2 Mei 2015

[VIDEO & GAMBAR] Anti-GST: Rakyat Akan Terus Turun Berdemo....


Himpunan anti-GST tidak mengubah, tapi beri kesan ketara, kata penganalisis

Suami Zaiton Anuar terlantar sakit di rumah dan perlu penjagaannya, tetapi ibu kepada lima orang anak itu nekad datang ke Kuala Lumpur menyertai himpunan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semalam.

Wanita berumur 52 tahun itu merupakan antara ribuan peserta lain pada perhimpunan semalam, yang dikatakan mencapai matlamatnya walaupun tidak melepasi sasaran mengumpulkan sejuta peserta.

Walaupun perhimpunan semalam tidak mungkin mengubah keputusan Putrajaya mengenai pelaksanan cukai berkenaan, kemarahan rakyat terhadap peningkatan kadar inflasi sedikit sebanyak mampu mengancam kedudukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Zaiton, terdapat perbezaan agak ketara di antara maklumat disampaikan Putrajaya mengenai GST dan bagaimana cukai itu memberi kesan kepada rakyat.

"Setiap kali saya menonton TV, kerajaan sering mengatakan bahawa kos perubatan di hospital kerajaan tidak akan dikenakan GST. Tetapi apabila saya membawa suami ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), saya perlu membayar GST untuk semua kos rawatannya."

Beliau kecewa apabila dikenakan cukai 6% ke atas semua kos perubatan bagi merawat penyakit kanser suaminya, yang boleh mencecah setinggi RM2,000 setiap kali rawatan.

GST yang dikenakan adalah sebanyak RM60 dan ia jumlah yang membebankan buat Zaiton, yang tinggal di rumah pangsa di Pantai Dalam.

Pada 22 April, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, ubat-ubatan penyakit kronik seperti kanser akan dikenakan GST.

Satu lagi keluhan yang diluahkan adalah bagaimana kerajaan boleh membuat andaian harga barang akan turun selepas pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar 10%.

Kakak Zaiton, Misnah, 54, mendakwa andaian yang dibuat kerajaan itu meleset sama sekali kerana beliau sendiri mendapati harga barangan meningkat dalam beberapa minggu lalu.

"Saya pergi ke pasar raya besar baru-baru ini dan mendapati harga bagi 3 kilogram pencuci pakaian yang selalu dibeli naik daripada RM17 kepada RM24."

Tinjauan The Malaysian Insider di kedua-dua pasar raya besar pada 9 April lalu mendapati, sekurang-kurangnya lima daripada 10 barangan dijual lebih mahal berbanding panduan harga yang dikeluarkan kerajaan sebelum pelaksanaan GST.

Sementara itu, sebuah pasar raya didapati menjual lapan jenis barangan dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan buku panduan terbitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Seorang lagi suri rumah, Josephine Anthony, 37, mendakwa keluarganya kini terpaksa menambah jumlah perbelanjaan rumah sebanyak RM30 untuk setiap 300 barangan dibeli di pasar raya.

"Jika dulu saya boleh beli semua barangan yang kami perlukan pada harga RM100, kini walaupun jumlah barangan yang dibeli adalah sama namun harganya lebih RM150," kata pekerja kilang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu, yang hadir bersama suaminya semalam menyertai protes anti-GST.

Penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat berkata, ketidakpuasan di kalangan rakyat terhadap cukai itu dapat dirasai dan sebab itu ia mampu menghimpunkan di antara 30,000 hingga 40,000 peserta di Dataran Merdeka semalam.

"Ini adalah satu isu besar yang sedang melanda seluruh rakyat," kata Wong, zamalah Institut Pulau Pinang, yang turut menyertai himpunan terbabit.

Kemarahan masih belum membuahkan hasil

Biarpun kemarahan yang ditunjukkan orang ramai semakin membuak terhadap GST, namun penganalisis politik Ibrahim Suffian mengandaikan desakan itu mungkin hanya memberi impak lebih besar sekiranya pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bersatu membantah cukai itu.

"Walaupun dengan ramai pengguna sosial media membantahnya, anda masih perlu mempunyai seorang pemimpin yang dapat menjadi ikon kepada rakyat," kata Ibrahim yang turut menyertai perhimpunan pada Hari Pekerja itu.

Ibrahim mendapati perhimpunan semalam tidak menyaksikan penglibatan besar PR, dan penganjur pula menggesa supaya ahli politik supaya tidak memberi ucapan.

"Pilihan raya umum masih lama lagi dan ini memberi gambaran bahawa walaupun anda mengajak orang ramai untuk berhimpun, anda tidak boleh berbuat apa-apa terhadap cukai itu. Ia menyebabkan peserta berasa cepat bosan"

Wujud ketidakpastian sama ada bantahan akan diterjemahkan dalam bentuk undi, kata seorang peserta himpunan Suhaimi Ibrahim yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

"Orang kampung benar-benar terbeban cukai ini kerana ia memberi kesan kepada mereka dan mereka tidak mempunyai pendapatn besar," kata Suhaimi, 44, yang datang ke ibu negara bersama kawannya.

"Tetapi kita tidak pasti lagi sama ada ia akan mempengaruhi mereka melalui jumlah undi nanti kerana apabila mendapat sagu hati, mereka cenderung untuk melupakan kemarahan itu."

Wong, bagaimanapun, masih positif mengenai kesan terhadap himpunan yang dilakukan semalam.

"Ada dua kumpulan manusia. Satu kumpulan adalah mereka yang datang untuk menyatakan pendirian mereka mengenai sesuatu perkara manakala satu kumpulan lagi datang untuk menyatakan pendirian mengenai sesuatu perkara dan mengharapkan tindakan mereka memberikan kesan. Kumpulan kedua adalah lebih besar berbanding kumpulan pertama."

Perbandingan serupa berlaku pada perhimpunan Bersih 2.0 (2011) dan Bersih 3.0 (2012).

Perhimpunan ketiga mempunyai jumlah tiga kali ganda lebih besar berbanding perhimpunan kedua kerana mereka percaya hasilnya akan mewujudkan satu gelombang perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika Bersih 3.0, kepimpinan PR bersatu dan semua datang beramai-ramai menyuarakan kemarahan.

Buat masa ini, kesan perhimpunan Hari Pekerja semalam masih belum dapat dipastikan mampu mengubah keadaan, kata Wong.

"Tetapi sekurang-kurangnya masih ramai rakyat yang hadir untuk menyatakan pendirian mereka mengenai prinsip dan mereka menunjukkan bahawa mereka boleh menyusun diri mereka sendiri walaupun PR berada dalam keadaan berpecah-belah."

Bagi Ibrahim, perhimpunan itu membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia.

Malah, faktor GST dan peningkatan kadar inflasi akan lebih dirasai pada pilihan raya umum akan datang.

Polis mula menangkap penunjuk perasaan selepas perhimpunan itu menggunakan alasan berlakunya vandalisme dan provokasi.

Setakat lewat malam tadi, hampir 50 orang, termasuk peguam terkemuka dan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, ditahan kerana menyertai perhimpunan tersebut.

Turut diminta menyerah diri kepada polis ialah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, ahli sekrteriat #KitaLawan Fariz Musa, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh. -TMI


53 peserta himpunan #BatalGST ditangkap, Suaram kutuk tindakan polis

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk tangkapan pihak polis terhadap perserta himpunan aman #BatalGST di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga jam 10 malam tadi, tidak kurang daripada 53 orang telah ditangkap di sekitar KLCC sewaktu mereka dalam proses bersurai untuk pulang.

Suaram dalam kenyataannya malam tadi mempertikaikan tindakan polis yang menangkap peserta, sedangkan himpunan tersebut sudah ditamatkan secara aman.

“Pihak polis jelas gagal untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kenyataan SUARAM dipetik.

Sehingga kini, polis telah menahan Ahli Parlimen Seremban, Athony Loke dan akan mereman bekas Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan dan Setiausaha Agung Parti Sosialias Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Difahamkan, polis juga menghubungi beberapa individu untuk menyerah diri, antaranya Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, penyelaras Jingga 13 Fariz Musa dan aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh .

Sementara itu, derdasarkan maklumat ke semua 53 yang ditangkap kini dipindahkan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi).

“Tindakan polis ini mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak prihatin terhadap suara golongan pekerja, memandangkan himpunan 1 Mei ini merupakan acara rutin tahunan yang disambut seluruh masyarakat antarabangsa.

“Oleh itu, Suaram mendesak agar pihak polis segera membebaskan semua yang ditangkap,” tambah kenyataan tersebut.

Tambah Suaram, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 dan menyatakan desakan agar semua yang ditangkap dibebaskan dengan segera.

Orang ramai juga boleh terus menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah di talian 019 – 383 8084 bagi mendesak beliau membebaskan tahanan dengan segera.

“Suaram juga ingin menyeru orang ramai untuk turut sama memberi desakan kepada kepada pihak polis khususnya Ketua Polis Daerah Dang Wangi agar segera membebaskan semua peserta himpunan yang ditangkap,” tegas Suaram.











8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ust Ahmad Awang... ikon baru PAS dalam Pakatan Rakyat... syabas...

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kepada Ustaz Ahmad Awang.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih anda yg dpt hadir keperhimpunan bantah gst...anda mewakili kami semua sebenarnya...kami dgn serba kekurangan ini dr segi ekonomi dan kenderaan tidak dpt bersama2 anda semua walau pun hati dan jiwa kami meluap2 untuk bersama kalian...dlm bentuk undi kami tidak akan bersama BN lagi selagi cara kerajaan ini menindas rakyat tak peduli miskin atau kaya....nk beli topup prabayar pun dh kena berjimat..

Tanpa Nama berkata...

brp org yg dtg program anti gst puak kopiah dipdg merbok tempohari? siap ada bekalan air lg...

bandingkan dgn demo anjuran rakyat ini... mcm langit dengan longkang!!! (perumpamaan aku cilok dr pembaca blog

puak kopiah nak dabik dada ke yg pas tu kuat sangat? sapa pulak geng yg demo anti pkr di pematang pauh?

rakyat tak perlukan pas. pas yang perlukan rakyat!

Tanpa Nama berkata...

Aneh yg amat sgt apabila isu sebesar ini tiada ulasan mahupun komen drp presiden PAS juga mursyidul am. Juga dr mereka yg sewaktu dgnnya.

Yadzid7007 berkata...

Salute ust. Ahmad Awang!
macam ni la baru rakyat respect dgn ulama. berganding bahu menentang G$T & A.B.U.

Tanpa Nama berkata...

Harun din, hadi awe, mad yakob, nik amar gi mano hah? Takleh hadir pun buatlah kenyataan skit. Takot amno marah ke. Kah kah

Tanpa Nama berkata...

Hmmmm xabis2 fitnah org. Klau mcm ni gaya susahla nk klhkn UMNO BN.