26 Feb 2014

[BERGAMBAR & VIDEO] Selamat Jalan Syabas! Akhirnya Selangor Ambil-alih Syarikat Konsesi Air


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat bagi membolehkan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu dengan suntikan dana RM2 bilion bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.

MOU berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor itu ditandatangani di Kompleks Perdana Putra,Putrajaya.

Memorandum tersebut ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan detik bersejarah tersebut.


Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2.

“Alhamdullillah, penstrukturan air Selangor akhirnya tercapai. Ucapan terima kasih kepada Menteri KETTHA atas kerjasama yang diberikan,” kata Abdul Khalid.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.

Ekoran daripada pengambil alihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan. -selangkorku





ULASAN GB

Tahniah kerjaaan PR Selangor. Akhirnya berjaya juga untuk mengambil-alih syarikat konsesi air di Selangor demi kepentingan seluruh rakyat Selangor!

Syabas juga diucapkan kerana kejaaan kerajaan Selangor menawan SYABAS yang selama ini berdolak-dalik dan memperkotak-katikkan rakyat Selangor.

Terkedu lagi macai UMNO yang beberapa hari ini menjadi isu air Selangor sebagai bahan politik mereka untuk menghentam kerajaan PR Selangor.

KEBENARAN & KEADILAN akan tetap menang melawan KEBATILAN & KEZALIMAN. Yakinlah!!

Rancangan Gulingkan Najib Berjalan - Mahathir & Daim Terus Serang Najib

Berita 1: Status berpendapatan tinggi tidak bermakna Malaysia maju sepenuhnya, kata Dr Mahathir

Arkitek Wawasan 2020, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi tidak bermakna menjadi negara membangun sepenuhnya seperti digambarkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, menjadi sebuah negara maju bukan semata-mata mencapai pendapatan per kapita tinggi tetapi ditakrifkan dengan kecanggihan masyarakatnya.

"Setengah orang, secara mudah mentakrifkan menjadi negara maju adalah dengan mencapai pendapatan per kapita USD12,000 dan KDNK yang tinggi. Ini tidak cukup untuk melayakkan kita menjadi negara maju.

"Bagi saya, menjadi sebuah negara bukan semata-mata mencapai pendapatan per kapita tinggi tetapi juga kecanggihan masyarakatnya," katanya di hadapan pelajar di Manchester, United Kingdom hujung minggu lalu.

Najib sebelum ini meletak sasaran negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan menggariskan beberapa polisi dan insentif sejak mengambil alih pemerintahan Putrajaya.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir mengkritik Putrajaya.

Januari lalu, beliau berkata, pelaburan asing langsung (FDI) yang menyumbang kepada pergantungan Malaysia kepada pembinaan dan buruh asing murah tidak akan membantu negara menjadi maju.

Dr Mahathir mengakui amalan tersebut berjalan sejak pemerintahannya, bagaimanapun berkata dalam blognya bahawa usaha meneruskan tradisi tersebut hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi atas kertas sahaja.

"Untuk negara menjadi maju, kita perlu kepelbagaian. Membina bangunan menakjubkan dan pencakar langit tidak akan menjadikan kita sebuah negara maju tidak kiralah berapa pun pendapatan per kapita atau KDNK," katanya.

Dr Mahathir semasa berucap dalam majlis anjuran United Kingdom & Eire Council of Malaysian Students pada Ahad lalu berkata, jika Malaysia bergantung kepada status maju berasaskan pendapatan per kapita, ia masih tidak sama tahap dengan negara seperti Arab Saudi.

"Jika kamu berpegang kepada anggaran itu, maka negara paling maju adalah Arab Saudi. Tapi anda tahu, Arab Saudi tidak dianggap sebagai negara maju.

"Sebaliknya, kita perlukan industri. Kita perlukan pemikir. Kita perlukan kemudahan. Infrastruktur kita perlu hebat. Semua ini perlu dimiliki sebelum menjadi negara maju sepenuhnya," katanya.

Dr Mahathir memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1991 untuk meletakkan Malaysia di landasan menjadi sebuah negara "perindustrian dan maju sepenuhnya" menjelang 2020.

Ia termasuklah kekayaan ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan nasional dan sosial.

"Minta maaf saya katakan, tapi kita tidak ke arah itu. Kita terlalu fokus kepada pendapatan per kapita. Saya benci untuk katakan ini, tetapi menjelang 2020, kita mungkin tidak mencapai status sebuah negara maju sepenuhnya,” katanya.

Dalam ucapannya lagi, Dr Mahathir juga menggesa supaya belia tidak menjadi hamba mengikut cara Barat, menyifatkan terlalu cenderung ke arahnya menyebabkan pemikiran orang ramai masih lagi dijajah.

"Barat menyumbangkan banyak idea hebat kepada dunia. Mereka mampu ke bulan, ruang angkasa lepas dan sebagainya.

"Tapi adakah kita perlu mengikuti apa saja mereka lakukan," katanya ketika menyampaikan ucapan mengenai peranan belia negara di era globalisasi.

Dr Mahathir berkata, dunia menjadi sebuah perkampungan global kecil dan menggesa belia agar tidak memisahkan diri mereka dengan tidak menjadi seorang yang bebas.

"Apabila kamu mengikut idea Barat, nilai dan amalan, kamu bukanlah bebas sepenuhnya.

"Menjadi bebas bermakna anda dapat berfikir dengan sendirinya," kata dan menambah belia Malaysia patut tahu menerima perkara betul dan salah.

Malah, masyarakat juga perlu menghormati hak majoriti untuk memerintah dan juga hak minoriti untuk membantah, tetapi bukan sehingga ke tahap untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kerajaan dipilih oleh majoriti. Oleh itu, mereka yang menentang kerajaan pastinya adalah minoriti.

"Jika minoriti itu dibenarkan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh majoriti, maka tidak ada demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama mesti belajar untuk hidup antara satu sama lain.

"Jika mereka tidak belajar untuk bertolak ansur antara satu sama lain atau mahu merebut segala-galanya untuk diri mereka sendiri, maka akan ada konflik dan ketidakstabilan di negara ini.

"Jika negara tidak stabil, ibu bapa anda tidak akan dapat menghantar ke luar negara belajar kerana mereka tidak boleh memperoleh wang di Malaysia,” katanya. Beliau berkata, rakyat Malaysia hidup dengan aman dan harmoni, maka mereka perlu membentuk pemikiran sendiri, idea dan nilai moral agar tidak menjadi terhutang budi kepada Barat atau orang lain. -TMI

ARTIKEL 2

Utamakan kestabilan, bukan mandat, kata Daim kepada Putrajaya

Keamanan dan kestabilan adalah dua perkara terpenting yang dimahukan rakyat Malaysia selain agen provokasi yang perlu dihapuskan, kata bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Daim berkata, kerajaan sedia ada bukan sahaja perlu memikirkan untuk mengekalkan mandat sedia ada tetapi juga dasar kepimpinan.

"Undang-undang sedia ada memadai untuk mengawal perkara ini. Jika terdapat pihak yang cuba mencetuskan kontroversi, mereka perlu ditangani.

"Jika ia lambat ditangani maka akan ada pihak cuba mengambil kesempatan," katanya dalam satu wawancara bersama KiniBiz.

Berbicara tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Daim berkata akar umbi dan rakyat mempunyai impian yang sama iaitu mahu melihat kepimpinan yang kuat.

Katanya, Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan agama maka terdapat pelbagai isu sensitif berlingkar dalam negara.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, ramai yang berasa Najib seorang pucuk pimpinan yang rapuh atau kurang tegas.

“Sebagai pemimpin, beliau harus tahu mengawalnya selain pasukan terbaik untuk menasihati bagaimana berdepan dengan isu yang tidak boleh diselesaikan secara individu,”
katanya.

Beliau berkata, Kabinet yang kuat diperlukan dan mereka yang memahami sejarah Malaysia dapat menjangkakan masalah yang berlaku berbanding terus mengambil tindakan.

Katanya, perancangan yang baik akan memperlihatkan kepada rakyat arah yang ingin dituju dan jika rakyat berasa orientasinya sesuai, mereka akan memberi sokongan.

“Pertama kali dalam sejarah, warga asing dan tempatan melihat secara serius situasi politik di Malaysia. Jika anda melihat orang luar menulis tentang Malaysia, ia bermakna mereka mula curiga terhadap kestabilan negara.

“Rakyat mahu melihat dan berasa selesa bersama Putrajaya sebaliknya majoriti rakyat berasa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini, Daim menyifatkan pilihan raya itu tidak perlu diadakan dan membazir dana rakyat.

Katanya, calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang lemah dan tidak berupaya menyelesaikan pelbagai masalah.

“Anwar sendiri tidak diundi ke dalam PKR tetapi mempunyai banyak pengaruh dan kuasa. Beliau memutuskan apa yang perlu dilakukan kepada pemimpin parti terpilih.

“Sama ada media memuji atau mengkritik, ia membuatkan Anwar gembira kerana masih mendapat liputan,” katanya.

Berhubung isu kalimah Allah, Daim berkata perkara itu tidak seharusnya menjadi pertikaian kerana tidak wujud permasalahan seumpama itu di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan Islam kini sedang menerima ancaman sebaliknya menyifatkan ahli politik yang gemar membesarkan isu tersebut.

“Kenapa tiba-tiba bawa isu ini ke Semenanjung Malaysia dan menjadikannya masalah besar?

“Mendapatkan sokongan dengan membangkitkan isu agama adalah perbuatan bodoh. Kita selalu hidup aman damai dan persoalan agama tidak pernah dibangkitkan,”
katanya.

ULASAN GB

"Serangan" Mahathir & Daim ke atas kepimpinan Najib seperti yang dilaporkan di atas semacam mengesahkan apa yang Pengarah Strategi PKR dedahkan beberapa minggu lalu yang mencetuskan "Rencana Kajang".

Apabila "rahsia" itu bocor, diberitakan Matahir telah memanggil satu mesyuarat khas untuk membincangkannya.

"Semasa mesyuarat itu, seorang bangkit berkata Anwar bertanding Kajang sebab nak jadi menteri besar, tak boleh jadi perdana menteri jadi menteri besar sajalah. Apa dia boleh buat.

"Kemudiaan Tun Daim Zainuddin bangun, dia marah. Dia kata kamu tidak kenal Anwar, kamu tidak kenal dia, Anwar kalau dia ambil menteri besar, nazak Umno," kata Anwar menjelaskan situasi yang berlaku semasa mesyuarat tersebut. -petikan TMI


Dan dari maklumat yang tersebar: keputusannya - teruskan usaha gulingkan Najib! Hal Anwar kita selesaikan kemudian.

Wallahu alam.

[PANAS] Kadir Jasin Hentam Ridhuan Tee Isu Anwar Masuk Gereja - Ulasan GB


Melayu jijik babi, tapi tidak ambil berat halal haram, kata Kadir Jasin

Masyarakat Melayu amat jijik dengan babi, namun tidak mengambil berat berkenaan halal atau haram sumber makanan mereka, kata Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press itu dipetik berkata, masyarakat Melayu tidak begitu peduli jika sumber makanan mereka diperolehi sama ada dengan cara haram atau rasuah.

"Tapi ramai tidak peduli sangat kalau makanan halal diperoleh secara haram atau dibeli dengan pendapatan haram macam rasuah," katanya, mengulas berkenaan rencana Dr Ridhuan Tee Abdullah di akhbar Sinar Harian berkenaan babi dan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar berceramah di gereja baru-baru ini.

Kadir berkata, sekiranya interpretasi Ridhuan mengenai Anwar yang berceramah di gereja begitu teruk, beliau lebih teruk daripada Anwar kerana pernah belajar selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar.

"Mengenai masuk gereja pula, kalau itulah interpretasi Ridhuan, saya lagi teruk daripada bakal calon yang Ridhuan kritik itu," katanya merujuk kepada Anwar.

"Saya masuk gereja ketika bersekolah selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar. Bukan masuk gereja untuk sembahyang Kristian, tetapi berlindung daripada bahang panas musim kemarau. Saya juga masuk gereja untuk ziarah kenalan Kristian yang mati.

"Ketika belajar kewartawanan di New Zealand, saya tinggal seminggu di rumah seorang paderi Gereja Anglican. Di rumah beliaulah saya belajar mengenai “grace” atau doa sebelum makan,"
katanya.

Ridhuan dalam rencananya menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai “liberal dan keterlaluan”.

"Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir.

"Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka," memetik rencana Ridhuan.

Kadir berkata, tiada salahnya Anwar berucap di gereja, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut masuk ke kuil untuk sambutan perayaan Thaipusam.

"Jadi apalah salahnya bakal calon masuk berucap dalam gereja atau melawat kuil.

"Perdana Menteri kita, Najib Razak pun buat masa perayaan agama-agama bukan Islam siap dengan pakaian sekali. Inilah 1Malaysia,"
katanya.

Anwar bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang dan akan melawan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim. -TMI

Usah berpolitik di rumah ibadat bukan Islam

LUAR biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam.

Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka. Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!

Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti pernah saya lakukan membantu membawa ibu ke tokong untuk dia sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan lain-lain, ihsan anak kepada orang tua.

Tetapi jika masuk sekadar suka-suka atau mendapat mileage politik, pada saya, ia perlu difikirkan. Kenapa sebelum ini tidak pernah lakukan? Adakah pemahaman kita dahulu terhadap Islam tidak seliberal hari ini?

Ingat! Jangan terlalu bersangka baik, sedangkan orang lain sebaliknya. Minggu lalu, rakan Kristian saya beritahu keadaan sebuah gereja di Jalan Kelang Lama. Seorang pastor India dari Singapura dijemput menyampaikan syarahan, bermula jam 7.30 – 11.30 pagi, yang dihadiri lebih 1,000 orang Cina Kristian.

Syarahan itu penuh dengan emosi dan memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu. Beliau menceritakan bagaimana orang Cina disembelih di Singapura ketika kependudukan Jepun.

Pastor tersebut menambah, perkara sebegini tidak mustahil berlaku kepada orang Cina di Malaysia tidak lama lagi. Pastor itu merujuk kepada penyembelihan yang akan dilakukan oleh orang Melayu terhadap orang Cina.

Peliknya bagaimana pastor tersebut boleh memberi syarahan sedemikian rupa di sini, sedangkan beliau adalah warga Singapura? Sejarah kependudukan Jepun di Tanah Melayu, termasuk Singapura, perlu difahami secara mendalam, bukan dengan emosi dan kecetekan ilmu.

Negara Jepun–China mempunyai sejarah permusuhan yang panjang sehingga ke hari ini. Kedua negara ini pernah berperang dan saling berdendam. Kesempatan menduduki Tanah Melayu (1941-1945) telah dipergunakan oleh Jepun sepenuhnya untuk membalas dendam terhadap orang Cina. Kebetulan mangsanya adalah Cina yang berada di Tanah Melayu.

Bagi menyelamatkan diri, orang Cina lari ke hutan dan menyertai parti komunis (MPAJA atau Bintang 3). Jepun terus memburu Cina. Orang Cina bertindak balas dan Jepun semakin marah.

Sebab itu, dari dahulu saya katakan, sejarah membuktikan, perjuangan komunis MPAJA bukan untuk memerdekakan Tanah Melayu. Tetapi membalas dendam terhadap Jepun.

Sejarah ini cuba diputar-belitkan dengan segelintir Cina yang mengatakan, MPAJA adalah pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan tugu peringatan MPAJA telah didirikan di Taman Peringatan Nilai. Malangnya, pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa walaupun ramai pakar sejarah telah bersuara.

Kenyataan paderi tersebut sekali lagi bercanggah dengan fakta sejarah. Pihak Imigresen mesti bertindak terhadap orang sebegini, kerana mengancam keselamatan negara.

Berdasarkan pengalaman berceramah di Singapura, kita tidak dibenarkan sama sekali menyentuh isu-isu sensitif, sekalipun fakta itu benar. Misalnya, kekejaman Amerika-Israel, Yahudi, sejarah Singapura-Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu di sana. Persoalannya, kenapa kita boleh biarkan orang luar berceramah tanpa garis panduan?

Saya yakin bukan Melayu di sini mendapat pembelaan walau tidak sepenuhnya, berbanding Singapura. Kira berapa banyak bilangan rumah ibadat berbanding dengan penganutnya, sehingga menenggelamkan penganut agama majoriti. Kadangkala dalam lingkungan satu kilometer, terdapat hampir 10 rumah ibadat. Bagaimana dengan Singapura?

Justeru, saya memohon kepada sesiapapun yang ingin bertanding di Kajang, jangan kerana terlalu obses untuk menang, kita menggadaikan segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk mendapat undi dan nafsu serakah politik.

Ingatlah, sekali maruah dan hak tergadai, sukar untuk dicari ganti.
-SH


ULASAN GB

Ulasan GB ringkas sahaja, nampaknya untuk membela UMNO dan menghentam Anwar, Ridhuan Tee mengambil sikap lebih Melayu dari orang Melayu sendiri.

Kita tak hairan dengan sikap Ridhuan Tee ini kerana seperti kata Kadir Jasin dia pun tak kisah sumber rezekinya halal atau haram. Satu tembakan tepat mengena kepada Ridhuan Tee yang menciplak thesis orang tapi naik pangkat dengan sumber yang haram!


ISU WWW1: Nizar Menang Lagi, Selepas Ke Atas Utusan Kini Ke Atas TV3

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) hari ini menang saman fitnah yang dikemukakannya terhadap stesen televisyen TV3 berhubung posting Twitter beliau yang mengatakan Sultan Johor menggunakan wang rakyat bagi membida nombor pendaftaran kereta WWW1.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamad Arif Yusof, membenarkan rayuan Nizar, berkata plaintif berjaya membuktikan kes kebarangkalian yang seimbang.

"Perintah Mahkamah Tinggi adalah dengan ini mengenepikan dan kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi bagi penaksiran ganti rugi,"katanya.

Arif berkata Mahkamah Tinggi yang menolak saman Nizar tidak boleh dikekalkan dan TV3 bertanggungjawab.

Beliau berkata pembelaan justifikasi gagal dan TV3 tidak berjaya membuktikan kebenaran atau sebahagian kebenaran dalam laporan mereka.

"Malah, ada niat jahat oleh defendan dalam laporan mereka," katanya.

Mahkamah juga memerintahkan bayaran RM30,000 sebagai kos.

Pada 12 April, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Yeoh Wee Siam menolak dakwaan Nizar bahawa TV3 memfitnah beliau.

Dalam penghakiman bertulis beliau, hakim memutuskan TV3 memperlihatkan justifikasi pembelaan terhadap semua fakta dan hujah yang dibangkitkan kedua-dua belah pihak.

"Saya berpendapat defendan berjaya dalam pembelaan mereka berdasarkan justifikasi. Pembelaan justifikasi adalah pembelaan yang lengkap. Oleh itu, berdasarkan faktor ini, tuntutan plaintif patut dibuang," katanya dalam kenyataan penghakiman bertulis sebanyak 30 muka surat.

Bagaimanapun, Yeoh turut meneliti hak keistimewaan pembelaan dan pembelaan Reynolds yang digunakan oleh stesen penyiaran itu.

Menggunakan ujian kemunasabahan yang digariskan dalam kes di United Kingdom, Reynolds melawan Times Akhbar Ltd, Yeoh berkata, TV3 tidak mengamalkan amalan kewartawanan yang dipertanggungjawabkan kerana ia tidak mengesahkan tweet berkenaan dengan Nizar atau meminta sebarang komen daripadanya.

Beliau sebelum itu berkata, adalah jelas bahawa laporan berita TV3 itu mempunyai kepentingan awam dan bertanggungjawab untuk menyiarkannya.

Pada Julai 2012, Nizar memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan penerbit TV3 Rohani Ngah di atas berita laporan 30 Mei 2012 yang didakwa boleh ditafsirkan dalam beberapa maksud, termasuk beliau melakukan hasutan, pengkhianat kepada Sultan Johor dan mengbangkitkan kebencian orang ramai kepada pemerintah Johor.

Nizar juga memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap penerbit Utusan Melayu (M) Berhad ke atas laporan mengenai tweet, di mana saksi daripada kedua-dua pihak telah memberi keterangan minggu ini, penghujahan lisan akan didengar di mahkamah pada 7 Jun. – TMI

ULASAN GB

Pada 30 Ogos 2012, Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur telah memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd membayar gantirugi kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman yang difailkan ke atas penerbit akhbar tersebut.

Kini menang lagi, ke atas TV3 pula.

Allah memperkenankan doa GB dan kita semua. Sebelum ini GB pernah menulis:

Kini episod WWW1 melibatkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Kumpulan akhbar yang sama memainkan peranan untuk memburukkan pimpinan PAS.

Digendangkan secukup-cukupnya untuk menghasut rakyat Johor supaya membuat laporan polis dan hasilnya terdapat 49 laporan polis dibuat. Diberitakan 30,000 berhimpun (itu angka BERNAMA, GB kata dulu jika perhimpunan itu melibatkan UMNO, ia perlu dibahagikan 10, iaitu 3,000) di istana Johor untuk menunjukkan kesetiaaan kepada Sultan Johor.

Demikian jeleknya kewartawanan longkang amalan kumpulan akhbar Utusan. Mencari makan dengan menulis berita berunsur fitnah, bergambar lucah dan seumpamanya sudah menjadi resam mereka.

Dari pemerhatian GB, hukum kebenaran dan keadilan akan menghantar Utusan & TV3 ke tong najis akhirnya.

Kita akan sentiasa berdoa agar Allah memberikan pengajaran kepada kumpulan akhbar & media ini.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

Amin Ya Allah Amin Ya Rabbail 'alamin.