13 Feb 2014

Mahathir Bodek PAS Tapi Allahyarham Ust Fadzil Nor Telah Berpesan....

Dr M: Sudah masanya PAS jadi MB S'gor

Bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya wakil rakyat PAS menjadi menteri besar Selangor kerana parti itu mempunyai 15 kerusi, mengatasi PKR yang hanya menguasai 14 kerusi di Selangor.

Menurutnya, PKR wajar menyerahkan kerusi itu kepada PAS agar jawatan MB tidak dilihat dikuasai satu parti semata-mata, lapor Sinar Harian hari ini.

Kenyataan itu dibuat Mahathir ketika ditanya mengenai kemungkinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi MB yang baru jika menang pilihan raya kecil Kajang.

"PAS berhak untuk (mengisi) kerusi (menteri besar) itu. Tidak bolehlah dikuasai satu parti sahaja.

"Mereka bukan mcam BN, jumlah terbesar (ialah) UMNO, sebab itu pemimpin UMNO diangkat jadi perdana menteri.

"Tetapi dalam Selangor bukan PKR yang punya kuasa terbesar jadi tidak patutlah mereka bolot jawatan itu untuk selama-lamanya,"katanya. -mk

ULASAN GB

Berikut GB petik dari FB Marhar Yusof

"Musuh bila dia sokong kita...mesti ada yang tak kena..."
~Al Marhum Ustaz Fadhil Noor

Tambahan pula yang sokong ialah Tun Mahathir tentulah ada sesuatu. Masakan Tempua Bersarang Rendah.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor pernah mengharapkan Tun Mahathir akan panjang umurnya untuk melihat kerosakan yang pernah dilakukannya..


Sekalipun saranan Tun Mahathir itu agak menyenangkan hati beberapa kerat ahli dan pemimpin PAS terutama di Selangor, namun berwaspadalah. PAS usah berebut untuk jadi MB atau PM. Dengan apa yang ada kini bersyukur dan buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh. Pepatah menyatakan "one in the hand worth two in the bush." Tak perlu tamak, tak perlu gopoh.

Apabila telah layak, dengan sendirinya hukum kebenaran dan keadilan akan meletakkan pemimpin PAS sebagai MB malah PM sekalipun.

Ingat pesanan daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberikan kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita ingin Allah menolong kita, maka jangan berebutkan jawatan itu. Jangan gopoh. Kita telah belajar di Terengganu dan Kedah.

Syabas Rebecca, Usah Peduli Apa Orang Kata

Rabecca Dapat Hidayah Bertudung Di Mekah

elakon Rabecca Nur Al-Islam sudah pun berhijab sejak menunaikan ibadah Umrah di Mekah pada 31 Januari lalu bersama suami serta 38 ahli keluarganya yang lain.

Rabecca, 28, berkata, sepanjang berada di Mekah, dia cukup selesa dengan pemakaian hijabnya sehinggalah ketika pulang ke tanah air, dia nekad mahu kekal dengan imej tersebut.

"Sepanjang menunaikan Umrah, saya rasa cukup selesa dengan berhijab dan ketika pulang ke tanah air pada Isnin lalu, rasa pelik pula apabila tidak berhijab.

"Kemudian saya nekad mahu kekal berhijab. Lagipun memang dari dahulu lagi saya berniat mahu menutup aurat. Alhamdulillah, Allah memberi hidayah kepada saya ketika di Mekah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Rabu.

Tambah Rabecca, dia kini berasa lebih tenang selepas melakukan penghijrahan dalam hidupnya selain sudah menutup aurat.

Dalam pada itu dia juga bersyukur apabila suaminya turut memberikan sokongan terhadap perubahannya dalam menjadi seorang wanita Muslim yang lebih baik.

Sementara itu, ditanya pula mengenai komen-komen negatif beberapa pihak yang menyifatkan dia sengaja mahu menunjuk-nunjuk kerana memuat naik video-video dia mengaji di Mekah, Rabecca berkata, dia tidak kisah dengan kritikan tersebut

Kata Rabecca, tujuan dia memuatkan pelbagai video dia sedang mengaji kerana begitu teruja apabila dapat melakukannya di Mekah, di mana tidak semua orang berpeluang berbuat demikian.

"Sedikit pun saya tidak mempunyai niat mahu menunjuk-nunjuk. Perasaan saya teruja apabila dapat mengaji di Mekah di mana selama ini rutin itu hanya dilakukan di rumah.

"Rasa teruja itu sama seperti kita bercuti di negara orang, itu sahaja. Bagaimanapun saya langsung tidak kisah dengan kritikan itu kerana sudah lali dengan cemuhan orang," ujarnya. -mstar

ULASAN GB

Syabas Rebecca, asalkan niatmu baik, usah pedulikan kritikan orang. Sebab orang yang mengkritikmu itu belum tentu lebih baik dari dirimu.

Kepada suamimu, tahniah diucapkan dan teruskan usaha membimbing isterimu menjadi seorang wanita solehah.

Hadith Nabi s.a.w.

"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah". (Riwayat Muslim)

Semakin Jelas BN Bakal Kejang Di Kajang

PRK Kajang: Lagi lambat umum calon, lagi rugi BN

SHAH ALAM – Sebulan dari sekarang, penamaan calon bagi PRK Dun Kajang bakal berlangsung, namun sehingga kini BN masih belum mengumumkan siapa calonnya yang bakal bertanding melawan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tarikh PRK sudah pun diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu lalu iaitu pada 23 Mac depan.

Menurut pemerhati politik, Dr Maszlee Malik kelewatan pengumuman itu memberi kemenangan moral buat PKR.

“Sedikit sebanyak ia memberi kemenangan moral kepad PKR yang nampaknya sudah bersiap sedia. Semakin lambat pengumuman calon BN, ia akan menimbulkan spekulasi. Ini tak bagus untuk PRK.

“Lebih-lebih lagi timbulnya...di pihak Umno nak hantar wakil, MCA nak hantar wakil, Senator Datuk S Nallakarupan pun nak bertanding. Di sini kita nampak ketidakseragaman,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, meskipun PR turut kelihatan tidak sefahaman sebelum ini, namun pakatan pembangkang itu sempat menyusun strategi kembali.

Beliau juga menyebut peluang BN untuk menang agak tipis oleh itu, BN perlu menempatkan calon yang sekurang-kurangnya mampu mengurangkan majoriti undi yang dimenangi PKR sebelum ini.

“Pemilihan calon itu agak kritikal. Presiden BN nak cari yang sesuai kerana yang nak dilawan adalah Ketua Pembangkang. Jadi, peluang untuk menang itu agak tipis bagi BN sebenarnya.

“Mereka perlu cari calon yang kuat. Yang kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya yang dapat minimakan majoriti yang PR menang sebelum ini,” katanya.

Ketika ditanya siapa yang mungkin dipilih sebagai calon untuk bertanding di Dun Kajang, beliau akui masih belum nampak siapa yang paling sesuai.

“Setakat ini masih tak nampak lagi siapa bakal calonnya. Sebab kita pun tak tahu sama ada calon yang nak bertanding itu Umno ke MCA? Perkara itu pun tak putus lagi.

“Lagi satu, ia menunjukkan Umno Selangor ini kekurangan tokoh-tokoh dan nampak mereka tidak begitu kuat untuk menghadapi perkara seperti ini,” katanya. -SH

ULASAN GB

PRK Kajang ada hikmahnya, bagi orang-orang yang dapat "melihat".

Kini semakin nyata BN terkedu (dan bakal terkujat) untuk mencari calon bagi menentang DSAI di Kajang.

Bukan soal DSAI menang atau kalah, tetapi persoalan BN yang kini amat tertekan untuk mencari calon bagi PRK di Kajang.

BN bakal kejang di Kajang, bukan sekadar itu, permulaaan kekejangan BN bermula di Kajang!

[ULANGSIAR] Pendirian Kita Terhadap Isu Liwat 2

Ramai bertanya kenapa GB sibuk-sibuk sokong Anwar, kenapa GB sibuk sangat menyatakan apa yang berlaku di dalam kes liwat ini sebagai satu konspirasi. Kenapa GB tak percaya sumpah Saiful di dalam isu liwat?

Pendirian GB di dalam isu liwat 2 adalah jelas bahawa kita bukan menyatakan Datuk Seri Anwar itu bersih sebersihnya. Tetapi, dari sudut undang-undang Islam beliau termasuk di kalangan orang yang terkena zalim.

Bermula dari isu liwat 1 pada tahun 1998, kita sudah dapat melihat ketidak-adilan di dalam melayani pihak tertuduh. Kita PERLU bangun dan tegak berdiri menentang ketidak-adilan dan kezaliman itu, seandainya tidak, bererti kita mengakui dan meredhai ketidak-adilan dan kezaliman itu berlaku.

Apa yang pernah diucapkan oleh Presiden PAS di dalam isu Anwar pada tahun 1999 perlu dijadikan bahan renungan dan ia merupakan satu penegasan pendirian.


Sempena Perbicaraan Kes Liwat DS Anwar Ibrahim
Sikap PAS Kes DS Anwar 1998

Soalan : Mengapakah PAS beria-ia benar mempertahankan DSAI, sedangkan beliau adalah manusia biasa dan tidak lari dari melakukan dosa seperti zina dan liwat. Apakah PAS mempunyai bukti kukuh bahawa sememangnya DSAI tidak melakukan kerja tersebut.

Jawapan:

PAS adalah Parti Islam, sandarannya mestilah mengikut ajaran Islam. PAS mestilah menghukum mengikut ajaran Islam. Perkara "kemungkinan" yang tersembunyi adalah bukan urusan kita. Ini berpandukan kepada Hadith Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami menghukum apa yang zahir, hanya Allah sahaja yang mengendalikan apa yang tersembunyi. Perkara yang tersembunyi kepunyaan Allah dan akan dibicarakan dihari akhirat"

Jadi disini kita hanya menghukum apa yang zahir sahaja. Mengikut kaedah hukum hudud, seseorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan zina dan liwat dengan adanya ikrar secara sukarela secara rasmi dihadapan hakim, sebanyak 4 kali. Sabda Rasulullah SAW lagi:

"Hukum hudud di tolak sekiranya ada kekeliruan"

Ini bermakna bahawa pengakuan ikrar tersebut mestilah dengan kerelaan hati tanpa di paksa sebanyak 4 kali(mengikut mazahab hanafi). Didalam hal ini juga Islam lebih menggalakkan sesorang itu bertaubat dengan Allah kerana itu lebih afdal daripada ianya dijatuhkan hukuman didunia. Perkara ini berpandukan kepada hadith nabi SAW ketika peristiwa yang berlaku keatas Maiz bin Malik.:

Maiz bin Malik datang mengadap Rasulullah SAW dan berkata:"Hukumlah aku ,kerana aku telah berzina" ketika itu Rasullah tidak mengambil perhatian keatas permintaan Maiz. Kemudian beliau datang lagi kepada Rasulullah dan mengatakan "Hukumlah aku, kerana aku telah berzina". Kemudian Rasullah bertanya adakah kamu mabuk atau gila? Sahabat mengatakan bahawa beliau tidak mabuk atau gila. Selepas itu Azan asyar dilaungkan dan Maiz bin Malik bersolat asar bersama Rasulullah. Selepas solat Asar beliau datang lagi kepada Rasulullah dan berkata". Hukumlah aku kerana aku telah berzina". Rasulullah menjawab "Bukan kah kamu telah bersolat bersama-sama dengan ku tadi, mudah-mudahan kamu Allah mengampun dosa kamu. Beliau berkata "Ya,saya telah solat asar tadi, tetapi, hukumlah saya kerana saya telah berzina" Kemudian Rasulullah bertanya "adakah kamu telah kawin?" Beliau menjawab "ya". Lalu Rasulullah menjatuhkan hukum rejam sampai mati kepada beliau. Ketika hukuman dijalankan beliau lari dan dikejar oleh para sahabat dan merejamnya hingga mati.

Apabila berita ini dikabarkan kepada Rasulullah SAW beliau murka dan berkata:
"mengapa kamu mengejar beliau, mungkin beliau bercadang untuk menarik balik pengakuanya"

Kesimpulannya disini, seseorang yang membuat pengakuan ikrar, kemudian ketika hukuman dijalankan dan pengakuan itu ditarik balik, maka hukumanya digugurkan. Hukum hudud terhadap kesalahan zina dan liwat boleh juga disabitkan dengan 4 orang saksi yang adil. Ini berpandukan Firman Allah di dalam surah An-Nur yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang menuduh perempuan(termasuk lelaki) zina atau liwat dan tidak boleh mendatangkan 4 saksi, maka orang yang menuduh itu dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 kali. Dan jangan diterima orang yang menuduh ini sebagai saksi kerana mereka ini adalah orang yang fasik."

Syarat-syarat sebagai saksi pula adalah seperti berikut:

1.Islam

2.Adil (tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan dengan dosa kecil serta tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah)

3. Lelaki(dalam kes zina dan liwat orang perempuan tidak boleh menjadfi saksi)

4. Setiap saksi mestilah melihat perkara tersebut pada masa yang serentak.

Dalam kes zina dan liwat para ulamak bersepakat bahawa ujian DNA dan tayangan video adalah tidak boleh dijadikan sebagai bukti untuk mensabitkan kesalahan. Walaupan begitu ujian DNA di bolehkan untuk mengugurkan tuduhan.

Jelaslah dari hujjah diatas bahawa pertuduhan yang dilakukan terhadap DSAI tidak diselesaikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Dan inilah hujjah yang menjuruskan PAS menentang kezaliman yang dilakukan terhadap DSAI, walaupun satu ketika dulu DSAI adalah musuh no.2 PAS..... ini berpandukan Firman Allah yang bermaksud:

"Janganlah dengan sebab kamu kebencian kepada sesuatu kaum maka kamu tidak berlaku adil. Berlaku adil lah kamu, kerana itu lebih hampir kepada Taqwa"....
Ingat-ingatlah....

Wallahua'lam.

sedutan dari jawapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika Majlis Dailog di Kg.Gelugor Kedai, Marang Terengganu-1999


Disitu keindahan dan keadilan Islam.

Rakyat terutama bukan-Islam dapat menyaksikan, tanpa menggunapakai hukum Islam, rupa-rupanya sesuatu kes itu boleh dieksploitasikan untuk mewujudkan konspirasi.

Persoalan qazaf (empat orang saksi) apatah lagi untuk mendapatkan empat orang yang dipercayai - akhirnya menjadi bahan kajian kepada pemikir bukan-Islam dan akhirnya mereka memperakui Islam jauh lebih adil dan tidak mungkin dapat dikalahkan oleh undang-undang sekular yang boleh dimanipulasikan untuk pihak berkepentingan.

Segala-galanya dari Allah. Demikian juga kes liwat Anwar. Untuk mengajar manusia bahawa Islam itu agama kebenaran dan keadilan dan tiada yang lebih indah dan lebih baik dari "celupan" Allah. Celupan Allah tiada siapa yang boleh mengatasinya walaupun sekalian penduduk bumi berkonspirasi untuk melawannya.

"Celupan Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghah (celupan)nya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah." (QS. Al-Baqarah : 138)