pas sekali....

Unknown berkata...

Ada.. ada ubat lain yg dimakan oleh Hadi and the gang.Lepas makan ubat baru tu maka bercakap seperti makhluk tiga suku lah puak tue mcm yg kita dengar kenyataan2 bodoh Hadi dlm setahun dua ni.

Tanpa Nama berkata...


Anon 12:42 PM.

TGNA yang punya handal pun boleh di perlekehkan oleh anon.

Kalau ini betul kenyataan hujah anon, melayu yang paling bodoh ialah melayu UMNO dan PAScai.

Melayu UMNO berani mengambil tindakan ke atas Pegawai Atasan yang menjalankan tugas. PAScai menyokong pulak pemimpin Islam yang masukkan duit berbillion dalam akaun dan di ketahui umum isteri pemimpin Islam tersebut mengunakan bomoh dan bershopping berjam-jam.

Tapi tidak buat apa-apa terhadap cina DAP dan Ambiga sedangkan CEO Bank boleh gitu-gitu je di tembak di tempat kereta secara terbuka. Peguam Pendakwaraya boleh hilang secara magik. Tuduhan yang di ada-adakan ke atas Anwar yang tidak masuk akal boleh di cipta. Otak Najib cukup bergeliga menjawab dengan berbagai-bagai alasan mengenai RM 2.6 billion.
Mahathir yang bergelar negarawan pun boleh di soal-siasat hanya kerana mengatakan pemimpin UMNO telah di rasuah sedangkan perkara ini telah berulang-ulang dikatakan oleh Mahathir.

Sebenarnya Kedudukan dan Kuasa politik lebih penting dari kedudukan Islam kepada pemimpin UMNO dan pemimpin PAScai bukan seperti yang Surah Al Imran, al-Quran 3:19: Maksud kan “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam”.

Antara Allah dengan Islam, mereka hanya mengakui Tuhan mereka juga Allah tetapi mereka tidak mengakui Islam itu adalah agama Allah. Jaga dan taat lah pada Islam untuk taat dan tunduk kepada Allah. Sesiapa yang ambil Allah, Allah tidak hilang tetapi sesiapa yang mengambil Islam, Islam bisa hillang.

Usaha gereja tajaan DAP telah bermula sejak 2009 tetapi tidak di sedari oleh pemimpin dan Ulama PAS termasuk TGNA yang menjaga hubungan dengan pemimpin DAP. Bodoh dan tolol sangat kah pemimpin dan ulama PAS sehingga ramai orang Melayu (pemimpin dan ulama) yang mengaku Islam tidak perasan peranan pemimpin DAP 'yang sudah lama melaksanakan agenda mencemarkan ajaran Islam sejak awal-awal lagi.'

Pemimpin PAS pula menyedari nya pun bukan pasal usaha DAP untuk samakan Islam dengan agama lain tetapi kerana inginkan Khalid sebagai MB.

Jangan main sebut 'Rasulullah wafat baginda sempat berpesan supaya umat Islam sekiranya berlaku perbalahan sesama mereka hendaklah kembali semula untuk merujuk Hadis dan Al Quran.' Diantara 4 mahzab yang manakah yang betul-betul mengikut Al Quran ? Adakah Islam boleh berubah mengikut keadaan maka ujudnya mahzab?

Pergi lah kemana pun. Islam menuntut Amanah. Sifat Rasullulah yang paling mulia ialah Amanah. Ada ayat dalam Al-Quran yang mengatakan Allah serahkan nya kepada pokok-pokok tumbuhan, gunung-ganang, bumi dan langit, mereka tidak sanggup menerimanya melainkan manusia ia itu AMANAH.

Yang menyedia kan air solat dan mendiruskan air dari botol mineral untuk wudhu ialah pengikut biasa DAP. Pura-pura ? Bila persoalkan sokongan UMNO tentang hudud, Hj Hadi kata ikhlas atau tidak itu serah pada Allah.
Apa tindakan UMNO kepada majikan dan bank yang melarangkan orang Islam mengerjakan solat? Ada buat lapuran Polis seperti lapuran azan menganggu ketenteraman awam?

DAP tidak pernah menonjolkan parti nya sebagai parti agama atau parti yang mewakili kaum. Nak cari kelemahan DAP kaitkan dengan rasuah dan salah-guna kuasa dalam pentadbiran negeri.

Tanpa Nama berkata...

Makin lama makin celaru dan keliru, semua perkara dijadikan peluru.

Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.

Semua bermula dengan fitnah dan fitnah.

Pemilihan parti bukan lagi bersandarkan kepada asas pemilihan yang betul..... al-amin dan al-quwwah ( beramanah dan berkemampuan).

Pemilihan dibuat berdasarkan kepada skala 'wala' dan taat kepada Presiden. Maka senarai 'chai' diguna untuk mengheboh calon-calon 'wala' Presiden.

Inilah akibatnya. Sudah berlalu tiga bulan- tapi semua yg terpilih masih lesu dan kosong drpd ungkapkan/rancang perkara buat yang menyelesaikan masalah ummah dan rakyat.

Jika sekadar ingin ceramah atau kuliah,kita tidak perlu sebuah gerakan. Cukup sekadar seorang penceramah, speaker dan mikrofon.

Skema wala untuk lantikan ke jawatan kini menjadi pegangan PAS dan UMNO.

Maka kita melihat kerosakan demi kerosakan.

Benarlah, jika salah memilih pemimpin maka tunggulah saat kehancuran.

ELBI RISALAH berkata...

Pada aku satu saja: Kalau bertanding atas tiket PAS kemudian keluar PAS pula, kenapa takut lepaskan jawatan wakil rakyat tu ?. Tak malu ke jumpa kawan2 yang berhempas pulas masa PRU dulu ?. Tiba2 saja macam muka tak malu jumpa penyokong terdiri dari ahli PAS.

Kalau betul2 ikhlas letak jawatan wakil rakyat yang dimenangi dengan memakai lambang PAS dalam PRU dulu...

Macamlah suami yang dah ceraikan isteri tua dan kawin dengan isteri muda.Tapi masih lagi makan minum di rumah isteri tua yang diceraikan....Orang yang ada maruah, bersembang dalam rumah isteri yang diceraikan pun mereka tau mau ! Apa lagi masih makan minum di situ....

Pandai melangit pun kalau tak ada maruah, orang tak hormat . Tenguklah apa berlaku pada pemimpin negara ( &^*%$*#@ )...Apa jenis sumpah seranah rakyat tak sebut pada mereka ! Maruah mereka dah hilang....

Tanpa Nama berkata...

ELBI RISALAH 10:59 PM menyebut pasal maruah...

Ada maruahkah PAS yang dulu menang atas tiket Pakatan Rakyat sekarang masih terus jadi wakil rakyat?
Letaklah jawatan dan bertanding semula, tengok boleh menang ke tidak lagi

Ada maruahkah Presiden PAS yang telah didedahkan oleh Hassan Ali sebagai orang yang hendak membentuk Kerajaan Perpaduan dengan UMNO?

Ada maruahkah Presiden PAS yang telah memaki dan menghina Presiden PKR, DS Wan Azizah dan menempelak Anwar Ibrahim kini cuba berbaik dengan PKR demi mempertahankan kerajaan Selangor supaya exco-exco PAS tidak ditendang?

Ada maruahkah Presiden PAS yang kerap ponteng parlimen tetapi tak letak jawatan dan makan gaji buta dan elaun haram?

ikhlasabaredha berkata...

kita boleh kata bai'ah itu tidak menepati cara islam
menjadi masalah ialah kenapa sipolan dulu terima baiah ?
sekarang bila masalah berlaku sipolan mengatakan baiah tak betul
ini mencemar diri sipolan yang berakibat sipilan boleh dilabel sebagai orang yang tidak tepat janji,,
integriti dan karisma telah jatuh pada tahap yang besar