27 Feb 2014

[PANAS] Penyumbang Dana UMNO Sabah, Michael Chia Dihukum Penjara Dan Sebatan

Ahli Perniagaan, Chia Thien Foh atau lebih dikenali sebagai Micheal Chia dikenakan hukuman penjara setahun dan satu sebatan selepas disabitkan bersalah dalam skandal penipuan bernilai RM 2.5 juta sepuluh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus semalam memutuskan pihak pembelaan gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan mensabitkan tertuduh bersalah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Ketika memberi alasan penghakiman, Elsie menyatakan dalam kes ini saksi telah menyatakan bahawa tertuduh telah meminta wang daripadanya untuk pengeluaran surat membalak di mana salah satu sebab ialah sebagai wang dana politik kepada parti Umno.

Bagaimanapun menurutnya perkara ini sememangnya akan menjejaskan imej parti politik tersebut kerana saksi pendakwaan telah mengesahkan bahawa Parti Umno tidak memohon dana politik tersebut. Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Joyce Blasius.

Mahkamah telah membenarkan permohonan peguambela tertuduh, Rowiena Rashid untuk membuat penangguhan perlaksanaan hukuman sementara membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Micheal Chia didakwa telah cuba menipu Datuk Agus Hassan daripada Syarikat Peluamas Sdn Bhd pada June 2004 dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa terdapat tiga syarat yang perlu dipatuhi bagi mendapat surat berkaitan operasi membalak Coupe BW12/02; Extraction and Purchasing of Commercial Timber di Hutan Simpan Kalabakan, Sabah iaitu:

i) Menyerahkan semula hak pembelian balak sebanyak 100,000 meter padu yang ditandatangani pada 25 May 2004 kepada Rakyat Berjaya Sdn Bhd/Innoprise Corporation Sdn Bhd, syarikat subsidiari kepada Yayasan Sabah;
ii) Membayar RM3 juta kononnya untuk tujuan dana politik kepada Parti Umno Sabah, dan
iii) Membayar komisen RM 25.00 per meter padu bagi setiap meter balak yang dikeluarkan Syarikat Peluamas Sdn Bhd di Gunung Rara Forest Reserve (Benta Wawasan Coupe).

Tertuduh didakwa telah secara curang cuba memperdayakan Agus Hassan melalui Chong Siak Nyen untuk menyerahkan Surat Wakil Kuasa bertarikh 22 June 2004 yang telah menyerahkan semula hak pembelian balak sebanyak 100,000 meter padu kononnya kepada suatu syarikat yang dimiliki oleh Parti Umno Sabah dengan membayar RM 2.5 juta komisen kepada Parti Umno Sabah kononnya sebagai dana politik.

Menurut laporan, Chia telah ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong dan didakwa di bawah AMLA dengan cuba menyeludup RM40 juta ke Malaysia pada tahun 2008.

Dilaporkan Chia telah memberitahu pihak berkuasa Hong Kong, wang itu kepunyaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Tetapi pada Oktober 2012, SPRM berkata Chia tidak pernah ditahan di Hong Kong. -FMT Borneo

Michael Chia dihukum: PKR gesa siasatan terhadap Musa Aman dibuka semula


PKR menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berikutan hukuman penjara dan sebatan terhadap peniaga balak, Michael Chia semalam.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, kejayaan pendakwaan SPRM terhadap Chia membuktikan SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan berjaya.

"Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?

"Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut ahli Parlimen Pandan itu, fakta kes tersebut sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat daripada ICAC di Hong Kong yang menunjukkan memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

"Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia terutama apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

"Apatah lagi apabila Datuk Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu," kara Rafizi.

Rafizi sebelum ini pernah membuat laporan kepada SPRM terhadap Nazri dan keluarganya dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya daripada tuduhan rasuah.

Rafizi juga memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video yang menunjukkan keluarga Nedim yang merupakan anak Nazri menggunakan kenderaan mewah Chia.


Video itu menunjukkan perjalanan Hummer dari kediaman kondominium mewah di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan tinggal di rumah tersebut.

Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu isterinya.

Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan sebagai kenderaan “menyimpan barang”.
-TMI


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Menurut laporan, Chia telah ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong dan didakwa di bawah AMLA dengan cuba menyeludup RM40 juta ke Malaysia pada tahun 2008.

Dilaporkan Chia telah memberitahu pihak berkuasa Hong Kong, wang itu kepunyaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Tetapi pada Oktober 2012, SPRM berkata Chia tidak pernah ditahan di Hong Kong. -FMT Borneo

Mana yang betul antara "Chia telah ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong" dan "SPRM berkata Chia tidak pernah ditahan di Hong Kong".

pakej umrah murah 2014 berkata...

bagus!