7 Feb 2013

NST Disaman Kerana Siarkan Artikel Memfitnah BERSIH

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini memfailkan saman ke atas News Straits Times Press (Malaysia) Berhad kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah tahun lalu.

Andrew Khoo, ahli jawatankuasa bertindak Bersih 2.0, hari ini berkata saman tersebut difailkan ke atas artikel yang ditulis dalam akhbar berbahasa Inggeris News Straits Times pada 21 September, 2012, bertajuk “Plot to destabilise government” (Plot untuk menjatuhkan kerajaan).

“Kita mengkaji artikel tersebut dan kita dapati artikel tersebut banyak melakukan tuduhan palsu ke atas Bersih dan aktivitinya,” katanya apabila bertemu wartawan di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Jadi kita perlu betulkan fakta, dan supaya tidak berlaku lagi laporan palsu, kita tidak ada pilihan selain memfailkan saman,” katanya lagi.

“Saya ingin jelaskan di sini kita juga menuntut maaf dan menarik semula laporan tersebut tetapi tidak ada sebarang tindakan dari NST,” kata Khoo.

Peguam Bersih Daniel J. Albert berkata surat mengenai perkara tersebut ditulis pada 2 dan 3 Oktober tahun lalu.

Plaintif dalam kes ini ialah 15 orang ahli jawatankuasa bertindak Bersih 2.0, manakala NSTP (M) Berhad dan penulis artikel tersebut sebagai defendan.

Bersih berkata mereka mencari ganti rugi berdasarkan amaun yang ditentukan mahkamah serta injuksi untuk menghalang defendan dari, antaranya menerbitkan artikel atau fitnah.

Sebenarnya Mahathir Resah Gelisah Kekuatan Pakatan Rakyat

Pas nasihat Mahathir fokus selamatkan Umno

SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tumpuan lebih untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada mencampuri urusan dalaman Pakatan Rakyat (PR) khususnya Pas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kenyataan Dr Mahathir yang mencemuh Pas kerana takut dan tidak berani untuk keluar daripada ikatan itu tidak timbul.

Sebaliknya kata beliau, kerjasama politik itu perlu diteruskan malah telah disepakati sejak 2008 lagi.

“Kenapa Tun Dr Mahathir nak peduli hal rumah tangga orang lain, Pas tiada niat untuk tinggalkan PR, kita sudah sepakat dengan ikatan itu dengan dasar bersama sejak 2008 lagi.

“... apa yang dikatakan oleh bekas perdana menteri itu hanyalah khayalan beliau sendiri, iltizam kita hanyalah untuk menghadapi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Salahuddin juga menyifatkan hubungan Pas, DAP dan PKR pada masa ini sangat baik dan tiada keperluan bagi Pas untuk meninggalkan gagasan itu.

“Kita bina hubungan (tahaluf siyasi) ini dengan baik dan kami yakin tidak ada yang perlu ditakutkan tentang kerjasama ini,” ulasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mencemuh Pas sebagai tidak berani keluar daripada PR kerana terlalu bergantung dan mempercayai DAP.

Dr Mahathir berkata, Pas khuatir tidak akan mendapat sokongan rakyat dan seterusnya kalah dalam PRU13 akan datang sekiranya bertindak keluar daripada pakatan itu. -SH

Ulasan GB

Mahathir sebenarnya telah menghidu kekalahan UMNO BN di dalam PRU13 akan datang ini.

Maka ditonjolkan dan diwujudkan isu yang bukan-bukan yang sebenarnya hanyalah mendedahkan keresahannya yang amat sangat tentang kelemahan UMNO BN kini.

Keakraban hubungan PAS-DAP menjadi igauan ngeri untuknya kerana ia merupakan satu pukulan maut buat UMNO BN.

Latahnya semakin menjadi-jadi apabila mengetahui Karpal Singh dan Nik Aziz bersahabat baik. Cemburunya membuak-buak.

Akhirnya, beliau memainkan isu perkauman, memainkan isu keagamaan, tiba-tiba menjadi pembela kepada Ustaz Nasharuddin sedangkan sebelum ini pernah Mahathir ambil pusing mengenai bekas Timbalan presiden PAS itu?

PAS adalah milik ahli PAS dan ahli-ahli PAS, melalui muktamar yang berhak menentukan halatuju dan masa depan PAS sendiri. Siapa Mahathir dan yang lain-lain yang bermuka tembok nak tentukan halatuju PAS? Tak malukan?

SAMM Lapor SPRM Kes Anugerah Kontrak Prai Power Plant RM2.57 Billion

Putrajaya: Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)mengenai proses penganugerahan tender pembinaan stesen janakuasa elektrik, Prai Power Plant kepada syarikat asing, Samsung Engineering& Construction.

Beliau membuat aduan tersebut di pejabat SPRM di sini semalam.

Badrul Hisham menyerahkan laporan setebal 20 muka surat yang mengandungi beberapa dokumen termasuk bukti proses pemberian tender bagi membantu siasatan.

Selain itu, beberapa keping gambar yang menunjukkan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta anaknya dengan Presiden Samsung untuk melobi di Korea Selatan turut diserahkan.

Dalam laporannya, Badrol Hisham mempersoalkan nilai kontrak yang diberikan kepada Samsung dengan harga yang amat tinggi, RM2.47 bilion sekaligus mengenepikan syarikat tempatan lain yang mempunyai pengalaman sama.

Beliau mendakwa, Prai Power Plant yang berkapasiti 100 megawatt sama seperti kemampuan Manjung Power Plant namun kosnya tidak keterlaluan seperti Prai.

Beliau turut mendakwa, Samsung sama sekali tidak ada dalam sembilan syarikat pembida yang disenarai pendek dalam jawatankuasa tender.

`Pengkhianatan ekonomi’

Antara pembida tersenarai adalah Sime Darby Power Sdn Bhd, Gentinf Sanyen Power Sdn Bhd, usaha sama Malakoff Corp Bhd dengan Petronas Power serta Mitsubishi Group dan usaha sama YTL Power International Bhd dengan Marubeni Corp of Japan.

“Membiarkan projek bernilai tinggi hanya dimonopoli tanpa perkongsian syarikat tempatan adalah pengkhianatan kepada ekonomi negara.

“Semua ini merupakan persoalan yang perlu dileraikan dan memerlukan respon daripada pihak terbabit.

“SPRM perlu ambil tindakan tegas sama ada mengheret pesalah yang membazirkan wang rakyat atau membersihkan pihak terbabit dengan menyatakan tiada salah guna kuasa berlaku,” katanya.

Samsung Engineering & Construction pernah terlibat dalam beberapa projek mega di Malaysia, antaranya pembinaan menara kedua KLCC.

Namun rekod menyatakan pembinaan tersebut hampir sepenuhnya menggunakan khidmat kontraktor Korea Selatan dan luar negara yang dipilih sendiri, malah langsung tidak ada perkongsian dengan syarikat tempatan. -FMT

[VIDEO] Skandal Tanah S'ngor: 2 Lagi Pemimpin UMNO Beli Tanah RM2 Sekaki Persegi

Dua nama pemimpin Umno Selangor didakwa menerima sekeping tanah berkeluasan 5,000 kaki persegi di kawasan USJ3B dan USJ3D di sini dengan harga RM2 sekali.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan ahli politik Umno tersebut adalah Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas yang merupakan Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya (1985-1995), Pengerusi Tetap Umno Subang (1995-2001) dan Adun Kelana Jaya Selangor (1986-1995).

Megat Najmuddin juga adalah ahli Lembaga Pengarah Petronas, Presiden Malaysian Institute of Corporate Governance dan anggota Lembaga Disiplin Umno (2002-2009).

Ujar Nik Nazmi, turut menerima lot tanah tersebut ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kelana Jaya, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin yang merupakan bekas Adun Seri Setia pada 2004.

“Ia perkara yang amat mendukacitakan ketika mana rakyat susah untuk mendapat sekeping tanah dan untuk membeli rumah di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Tetapi mereka mendapat tanah dengan mudah dan menjadi ‘jutawan segera’ dengan mendapat kelebihan seperti ini,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung Skandal Sapu Tanah 1Malaysia (SAT1M) yang diadakan di USJ 3 di sini.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, pemberian tanah itu tidak munasabah kerana mereka memperolehinya pada harga RM2 sekaki sedangkan nilai pasaran hartanah ketika ini berharga sekitar kira-kira RM175 sekaki.

“Tanah-tanah tersebut mempunyai 99 lot tanah banglo dengan tempoh pajakan 99 tahun di mana diluluskan oleh mesyuarat Exco ketika itu pada 20 Februari 2001,” kata Hannah.

Ujarnya dalam pemberian tanah itu terdapat tiga nama ahli politik MCA Kelana Jaya, Lee You Hin, Yap Yun Fatt dan Lim Kok Sai.

“Kita mahu pemimpin BN memberikan respon berkenaan isu ini apabila mereka berkempen di Subang Jaya nanti kenapa mereka memperolehi tanah pada harga yang murah,” kata Hannah.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pendedahan skandal pemberian tanah itu membuktikan pimpinan Umno-BN lebih mementingkan kroni parti mereka sendiri.

“Kita menyeru rakyat Selangor membuat penilaian yang tepat dalam PRU ini,” tegas Ng.

Turut hadir dalam sidang media pendedahan skandal tanah itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Konsert PSY: BN Khianati Artis Tempatan, Lebih Mahal Dari Peruntukan YA1M


Di saat kelembapan industri muzik Malaysia sejak lebih sedekad, langkah mengundang penyanyi luar, Park Jae-sang atau dikenali sebagai “Psy” untuk membuat persembahan percuma di Pulau Pinang sempena majlis rumah terbuka Gong Xi Fa Chai dengan bayaran lebih RM1 juta tak lain adalah satu bentuk pengkhianatan kepada industri muzik, penyanyi dan artis tempatan.

Biar apapun alasan atau pihak mana sekalipun yang dikononnya membayar, mengundang artis sepopular Psy untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina kali ini yang akan pula melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tak lain diyakini sebagai usaha memancing sokongan undi khususnya golongan muda menjelang Pilihanraya Umum.

Hal ini cukup mendukacitakan terutama ketika artis veteran tempatan hanya dihulur RM2 ribu seorang baru-baru ini melalui Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). Kalau bayaran kepada Psy berjumlah RM2 juta, ia bersamaan dengan peruntukan keseluruhan kepada YA1M untuk tahun ini.

Sekiranya persembahan Psy di Pulau Pinang itu kelak tidak mengenakan bayaran tiket kepada penonton, maka tentulah tidak akan ada apa-apa duti atau cukai langsung boleh dipungut oleh kerajaan.

Dalam kata lain, jemputan berbayar itu semata-mata akan merugikan dana rakyat.
Perkara ini boleh disemak di bawah Akta Duti Hiburan 1953 dengan syarat-syarat untuk kerajaan mengutip duti atau cukai hiburan.

Isu ini berbeza dengan artis warga asing yang bekerja dan bekarya dalam Malaysia apabila mereka perlu membayar tarif cukai sebagaimana pekerja asing profesional lainnya.

Perihal artis luar menetap di Malaysia sebenarnya lebih mendatangkan keuntungan kepada industri berkaitan seni hiburan di samping memberikan hasil pungutan cukai kepada negara.

Pemerintah mungkin juga tak menyedari bagaimana ada ribuan penyanyi tempatan yang menerima bayaran persembahan sangat rendah atau mungkin sahaja secara percuma untuk mempromosikan bakat mereka.

Langkah mengundang Psy sekaligus membuktikan bahawa dasar kebudayaan nasional sekian lama telah gagal melahirkan artis Malaysia yang mampu popular dan setanding di peringkat antarabangsa.

Nik Aziz: Langkah BN bawa Psy membazir
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah membawa penyanyi popular Korea, Psy bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang pada 11 Febuari ini satu pembaziran.

“Bagi saya sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan masyarakat terbabit yang meriah, namun tidak perlulah membazir dengan menjemput penghibur dari luar untuk memeriahkan acara sambutan.

“Daripada kita agungkan artis luar patut kita beri sokongan kepada anak-anak muda kita, namun persembahan yang dilakukan mestilah bermesej dan tidak menyimpang dari budaya negara kita yang masyarakatnya majoriti beragama Islam,” katanya kepada media hari ini selepas menziarah dua rumah masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina di Kampung Tebing Tinggi dekat sini
-SH

Deepak Bom Najib Lagi: Yakin 90% Pegawai Najib Ada Semasa Altantuya Dibunuh

Ahli perniagaan kontroversi, yang mendedahkan kaitan Datuk Seri Najib Razak dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Deepak Jaikishan mendakwa hampir 100 peratus yakin ada pegawai Perdana Menteri semasa wanita Mongolia itu dibunuh.

“Saya 90 peratus yakin, pegawai dan pengawal keselamatan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di lokasi Altantuya dibunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, bersama pemimpin parti itu, tengahari tadi.

Ditanya lanjut berkenaan dakwaannya itu, beliau menjelaskan keyakinan tersebut berasas hubungan baik dengan Rosmah yang dianggap sebagai kakak.

“Memang saya tidak ada di tempat kejadian tetapi berdasarkan hubungan rapat saya dengan keluarga Perdana Menteri, saya yakin saya kenal mereka yang terlibat,” kata Deepak.

Ditanya lagi bagaimana beliau mengenali pegawai terlibat sedangkan beliau tiada di tempat kejadian, Deepak sekali lagi menegaskannya.

“Walaupun saya tiada di situ, saya pasti 90 peratus,” katanya.

Beliau turut mempersoal kehadiran pegawai terbabit di tempat Altantuya dibunuh.

“Jika dilihat secara logik, apakah tujuan pegawai-pegawai perdana menteri dan isteri berada di lokasi pembunuhan seorang warga asing jika ia tidak berkaitan tugasan mereka,” kata Deepak.

Altantuya dibunuh secara kejam pada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam.

Kepalanya ditembak dan selepas itu badannya diletupkan dengan bom C4 yang biasa digunakan anggota tentera dalam operasi mereka.

Dua pegawai polis yang menjadi pengawal pengiring Perdana Menteri dibicarakan dan didapati bersalah dalam kejadian itu dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Beberapa bulan lalu, Deepak dalam siri pendedahannya mendakwa beliau terlibat dalam membantu Najib dan Rosmah dalam menyiapkan akuan bersumpah kedua P Balasubramaniam (PI Bala) yang menafikan pengakuan dalam SD 1 dibuat penyiasat persendirian itu.

Kematian Altantuya terus dikaitkan dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada syarikat milik rakan baik Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Dalam pertemuan bersama Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar itu, Deepak turut membawa bukti-bukti penglibatan Perdana Menteri dan isteri dalam beberapa penyelewengan khazanah dan harta negara.

Antara isu ditimbulkan Deepak adalah bukti campur tangan Najib dalam pengambilalihan secara paksa Astacanggih Sdn Bhd, syarikat miliknya oleh Boustead Holdings Berhad dan penjualan lapangan terbang di Sungai Besi oleh Lembaga Tabung Angkatan Malaysia (LTAT).

Selain itu, beliau menyentuh salah guna kuasa tentera oleh Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dan mendakwa didalangi oleh Perdana Menteri.

“Saya ada surat-surat dan semua dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang sah, mereka tak boleh lawan kebenaran,” tegas usahawan permaidani itu.

Menurutnya, selepas siri pendedahan ‘top-secret’ olehnya, beliau berkali-kali ditekan memaksanya mendapat jaminan imuniti bagi membolehkan lebih banyak pendedahan membabitkan pemimpin nombor satu negara.

Beliau hari ini berjaya mendapatkan sokongan daripada PAS dan peguamnya bagi tujuan itu selepas pertemuan kira-kira satu jam.

Pertemuan itu turut dihadiri Penolong Setiausaha PAS, Dr Syed Azman Syed Nawawi, Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Asmuni Awi yang juga peguam.

Asmuni menyatakan kesediaan menulis surat kepada Peguam Negara bagi membolehkan Deepak mendapat imuniti di bawah Seksyen 2 (b) yang memberi perlindungan kepada saksi. -KD

[Gambar Bukan Photoshop] Pandai Yek Lembu Ini Cari Kawan...



Biar gambar di atas berbicara sendiri...

Ia seperti mengiyakan kata-kata bekas Presiden UMNNO, Tun Mahathir yang pernah menyatakan: "Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno" yang membawa makna bahawa yang ada dalam UMNO kini hanyalah yang bodoh-bodoh

Maka hukum kebenaran dan keadilan yang sifatnya alamiah dan universal pun berjalan. Ditunjukkan oleh hukum alamiah itu, lembu itu pandai memilih kawannya...

GB pernah ulas kata-kata Mahathir ini satu ketika dulu di SINI. Petikan:

Tersenyum juga GB membaca kenyataan TDM di atas.

Beliau mungkin dah fed-up dalam UMNO dah tak ada orang yang pandai-pandai. Bererti TDM akui fakta bahawa UMNO kini dianggotai oleh kebanyakannya ahli yang bangang-bangang dan bebal-bebal yang sinonim dengan perkataan bodoh. Di dalam pepatah Melayu ada binatang yang dikaitkan dengan "bodoh" iaitu si lembu - bodoh macam lembu.

Bermakna, TDM mengakui yang di dalam UMNO kini terlalu banyak lembu-lembu dan mahu kandang UMNO dibuka supaya lebih ramai golongan profesyenal dan cerdik pandai menyertainya.

Dah terlambat. Lebih setengah abad UMNO menjadi "kandang lembu" dan rakyat sudah bersedia untuk "merobohkan" kandang itu yang menyebabkan najis lembu-lembu itu membusukkan imej negara.

Moo sana moo sini bak kata si kartunis Zunar.