2 Nov 2013

Menjelang Muktamar PAS, Mohd Sabu Perlu Kekal Sebagai Timbalan Presiden?


Mengapa Mat Sabu perlu kekal Timbalan Presiden Oleh ISMAIL QAWI

Lawan Pas ialah Umno. Pas perlu menumbangkan Umno untuk kemajuan politiknya.

Perlu diakui melawan Umno ini bukan satu tugas yang mudah. Ia juga bukan satu tugas yang singkat

Ini memerlukan kekentalan jiwa, ketaatan pada perjuangan dan kekuatan semangat untuk mengharungi segala serangan yang bakal dilemparkan oleh Umno.

Ini termasuk ditahan tanpa bicara, dihina sehingga telanjang, diremeh setiap hari dan difitnah sepanjang masa.

Seseorang ini juga harus kental meneruskan istiqamah dalam perjuangan walaupun terpaksa mengharungi kekecewaan berkali-kali.

Seseorang yang tidak pernah diuji dengan ujian berat sedemikian susah untuk memikul perjuangan onak duri ini.

Antara lima calon Timbalan Presiden Pas yang bakal bertanding kali ini, hanya Abang Mat kita pernah diuji dengan segala macam ujian.

Menjadi orang kedua Pas, yang paling dipentingkan ialah kepimpinan politik dan aura untuk menarik orang bukan Pas untuk bersama dengan Pas melawan batil dan kejahilan yang dibawa Umno.

Perlukah orang kedua Pas mahir dalam selok-belok agama sebagaimana seorang ulama? Bagi saya, tidak perlu kerana Presiden Pas sendiri adalah satu ensiklopedia agama yang boleh dirujuk oleh sesiapa sekiranya ada masalah yang berbangkit mengenai agama.

Selain itu, Abang Mat juga rapat dengan NGO-NGO yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang disaksikan di himpunan-himpunan Bersih.

Sebagai seorang aktivis, kegigihan Abang Mat sememangnya disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.

Dan aspek yang dibawa Abang Mat ini adalah apa yang diperlukan Pas sehinggalah ia menumbangkan Umno.

Saban hari, semakin ramai menyuruh calon-calon yang kononnya mendapat pencalonan terbanyak untuk masuk pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas.

Jawatan Timbalan Presiden Pas bukanlah satu jawatan main-main berdasarkan populariti seseorang sahaja. Jawatan ini adalah jawatan untuk berkhidmat untuk parti, berkorban untuk parti dan mengembangkan parti ke saluran-saluran pengundi yang tidak berjaya ditembusi parti sebelum ini.

Yang penting dalam pemilihan Timbalan Presiden Pas ialah memilih berdasarkan kebolehan, kemampuan, kebijaksanaan dan juga mereka yang dibenci musuh.

Mereka yang dipopularkan musuh, terutamanya Umno mesti ditolak. Mereka yang hanya popular tanpa pernah diuji juga tidak harus menjadi pilihan.

Fitnah-fitnah khalwat dan isu Syiah yang dilemparkan pada Abang Mat semuanya hanya fitnah kerana tiada bukti yang sahih untuk menyokong dakwaan tersebut.

Ada yang bertanya jika Abang Mat layak, apakah Husam tidak layak diberikan peluang. Manusia berpegang pada janji, Husam pernah berkata tiada sebab untuk melawan Abang Mat. Kalau Husam mungkir janji, beliau pun tidak layak diberi undi.

Bagi Tuan Ibrahim, ramai yang kata beliau mendapat pencalonan tertinggi. Siapa yang boleh sahkan? Ini cumalah psywar media. Tuan Ibrahim seorang yang baik, masih muda dan juga dihormati, tapi masa untuk beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden masih awal kerana beliau belum pernah diuji. Lebih-lebih lagi, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau terlalu rapat dengan orang bukan Islam dan bukan ahli parti yang menasihatinya tidak seperti perangai seorang ulama yang biasa.

Walaupun ramai yang mendesaknya bertanding, namun Tuan Ibrahim nampaknya tidak berminat bertanding mungkin kerana beliau sedar kemampuan dan kebijaksanaan politiknya tidak setanding Abang Mat jika beliau bergerak bersendirian. Diharap beliau tidak membuat U-turn walaupun beliau belum membuat keputusan secara rasminya.

Bagi Nik Amar, yang dikatakan ingin bertanding berlawan Abang Mat – dinasihatkan beliau harus faham risiko pada Kelantan dan kedudukan dan imejnya jika beliau ditakdirkan tewas.

Abang Mat pernah tewas dan tidak meninggalkan perjuangan. Bukan semua dapat bertindak sedemikian.

Yang layak bertanding, nak tanding, tandinglah. Artikel ini ditujukan pada perwakilan PAS yang bakal mengundi bukan untuk mereka yang nak bertanding mahupun menarik diri.

Saya menulis kerana saya menyokong Abang Mat dan percaya parti memerlukan Abang Mat daripada 4 calon yang lain buat masa ini.

Itu sahaja yang saya boleh buat untuk Abang Mat, walaupun banyak SMS saya padanya tidak berbalas kerana beliau tidak sudi mengenali saya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online (dan GB juga)


PEMILIHAN PAS!!! Presiden, timbalan presiden, naib presiden tidak semestinya ulama - Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, pemegang jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan menteri besar PAS tidak semestinya daripada golongan ulama.

Perkara ini disampaikan beliau melalui anaknya Nik Mohd Abduh Nik Aziz dalam kuliah Jumaatnya baru-baru ini.

“Ayah ambo (saya) suruh sebut hak tu. Ambo tak sir (mahu) sebut, tak berani mana nak sebut hak nih (perkara ini), takut orang marah, tapi dia ghoyat (beritahu) semalam, kalu tak ghoyat (beritahu) takut balik dia tanya susah pulak nak jawab,” kata Nik Abduh ketika memberikan kuliahnya di Kota Bharu.

PAS sedang menghadapi muktamar yang ke-59 bermula 22 hingga 24 November ini.

Kempen hangat sedang berlangsung dan antaranya kempen agar ulama memegang jawatan utama iaitu presiden dan timbalan presiden serta sebahagian naib-naib presiden.

Pandangan daripada Nik Aziz pula sangat mempengaruhi para perwakilan PAS di seluruh negara.

Dalam kuliah itu, ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, yang mesti dilantik di kalangan ulama (orang alim) adalah ahli Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS.

"Presiden, timbalan presiden, naib presiden dan kepimpinan yang lebih bawah termasuk pesuruhjaya, "hak ni nih, adakah wajib ulama? Jawapan dia tidak," tegas Nik Abduh.

Menurut Nik Abduh, syarat utama untuk memegang jawatan eksekutif dalam PAS adalah kepimpinan politik.

“Nak jadi pemimpin politik, presiden atau timbalan presiden, syarat utama dia bukan kena reti baca kitab. Hak reti baca kitab ni duk dalam Majlis Syura tapi presiden, timbalan presiden, naib presiden ni kena ada satu syarat yang lebih daripada Majlis Syura, iaitu kepimpinan politik kena ada," katanya.
-TMI


10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Belum nampak lagi muka-muka ulamak PAS terkecuali TGNA dan TGHA yg digeruni UMNO.Yg lain cakap banyak tapi kerja dan usah kosong.Mat Sabu memang digeruni UMNO.Dia yg kehulu-kehilir buat ceramah.PAS Trengganu yg tak sukakan dia pun terpaksa panggil Mat Sabu untuk ceramah.TGNA dah buat kenyataan:Presiden, Tim.Presiden dan Naib-Naib Presiden PAS tak perlu ulamak.Dengan kenyataan Mursyidul Am tu perwakilan Muktamar PAS akan datang sudah tahu siapa yg akan jadi Tim.Presiden.Gulungan ulamak dalam PAS ni nak gunakan serban dan jubah untuk pegang jawatan tinggi tapi tak reti buat kerja politik.

Tanpa Nama berkata...

saya menyokong 100% mat sabu terus kekal sbg org no. 2 PAS lantaran kerana mehnah dan tribulasi yang dilalui beliau tidak mengoyahkan beliau dlm pas.Pemimpin yg lain belum pernah diuji sedemikian rupa...

Tanpa Nama berkata...

Sy pilih Mat Sabu

Asmah berkata...

Setuju, Mat Sabu mesti di menangkan lagi...

2cents berkata...

Assalaamu'alaikum w.b.t... Saya cadangkan, PAS pilih ulama yg berkaliber yang dapat tarik hati pelbagai PIHAK.

Mat Sabu OK sebagai PANGLIMA dalam PAS untuk menggempur, tetapi sebagai PEMIMPIN UTAMA, dia sudah BANYAK TERCEMAR bagi pihak lawan.

Pemimpin TIDAK SEMESTINYA MULUT BANYAK, tetapi perancangan dan arahan yang berhikmah dalam kumpulan yang penting. Dan juga AKHLAK, ILMU, KENTAL, ZUHUD dsbnya.

Tuan Guru Haron Din, TITM, UAI, dan ramai lagi yang ada tokoh dan layak. Apa salahnya jemput ulama yang ada PENGARUH dalam masyarakat (walaupun tiada pengaruh POLITIK sebelum ini) Lihat Pemimpin2 besar UMNO sana, bukan perlu CAKAP BANYAK pun, tapi KALIBER tu penting, hinggakan penyokong2 mereka TERTARIK juga. Bla bla bla ..

Kita sekarang bertujuan untuk MENARIK HATI pihak lawan. Pihak lawan akan lihat dulu siapa orang atasan PAS. Kalau orang atasan dah TAK MENARIK, mereka pun tiada selera. USAHA DAKWAH adalah MENARIK HATI orang lain, bukannya SYOK dengan PUAK SENDIRI.

Pilih lah secara berhemah, cuba lah tarik hati pihak satu lagi dengan BAIK jika mahu BERDAKWAH. Semoga Allah beri hidayah dan bantuanNya, amiin. Allahu akbar!

2cents berkata...

Kajilah dari PERSPEKTIF UMUM sama

Bayangkan , kita sekarang berada di PIHAK PEMBANGKANG, selami hati mereka, apa yang MENARIK HATI mereka untuk kita buat? Jangan kita MELIHAT dari sudut kita sebagai PENYOKONG sahaja, nanti kita TAK FAHAM apa yang orang lain mahu.

Kalau kita asyik lakukan perkara yang SYOK sendiri, maka kita akan disokong oleh PIHAK yang sudah sedia ada saja, tak berubah2.

Cara lama tak semestinya bagus belaka, perlu ada cara (Uslub) baru yang lebih menarik. Wallahu a'lam

Unknown berkata...

Tak apalah kalau nak sokong Hj Mohd Sabu atau siapa pun tetapi kenapa perlu hina ulama' dalam PAS? apakah mereka tak buat sesuatu pun untuk parti. Mereka baru sahaja dicalonkan dan tak tentu lagi mereka menerima pencalonan tersebut atau tidak. Habis semua serban dan jubbah yg menjadi sunah nabi yang terpakai di tubuh mereka dipertikaikan. Di mana akal budi kamu,atau kamukah pencacai Umno yg berselindung di sebalik anonymous ?

Tanpa Nama berkata...

Untuk dekad ini mat sabu yg paling sesuai menghadapi UBN. Pas perlu bersatupadu utk pru 14 .INI saat tbaik utk menumbangkan UBN.

Tanpa Nama berkata...

Kamal Ahmad,

Isu Ulamak dengan profesional dalam PAS bukan Mat Sabu yg mulakan tapi dimulakan oleh ulamak.Ini isu yg disuntik oleh UMNO keotak pimpinan ulamak dari puak UG tujuan memecah-belahkan PAS. Tujuan Mursyidul Am buat kenyataan untuk menguatkan hujah bahawa yg diperlukan adalah individu yg celek politik.Sila baca kenyataan TGNA dengan teliti.Oleh kerana isu ni dimulakan oleh ulamak maka bersedialah untuk dikritik.Yg menyokong Mat Sabu adalah yg sayangkan PAS.Kena faham molek-molek.



Tanpa Nama berkata...

saya setuju sangat dengan komen anda.Walaupun keempat2 calon lain juga mendapat pencalonan ini namun ternyata mereka terlalu jauh untuk menepati syarat menjadi pemimpin yang dinamik dan berdaya juang sejati. saya harap sangat kepada Tuan ibrahim dan Nik Amar supaya berlapang dada dalam hal ini. Ukur dulu baju di badan sendiri....lagipun apa salahnya bang mat Sabu?????? Dr Penyokong Pas tegar, Pendang Kedah