30 Mei 2014

[GAMBAR & VIDEO] Fenomena Dyana Sofya - Kemunculan Politik Baru Di Malaysia


Apa saja tentang Dyana 'terlaris' di Teluk Intan

ANALISIS Sama ada kalah atau menang selepas pilihan raya kecil Teluk Intan bakal berakhir tengah malam esok, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud sudah menjadi 'ikon' dalam masa hampir dua minggu kempen berlangsung.

Masakan tidak, di tengah-tengah kehangatan pertembungan antara biru 'BN' dan merah 'DAP', mencuri perhatian orang ramai di sekitar Teluk Intan adalah kelibat baju-T merah berkolar bulat yang terpampang lakaran bayang wajah Dyana Sofya Mohd Daud di tengah-tengahnya.

Di bawah wajah Dyana itu tertera namanya dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Sementara bahagian belakang baju-T itu pula tertera capaian Facebook laman kempen beliau.

Baju-T itu kelihatan dipakai ramai penyokong Pakatan Rakyat pada acara-acara kempen mereka tanpa mengira umur, jantina atau kaum dan ia juga bukan diedarkan secara percuma.


Baju-T itu yang dijual oleh DAP pada harga RM10 untuk semua saiz itu tanpa disedari bertindak sebagai papan iklan mudah alih buat Dyana.

Sesetengah penyokong Dyana kadangkala akan memintanya menurunkan tandatangan pada baju tersebut jika mereka terserempak dengannya sewaktu beliau berkempen.

Tindakan mengabadikan wajah Dyana pada baju-T itu secara tidak langsung menjadikannya seolah-olah sebaris dengan beberapa personaliti utama Pakatan Rakyat dalam masa dua minggu sahaja.

Selain Dyana, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, dan Nurul Izzah Anwar adalah di antara personaliti Pakatan yang wajah mereka juga diabadikan dengan cara yang sama pada baju-T penyokong Pakatan selama ini.

Mungkin mengambil isyarat daripada kelarisan produk itu, DAP semalam turut bertindak melancarkan satu buku tulisan Dyana Sofya berjudul 'Di Sini Bermula' walaupun tempoh kempen tinggal sehari sahaja lagi.

Buku dengan wajah Dyana berpakaian kemeja putih sebagai muka depan itu laris di kalangan penyokongnya walaupun ia sekadar memuatkan rampaian 11 rencana dan kenyatan media beliau.

Sebanyak 200 naskhah buku itu yang dijual pada harga RM20 setiap satu, habis disambar hadirin ceramah di padang sebelah Bank OCBC, Jalan Mahkota, semalam.

Sama ada kalah atau menang selepas pilihan raya kecil Teluk Intan bakal berakhir tengah malam esok, barang Dyana Sofya terbukti 'baik' dan laku di bandar ini! -mk


Surat terbuka untuk orang Teluk Intan - Dyana Sofya

Tuan/puan orang Teluk Intan yang baik budi,

Dua minggu sudah begitu memerah tenaga, namun sangat mengujakan. Sejak dinamakan oleh DAP sebagai calon pilihanraya kecil Teluk Intan, saya melalui pelbagai pengalaman dalam masa dua minggu ini jika dibanding dengan usia 27 tahun saya.

Dengan tiba-tiba saya menjadi tumpuan menteri-menteri UMNO yang tidak dapat menahan diri daripada memberi komen tentang rupa paras saya. Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu tuan-tuan supaya jangan undi saya hanya sebab saya memakai gincu. Datuk Zahid Hamidi pula berkata saya ini tidak lah cantik sangat jika jumpa berdepan. Datuk Ahmad Maslan pula menekankan bahawa isterinya sendiri, bahkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman pun boleh menang jika ini satu pertandingan ratu cantik.

Rupa paras saya langsung tidak penting dalam pilihanraya kecil yang sangat penting ini. Saya tidak masuk DAP untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Saya menyeru orang Teluk Intan untuk menilai saya melalui nilai, prinsip dan impian saya untuk Malaysia yang lebih baik. Saya mahu memenangi pilihanraya ini bukan kerana rupa paras, tapi kerana kebolehan saya untuk membawa perubahan dalam lanskap politik Malaysia di Parlimen.

Lawan politik saya telah menyerang dengan ganas dan bersembunyi di sebalik blog-blog yang menyokong Barisan Nasional, dan juga risalah-risalah yang menfitnah saya dengan menggunakan gambar palsu dan tuduhan-tuduhan tidak berasas tentang moral dan etika saya. Sewaktu melawat beberapa pasar malam, saya bertemu beberapa pembuli dari kalangan penyokong UMNO yang mengejek-ejek, menggangu malah cuba menghalang laluan kempen.

Terdapat menteri yang malah turut menyebarkan penipuan bahawa saya bukan seorang peguam dan tidak mempunyai ijazah undang-undang. Walaupun saya telah membuktikan bahawa saya telah diiktiraf sebagai peguam pada tahun 2011, itu nampaknya tidak relevan bagi BN, yang begitu terdesak untuk menang dengan apa cara sekali pun.

Serangan paling jahat datang daripada seorang bekas menteri yang menuduh saya ini seorang pengkhianat Melayu. Jelas sekali mereka tidak peduli bahawa pengkhianat sebenar orang Melayu adalah pemimpin BN yang menyalahgunakan kuasa, memperkayakan kroni dan sanak saudara serta melakukan rasuah yang merugikan kita semua.

Taktik kotor dan jahat oleh pihak lawan tidak akan mematahkan semangat saya untuk memperjuangkan hak kesemua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang terpinggir dan didiskriminasi. Saya tidak akan merasa lemah semangat dan saya tidak akan menjadi pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

Sementara pemimpin UMNO melabel saya sebagai pengkhianat orang Melayu, pemimpin Gerakan pula menyerang saya kononnya saya ini ekstremis Melayu kerana dakwaan hubungan saya dengan pertubuhan Perkasa. BN terus melakukan pendekatan pecah dan perintah di mana mereka memberi mesej berbeza kepada kaum-kaum yang berbeza.

Biar saya jelaskan di sini. Pada waktu saya diminta ibu saya untuk membantu dengan tugas-tugas mendaftarkan peserta atau memakaikan bunga kepada VIP sewaktu penubuhan Perkasa ketika saya masih seorang mahasiswa lebih 5 tahun lalu, saya tidak terlibat dengan aktiviti Perkasa, dan saya juga bukan seorang ahli. Bahkan ibu saya sendiri menjauhkan diri daripada Perkasa dan tidak lagi aktif setelah beliau tidak bersetuju dengan aktiviti dan prinsipnya.

Saya membesar dalam keluarga UMNO dan melihat sendiri bagaimana Perkasa berfungsi, dan ini meyakinkan saya bahawa DAP mempunyai platform dan nilai-nilai terbaik demi memperjuangkan negara Malaysia yang lebih demokratik, adil dan makmur dari segi ekonomi.

Saya yakin bahawa Malaysia telah rosak akibat 57 tahun poltik perkauman melalui sistem pecah dan perintah oleh BN. Saya sedih melihat bagaimana pemimpin BN dan proksi mereka seperti Perkasa menghasut rakyat pelbagai kaum untuk membenci sesama sendiri, berbanding berjuang demi kebaikan sesama sendiri.

Saya mahu buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa bukan hanya orang Cina yang boleh membantu orang Cina, bukan hanya Melayu yang boleh membantu Melayu, dan bukan hanya orang India boleh membantu orang India.

Saya ingin menunjukkan contoh, demi membina sebuah negara di mana seorang Melayu boleh membantu seorang Cina, seorang Cina boleh membantu seorang India dan seorang India boleh membantu seorang Melayu. Impian saya adalah untuk MeMalaysiakan semula Malaysia.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas budi baik dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada saya oleh orang Teluk Intan. Sambutan hangat dan kasih sayang dari semua kaum – Melayu, India dan Cina memperkukuhkan keyakinan saya terhadap masyarakat negara ini, serta memperkuatkan keazaman saya untuk berjuang demi Malaysia.

Dengan sokongan pengundi Teluk Intan, saya berharap dapat menunaikan janji saya untuk berpindah dan tinggal di daerah yang begitu indah dan bersejarah ini. Saya berjanji untuk memberikan khidmat bakti kepada anda dengan penuh komitmen dan dedikasi, dan memastikan ngauman Teluk Intan menggegarkan Parlimen Malaysia.

Dyana Sofya Mohd Daud



ERA DYANA SOFIA : MUNCULNYA POLITIK BARU DI MALAYSIA

Satu trend baru kelihatan dalam masa berkempen PRK Kawasan Teluk Intan ialah kecondongan kepimpinan parti komponen Pakatan Rakyat untuk menonjolkan golongan muda supaya bergiat cergas dalam politik. Perkembangan ini amat jelas kelihatan pada kepimpinan PAS ataupun DAP mahupun PKR. Dan tentunya amat berbeza dengan ‘fahaman’ yang masih ditonjolkan oleh UMNO (BN) yang masih berpaut kepada cara lama ia itu seolah-olah mengenepikan orang muda. Dengan sebab itulah sekiranya Dyana mengikut jejak langkah ibunya menyertai puteri UMNO berkemungkinan beliau tidak akan dapat menduduki tempat sebagaimana beliau diletakkan oleh DAP kini.

DS Anwar Ibrahim, TG Haji Hadi dan YB Saudara Lim Kit Siang nampaknya telah mengorak langkah yang luar biasa memberikan perhatian khusus kepada anak muda. YB Lim misalnya telah mempertaruhkan tindakannya dengan pengorbanan yang bukan kecil meletakkan Dyana bertanding di PRK Teluk Intan. Seorang calon muda. Melayu. Masih dikira tidak berpengalaman dalam sepak terajang politik, tetapi ‘disuruh’ bertanding di situ. Menunjukkan bahawa YB Saudara Lim Kit Siang telah ‘memperjudikan’ masa hadapan politiknya. Pastinya ada suara-suara sumbang yang menentang tindakannya itu. Namun disebabkan keyakinannya untuk mengenengahkan anak muda sebagai calon maka keputusan terpaksa dibuat.

Melalui gerak gerinya, dapat ‘dibaca’ bahahwa sememangnya beliau sangat mengharapkan kemenangan Dyana, kerana kemenangan itu nanti akan membawa kepada implikasi yang amat besar. Melalui gerak gerinya juga dapat ‘dibaca’ bahawa sememangnya hasrat YB Lim Kit Siang berusaha untuk ‘memadamkan’ tanggapan banyak pihak yang mengatakan bahawa partinya DAP adalah parti milik orang Cina. Tetapi dengan mengemukakan Dyana sebagai calon, gambaran sedmikian sudah mula agak pudar. Dan akan lenyap sekiranya Dyana menang dalam PRK nanti dengan undian dari berbagai kaum yang dapat membuktikan dengan jelas bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak memihak kepada mana-mana kaum di Malaysia..

Aku yakin kemenangan Dyana nanti (Insyallah) akan merupakan titik tolak dalam pembentukan satu rupa bangsa Malaysia yang akan dicorakkan oleh anak muda dengan restu dan bimbingan ‘orang tua’ yang berpengalaman. Aku perhatikan tindak tanduk YB TG Haji Hadi adalah luar biasa sekali dalam PRK Teluk Intan ini. “kemesraan’ dan hubungan ‘bapak-anak’ yang ditonjolkannya terhadap Dyana adalah merupakan sesuatu yang luar biasa. Aku tidak tahu apakah tarikan yang ada pada anak gadis ini yang menyebabkan seolah-olah TG Haji Hadi sanggup memberikan sokongan PAS yang tidak berbelah bagi pada DAP untuk memenangi PRK ini.

Dengan kehadiran dan penglibatan DS Anwar Ibrahim sudah cukup memberikan bukti bahawasanya ketiga-tiga kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengharapkan kemenangan DAP dalam PRK. Seolah-olah kemenangan itu nanti akan merupakan kemenangan calon muda yang akan mencorak dan menentukan masa depan politik negara.

Anak-anak muda di seluruh negara sudah dapat ‘membaca’ dan memerhati bahawa sebenarnya Pakatan Rakyat sedang melatih dan membimbing anak-anak muda supaya terjun ke kancah politik. Dan sememangnya PRU 14 nanati adalah PRU yang akan ditentu dan dimiliki oleh anak muda. Anak muda akan menjadi penentu segalanya. Dengan demikian kepimpinan Pakatan Rakyat telah mengorak langkah dengan menampilkan orang muda untuk ditonjolkan menduduki kerusi di parlimen atau di dewan undangan negeri nanti.
-abuhassanadam

















IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





5 ulasan:

gel pelangsing perut berkata...

boleh pilih tuh cakap benar

Tanpa Nama berkata...

Dah ada problem sikit. Pengundi Cina dah ramai swing kesan sabotaj DAP Perak. Kita perlu gandakan usaha untuk tawan pengundi Melayu.

Tanpa Nama berkata...

Ada juga UMNO yang bagi komen menipu disini, kalau tak menipu bukan UMNO namanya

Tanpa Nama berkata...

Kami anak muda macam Kajang juga, tolak UMNO dan BN

Tanpa Nama berkata...

Teruskan imej bertudung dan berpakaian sopan, kekal imej dan sikap yg baik pasti jd ikutan