Fin de regime, dalam bahasa Perancis, mungkin boleh diterjemahkan sebagai “penghujung regim”. Sebagaimana penggunaannya dalam fin de siècle, iaitu “di penghujung alaf”, ia bermaksud zaman kemerosotan atau zaman penamat yang sukar dijelaskan.
Sudah sebanyak 250,000 saman AES dikeluarkan sejak bulan September dan ramai telah diheret ke mahkamah termasuk seorang wanita berusia 80 umur. Pelbagai drama melibatkan orang ramai.
Tertanyalah saya, adakah Kerajaan Barisan Nasional telah sampai hujung hayatnya sampai tidak terasa sentimen dan persepsi rakyat jelata?
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah manifestasi masalah struktur yang mendalam dan berjangka panjang, malah keruntuhan sesebuah sistem.
Saya melihat sekurang-kurangnya tiga persoalan timbul pada zaman penghujung regim ini, iaitu terasing dari realiti hidup rakyat, kekeliruan fungsi kerajaan dan aktiviti merentir (rent-seeking) atas nama dasar penswastaan.
Tanda-tanda keruntuhan sistem
Pada petang 21 November 2012, selepas bajet Kementerian Pengangkutan dan AES hangat diperbahaskan, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta diadakan “undi belah bahagi”, iaitu undi yang lebih sulit berbanding “undi suara” yang terbuka serta lumrah dilakukan.
Ketika Dewan berhenti bersidang tatkala undi dihitung, masing-masing mengambil gambar dengan kamera, termasuk Speaker. Untuk dua tahun kebelakangan ini, hampir setiap kali sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguh, masing-masing akan mengucapkan selamat tinggal, mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
Situasi semestinya berbeza selepas PRU13. Ada yang menang, ada yang kalah. Barangkali tiada lagi persidangan selepas persidangan kali ini (walaupun kerajaan masih boleh mengadakan persidangan Parlimen pada Mac tahun depan.)
Ruang kekosongan semasa menunggu undi dihitung bagai upacara selamat tinggal. Tetapi pengundian belah bahagi lantaran pertikaian AES telah memahat istilah fin de regim dalam otak saya – sesebuah kerajaan yang telah sekian lama memerintah, tetapi melakukan kesilapan demi kesilapan pada penghujung zaman pemerintahannya, sehingga isu sekecil AES boleh menonjolkan kebobrokan regim tersebut.
AES zalim terhadap rakyat
Dalam tempoh sebulan ini, ketika bersua muka dengan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional di kafe, koridor mahupun bilik air, mereka akan merungut bahawa hanya kerajaan yang “bodoh” dan “gila” akan melancarkan AES.
Antaranya, Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz paling keras membantah, malah ponteng semasa pengundian. Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (Rembau) yang sebelum ini secara terbuka membantah AES, juga tidak selesa dan senyap ketika mengundi.
Seandainya sejarah ditulis pada masa depan, barangkali AES adalah paku terakhir yang dipahat pada keranda atau final nail in the coffin untuk fin de regime ini.
Dari dahulu hinggalah sekarang, penguasa yang tidak mempedulikan keperitan rakyat, enggan mengambil tahu rintihan jelatanya, sehingga terasing dari realiti hidup rakyat – akhirnya bakal menjurus kepada keruntuhan sesebuah regim.
Ketika kerajaan mengagihkan BR1M bernilai RM500 kepada isi keluarga yang pendapatan bulanannya di bawah RM3,000, semestinya kerajaan ini sedar bahawa realiti hidup 60% isi keluarga yang serba kurang.
Bayangkan, sekeping saman berharga RM300 yang tiada ruang untuk rundingan diskaun, adalah 10% daripada pendapatan bulanan untuk 60% keluarga di Malaysia. Apakah ia tidak mencungkil kemarahan rakyat jelata?
Kerajaan BN makin keliru
Kekeliruan fungsi kerajaan adalah bibit zaman penghujung regim. Jawapan oleh seorang Menteri boleh dijadikan contoh kekeliruan, kekecohan dan tiada penyelarasan dalam kerajaan BN.
Ketika Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha menjawab soalan di Parlimen – apabila isu Malaysia Airlines MAS) disentuh, maka dikatanya jawapan berada dalam lingkungan Kementerian Kewangan; ketika ditanya mengenai sistem pengangkutan awam, maka dikatakan pula ia adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Jabatan Perdana Menteri; operasi pelabuhan juga di bawah Kementerian Kewangan.
Apa yang beliau cuba katakan ialah Kementerian Pengangkutan sekadar berperanan sebagai pengawalselia atau regulator, kononnya. Begitu juga dengan lapangan kapal terbang yang dikatakannya dikendalikan oleh syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Tanggungjawab kerajaan diserah kepada kroni swasta
Keselamatan pengangkutan awam adalah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan, tetapi tugas pelaksanaan undang-undang ini diserah kepada institusi swasta untuk mengaut keuntungan.
Lebih-lebih lagi, AES bukan sistem baru yang menggantikan saman ekor oleh polis. Maka polis terus menyaman, kamera perangkap had laju polis juga terus menyaman. Dengan kata lain, polis terus dengan saman mereka, Kementerian Pengangkutan pula telah beri “sub-kontrak” saman mereka. Semua gembira saman-menyaman.
Demikianlah pencukaian oleh kerajaan BN dengan kaedah yang berbeza, dan rakyat didahulukan untuk merasai penderitaannya.
Malah, Kong Cho Ha cuba menggunakan Perlembagaan untuk memujuk agar kita menerima AES, kononnya AES dilancarkan kerana Perlembagaan menuntut kerajaan untuk menjamin keselamatan nyawa rakyat.
Tetapi, dua pertiga daripada lebih 6,000 mangsa yang diragut nyawanya lantaran kemalangan jalan raya, adalah penunggang motosikal. Apakah yang dilakukan Kementerian Pengangkutan untuk penunggang motosikal?
Adakah Kementerian Pengangkutan memastikan lorong motorsikal yang lebih selamat di sepanjang lebuh raya? Tidak, Kong Cho Ha akan memberi alasan, ini tanggungjawab Kementerian Kerja Raya.
Adakah Kementerian Pengangkutan menjamin kelancaran dan keberkesanan sistem pengangkutan awam? Kerana hanya dengan ini, golongan miskin dalam masyarakat tidak perlu bergantung kepada motosikal, sebaliknya boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
Jawapan Menteri semestinya berbunyi, pengangkutan awam di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Negara manakah yang pengangkutan awamnya tidak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan? Hanya Malaysia boleh.
Penyelewengan dasar
Akhirnya, hal sekecil AES juga menonjolkan penyelewengan dalam dasar penswastaan yang dilaksanakan Mahathir Mohamad sejak memegang tampuk kuasa pada awal tahun 1980-an.
Menteri Dalam Negeri berkata, polis telah membeli 124 buah kamera perangkap had laju sejak tahun 1995, dengan jumlah perbelanjaan RM23.5 juta. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa harganya 10 kali ganda lebih mahal berbanding kamera yang hampir sama di bandar Amerika Syarikat; Timbalan Menteri pula membela bahawa perbelanjaan ini termasuk “kos perkhidmatan” seperti latihan.
Kamera perangkap had laju polis pula lebih murah harganya berbanding AES. Sejauh manakah pelaburan kamera AES? Tiada orang yang mengetahuinya memandangkan kerajaan enggan mengumumkan kontrak.
Kong Cho Ha menyenaraikan dengan panjang lebar perkara yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat kontraktor, untuk menjelaskan mengapa harganya melangit tingginya. Persoalannya, bukankah kaedah Bina-Kendali-Serah (BOT) dalam dasar penswastaan sepanjang 30 tahun ini menjelaskan kepada kita, harganya ditentukan syarikat swasta, yang membayar adalah rakyat? Istilah “fin de regime” kekal berlegar-legar dalam otak saya.
– Roketkini