17 Jun 2013

‘Usulkan Undi Tidak Percaya Terhadap Najib’


Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim hari ini menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sumpah, lafaz dan tindak-tanduk beliau [Datuk Seri Najib] semenjak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri mengukuhkan lagi justifikasi untuk usul undi tidak percaya terhadap beliau dibentangkan dalam sidang Parlimen yang akan datang ini.

“Usul yang dicadangkan adalah di atas pertimbangan salah laku dan ketidakpatuhan kepada peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara dan bukan di atas pertimbangan politik,” katanya dalam surat terbuka kepada Anwar.

Surat sama dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau juga berpendapat bahawa kenyataan “tsunami Cina” yang diutarakan Najib selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak sepatutnya dilafazkan oleh seorang Perdana Menteri berbilang kaum.

Tambah Mat Zain, Najib telah menghina Yang di-Pertuan Agong [Tuanku Mizan Zainal Abidin] ketika upacara majlis mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 3 April 2009 dengan menggunakan sumpah yang direka sendiri.

‘Membelakangkan Perlembagaan’

“Tindakan Datuk Seri Najib sedemikian itu bukan sahaja membelakangkan peruntukan Perlembagaan, bahkan beliau turut menghina kepercayaan YDP Agong terhadap beliau,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya di hari pertama memegang jawatan tersebut Najib telah sanggup berbohong di hadapan YDP Agong dan rakyat Malaysia, maka apatah lagi, di hari-hari yang berikutnya.

“Justeru itu, beliau tidak layak melaksanakan fungsi jawatan Perdana Menteri semenjak 3 April 2009 lagi. Sebarang perkara yang beliau lakukan atas sifat seorang Perdana Menteri boleh dianggap sebagai tidak sah kerana tidak mengikut sepertimana peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menambah burukkan lagi, tambah Mat Zain, ialah apabila Najib mengikrarkan dua afidavit di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah pada 21 dan 23 Sept 2011, yang difailkan dan dikemukakan dalam Mahkamah Tinggi berkaitan kes liwat yang kini berada di peringkat rayuan.

“Dalam affidavit-affidavit berkenaan, Datuk Seri Najib telah mengikrarkan nama seperti yang terkandung dalam kad pengenalan beliau sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Nama ini adalah bercanggah dengan nama yang beliau lafazkan di hadapan YDP Agong ketika mengangkat sumpah jawatan iaitu Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,” katanya.

Tambah beliau, selain daripada percanggahan nama, Najib telah mengikrarkan dua kenyataan mustahak berasingan yang boleh dibuktikan sebagai kenyataan yang tidak benar atau palsu.

‘Keterangan palsu’

“Membuat kenyataan secara bersumpah yang tidak benar adalah sama dengan memberi keterangan palsu di mahkamah.

“Bukan sahaja beliau telah melakukan kesalahan jenayah terhadap keadilan awam kerana membuat kenyataan bersumpah palsu, malahan beliau turut boleh disifatkan sebagai telah mengingkari atau membelakangkan hukum Islam,” katanya.

Tambah Mat Zain, keengganan Najib menjadi saksi dalam perbicaraan yang dinyatakan di atas telah menyebabkan kedua-dua pihak yang menuduh dan tertuduh tidak mendapat pembicaraan yang adil dan sempurna.

“Mengikut kefahaman saya, dengan sengaja mengelakkan diri daripada menjadi seorang saksi yang adil adalah dosa besar, kerana boleh membawa kezaliman kepada orang dituduh melakukan kesalahan,” katanya. -FMT

Suara Rakyat 505: Rakyat Tetap Berhimpun Hingga SPR Letak Jawatan


Minggu lepas, Suara Rakyat 505 telahpun menyeru kepada SPR supaya letak jawatan dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Gabungan ini berpandangan bahawa jawatankuasa khas bagi memantau Suruhananjaya Pilihan Raya tidak akan membawa apa-apa perubahan signifikan dan kata-kata kami terbukti apabila Pengerusi SPR berkata bahawa dia tidak mungkin akan meletakkan jawatan.

SPR telah mencabar kuasa rakyat, maka seperti dijanjikan Gabungan lebih 50 NGO ‘Suara Rakyat 505’ menggembeling segala kekuatan untuk membawa rakyat beraksi pada 22 Jun 2013 di Padang Merbuk, menuntut demokrasi yang digelapkan dan mengembalikan kemenangan rakyat yang dirampas. RAKYAT TURUN BERAKSI 22 JUN HINGGA SPR LETAK JAWATAN.

Bagi memastikan mobilisasi terbesar dan sebagai aksi akhir membangkitkan kesedaran rakyat tentang penipuan PRU13, Gabungan ‘Suara Rakyat 505’ akan mengkoordinasi sebuah jelajah untuk mengira detik (countdown) menuju 22 Jun.

Tirai Roadshow akan dimulakan dengan sebuah aksi flashmob pada 15 Jun dan kemuncak jelajah, satu aksi ‘kira detik akhir’ (final countdown) bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KLSCAH pada 21 Jun.

Pada malam kemuncak tersebut juga, hadirin akan diberi pedoman akhir bagi menghadapi hari besar 22 Jun 2013, hari rakyat menolak penipuan PRU!

Dalam masa yang sama, Kami juga akan mengembangkan inisiatif sukarelawan Gabungan Suara Rakyat 505. Pasukan sukarelawan ini akan dimoblisasikan pada masa yang tepat khususnya ketika masa untuk beraksi samada di himpunan atau protes.

Akhir sekali, Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam Negara. Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL.

Sekian

GABUNGAN # SUARA RAKYAT 505

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
2. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
3. Tindak Malaysia
4. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
5. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
6. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
7. Gabungan Menuntut Royalti ®
8. Asalkan Bukan Umno (ABU)
9. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
10. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
11. Gabungan Tanah Rakyat (TANAH)
12. Kill The Bill
13. Malaysian For Beng Hock
14. Mama Bersih
15. Kelab Bangsar Utama
16. Radio Bangsar Utama (RABU)
17. Mahasiswa Keadilan Malaysia
18. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI)
19. Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
20. Indipendent Student Front (INSTEF)
21. University Malaya Association Of New Youth (UMANY)
22.Gabungan NGO Pengerang
23. Angkatan Pembebasan Bangsa (APB)
24.Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI)
25. Pro-Mahasiswa Nasional Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)
26. Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Pro-Rakyat)
27. Angkatan Rakyat Muda (ARM)
28. Anak Bangsa Malaysia (SABM)
29. Unit Ehsan Malaysia
30. Anwar Ibrahim Club (AIC)
31. Agent of Change (AoC)
32. Revolusi Anak Muda Malaysia (RAMM)
33. Kami Anak Muda Menentang Umno (K.A.M.U)
34. Gagasan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
35. Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perlis (PKR Perlis)
36. Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI)
?37. Gabungan NGO Kelantan
38. Solidariti Anak Bachok Daratkan Minyak (CABAR)
39. Majlis Permuafakatan Kampung Warisan KL/Selangor (MUAFAKAT)
40. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (ROYALTI)
41. Gabungan Menuntut Royalti Terengganu (R Terengganu)
42. Selamatkan Teluk Rubiah
43. Selamatkan Pantai Port Dickson
44. Selamatkan Pasar Payang
45. Jaringan Sepadu Rakyat Malaysia (SEPADU)
46. Angkatan Warga Aman Malaysia (Warga AMAN)
47. Malaysian Indians Progressive Association (MIPAS)
48. Federation of Malaysian Indian Organisation (PRIMA)
49. Malaysian Indians Transformation Action Team (MITRA)
50. Angkatan Nasional India Malaysia (AGNI)
51. Comuniti Front (CF) Seremban

Tidak Perlu Kecewa, Letak Jawatan Secara Sukarela Atau Ke Penjara!


Tan Sri Abdul Aziz Yusof, Pengerusi SPR tidak cukup dengan hanya beliau menyatakan kekecewaannya sahaja tetapi atas dasar tanggungjawab, beliau wajib meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.

Kegagalan tersebut bukan kecil, ia memberikan kesan besar terhadap kepercayaan masyarakat kepada ketelusan perjalanan proses pilihanraya.

Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Abdul Aziz Yusof melahirkan kekecewaan ekoran pelaksanaan dakwat kekal yang gagal di dalam pilihanraya umum yang lepas.

Bahkan beliau menyifatkan bahawa itulah kekecewaan yang paling besar dalam hidupnya, lapor Sinar Harian hari ini.

"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal,” katanya yang dipetik akhbar bahasa Melayu itu.

Kata Fadhli, dalam situasi Pakatan Rakyat meraih undi popular melebihi Barisan Nasional dan Barisan Nasional terus kekal memerintah, adalah sesuatu yang sangat mengaibkan jika perjalanan pilihanraya dipersoalkan ketelusannya.

"Kegagalannya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. Masyarakat tertanya-tanya, adakah benar kerajaan hari ini berkuasa atas mandat yang palsu?" soal beliau.

Justeru, katanya, tidak ada penyelesaian yang paling sesuai melainkan Pengerusi SPR dan para pegawainya wajib meletakkan jawatan, "suruhanjaya bebas perlu dibentuk menyiasat keraguan yang timbul dan pilihanraya semula wajib diadalan di kawasan-kawasan yang bermasalah."

Pelbagai laporan polis telah dibuat ekoran dakwat kekal yang tidak kekal digunakan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Calon PAS Arau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din antara yang paling awal membuat laporan polis. Beliau hadir sendiri ke Pajabat SPR Perlis di Kangar pada hari mengundi bagi melaporkan pengalaman peribadi beliau dan turut membuat laporan polis. -HD




Kemuka bukti dalam petisyen sebelum minta letak jawatan


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf meminta pembangkang mengemukakan bukti dalam petisyen berhubung dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu, jika mahu mendesak kepimpinan suruhanjaya meletakkan jawatan.

"Seluruh anggota SPR tidak akan meletak jawatan atas desakan pihak berkenaan. Saya menerima banyak panggilan telefon untuk saya tidak tunduk dengan desakan itu.

"Apa salah kita? Seluruh dunia akan ketawa jika kita tunduk hanya sebab desakan itu.

"Buktikan dalam petisyen bahawa SPR melakukan banyak kesilapan dan pembohongan salah laku, rasuah sehingga kalah orang itu, menang orang ini. Buktikan, barulah ada asas untuk letak jawatan," katanya dalam Sinar Harian dipetik.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan Black 505 yang mendesak supaya anggota SPR meletakkan jawatan dalam tembual eksklusif dengan akhbar itu yang disiarkan hari ini.

Pembangkang sebelum ini mendesak supaya anggota SPR meletakkan jawatan, mengadakan pemilihan baru terhadap 30 kawasan Parlimen dan merangka semula persempadanan semula selepas SPR yang baru dilantik.

Dalam temubual itu juga, Abdul Aziz berkata anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong serta jawatan seseorang anggota SPR akan terhenti apabila umur mencapai 66 tahun atau anggota itu meletakkan jawatan dengan rela hati.

Katanya, seseorang anggota SPR hanya boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang melalui suatu perintah oleh Yang diPertuan Agong jika anggota itu bankrap atau terlibat dalam apa-apa jawatan berbayar atau menjadi mana-mana ahli Majlis Parlimen atau DUN.

"Selain itu, perlucutan jawatan itu juga boleh dibuat melalui satu tribunal mengikut cara yang sama untuk memecat Hakim Negara.

"Bagaimanapun, jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan," katanya lagi.
- MK


Ulasan GB

Pengerusi SPR berkata:

"Buktikan dalam petisyen bahawa SPR melakukan banyak kesilapan dan pembohongan salah laku, rasuah sehingga kalah orang itu, menang orang ini. Buktikan, barulah ada asas untuk letak jawatan,"


Hello Tan Sri, jika dibuktikan nanti di dalam mahkamah bahawa SPR telah melakukan banyak kesilapan, pembohongan, salahlaku dan sebagainya, kamu bukan sahaja perlu meletakkan jawatan, malah perlu sangat didakwa semula dan kemudian dihukum penjara seperti yang berlaku di Thailand.

Baca di sini: SPR Letak Jawatan Tak Memadai, Kena Penjarakan Macam Di Thailand Ini!

Otak Pelajar Tahfiz, 'Segar' Seperti Hidup Sekalipun Seluruh Badannya Rentung


Tikam Batu – Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu. Foto: thestar

Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah

Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

Anuar menunjukkan almari Aiman yang tidak terjejas dalam kebakaran.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmid

Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.

“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Tidak jejas ambilan pelajar

Menurut Anuar, tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan semangatnya dan tenaga pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar Islam dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.

“Kita baru sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini menunjukkan respons positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi) sebenarnya tidak menjejaskan pengambilan pelajar,” katanya.

Berhubung soal keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di samping menyediakan kelengkapan dan meningkatkan ilmu berhubung keselamatan selain menyediakan prasarana yang layak.

“Setakat ini, pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses pengurusan, terutamanya melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,” katanya.

Menurut Anuar, kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan dipindahkan ke blok bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat penginapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang bersimpati, menyumbang dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula maahad tahfiz itu. -SH

Ulasan GB

Itulah tanda mukjizat ayat Al-Quran yang merupakan Kalamullah. Al-fatihah untuk Allahyarham adik Aiman....

Selesaikan Dahulu Penipuan Pilihanraya, Baru Cakap Soal Perdamaian Nasional - Anwar


Putrajaya mesti menyelesaikan isu penipuan pilihan raya dalam Pilihan Raya 2013 sebelum bercakap soal perdamaian nasional dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua pembangkang itu mengatakan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengusulkan perdamaian nasional kekal sebagai cakap kosong sekiranya tiada apa dilakukan untuk menyelesaikan penipuan, kecurangan dan salah tadbir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum 5 Mei.

“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita di Jakarta pagi ini, seperti dilaporkan oleh Keadilan Daily.

Pemimpin de facto PKR itu berada di ibu kota Indonesia selepas lawatan tiga hari ke negara itu di mana beliau bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Terdapat spekulasi beliau turut akan bertemu Najib yang secara kebetulan berada di Jakarta.

Anwar menafikan terdapat pertemuan dan rancangan untuk pertemuan seperti itu.

“Tidak ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada, ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu tahu,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, Jakarta.

The Malaysian Insider difahamkan Najib juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Yudhoyono yang telah menyatakan kebimbangan berkenaan dengan keputusan pilihan raya Malaysia.

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib berjaya mempertahankan Putrajaya dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Majoriti BN kurang tujuh berbanding kemenangan Pilihan Raya 2008 di bawah perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam sidang akhbar itu, Anwar mengulangi tuntutan agar perubahan berlaku dalam kepimpinan SPR dan kerajaan membenarkan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok Sabtu depan yang mahukan tuntutan sama.

“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata Anwar menggunakan bahasa Indonesia menjelaskan, himpunan Black 505 akan tetap diteruskan di Padang Merbok, walaupun terdapat amaran ianya adalah perhimpunan haram.

Pemimpin PKR itu turut menyelar kerajaan berhubung penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung membeli-belah Sogo di ibu kota Malaysia semalam.

Katanya, tangkapan tidak ubah seperti suasana sebelum merdeka apabila pengedaran risalah dianggap sebagai kesalahan.

“Sedangkan ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman. Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,” katanya. - TMI


Sambutan hormat Anwar di Jakarta bertemu Presiden SBY


Poster size GERGASI menyambut ketibaan DSAI dan Kak Wan sempena bertemuan dgn Presiden Indonesia SBY di Jakarta.

Dari rakaman gambar diatas amat jelas bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah mendapat penghormatan negara apabila melakukan kunjungan ke Indonesia walaupun dinegara ini beliau sering dilemparkan dengan pelbagai fitnah.

Kehadiran beliau dengan DSWA ke Indonesia adalah atas kapisitinya sebagai Ketua Pembangkang kalau sebagai Ketua Kerajaan, sudah pasti sambutan lagi hebat diberikan. Tulis blogger Omakkau.


JAKARTA, 16 JUN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu penipuan pilihan raya umum ke-13 wajib ditangani secara serius dan diselesaikan sebelum sebarang agenda lain ditawarkan kepada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, di Jakarta pagi ini.

Anwar memberi amaran perdamaian nasional (national reconciliation) yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah omong kosong sekiranya penyelewengan, salah urus dan penipuan pilihan raya oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak diselesaikan.

“SPR itu harus ditukar. (Himpunan) di Padang Merbuk itu harus (perlu) tegas.

“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata Anwar menjelaskan, himpunan Black 505 akan tetap diteruskan di Padang Merbok, 22 Jun ini.

Dalam sidang media sama beliau turut menyelar penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung membeli-belah Sogo semalam.

Katanya, tangkapan terhadap peserta ‘flashmob’ yang rata-ratanya anak muda tak ubah seperti suasana sebelum merdek,a apabila pengedaran risalah danggap sebagai kesalahan.

“Sedangkan ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman. Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,” katanya

Ketika ditanya pemberita, Anwar menafikan sebarang pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang turut berada di Jakarta.

“Tidak ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada, ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu tahu,” tegasnya.

Difahamkan, Anwar dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Indonesia bagi memenuhi undangan dan pertemuan bersama Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Bali dan Jakarta.
- Malaysiandigest

Sultan Kelantan Gesa Pusat Selesai Bayaran Tunai Royalti Ikut Perjanjian!


Isu Tuntutan Bayaran Tunai Royalti Petroleum Negeri Kelantan... Hari ini Tuanku Sultan Muhammad ke-V yang kita sayangi bertitah lagi...

Petikan Titah KDYMM SULTAN MUHAMMAD V

Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan Ketiga Belas Tahun 2013

BETA MENYARANKAN SUPAYA KERAJAAN NEGERI DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BERKERJASAMA DALAM MENYEDIAKAN KEMUDAHAN INFRASTUKTUR DAN ULTILITI DI NEGERI INI. ANTARANYA PEMBINAAN 'CENTRAL SPINE ROAD', LEBUHRAYA RAKYAT KOTA BHARU-KUALA KRAI DAN KEMUDAHAN BEKALAN AIR.

BETA JUGA BERHARAP SUPAYA PENYELESAIAN ISU TUNTUTAN BAYARAN TUNAI ROYALTI PETROLEUM DAPAT DISELESAIKAN MENGIKUT PERJANJIAN YANG TELAH DITANDATANGANI.



Sumber: pkrl

Ulasan GB

Kepada UMNO BN, jangan derhaka terhadap titah Sultan!