20 Dis 2014

SPR Berdegil Tambah Kerusi Untuk Menangkan UMNO BN Dalam PRU?


Jangan ambil alih kuasa Parlimen, Bersih 2.0 ingatkan SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan untuk tidak "mengambil alih kuasa Parlimen" berhubung isu penambahan kerusi, memandangkan ia berada di bawah kawal selia Parlimen, kata Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0).

Melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di Kuala Lumpur semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof diingatkan agar tidak menjadikan penambahan kerusi sebagai prosedur operasi standard (SOP) suruhanjaya berkenaan sewenang-wenangnya, apabila memasukkan cadangan penambahan kerusi ke dalam cadangan persempadanan semula, seperti dilakukan pada tahun 2003 dan 2005.

"Bersih 2.0 menekankan isu ini di bawah bidang kuasa Parlimen dan SPR tidak boleh mengambil alih kuasa Parlimen dengan memasukkan cadangan penambahan kerusi ke dalam cadangan persempadanan semulanya, seperti yang dibuat pada tahun 2003 dan 2005.

"Bersih 2.0 akan mencabar tindakan tersebut dari segi keserasiannya dengan Perlembagaan jika ia diulangi kerana SPR tidak mempunyai hak mencadangkan penambahan kerusi," kata kenyataan tersebut.

Bersih 2.0 sebaliknya berkata, penambahan kerusi merupakan bidang kuasa Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk meneliti fungsi badan perundangan, yang seterusnya menentukan saiz optimum dan agihan kerusi antara negeri untuk memastikan pembahagiannya adil dan serasi dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa inilah yang harus mengemukakan cadangan, sekiranya diperlukan, meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan, yang menetapkan jumlah kerusi Parlimen pada masa kini pada 222.

"Hanya selepas pemindaan tersebut dibuat, barulah SPR boleh membuat proses persempadan semula berdasarkan jumlah baru kerusi.

"Jika Jawatankuasa Pemilih tidak didirikan, SPR hanya boleh menjalankan persempadanan semula berdasarkan 222 kerusi parlimen sekarang seperti yang tertakluk dalam Artikel 46."

Malah, Bersih 2.0 turut mengutuk keengganan Aziz untuk bertemu dengan mereka dan kumpulan masyarakat sivil lain berhubung isu tersebut.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, SPR akan meneruskan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa input daripada persatuan sivil dan hanya akan bekerjasama dengan kumpulan dikehendaki seperti ditetapkan dalam Perlembagaan.

Kenyataan Aziz itu bermakna, pintu sudah pun tertutup buat Bersih 2.0 yang menjadi pemerhati pilihan raya utama negara dan akan memberikan ruang pihak yang mewakili kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Aziz berkata, SPR hanya dikehendaki mengadakan pertemuan dengan sekurang-kurangnya 100 pengundi berdaftar di dalam sesuatu kawasan mengundi untuk mendengar bantahan berkenaan persempadanan semula atau penambahan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

"Kami tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada jika enggan bertemu wakil pertubuhan sivil," katanya sebagai respon kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sebelum ini yang menggesa SPR untuk mendapatkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan dalam melaksanakan perkara itu.

Melalui kenyataannya, Bersih 2.0 turut berkata, Perkara 114(2) dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan kepentingan keyakinan orang ramai terhadap tugas SPR.

"Keyakinan ini begitu penting sehingga ia menjadi kriteria tunggal yang menentukan pelantikan keahlian SPR oleh Yang di-Pertuan Agong," kata Bersih 2.0.

Malah, Bersih 2.0 berkata, keyakinan itu hanya dapat diperoleh melalui rundingan bersama masyarakat sivil dan kedegilan Aziz dalam isu penglibatan masyarakat sivil dapat dilihat dalam pengendalian proses persempadanan semula yang tidak telus dan tidak mempunyai kebertanggungjawaban apabila turut mengecualikan masyarakat sivil dan kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi berunding secara selektif dengan parti politik yang tertentu.

"Kedegilan inilah yang membuat Bersih 2.0 berulang-kali menggesa beliau dan pesuruhjaya yang lain untuk meletakkan jawatan mereka," tambahnya.

NGO itu berkata, rekod proses persempadanan pada tahun 2003 dan 2005 yang amat mengejutkan, apabila peruntukan Perlembagaan dalam Jadual 13 tidak dipatuhi SPR dalam situasi yang melibatkan parti politik Barisan Nasional (BN) dan ahli politik tertentu.

Bersih 2.0 turut melampirkan alasan bantahan SPR, yang mana menurut mereka alasan bantahan adalah berdasarkan faktor politik—seperti kebarangkalian pengundi menyokong atau menolak parti BN—SPR akan menerima bantahan tersebut tetapi menunjukkan inisiatif dalam menyediakan alasan yang serasi dengan Perlembagaan.

Seksyen 2, Bahagian 1 dalam Jadual 13 menyatakan proses persempadanan mesti mengambil kira ketersediaan kemudahan pentadbiran, mencapai pembahagian yang lebih kurang sama dan mengekalkan pertalian tempatan, yang bermaksud mengambil kira sempadan pentadbiran, fizikal, infrastruktur dan sosio-budaya-ekonomi.

Peluang kemenangan parti yang berkuasa pada masa itu tidak pernah disebut sebagai pertimbangan yang sah.

"SPR tidak pernah meminta maaf atas pelanggaran peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun berjanji salah laku sebegini tidak akan diulangi.

"Bersih 2.0 menggesa Aziz supaya membetulkan kesalahan yang lepas dengan berunding secara giat dan profesional bersama semua pihak yang berkepentingan dalam persempadanan semula, mengemukakan maklumat terperinci tentang operasi proses bantahan dan pendengaran bantahan serta mengumumkan jadual proses.

SPR juga diseru tidak menjadikan tarikh permulaan persempadanan semula sebagai satu permainan teka-teki kerana ia tertangguh dari tahun 2011 ke 2012, 2013, bulan Mac yang lalu hingga hujung tahun ini.

ULASAN GB

Nampaknya seperti SPR ki ni sedang berusaha keras untuk mempastikan kerajaan UMNO BN tidak tumbang di dalam pilihanraya selepas ini. SPR cuba mengambail alih peranan Dewan Rakyat di dalam hal isu penambahan kerusi di dalam persempadanan semula.

Kita pernah mendengar sebelum ini bekas Pengerusi SPR sendiri, Tan Sri Abdu Rashid yang memberi amaran kepada Putrajaya supaya jangan tipu rakyat - mungkinkah ini salah satunya merujuk kepada isu persempadanan semula?

Pakatan Rakyat perlu kukoh untuk mempastikan ahli-ahli Dewan Rakyatnya menolak sebarang usaha penambahan kerusi sewenang-wenangnya oleh SPR. Jangan ada lagi wakil rakyat yang ponteng yang boleh menyebab PR kecundang di dalam PRU yang akan datang.

Wajah Samseng Jalanraya Hentam Hilux Milik Kerajaan Selangor Tersebar


Baru-baru ini, satu lagi gambar yang didakwa kes buli jalan raya tersebar di media sosial. Kejadian buli itu melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan juga sebuah Hilux yang dimiliki oleh Unit Vektor Jabatan Kesihatan Daerah Ulu Langat.

Dipercayai, lelaki pemandu MyVi bertindak memecahkan cermin kereta Hilux yang terlibat dengan menggunakan stereng lock.

Terdapat tiga gambar yang diselitkan bersama dakwaan ini. Gambar pertama(atas) memaparkan pemilik MyVi yang terlibat keluar dari kenderaannya sambil membawa 'stereng lock'.

Gambar kedua dan ketiga pula memaparkan kereta Hilux milik Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat yang sudah dipecahkan cermin sebelah kanan.


Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah mengesahkan kejadian ketika dihubungi. Menurut pihak terbabit, kejadian berlaku pada semalam (16 Disember) dan laporan polis telah pun dibuat.

Namun pihak tersebut enggan mengulas lanjut tentang kejadian tersebut

TERBARU

LELAKI yang bertindak samseng memecahkan cermin kereta sebuah kereta Hilux milik Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di Lebuhraya SILK telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang lebih kurang jam 5.30 petang semalam.

Lelaki berkenaan, yang juga seorang jurulatih kecergasan memandu kereta MyVi milik tunangnya ketika kejadian.

Selain memecahkan cermin Hilux, lelaki tersebut juga dilaporkan menggugut kakitangan Pejabat Kesihatan tersebut. Sebab ugutan tidak pula dinyatakan.

Tindakan lelaki berkenaan telah mendapat perhatian ramai setelah gambarnya bersama stereng lock disebar di media sosial.

[VIDEO & GAMBAR] Banjir Kelantan - Kerosakan Harta Benda & Kehilangan Nyawa


Perkembangan Banjir: 14,067 mangsa banjir di Kelantan setakat 3 petang

KOTA BAHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan daripada 14,706 orang pada tengah hari, kepada 14,067 orang setakat jam 3 petang Jumaat.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mangsa kini ditempatkan di 84 pusat pemindahan di lapan jajahan iaitu Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat dan Bachok berbanding 99 pusat pemindahan pada tengah hari.

Di Pasir Mas, jumlah mangsa banjir kekal 7,548 orang dan kesemua mereka kini ditempatkan di 31 pusat pemindahan (berbanding 32 pusat pemindahan pada tengah hari), antaranya di Masjid Chasi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong.

Jumlah mangsa di Kuala Krai juga kekal 2,459 orang dan kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan, antaranya di SK Telekong, SMK Keroh, SK Sungai Embak dan SM Teknik Kuala Krai.

Dalam jajahan Tanah Merah, jumlah mangsa berkurangan daripada 775 orang pada tengah hari kepada 729 orang, dan semua mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan (15 pusat pemindahan pada tengah hari), antaranya SK Kulim, Madrasah Kampung Renat dan Madrasah Bendang Besar.

Di Machang, jumlah mangsa menurun daripada 1,301 orang pada tengah hari kepada 362 orang dan semua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan (21 pusat pemindahan pada tengah hari), antaranya di Madrasah Sungai Mas, SK Pangkal Meleret, SJKC Pei Hwa dan SK Hamzah 1.

Jumlah mangsa di Kota Baharu pula meningkat daripada 1,399 orang pada tengah hari kepada 1,431 orang petang ini dan kesemua mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan (jumlah pusat pemindahan kekal), antaranya di SK Tiong, SK Sri Ketereh, SK Mulong, SK Dewan Beta dan SMK Melor.

Dalam jajahan Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 619 orang dan mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan (jumlah pusat pemindahan kekal) iaitu SK Wakaf Raja, SK Changgai, SMK Kamil dan SK Kamil I, manakala dalam jajahan Bachok, jumlah mangsa juga kekal 60 orang yang kini ditempatkan di SK Pak Badol.

Di jajahan Tumpat, jumlah mangsa meningkat kepada 859 orang berbanding 545 orang pada tengah hari dan mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di SK Kebakat, SK Pengkalan Kubor 1 dan SK Kok Keli.

Setakat 3 petang, paras air di empat sungai walaupun menurun, masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.43 meter (paras bahaya 9.00 meter).

Paras air di Sungai Kelantan iaitu di Tambatan Diraja, Kota Baharu dilaporkan berada pada paras 5.12 meter (paras bahaya 5.00 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai merekodkan bacaan 25.09 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah mencatatkan bacaan 16.82 meter (paras bahaya 16.00 meter).

Keadaan cuaca dilaporkan mendung. - Bernama


Bayi lemas terlepas dukungan ibu semasa redah banjir


Kuala Krai: “Arus yang sangat deras meranapkan bumbung rumah tempat kami berlindung sekali gus menghanyutkan kami.

“Ketika itulah bayi saya terlepas dukungan,” kata Suhana Muhamad Abdul Ghani, 34, ibu malang yang kehilangan bayi berusia 20 bulan dipercayai lemas akibat banjir.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Nor Adriana Adila Asrol Afendi berada dalam dukungan Suhana ketika dia bersama lima anaknya dan ibu bapanya mahu menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Kuala Bertam, di sini, dinaiki air.

Katanya, ketika menyedari air naik hampir tiga meter, mereka sekeluarga mengambil keputusan memanjat bumbung rumah dan berlindung di situ sehingga menunggu bantuan tiba.

Bagaimanapun, kejadian malang berlaku apabila arus deras meranapkan rumah keluarga berkenaan dan turut menghanyutkan mereka.

“Suami tiada di rumah ketika itu kerana bekerja, malah kami pun tidak sempat ke tempat lain dan hanya memikirkan bumbung rumah kerana air naik dengan cepat.

“Dalam keadaan hanyut dibawa arus deras itu, anak bongsu dalam dukungan terlepas. Saya diselamatkan ibu yang menarik tangan saya untuk berpaut pada dahan pokok rambutan.

“Lima anak yang lain juga berpaut pada dahan sama sebelum kami diselamatkan penduduk kampung lapan jam kemudian,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Batu Jong, di sini, semalam.

Menurut Suhana, akibat kejadian itu, anak ketiganya Nor Erini Nazirah, 9, patah tangan kanan akibat tersepit pada dahan pokok.

Katanya, anak sulungnya Ayuni Natasha, 16, menghubungi suaminya, Asrol Afendi Yusof, 40, bagi memaklumkan kejadian itu.

“Mujur telefon bimbitnya masih boleh digunakan. Suami menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang masih sedih mengenang nasib anak bongsunya.

Sementara itu, Asrol Afendi berkata, usaha mencari dan menyelamatkan Nor Adriana Adila diteruskan pihak berkuasa.

Remaja maut dalam banjir selepas diserang sawan



TUMPAT - Seorang remaja mati lemas apabila terjatuh dalam air banjir selepas diserang sawan di halaman rumahnya di Kampug Teluk Jering, di sini pagi tadi.

Mangsa, Che Muhamad Che Hasan, 17, yang cuba diselamatkan ibunya, Kalsom Ismail, 56, tetapi gagal.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi mangsa turun di halaman rumah bersama ibunya yang dinaiki air sedalam satu meter.

Menurut portal banjir kerajaan negeri Kelantan, mangsa banjir kini ditempatkan di 108 pusat pemindahan berbanding 90 malam tadi, yang dibuka di semua sembilan jajahan - Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Gua Musang, Tumpat dan Bachok.

Setakat pukul 8 pagi, paras air di lima sungai menurun namun masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.51 meter (paras bahaya 9.00 meter).

Paras air di Sungai Kelantan iaitu di Tambatan Diraja, Kota Bharu dilaporkan berada pada paras 5.34 meter (paras bahaya 5.00 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai merekodkan bacaan 25.94 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah merekodkan bacaan 17.38 meter (paras bahaya 16.00 meter).