14 Dis 2013

Isu Syiah Ditimbulkan Untuk Tutup Kehebatan Unit Amal


Kehebatan Unit Amal waktu banjir punca isu Syiah dimain semula – Timmy Say

Isu Syiah dan tuduhan Syiah terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bermula ketika Perhimpunan Agong Umno (PAU) tengah berlangsung dalam suasana riang gembira penuh makanan manakala rakyat dilanda banjir dibiarkan dalam keadaan lapar dan kesejukan.

Ketika para pemimpin Umno sedang bersorak dan berbahas isu-isu retorik, PAS menggerakkan Unit Amal dan kempen mengutip derma seluruh negara bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Kehebatan, keikhlasan dan keboleh-kebergantungan pada Unit Amal tersemat di hati rakyat. Kini, mereka merasa selamat dan lega apabila melihat sesiapa yang berbaju merah datang kerana mereka tahu bantuan telah datang.

Memberikan derma dan menghantar sumbangan adalah mudah, tetapi apa yang Unit Amal PAS bawa adalah lebih daripada itu.

Mereka yang berbaju merah bukan sekadar datang menghantar makanan untuk dimasukkan ke media mahupun TV, mereka datang membawa tangan-tangan yang sedia membantu tanpa mengenal warna dan ego – sanggup mengotorkan tangan dalam segala hal yang diperlukan termasuklah kerja-kerja yang paling tidak disukai iaitu membuang sampah, mengangkut barang berat, mencuci lumpur banjir, memasak – dengan hati sukarela tanpa upah kerana semuanya dibuat atas nama Allah.

Unit Amal PAS telah mendapat tempat di hati rakyat di musim banjir ini dan ini berlaku ketika PAU sedang berlangsung. Rakyat dapat melihat perbandingan secukupnya sikap yang ambil Umno dan PAS dalam “mendahulukan rakyat”, lebih-lebih lagi apabila rakyat di dalam keadaan darurat banjir.



Gambar-gambar pemimpin PAS yang turut meredah air banjir dan mengangkut barangan telah disebar dengan hangat dan dibandingkan dengan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melawat kawasan banjir menggunakan helikopter.

Sekeping gambar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meredah banjir, sambil memikul barangan sumbangan di bahu, dikongsi dengan sebegitu hangat.


Malah ada satu artikel di The Malaysian Insider yang bertajuk “Budak-budak baju merah” yang bantu kami, kata mangsa banjir” yang menggunakan gambar Ustaz Tuan telah menjadi artikel terhangat di laman ini (Nota: Jarang-jarang sekali berita berbahasa Melayu menjadi artikel paling dibaca di laman yang didominasi berita berbahasa Inggeris).


Kehebatan Unit Amal menyebabkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memohon maaf kerana kelewatan menghantar bekalan makanan.


Kini, Unit Amal PAS melancarkan Ops Bersih – untuk membersihkan kawasan yang terkena air banjir – kerja yang paling sukar dilakukan dalam musibah banjir ini.

Dan ini dilakukan secara amal tanpa upah berprinsipkan “Rahmat Untuk Semua” – sesuatu yang bakal tersemat di hati rakyat.

Kerja-kerja hebat Unit Amal telah secara tidak langsung menjadi senjata PAS untuk meraih undi rakyat. Sudah tentu Unit Amal tidak menyangka kerja mereka yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh disiplin tetiba menjadi satu senjata politik yang digeruni Umno.

Disebabkan itu, rakyat perlu dialih perhatian daripada kehebatan Unit Amal.

Maka sebab itulah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa mempertaruhkan isu Syiah untuk mengalihkan pandangan rakyat, terutamanya orang Melayu.

Kini, Umno mengharapkan media akan fokus semula pada isu Syiah, para pemimpin politik dan penganalisa akan terus berperang dalam isu Syiah sehingga tenggelamkan kehebatan Unit Amal PAS dan kelemahan Umno di musim banjir luar biasa ini.



Teruskan kerja! Dan jangan terperangkap!

Berapa orang atas pagar yang akan mengundi PAS kerana kehebatan Unit Amal, askar Negara Berkebajikan yang diwar-warkan PAS, di PRU14 nanti?

Dan itulah yang sangat membimbangkan Umno.-Timmy Say/TMI

ULASAN GB

Berikut GB siarkan semula artikel yang tersiar di TMI dan kemudian di petik untuk disiarkan semula di blog ini pada 27 Sept 2013 untuk pencerahan mengenai isu Syiah dan kaitan Mat Sabu dengan Unit Amal. Semuga bermenafaat.


Isu Syiah: Jawapan Mantap Dari Mat Sabu


Kepimpinan ulama dan Unit Amal dari Iran, kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan untuk kesekian kalinya beliau bukan Syiah tetapi hanya membawa nilai-nilai baik dari Iran untuk diamalkan di negara ini.

Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS.

"Adakah kesemua mereka menjadi Syiah kerana saya membawanya dari Iran. Sudah tentu tidak,"
katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.

Katanya, setiap dua tahun sekali iaitu menjelang muktamar yang ada pemilihan dalam PAS, isu Syiah akan bergema. Kali ini bukan di kalangan PAS sahaja, isu ini juga dimainkan juga oleh pemimpin kerajaan, agensinya dan media yang dikawal mereka.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi salah satu sasaran mereka apabila isu ini dimainkan.

Isu Syiah menjadi sangat hangat apabila perang saudara meletus di Syria dan Iran serta Hizbollah (gerakan Islam di Lubnan) menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar Al-Assad.

Mohamad diserang apabila beliau melawat negara tersebut ketika meletusnya perang saudara di sana.

"Sebenarnya perang di sana adalah agenda perebutan kuasa dan tidak ada kaitan dengan perang antara Sunnah dengan Syiah sebagaimana yang digembar-gemburkan.

"Presiden PAS, Hadi Awang telah menjelaskan perkara ini," katanya kesal dengan apa yang berlaku.

Mohamad menceritakan kembali bagaimana beliau boleh tertarik dengan perjuangan Islam di Iran yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeine.

"Semasa saya belajar di ITM dulu, awal 1970-an, kampus ketika itu dipengaruhi oleh Abim dan PKPIM. Idola kami adalah gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir pimpinan Hassan Al-Banna dan Syed Qutb.

"Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana," katanya.

"Apabila kita melawat Iran di awal revolusi, kami melihat kehebatan ulamanya apabila mereka bercakap hal revolusi dan perjuangan. Kami rasa kagum dengan ketrampilan mereka kerana selama ini di Malaysia, ulama hanya tukang baca doa dan seumpamanya saja," katanya.

Dari situ, apabila pulang, Mohamad dan rakan-rakannya membawa konsep kepimpinan ulama yang diamalkan dalam PAS sekarang.

"Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu.

"Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang," katanya.

Sebab itu, katanya, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran, kata Mohamad yang cuba mengaitkan ramai pemimpin PAS yang terpengaruh dengan gerakan Islam di Mesir (Ikhwanul Muslimin) dan Turki (AKP pimpinan Tayyib Erdogan dan Saadet pimpinan Necmetin Erbakan).


Mohamad mengimbau kembali bagaimana beliau diseretkan dengan Syiah.

"Orang tuduh saya Syiah kerana saya kagum dengan perjuangan Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, Lubnan.

"Saya suka dia kerana, bila dia bercakap soal perjuangan, anaknya mati di medan perang melawan Israel ketika umurnya 17 tahun, rumah kena bom hancur berkecai.

"Bila dia cakap Islam dalam keadaan dagang, dia sendiri dagang bila terpaksa bersembunyi ke sana kemari daripada pengeboman dan pembunuhan oleh agen Isreal.

"Maka orang seperti Hasan Nasralah datanglah penghormatan kepadanya dari penyanyi, pemain bola, orang awam, orang Kristian bahkan orang tiada agama menerima kepimpinan Hassan Nasrallah sehingga kain jubahnya itu diambil dan dipakai oleh anak-anak muda dan artis kononnya nak ambil keberkatan... inilah contoh kepimpinan yang saya terima," katanya.


Katanya, kefahaman beliau dan rakan-rakannya ketika itu, kepimpinan ulama ini bukan bermakna semua jawatan dalam PAS mesti dipimpin ulama.

"Kefahaman kita, presiden dan ke bawah boleh di isi sesiapa saja yang layak dan mampu tetapi Majlis Syura Ulama hendaklah di isi oleh orang yang ada latar belakang pendidikan agama secara formal.

"Ini kefahaman kami ketika meletak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam parti," katanya.

Bagi beliau, pada peringkat awal konsep ini diamalkan, gandingan yang baik berlaku antara Yusof Rawa dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Fadzil dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan semuanya dari aliran agama.

"Bagi saya siapa saja boleh pegang presiden dan lain-lain jawatan. Kalau ulama yang mahu memegang jawatan itu, bukan melalui title atau bertenggek atas nama ulama saja, mesti memenuhi syarat kepimpinan," katanya.

Katanya, beliau menerima orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi untuk memimpin PAS kerana kelebihan yang mereka ada.

"Mereka ada kelemahan tetapi kelebihan yang ada pada mereka mengatasi semua yang lain, maka orang seperti itu layak untuk memimpin," katanya.

Beliau berkata, apabila dia dan rakan-rakannya melawat Iran selepas revolusi Iran pada 1978, mereka tertarik dengan gerakan sukarela di sana yang dinamakan Jihad Sizendagi.

Kumpulan inilah yang berjaya membawa keluar rakyat Iran dari buta huruf yang tinggi di samping masalah bekalan elektrik luar bandar yang rendah.

"Bila kita balik, kami ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal, bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan oleh anak muda di sana," katanya yang menjelaskan dari manakah asal usul Unit Amal, badan kebajikan dan kawalan yang sangat berpengaruh dalam PAS sekarang.

Katanya, langkah ini diambil sesuai dengan konsep hikmah dalam Islam iaitu hikmah itu benda yang tercicir dan jika diambil ia akan menjadi hak orang yang mengamalkannya.

"Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan satu regim yang zalim," katanya.

Beliau berkata, kunjungannya ke Syria dua tahun lalu dimainkan daripada perspektif mazhab terutama menjelang muktamar kali ini.

"Tahun ini lebih dahsyat bila saya kunjungi Syria sebelum ini. Yang saya jumpa semuanya ahli Sunnah wal Jamaah. Muftinya, Dr Said Ramadhan Albutti, Menteri Wakaf, Menteri Perpaduan... semuanya sunnah... sebenarnya di sana tidak timbul isu Sunni dan Syiah ni, ia adalah pertarungan merebut kuasa," katanya.
-TMI/Blog GB


1 ulasan:

  1. Aku tak dengar cakap orang aku tengok sendiri depan rumah bapak aku di Lembah Jaya utara, Ampang semasa banjir lumpur melanda, budak-budak baju merah datang tolong bersihkan rumah lepas tu sembayang berjemaah diatas jalan raya. Sedangkan satu kumpulan lagi yang ada kemah kat sebelah surau buat pekak je. Masa tu bapak aku ade kat surau. Entah-entah diaorang memang pekak!!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.