DAP hari ini mendakwa, Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertujuan menyusahkan parti itu apabila memutuskan barisan kepimpinannya tidak sah 48 jam sebelum hari penamaan calon.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya berkata, surat yang diberikan kepada beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke pada tarikh yang sama juga berbeza.
Dalam surat kepada Guan Eng, ROS menyatakan wujud pertikaian berhubung pemegang jawatan dalam parti itu namun surat kepada Anthony menyatakan siasatan dakwaan itu ditangguhkan ke tarikh 9 Mei.
Guan Eng mempertikai tindakan ROS yang mengeluarkan surat tersebut sebelum siasatan selesai dilakukan.
Guan Eng berkata demikian dalam sidang mediannya hari ini selepas menerima surat dari ROS petang semalam.
Turut serta dalam sidang media ini adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.
"Tujuan utama mereka tak iktiraf pimpinan DAP kerana nak nafikan hak kami untuk bertanding menggunakan lambang sendiri," kata Guan Eng.
Sehubungan itu, DAP akan bermesyuarat malam ini untuk menimbangkan keputusan menggunakan lambang PAS di Semenanjung Malaysia dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak.
PAS PKR SEDIA BENAR
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut berada dalam sidang media sama menyatakan kesediaan untuk membenarkan DAP menggunakan lambang PAS.
"Perkara ini telah dibincangkan beberapa minggu sebelum ini dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak ada masalah dengan perkara ini, " katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menyifatkan tindakan ROS itu sebagai cara untuk meletakkan DAP dalam kesukaran.
"48 jam sebelum penamaan calon, sepatutnya kami tidak berada dalam sidang media ini. Kami harus membuat persiapan terakhir untuk penamaan calon tapi kerana tindakan ROS, kami terpaksa buat mesyuarat tergempar.
"Atas semangat kekitaan, PKR bersedia memberi laluan kepada DAP di Sabah dan Sarawak untuk guna lambang PKR," katanya.
ROS tak iktiraf pucuk pimpinan DAP
Hanya dua hari menjelang penamaan calon, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menghantar surat kepada DAP memaklumkan bahawa ROS tidak mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.
DAP mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 3 petang ini untuk berdepan dengan kesan keputusan ROS itu, dan dijangka memanggil sidang akhbar selepas itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditanya dalam satu sidang untuk mengumumkan senarai calon DAP Selangor di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Pemimpin DAP, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan menerima surat daripada ROS, tetapi tidak menyatakan tentang kandungannya.
Surat tersebut yang bertarikh semalam, diedar secara meluas di Internet. Bagaimanapun, kesahihannya masih belum disahkan oleh DAP atau ROS.
Bagaimanapun, usaha Malaysiakini untuk menghubungi Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahim Othman setakat ini belum berhasil. Seorang pegawai kanan ROS mendakwa tidak tahu menahu mengenai surat tersebut.
Jika benar, ini merupakan satu tamparan hebat terhadap persediaan DAP untuk berdepan dengan pilihan raya umum 5 Mei ini.
Sehingga kini, juga tidak jelas sama ada ini akan menjejaskan penggunaan logo DAP pada hari penamaan calon.
DAP disiasat oleh ROS berkaitan "kesilapan teknikal" yang berlaku semasa pemilihan parti Disember tahun lepas, yang mengakibatkan barisan awal CEC parti itu dirombak semula.
Parti itu mendakwa terdapat kesilapan teknikal dalam penjadualan (tabulation) undi tetapi pemimpin DAP menolak gesaan diadakan pemilihan baru walaupun terdapat bantahan dari ahli tertentu parti itu. -mk
Ulasan GB
Berita terbaru menyatakan bahawa "DAP masih boleh mengemukakan calon seperti biasa pada hari penamaan calon tanpa mengira keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menggantung jawatankuasa pusat parti itu.
Ini telah disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff."
Tetapi yang mengkhuatirkan ialah bagaimana jika selepas pilihanraya ROS membuat keputusan mengisytiharkan DAP sebagai pertubuhan yang terbatal pendaftarannya?
Apa akan jadi kepada status calon-calon DAP yang memenangi pilihanraya berkenaan? Jadi anggota Bebas?
GB melihat ini sebagai satu grand design untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat supaya tidak dapat menguasai parlimen dan Putrajaya selepas PRU13 nanti.
Malah hingga kini ROS masih gagal untuk memberikan kelulusan kepada pendaftaran Pakatan Rakyat.
GB pernah menyarankan supaya pihak Pakatan Rakyat mengheret ROS ke muka pengadilan kerana kegagalan memberikan kelulusan tersebut, tetapi nampaknya PR belum bersedia untuk bertindak sedemikian.
Apa-apa hal pun kita mengalu-alukan kesedian DAP untuk bertanding di atas tiket PAS atau PKR - satu lambang kesetiakawanan parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat.