21 Ogo 2013

UMNO Hilang Kewarasan, Kitar Semula Pemimpin Rasuah & Bermasalah


Fuziah: Lantikan Shahrizat bazirkan wang rakyat

Tidak rasional dan tiada kewajaran melantik semula Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada kedudukan penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu berkaitan wanita sedangkan kredibiliti beliau terpalit dengan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) membabitkan suami dan keluarganya, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Fuziah menambah, pelantikan Shahrizat ini tiada tambah nilainya di dalam agenda wanita. Ini kerana beliau sendiri gagal memartabat dan membawa nama baik wanita sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 yang akhirnya meletakkan jawatan pada April 2012 selepas ahli keluarganya terlibat dengan kontroversi NFC.

Bercakap kepada TVSelangor, Fuziah berkata, jika benar Shahrizat dilantik, beliau akan kembali ke jawatan yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu dan wang rakyat akan dibazirkan sekali lagi untuk membayar gaji beliau sebagai seorang menteri.

“Sharizat bukan sahaja mempunyai latar belakang berkaitan skandal lembu NFC, beliau juga adalah seorang menteri yang meletakkan jawatan.

“Jadi tidak wajar beliau dilantik kepada kedudukan penasihat khas Perdana Menteri dalam hal ehwal wanita. Pelantikan ini juga hanya membazir wang pembayar cukai dan rakyat.

“Yang saya lihat hanya akan menghabiskan duit rakyat untuk membayar gaji seseorang yang tidak layak untuk memegang jawatan ini, ” katanya.

Fuziah turut berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, perlu berpendirian teguh untuk memerangi rasuah dan sebaiknya membatalkan hasrat pelantikan tersebut.

Tambah beliau, tiada keperluan melantik Shahrizat sebagai penasihat khas sedangkan lebih ramai lagi wakil wanita yang selayaknya dilantik ke jawatan itu.

“Seorang pemimpin seperti Shahrizat adalah umpama berada dihujung karier politiknya dan rakyat tidak akan rugi membayar gaji beliau sebagai menteri.

“Tak perlu lantik Shahrizat. Ramai lagi calon wanita yang layak dan Najib juga mempunyai penasihat berkaitan wanita di dalam Kementerian Wanita dan Keluarga yang di pegang oleh Rohani Karim,” ujar Fuziah

Shahrizat juga pernah dilantik senator selepas kalah dalam PRU 12 lalu di Parlimen Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial pada 2008.

Beliau juga dijangka akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Umno yang dijadualkan pada 12 Oktober depan.


Umno ketandusan pemimpin, ‘kitar’ semula individu rasuah


Umno semakin ketandusan pemimpin bersih dan berkaliber untuk diketengahkan sehingga terpaksa mengitar semula pemimpin yang sudah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan salahlaku.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, berkata ramai pemimpin Umno yang ‘bersih’ sukar untuk naik disebabkan tidak mempunyai kekuatan kewangan dalam persaingan dalam politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam Umno.

Beliau berkata, hasrat Tan Sri Mohd Isa Samad yang menawarkan diri untuk Naib Presiden dalam pemilihan Umno merupakan bukti bahawa parti itu tidak mampu menawarkan pemimpin yang lebih bersih.

“Bukan mudah untuk mana-mana individu menaiki tangga dalam tampuk kuasa Umno kerana mungkin dia tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kedudukan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata apabila individu yang rasuah ini menang dalam pemilihan Umno maka mereka ini akan memegang jawatan penting dalam kerajaan dan ia akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Ramai pemimpin kerajaan yang datang dari laluan ini akan lebih bermasalah dengan korupsi dan jenayah.

“Ini akan mendedahkan negara dan rakyat kita kepada kesengsaraan, rakyat yang akhirnya akan rugi dengan apa yang berlaku dalam Umno,” kata beliau.

Sebelum ini, Mohd Isa pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Namun Lembaga Disiplin Umno melucutkan jawatan beliau kerana didapati terlibat politik wang.

Sebelum itu pada pemilihan tahun 2000 beliau bertanding jawatan Naib Presiden tetapi tewas.

Kemasukan Isa dijangka akan menghangatkan lagi persaingan jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahankan jawatan tersebut. Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.

Pembantaian Mesir: MB Selangor Bidas Sikap Lesu & Bisu Najib


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kerana didakwa gagal memainkan peranan dengan baik berhubung isu keganasan di Mesir.

Abdul Khalid berkata, kegagalan Malaysia untuk memainkan peranan utama di peringkat antarabangsa untuk mengajak badan dunia menamatkan krisis itu amat mengecewakan.

Menurutnya, krisis di Mesir kini menjadi bencana kemanusiaan yang tidak boleh digunakan untuk mendapat kelebihan politik tempatan.

“Ini dibuktikan oleh komen Perdana Menteri pada hari-hari awal krisis, di mana beliau menggunakan penderitaan rakyat Mesir sebagai satu peluang untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap perubahan.

“Malaysia sepatutnya memanfaatkan kedudukannya terutama di kalangan negara-negara Islam untuk membawa penyatuan bagi menolak keganasan ini dengan memberi tekanan di peringkat antarabangsa untuk membincangkan krisis di Mesir termasuk pihak yang terlibat melakukan keganasan tersebut,” katanya melalui kenyataan akhbar di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, keganasan berterusan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Mesir perlu menjadi satu perkara yang membimbangkan semua pihak.

Menurutnya, keganasan dan tindakan keras oleh tentera bukan penyelesaian kepada mana-mana krisis politik.

Katanya, dalam jangka masa panjang, tindakan sebegini untuk mencapai matlamat politik sentiasa berakhir dengan kegagalan dan penderitaan bagi rakyat.

“Seperti keadaan sekarang yang terus berlaku di luar kawalan, kami menyeru semua pihak dalam konflik Mesir untuk menghentikan keganasan dan kembali kepada proses demokrasi yang aman.

"Peningkatan keganasan oleh mana-mana pihak bukan sahaja meningkatkan pertumpahan darah tetapi juga merumitkan lagi krisis politik dan sosial hingga semakin sukar dikawal,” katanya.

Abdul Khalid berkata, tindakan keganasan oleh tentera Mesir ini mendapat kecaman di seluruh dunia.

Menurutnya, penggunaan kuasa tentera hanya akan membawa lebih kematian dan melemahkan pergerakan politik dan sosial.

Katanya, pihak yang terlibat dalam keganasan sama ada pemimpin-pemimpin tentera atau sebahagian daripada pemimpin kerajaan mesti dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan jenayah kemanusiaan seperti yang berlaku dalam kes-kes besar melibatkan pencabulan hak asasi manusia seperti konflik di Bosnia-Herzegovina.

Beliau berkata, keadilan mesti dilakukan dan proses politik damai berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi tulen perlu dimulakan segera. -SH

[SLOGAN LAGI], "Endless Possibilities" Ganti Slogan 1Malaysia Yang Gagal

Jika slogan pertama kurang memberi kesan, cuba lagi. Datuk Seri Najib Razak kini bersedia untuk melancarkan penjenamaan baru bagi pendekatan Malaysia, disasarkan kepada rakyat Malaysia selepas Pilihan Raya Umum 2013 yang membangkitkan kemarahan ramai.

Kempen terbaru itu yang dipanggil `Endless possibilities’, dijangka dilancarkan pada 17 September, sehari selepas Malaysia menyambut Hari Malaysia yang ke-50, kata sumber memberitahu The Malaysian Insider.

Mereka berkata, slogan `Endless Possibilities’ akan menggantkani slogan 1Malaysian yang diperkenalkan perdana menteri ketika beliau mula menjawat jawatan itu pada April 2009. Satu laman web baru – www.malaysia.my juga kini dibina.

“Kempen `Endless Possibilities’ sudah bermula awal tahun ini tetapi pelancarannya ialah pada 17 September depan. Semua menteri sudah diberikan penerangan mengenainya,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Najib turut dilihat menggunakan butang lencana berlogo `Endless Possibilities’, yang berupa lingkaran tiada penghujung berjalin dengan M dan Y dalam warna merah, kuning dan putih berlatarbelakangkan warna biru, bersama dengan butang lencana logo 1Malaysia.

Slogan 1Malaysia dengan tagline `Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan’ dipersendakan kerana maksudnya yang kabur dan pengkritik menyatakan ia tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia, termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak jelaskan konsepnya, tetapi itu yang direka,” kata bekas perdana menteri dalam satu temubual Disember lalu.

Najib berkata, beliau memutuskan bahawa ia perlu ada `elemen strategi tidak jelas yang membawa pelbagai makna’ ketika beliau memperkenalkannya tiga tahun lalu, bagi membolehkan konsep itu diperluas untuk memasukkan pendapat lain daripada masyarakat.

Tetapi, jabatan kerajaan, agensi dan usahawan mengambil slogan 1Malaysia, menghasilkan pelbagai program, insiatif, produk dan perkhidmatan berdasarkan kepada tema itu, termasuk stesen radio dan tandas awam.

Bagaimanapun, slogan itu gagal membantu Najib mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya pada 5 Mei lalu apabila Barisan Nasional (BN) hanya mampu mendapat 133 kerusi parlimen, kurang tujuh daripada 140 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya 2008.

Sejak PRU13, slogan 1Malaysia tidak lagi digunakan, sama ada daripada kerajaan atau rakyat walaupun ia begitu giat ditonjolkan dalam kempen pilihan raya dan jelajah Janji Ditepati BN.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa slogan `Endless Possibilities’ sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan.

Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu.

Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia.

Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN.

“Taklimat ringkas daripada Pejabat Perdana Menteri ialah untuk mempromosi Malaysia sebagai negara yang dinamik dengan infrastruktur lengkap membangun dan pelan pembangunan ekonomi agresif untuk masa depan.

“Dengan memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, klip video itu disiarkan menerusi CNN untuk menarik pelabur dan syarikat asing ke dalam negara,” menurut penjelasan yang diletakkan bersama klip video itu dalam laman YouTube.

Terdapat juga beberapa pengiklanan bercetak dengan slogan baru itu dalam majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sepanjang tempoh lapan bulan lalu. Tetapi sumber berkata, penggunaan secara meluas akan hanya berlaku selepas pelancaran pada 17 September ini.

“Tunggu dan lihat. Ia akan menjadi kempen yang besar dan mengkagumkan. Kempen ini ada `kemungkinan yang tidak berpenghujung’,” katanya. -TMI

TG Nik Aziz: Arab Saudi Belum Tentu Pegang Kunci Kebenaran Sekalipun Menjaga 2 Tanah Suci


Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir.

Inilah tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera.


Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya.

Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali.

Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak.

Saya menghormati keilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari.

Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.

Berpuas hatilah kerajaan Arab Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera.

Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik ALLAH, tidak di Barat dan tidak Timur.

Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan ALLAH SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran.

Di samping menjaga dua tanah Suci, Arab Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika Syarikat (AS) sekian lama.


Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.

Justeru, janganlah Arab Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia.

Jika darah Abdullah bin Zubair RA pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini?


Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?

Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Arab Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa.

Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan ALLAH SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.

Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau.

Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin Insya-ALLAH, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.

Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja... - Surah Toha, ayat 72

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas

"Israel Di Belakang Kudeta Tentera Terhadap Mursi" - Erdogan


Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada hari ini (20/8/2013) mendedahkan Israel berada di sebalik kudeta tentera terhadap presiden Mesir Muhammad Mursi bulan lalu.

“Apa yang mereka katakan tentang Mesir: Demokrasi bukanlah kotak suara rakyat. Siapa di belakang ini? Israel,” tegas Erdogan seperti tersiar di Hurriyet daily. Erdogan, seorang yang amat lantang suaranya mengkritik negara Yahudi itu, dan pemimpin Turki yang berasal dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang berakar Islam.

“Kami mempunyai bukti,” ujarnya, mengutip apa yang dia katakan adalah kenyataan yang pernah disampaikan oleh menteri kehakiman Israel pada forum di Prancis 2011 lalu di mana ia dinilai menyatakan Mursi dari Ikhwanul Muslimin tidak akan mampu untuk tetap berkuasa sekalipun jika memenangi pilihanraya.

Sikap Turki telah menyebabkan kemarahan pemerintah sementara Mesir yang didukung tentera yang bulan lalu menyuarakan kebencian yang kuat atas pernyataan Erdogan yang sangat pro-Mursi.

Turki mengecam penguasa baru Mesir setelah tindakan keras berdarah minggu lalu terhadap pendukung Mursi, bahkan Turki memanggil pulang duta besarnya di Kaherah, mendorong langkah serupa yang dilakukan oleh Mesir terhadap dutanya di Istanbul.



Mursi dilantik sebagai pemimpin pertama yang terpilih secara demokrasi di Mesir pada bulan Jun 2012, tetapi digulingkan oleh tentera bulan lalu dengan dukungan aksi protes warga.



Erdogan dan Partai Keadilan dan Pembangunan (AKP) sendiri telah mengembangkan hubungan bersahabat dengan Mursi serta Ikhwanul Muslimin.