24 Jun 2013

[VIDEO] 26 Aktivis Ditahan Termasuk Chegubard, Adam Adli & "Auntie Bersih"

Seramai 26 aktivis yang mengadakan perhimpunan mendesak pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan ekoran penipuan pilihan raya ditahan polis pagi ini di depan bangunan Parlimen.

Mereka antara 50 aktivis yang disuraikan pagi tadi dari tapak perkhemahan yang didirikan di Padang Merbok selepas himpunan Black 505 Sabtu lalu.

Kumpulan berkenaan mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan sejak 10 pagi tadi di satu kawasan jalan utama menuju bangunan Parlimen.

Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda termasuklah GM13, NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Suasana bertukar tegang kira-kira sejam kemudian apabila kumpulan tersebut cuba melepasi sekatan 300 anggota polis yang berkawal di pintu pagar Parlimen.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak berjaya melepasi sekatan tersebut.

Aktivis siswa, Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar kumpulan pertama ditahan polis pada kira-kira 11.10 pagi. Susulan itu, sebilangan lagi peserta menyerah diri kepada polis sebagai tanda solidariti.

Mereka termasuk Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, aktivis siswa Adam Adli dan Annie Ooi Siew Lan atau nama popularnya, ‘Untie Bersih’ diikuti beberapa yang lain.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kira-kira jam 11.50, Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, Khalid Samad hadir menenangkan peserta himpunan sekaligus menerima memorandum kumpulan terbabit.

Antara tuntutan termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah Parlimen, menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.

Selain itu, mereka turut menunut Parlimen membincangkan tentang penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohonan maaf secara terbuka oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Dalam ucapannya, Khalid berkata, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak berkenaan dan akan turut membangkitkan perkara itu dalam persidangan Parlimen.

Beliau turut meminta agar peserta berkenaan beredar selepas menerima memorandum tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan 26 orang ditahan dalam perhimpunan tersebut.

Terdahulu, berpuluh-puluh khemah peserta terbabit dimusnahkan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Padang Merbok pada 4.30 pagi tadi. -KD




Harris: Desak Polis Bebas Segera Tahanan


Pengerusi Asalkan Bukan Umno(ABU) Harris Ibrahim mengesa polis membebaskan rakan-rakan mereka yang berhimpun di depan bangunan Parlimen pagi tadi, “Kita akan sediakan guaman dan sekiranya mereka yang ditahan masih belum dilepaskan oleh polis, kita akan mengadakan bantahan di hadapan Balai Polis Jinjang, malam ini,” katanya.

Dalam demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen tadi, kira- kira 26 individu ditahan polis termasuk seorang perempuan.

Bantahan yang disertai kira-kira 150 orang lagi mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan berkenaan sejak jam 10 pagi ini.

Keadaan bertukar tegang kira-kira sejam kemudian apabila kumpulan tersebut, yang antara lainnya dipimpin aktivis siswa Adam Adli, cuba melepasi sekatan polis yang berkawal di kedudukan kira-kira 800 meter dari pintu pagar Parlimen.

Dalam pada itu, Harris menjelaskan perkhemahan Blackout 505 sebulat suara untuk menghentikan aktiviti perkhemahan di Padang Merbok yang mendesak pimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.

Menurut Haris pihaknya dan beberapa pertubuhan NGO yang lain akan membincangkan tindakan seterusnya dalam masa beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak bermakna NGO terbabit mengalah dengan pihak berkuasa.

“Pagi tadi kira-kira jam 4.30 pagi, pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama polis bertindak merampas khemah kami.

“Tetapi kami tenang sebab kami sudah sebulat suara untuk menamatkan perkhemahan ini. Kami izinkan mereka mengambil khemah tanpa sebarang tentangan,” katanya kepada Tv Selangor ketika ditemui di Padang Merbok.

Semalam DBKL mengarahkan peserta perhimpunan itu menanggalkan khemah mereka kerana tindakan mendirikan khemah di tempat awam, menyalahi Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, peserta masih lagi mendirikan khemah semula sebelum DBKL bertindak merampas kira -kira 50 khemah pagi tadi.
-selangorku

[VIDEO & GAMBAR] Dato Husam Musa Akhirnya Dibebaskan Dengan Jaminan Polis -updated


Alhamdulillah, akhirnya Dato Husam Musa diBEBASKAN.

InsyaAllah beliau akan memulakan momentum pertama malam ni di ceramah FREE HUSAM @ Sek Men Taqadum Maarif, Pasir Tumboh.

Bermula jam 8 malam, kita akan buat solat hajat kesyukuran pada Allah krn Dato dibebaskan.

Pakat2 maghi belako malam ni, dengar sendiri dr mulut Dato Husam apa yg beliau nak cerita. -FB Syam Ghaz


Video Sidang Media Dato Husam Musa sejurus dibebaskan dari lokap



Tok Guru pesan Datuk Husam kuar dari IPD bawa bertemu dgnnya. Alhamdulillah kini berada di rumah tok guru. — at Masjid tok guru..pulau melaka. -FB Salmah Hussin




Isteri harap Husam dibebaskan hari ini


Isteri Datuk Husam Musa, Datin Rohana Abdul Rahman telah lama berada di ruang pekarangan IPD Kota Bharu untuk menyambut pembebasan dan kepulangan suami tercinta.

Rohana berharap suaminya dibebaskan hari ini.

Sementara itu, Pertubuhan R Kelantan dan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) akan menganjurkan program menyambut pembebasan Naib Presiden PAS itu malam ini.

Program berkenaan akan diadakan di Masjid Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Maarif Pasir Tumboh.

Presiden R, Nazri Deraman ketika menghubung Harakadaily berkata, program berkenaan bermula selepas solat Isyak berjemaah dan solat hajat.

Jelasnya, selepas itu juga ceramah daripada 15 orang pimpinan masyarakat juga akan diadakan malam ini.

“Semua dijemput hadir beramai-ramai dan sebarkan,”
ujarnya.

Malam tadi, seramai 150 orang termasuk bekas Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman membaca surah Yasin beramai-ramai di luar pagar IPD Kota Bharu.
- HD

Hentikan Salahguna Kuasa, Bebaskan Husam Segera! - Kit Siang

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesar agar Naib Presiden PAS, Husam Musa dibebaskan segera dari tahanan kerana ia jelas merupakan salah guna kuasa yang amat memalukan.

Menurut beliau, tindakan polis mengenakan reman selama 2 hari itu juga perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

“Reman dua hari terhadap Husam atas alasan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 mesti dikutuk sekerasnya semua rakyat yang waras pemikirannya.

“Penahanan ini merupakan bukti bahawa langsung tidak ada apa-apa perubahan dilakukan BN, selama ini mereka melaungkan untuk mengembalikan kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme institusi negara. Laungan kosong semata,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam sebuah kenyataan media.

Menempelak tindakan itu, Kit Siang turut mempersoal ketelusan polis dalam menjalankan tugas apabila langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu dari UMNO/BN yang lebih terbukti bersalah.

“Rakyat tertanya mengapa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad langsung tidak pernah dipanggil untuk disoal? Mahathir sepatutnya ditahan kerana beliau terbukti bersalah kerana membuat pelbagai kenyataan berbaur hasutan sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum.

“Mengapa orang yang sengaja mengeluarkan kenyataan menjejaskan keharmonian negara seperti Mahathir tidak pula ditahan?

“Rakyat juga ingin tahu mengapa bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah tidak pernah dipersoalkan apatah lagi ditahan ke dalam lokap?, beliau telah membuat ucapan paling rasis apabila memberi amaran bahawa kaum Cina akan menerima balasan dari Melayu kerana melakukan ‘pengkhianatan’ dalam PRU lalu,” soalnya.

Kata Kit Siang, penahanan ini juga membuktikan UMNO/BN tetap tidak pernah berubah dengan sering menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri. “Penahanan Husam, dengan jelas menunjukkan bahawa pendakwaan terpilih, layanan diskriminasi, penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah terus menjadi taktik mereka sehingga hari ini,” ujarnya. – Roketkini


Anwar : Penahanan Husam Bersifat ‘Selective Persecution’


Penahanan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam disifatkan ‘penganiayaan terpilih’ (selective persecution) oleh pihak berkuasa dan Kerajaan Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘penderaan’ terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tetap diteruskan walaupun Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan minoriti.

“Penderaan terhadap pimpinan PR diteruskan, walaupun kerajaan itu adalah minoriti yang tidak dapat dinafikan walaupun rakyat telah menolak BN.

“Budaya keangkuhan dan pendakwaan yang memilih ‘selective prosecution’, malah saya katakan ia adalah ‘selective persecution’ itu diteruskan,” katanya.


Kelmarin, Husam ditahan di Kampung Pandan, Ampang berhubung satu kenyataan yang beliau keluarkan di Kota Bharu sebelum perhimpunan Black505 di Padang Merbok.

Semalam beliau dibawa ke Kota Bharu untuk siasatan.

Husam didakwa sebagai berkata “Andaikata kita terkorban atau satu daripada kita terkorban, insyaAllah ia adalah syahid fi sabillilah”.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penahanan Husam memperkukuhkan bukti bahawa pemimpin Umno bebas dan terlepas daripada segala kenyataan berbaur perkauman dan hasutan selama ini.

Katanya, selama hampir bertahun-tahun pemimpin Umno-BN dan kumpulan pendesak Melayu (Perkasa) mengeluarkan kenyataan sedemikian namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

“Ungkapan berbaur perkauman dan hasutan ini lebih berbulan-bulan dan bertahun-tahun oleh Umno dan Perkasa sama sekali tidak dihiraukan.

“Seolah-olah tidak ada perubahan dalam sistem di negara kita,” ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
- HD




Undian Speaker TIDAK Dijalankan Secara Rahsia, BN Takut MPnya Belot!

Persidangan Dewan Rakyat kali ke-13 yang bermula hari ini memilih Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekali lagi sebagai Speaker dengan memperoleh 133 undi.

Sementara calon yang dinamakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman telah mendapat undi penuh daripada PR sebanyak 89 undi.

Keputusan pemilihan Speaker ini menyerupai keputusan Pilihan raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi 133 berbanding Pakatan Rakyat 89 kerusi parlimen.

Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila ahli Parlimen PR mempertikaikan cara pengundian yang dilakukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencalonkan Pandikar untuk mengekalkan jawatan sebagai Yang di Pertua Dewan Rakyat.

Pencalonan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Khalid bagi pihak PR, mencadangkan Kadir dan disokong oleh ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Oleh sebab lebih dari seorang nama dicadangkan, mengikut peraturan 4 (3), undian bersurat dilakukan dan Dewan mengedarkan kertas undi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, keadaan tenang pada pemulaanya bertukar kecoh apabila ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, bangun memulakan bantahan berikutan kertas undi itu memerlukan ahli Parlimen menulis nama (masing-masing) di kertas undi.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin turut bangun membacakan peraturan 4 itu yang sepatutnya undi dibuat secara rahsia.

Keadaan dewan semakin gamat apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendakwa tindakan itu berikutan ketidakpercayaan Perdana Menteri terhadap ahli parlimen BN.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin bangkit menyelar tindakan ahli parlimen PR itu.

"Apa masalah tulis nama?" katanya dengan nada jenaka.

Bagaimanapun, bantahan itu tidak boleh diterima berikutan semua ahli Parlimen masih belum mengangkat sumpah semasa pemilihan dilakukan.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan upacara mengangkat sumpah Dewan Rakyat hari ini disambut dengan demonstrasi sekumpulan lebih 100 anak muda berbaju hitam di jalan masuk menuju ke Parlimen.


Lebih 100 anak muda daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berhimpun sambil melaungkan "SPR Syaitan" "SPR Penipu" dan "Reformasi" dengan membawa sepanduk menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan atas dakwaan Pilihan Raya 2013 yang berat sebelah.

Mereka turut menyanyikan lagu "Rasa Sayang" dan "SPR Bangsat" sepanjang berarak dari Padang Merbok, berhampiran kawasan Parlimen.

Sekitar 9.15, mereka berarak menuju ke Jalan Parlimen, dengan polis kemudiannya membenarkan mereka duduk di bahu jalan.

Turut kelihatan bersama kumpulan berkenaan adalah ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang.

Himpunan Black 505 Aman, Huru-hara Dakwaan BN Bohong


Kejayaan himpunan Blackout505 secara aman dengan kehadiran lebih 50,000 peserta membuktikan dakwaan dangkal pemimpin-pemimpin UMNO-BN adalah bohong sama sekali.

Malah, perhimpunan kali ini sekali lagi menunjukkan perpaduan erat rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama selepas kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat awal tahun lalu.

Menzahirkan rasa bangga, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, himpunan pada hari ini merupakan manifestasi keberagaman dan wajah sebenar Malaysia.

“Kita boleh berhimpun bersama-sama merentasi semua batas agama, kaum mahu pun daerah demi menuntut keadilan dan hak rakyat dalam pilihan raya lalu,” ujar beliau.

Menurutnya, keadilan dan persefahaman seluruh rakyat merupakan asas penting pembentukan Malaysia yang sebenar.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan terus melawan semua penipuan Pilihan Raya Umum ke 13 samada di dalam mahu pun di luar dewan (Parlimen).

“Rakyat sudah tunjukkan isyarat jelas mahu pegawai-pegawai tertinggi SPR berundur,” katanya.

Bagaimana pun, Anwar bertegas bahawa setiap tindakan yang dibuat haruslah mengikut landasan demokrasi dan berperlembagaan.

“Kita mahu lakukan perubahan cara aman,” ujar beliau.

Beliau juga turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan hadir ke Dewan Rakyat bagi majlis angkat sumpah.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula mahu segala penipuan SPR ini perlu dihentikan segera demi memastikan PR tidak menerima nasib yang serupa dalam setiap pilihan raya.

“Jika himpunan ini dan sidang parlimen tak lama lagi tidak merubah peranan SPR, maka setiap kali pilihan raya, kita akan hanya buat ‘post mortem’ kenapa kita kalah,” katanya.- Roketkini

[VIDEO] UMNO-BN Menang Minoriti, Tapi Berlagak Besar


Anwar tegaskan perubahan akan berlaku secara aman

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang perubahan yang bakal berlaku di negara ini akan dibuat secara aman.

Berucap dalam Himpunan Black 505 di Padang Merbok semalam, Anwar mengulangi tuntutan Pakatan Rakyat agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan.

Katanya, tuntutan rakyat jelas iaitu mahu kedua-dua pemimpin SPR itu berundur, namun ia akan dibuat secara aman sepertimana himpunan hari ini.

“Apapun tindakan boleh kita buat, tapi kita pastikan ikut jalur yang aman, lakukan perubahan cara aman,” katanya depan puluhan ribu rakyat yang hadir.

Pakatan sebelum ini memfailkan 39 petisyen berhubung penipuan dan salahlaku pilihan raya membabitkan kawasan parlimen dan DUN seluruh negara.

Tegas Anwar, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Tan Sri Wan Ahmad Wan Omar perlu meletak jawatan kerana kegagalan mereka, khususnya dalam isu dakwat kekal dan berpihak kepada Umno-BN.

“Kamu tidak layak (memimpin SPR). Kamu bicara dengan sombong. Orang ini sepatutnya didakwa di mahkamah,” katanya dipetik harakahdaily.

Beliau juga memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mempertahankan SPR.

“Kamu dah hilang mandat. Kamu tak sanggup ambil tindakan kepada mereka sebab mereka berjasa kepada Umno,” katanya.

Anwar turut menafikan pemergian beliau ke Indonesia untuk berjumpa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini seperti didakwa pihak tertentu.

Namun katanya tujuan beliau ke sana adalah atas undangan presiden negara republik itu.

“Saya beri penjelasan bahawa penipuan paling besar berlaku pada PRU13 lalu (dengan) kecurangan SPR mempertahankan penguasa Umno BN,” katanya.

Selain mendesak pemimpin SPR berundur, Himpunan Black 505 menuntut agar pilihan raya diadakan semula di kawasan berlaku penipuan.

Di samping itu, ia juga menggesa agar persempadanan semula tidak dilakukan hingga anggota SPR yang dipersetujui Pakatan Rakyat dilantik. -KD