4 Apr 2014

[KES CULIK] Bekas KM Sabah Tawar RM500 Sesiapa Dapat Tampar Zahid Hamidi


Pencabulan keselamatan : Yong menawarkan RM500 untuk tampar Zahid

KOTA KINABALU : Bekas Ketua Menteri Sabah Yong Teck Lee menawarkan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi semasa dia datang melawat Sabah sekali lagi kerana telah secara serius (kementeriannya) gagal menjaga keselamatan pantai timur Sabah.

Tahun lepas Yong juga telah menawarkan RM500 kepada sesiapa sahaja yang dapat menampar Zahid kerana Zahid mendakwa tiga pemimpin pembangkang menjadi dalang dalam serangan Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu. Zahid, yang ketika itu Menteri Pertahanan telah membuat tuduhan-tuduhan ini pada malam pengundian awal oleh pasukan keselamatan dan ahli keluarga mereka. Beliau berkata beliau akan mendedahkan nama-nama tersebut selepas pilihan raya umum tetapi Zahid lansung tidak berbuat demikian.

Sambil menyifatkan politik Zahid sebagai sakit, Yong berkata semalam : "Saya kini menawarkan RM500 lagi untuk tamparan ke atas Menteri Dalam Negeri itu. Kali ini kerana pencabulan terhadap keselamatan (semalam )".

Yong melahirkan kekecewaan beliau terhadap penculikan terkini seorang pelancong wanita dari China dan seorang pekerja Filipina oleh sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjata.

Kejadian itu berlaku pada jam 10.30 malam pada malam Rabu. Wanita itu sedang bercakap di telefon bimbitnya di serambi Singahmata Reef Resort di Semporna tidak jauh dari pulau Bum-Bum yang dihuni kebanyakaannya oleh kaum Bajau dan Sulus.

Yong berkata: "Saya juga hari ini menawarkan RM1, 000 kepada mana-mana Ahli Parlimen BN yang sanggup membawa usul ke parlimen bagi memotong gaji Menteri Dalam Negeri (Ahmad Zahid Hamidi) , Menteri Pertahanan (Hishamuddin Hussein) dan Ahli Parlimen Semporna (Shafe Apdal) untuk menunjukkan kemarahan rakyat Sabah terhadap kegagalan yang berulang-ulang pihak kerajaan persekutuan di dalam memenuhi tangungjawab perlembagaan bagi melindungi Sabah dan rakyatnya."

Beliau mengingatkan bahawa keselamatan merupakan satu janji yang dibuat kepada Sabah untuk menyertai Malaysia pada tahun 1963. Yong juga meramalkan bahawa beberapa pegawai persekutuan akan sekali lagi memberi alasan pantai yang panjang, kekurangan sumber dan kekurangan kerjasama daripada rakyat.

"Seperti yang saya telah berkali-kali beritahu, satu-satunya kekurangan adalah tiadanya pegawai tertinggi yang dipertanggungjawabkan apabila berlaku satu-satu kesalahan. Perkara yang paing baik untuk dilakukan sekarang terhadap pegawai tertinggi Polis dan Tentera di Sabah, termasuk pengarah Esscom, adalah meminta (mereka) dipindahkan keluar dari Sabah," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa selepas pencabulan keselamatan terakhir di Pom Pom November lalu, polis telah mengumumkan bahawa dua lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan-penculikan ditangkap.

"Tetapi selepas itu lansung tiada apa lagi yang didengari mengenai kedua-dua lelaki sejak itu. Pencabulan peraturan keselamatan mendatang kerugian yang sukar diperbaiki terhadap ekonomi Sabah disamping merosakkan imej Sabah yang akan mengambil masa lama untuk pulih semula," kata Yong. -FMT/Terjemahan bebas oleh GB


Bekas KM Sabah: Tampar Zahid dapat RM500

Insiden penculikan terkini melibatkan warga asing di Sabah mendorong bekas ketua menteri negeri itu menawarkan ganjaran wang untuk sesiapa yang dapat menampar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Ini ekoran kenyataan timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya pusat peranginan di pulau terpencil ditutup ekoran faktor keselamatan.
Datuk Yong Teck Lee menjanjikan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar menteri itu ekoran kegagalan keselamatan, yang menyebabkan warganegara China dan Filipina dijadikan tebusan lelaki bersenjata dalam insiden terbaru.
Selain itu, presiden Parti Maju Sabah (SAPP) juga menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana anggota Parlimen untuk mengusulkan pemotongan gaji menteri dalam negeri, menteri pertahanan dan menteri pembangunan luar bandar.
“Ini untuk tunjukkan kemarahan rakyat Sabah berhubung kegagalan berterusan kerajaan persekutuan menunaikan tanggungjawab perlembagaan untuk melindungi Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Wan Junaidi mengeluarkan cadangan penutupan resort terpencil ekoran tiada sesiapa dapat menjamin keselamatan tempat itu ekoran kedudukannya.
“Polis dan tentera tidak boleh berada di sana setiap masa,” beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.
-mk



Pelancong China diculik lelaki bersenjata di Sabah

Seorang pelancong China dan seorang pekerja sebuah pusat peranginan telah diculik di Sabah oleh kumpulan lelaki bersenjata.

Menurut laporan West China Metropolis Daily, ia berlaku di Singamata Reef Resort malam tadi.

Akhbar tersebut memetik pengurus hotel tersebut yang hanya dikenali sebagai Vicky sebagai berkata lima hingga enam orang bersenjata menyerbu pusat peranginan itu pada kira-kira jam 10.30 malam dan lari dengan menaiki bot sejurus kemudian.

Pelancong wanita China itu dikenali sebagai Gao Huayun yang berusia dalam 20-an dari Shanghai manakala pekerja wanita hotel tersebut adalah dari Filipina.

Pagi hari ini, akhbar tersebut melaporkan semua 61 tetamu, 59 daripadanya warga Cina, memutuskan untuk keluar dari pusat peranginan tersebut.

Foto-foto di talian menunjukkkan para pelancong berkumpul di sebuah bilik makan, dan foto lelaki beruniform dengan rifel dan memakai jaket kalis peluru, kemungkinan anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Dilaporkan polis tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 11 ​​malam, selepas wanita itu dilarikan dengan bot.

Seorang wartawan dari West China Metropolis Daily yang bercuti di Semporna, merupakan orang pertama yang memecahkan berita tersebut, yang kemudiannya tersebar luas selepas dipetik oleh akhbar-akhbar Ckina yang lain.

Sebuah gambar nota beliau juga telah dimuat-naik.

Menurut wartawan tersebut, pelancong berkenaan mendakwa kumpulan lelaki bersenjata itu turut melepaskan beberapa das tembakan.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata pegawai kedutaan China di Malaysia telah menemui Pesuruhjaya Polis Sabah dan menteri pelancongan negeri itu, dan menggesa mereka mengesahkannya dan menyiasat kejadian itu dengan segera.

Para pegawai kedutaan itu dalam perjalanan ke pulau peranginan itu yang terletak di sebelah tenggara Sabah, tambah Xinhua.

EssCom sahkan kejadian itu

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dijangka ke Semporna berhubung perkara itu dan mengadakan sidang akhbar di Kota Kinabalu pada pukul 4 petang ini.

Seorang pekerja di Singamata Reef Resort, yang dihubungi Reuters, mengesahkan penculikan itu berlaku, tetapi enggan bercakap lanjut.

Wartawan yang berpejabat di Kota Kinabalu mendakwa bahawa polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, laporan Bernama menyatakan EssCom telah mengesahkan kejadian itu.

Ketua Pengarah (Kawasan Keselamatan Khas) Pantai Timur Sabah EssCom, Datuk Mohammad Mentek berkata penculikan itu berlaku pada kira-kira jam 10.30 malam.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan untuk memberikan laporan penuh.

Insiden terbaru datang itu berlaku ketika ketegangan tercetus di China berhubung pengendalian Malaysia terhadap krisis kehilangan MH370.

Kerajaan telah membelanjatakan berjuta-juta ringgit untuk meningkatkan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah ekoran serangan berdarah oleh puak Sulu di Lahad Datu awal tahun lepas.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditembak mati dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Semporna.

Dia kemudian diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina di selatan pulau Sulu.
-mk


ULASAN GB

Maka berjalanlah hukum kebenaran dan ekadilan.... menteri yang celupar mulutnya itu dah nak kena tempeleng... apabila dia melawat Sabah nanti.

Kedua, macam kebetulan pula, beliau ialah Naib Presiden UMNO manakala tawaran yang sama juga diberikan kepada dua orang lagi yang juga Naib Presiden UMNO iaitu Hishamuddin dan Shapie Apdal....

Ketiga, berjuta wang rakyat dibelanjakan untuk EssCom demi mengawal keselamatan Pantai Timur Sabah namun sia-sia, kes penculikan masih berlaku juga! Something wrong somewhere(?) Apa taknya bekas KM Sabah itu mengamuk...

[MEMALUKAN NEGARA] Najib Cabut Lari Elak Jawab Soalan, Tak Layak Jadi PM Lagi!


Najib kecut berdepan media asing, beri imej buruk pada negara

KUALA LUMPUR 3 APRIL : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengelak daripada menjawab soalan media antarabangsa disifatkan sebagai pengecut sekaligus memberi imej buruk kepada Malaysia.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, Najib seharusnya lebih bersikap terbuka dan profesional dalam mendepani media antarabangsa berhubung kes kehilangan pesawat MH370.

Fahmi“Bila mengelak, gambaran buruk kepada Malaysia bahawa kita mempunyai Perdana Menteri yang takut dan pengecut.

“Jangan hanya sekadar membaca teks yang disediakan. Seorang perdana menteri perlu lebih bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan oleh media tempatan mahupun antarabangsa.

“Macam mana sekalipun kalau tidak tahu jawapan yang tepat untuk menjawab soalan yang dikemukakan, terus terang, cakap ‘saya tak pasti dan akan memberi kenyataan dengan lebih lanjut nanti’. Itu lebih baik daripada terus mengelak daripada mereka,” katanya ketika dihubungi.

Najib dalam sidang media ketika lawatannya di Perth Australia dilapor hanya membaca kenyataan akhbar dan terus meninggalkan majlis selepas pihak media mula bertanya soalan.

Beliau juga tidak menjawab soalan daripada media sejak sidang media pertamanya berkenaan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Fahmi berkata, ketakutan Najib terhadap media asing disebabkan mereka lebih terbuka berbanding media arus perdana yang dikawal kerajaan di negara ini.

“Sepatutnya PM itu sendiri kena berani berdepan dengan media antarabangsa. Suara beliau itu perlu didengari rakyat, dan apa yang keluar daripada mulut perdana menteri itu ditunggu rakyat,

“Tapi bila Najib mengelak untuk menjawab soalan daripada media, ia jelas menunjukkan Najib takut dengan mereka.

“Mana tidaknya, selama ini hanya dikawal oleh media pro kerajaan sahaja, tapi kali ini berdepan dengan media yang lebih terbuka,” ujarnya. -KD


Di Perth, Najib terus elak soalan media

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Australia berhubung peranannya mencari pesawat MH370 dalam lawatannya ke Perth hari ini.

Beliau bagaimanapun sekali lagi mengelak menjawab soalan.

Dalam sidang media yang disiarkan langsung oleh CNN menunjukkan Najib membaca kenyataan akhbar dan terus meninggalkan majlis selepas pihak media mula bertanya soalan.

Kecuali sidang media pertamanya selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu hilang pada 8 Mac, beliau tidak pernah terlibat dalam sesi soal jawab bersama media berhubung isu itu.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott turut membuat kenyataan dalam acara bersama Najib. Beliau juga meninggalkan sidang media selepas Najib berbuat demikian.

“Di saat-saat sukar ini, Australia membuktikan dirinya sebagai rakan yang tidak ternilai.

“Pihak berkuasa Australia, seperti banyak lagi, menawarkan bantuan tanpa teragak-agak atau bertangguh lagi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Australia atas apa yang telah dilakukan dan akan dilakukan, untuk mencari pesawat itu,” kata Najib membaca kenyataannya dalam sidang media itu. [Baca berita penuh]

Berikut Bernama melaporkan kenyataan penuh perdana menteri sidang media di Perth, Australia

Saya ingin memulakan bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus berusaha mencari MH370.

Sepanjang tiga minggu lepas, beratus-ratus orang telah mengharungi perjalanan beribu-ribu kilometer untuk membantu. Mereka telah melakukan pencarian dalam keadaan laut bergelora, berkabus dan suhu amat sejuk.

Mereka belayar dalam keadaan ribut petir untuk mencari pesawat. Kita terhutang budi kepada setiap seorang daripada mereka.

Ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan, telah menyatukan negara-negara dari seluruh dunia. Semasa MH370 didapati hilang, berpuluh-puluh negara menjawab seruan bagi bantuan. Komitmen mereka tidak akan dilupakan.

Tatkala berdepan tragedi ini – bagi negara-negara yang warganegara mereka berada dalam pesawat ini, dan keluarga yang anggota keluarga tersayang mereka hilang - kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita.

Perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Kehilangan MH370 merupakan insiden yang tidak pernah dialami sebelum ini; begitu juga dengan misi pencarian ini.

Pagi ini saya berjumpa dengan anggota tentera laut dan tentera udara di Pangkalan Udara Pearce. Saya juga berbual dengan komander dari tujuh negara yang berada di sini untuk misi mencari MH370.

Mereka memberitahu saya tentang kesukaran misi pencarian seperti ini; dari segi jarak, dan cuaca, dan untuk mengekalkan semangat jitu untuk tempoh yang lama.

Ketika ini, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi mengesan sebarang petanda berhubung pesawat yang hilang. Kawasan pencarian amat luas, dan keadaannya bukan mudah.

Tetapi kawasan pencarian baharu yang telah dikecilkan memberikan kita harapan baharu. Dan saya percaya semangat dan keberanian adalah setara dengan tugas itu. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka sedang lakukan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Tony) Abbott kerana menjadi hos kepada kami di sini di Perth; atas persetujuan untuk mengetuai operasi mencari di selatan Lautan Hindi; dan sudi menerima undangan kami untuk Australia turut serta sebagai Wakil Bertauliah dalam penyiasatan ini.

Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Australia untuk mengggariskan persetujuan komprehensif berhubung pencarian ini.

Pada waktu sukar ini, Australia terbukti sahabat yang amat bernilai. Pihak berkuasa Australia, seperti banyak negara lain, telah menawarkan bantuan mereka tanpa teragak-agak atau lewat. Saya dengan penuh ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Australia bagi semua yang mereka telah lakukan, dan sedang lakukan, untuk mencari pesawat.

Kami juga amat berterima kasih kepada mereka yang telah membawa bersama-sama pakar mereka untuk merungkai apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri Abbott sebagai ‘satu daripada misteri paling luar biasa pada masa kini'.

Kehilangan MH370 telah menguji azam kolektif kita untuk menyelesaikannya. Berdepan dengan begitu sedikit bukti, menjadikan tugas amat sukar, para penyiasat dari Malaysia, AS, UK, China, Australia dan Perancis telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk mendedahkan pergerakan pesawat. Usaha kolektif mereka telah membawa kita ke sini.

Kami berada di sini hari ini, tetapi ingatan kami berada beribu-ribu kilometer jauhnya. Di bandar raya-bandar raya dan negara-negara di seluruh dunia, tatkala anggota keluarga kepada mereka yang berada dalam pesawat sedang resah menunggu berita. Dan tentang betapa luasnya Lautan Hindi, tempat MH370 sedang menunggu.

Saya tahu selagi pesawat itu tidak ditemui, banyak keluarga tidak boleh mula berkabung. Saya tidak dapat bayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui. Tetapi saya boleh berjanji kepada mereka yang kami tidak akan berputus asa dan mengalah. Terima kasih.
-mk


ULASAN GB

Dengan tindakan sedemikian (mengelak untuk menjawab waertawan) tindakan itu bukan saja memalukan negara malah menjelaskan bahawa Najib sudah tidak layak untuk menjadi PM.

Kita tunggu hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya.

Mahathir Sanggup Lakukan Apa Saja Untuk Pastikan Matlamatnya Tercapai - Sarjana


Dr Mahathir sanggup bunuh hayat Umno - sarjana

KOTA BHARU: Seorang sarjana Sains Politik menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh "political animal" yang menepati banyak ciri pemerintah seperti disarankan Machiavelli.

Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, berdasar penelitian kerjaya bekas Perdana Menteri itu, ternyata beliau mampu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan segala matlamatnya tercapai.

Katanya, sebagai pengamal prinsip "matlamat menghalalkan cara", tiada perkara yang mustahil dalam kamus politik beliau.

“Contoh paling klasik kesanggupannya membunuh hayat Umno sebagai parti politik di mahkamah serta kesanggupannya mencipta pelbagai alasan untuk menamatkan kerjaya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas.

“Beliau mungkin merasakan matlamat untuk mengharamkan Umno boleh tergugat sekiranya Saleh Abas masih kekal sebagai Ketua Hakim Negara,
” katanya di sini.

Baru-baru ini pada program Diskusi anjuran kerajaan negeri di sebuah hotel di sini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendakwa beliau juga pernah cuba dipalitkan isu seks.

Menurutnya pihak yang lantang mengkritiknya ketika itu menuduh beliau melakukan seks dengan budak.

“Dakwaan Musa terlibat seks dengan budak. Itu gila... tidak betul. Kalau engkau tidak berhenti dikatakan ada orang mahu mengancam.

“Kalau saya lawan, maka saya akan dituduh seorang homoseksual malahan mengadakan hubungan jenis dengan binatang. Orang lain yang kata itu, bukan Dr Mahathir,” kata Musa.


Dr Kamarul Zaman berkata, dakwaan sebagaimana disebut Musa tiada yang pelik kerana tragedy itu benar-benar berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi dalam kes ugutan menuduh rakan politik dengan tuduhan salah laku seks pada saya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

“Malah ia sesuatu yang normal untuk dilakukan seorang ahli politik yang tidak mempedulikan aspek moraliti dalam perjuangan,” ujarnya.

Menurutnya juga Dr Mahathir diketahui umum menyimpan banyak rahsia musuh-musuh politiknya untuk digunakan sebagai senjata bagi memastikan mereka tidak menentangnya. -HD



Papagomo Bakal Disaman Lagi Kerana Berbohong Di Mahkamah -updated with video


Palsu keterangan: Lagi saman untuk Papagomo

KUALA LUMPUR - Blogger kontroversi, Papagomo bakal berdepan dengan tindakan mahkamah atas penafian bahawa dirinya sebelum ini pernah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini menafikan bahawa beliau telah menaiki kapal selam Scorpene tersebut dan dia boleh disaman kerana memberi keterangan palsu.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya di Parlimen semalam telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Wan Deris berada di atas kapal selam Scorpone pada 9 Disember lalu.

"Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Wan Deris.


"Semasa memberi keterangan di dalam kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

"Namun jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah.


"Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

"Oleh itu, saya dan Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan pada hari Selasa 8 April ini.

"Saya juga akan menfailkan saman terhadapnya atas fitnah di blognya yang mendakwa saya dipecat daripada Petronas kerana pecah amanah," katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini berkali-kali telah menafikan bahawa dirinya adalah Papagomo. -SH


Menteri pertahanan sahkan Papa Gomo naik kapal selam Scorpene

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan identiti blogger Papa Gomo sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dilaporkan menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011 sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima) 2011.

Pengesahan itu dibuat melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang meminta menteri pertahanan menyatakan tarikh dan tahun bila seseorang bernama Wan Muhammad dibenarkan menaiki kapal selam Scorpene.

Dalam jawapan bertulis tersebut, Hishamuddin memaklumkan Papa Gomo atau Wan Muhammad bersama wakil media lain menaiki kapal selam Scorpene bagi tujuan perkongsian maklumat.

"Wan Muhammad Azri Wan Deris (No KP:830121-03-5019) menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011 sempena Lima 2011," kata Rafizi dalam kenyataannnya yang memetik jawapan bertulis tersebut semalam.

Susulan daripada jawapan itu, Rafizi menyelar blogger tersebut kerana menafikan indentitinya sebagai Papa Gomo dan tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

Rafizi berkata, jawapan menteri pertahanan itu mengesahkan Wan Muhammad berbohong kepada mahkamah.

"Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

"Kesalahan ini boleh dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan boleh ditahan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Rafizi berkata, semasa memberi keterangan dalam kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya Wan Muhammad menyatakan dirinya tidak pernah berada dalam kapal selam tersebut.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan pada Selasa minggu depan (8 April, 2014) supaya tindakan segera dapat diambil terhadap Papa Gomo.

“Saya ingin melihat sama ada pihak polis akan mengambil tindakan menahan Papa Gomo serta merta di bawah Seksyen 193 dan mahkamah mengenakan hukuman penjara yang sewajarnya terhadap Papa Gomo,” katanya

Selain itu, katanya, beliau akan memfailkan saman terhadap Wan Muhammad atas fitnah terhadap dirinya di blog Papa Gomo yang mendakwa punca beliau dipecat daripada Petronas adalah kerana pecah amanah.
-TMI



ULASAN GB

GB sudah tulis berulangkali sebelum ini bahawa: "papagomo pasti binasa". Hukum Kebenaran dan Keadilan sendiri akan menghukum orang yang memfitnah.

Sekarang beliau tidak boleh lari lagi. Fakta sudah jelas. Dulu, mahkamah sudah putuskan papagomo itu ialah Wan Muhammad Azri, sekarang menteri sendiri sudah mengesahkannya.

Jadi usah nak berbeiit menyatakan "Muka macam saya. Tapi bukan saya" seperti yang tersiar di Utusan.