2 Nov 2012

Nazri Perlu Lepaskan Jawatan Menteri, Ikut Jejak Langkah Shahrizat

Jadi seperti Shahrizat, nasihat Rafizi kepada Nazri Rafizi Ramli hari ini mencabar Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk bersikap “gentleman” dan mengikut jejak langkah rakan Kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti berikutan dengan hubungannya dengan peniaga balak Sabah, Michael Chia.

Menurut Rafizi, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazri dan keluarganya pada Isnin ini, dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya dari tuduhan rasuah.

“Saya rasa ia hanya memalukan pada Nazri jika Shahrizat dilihat lebih berani dan bertanggungjawab.

“Jadi jika dia (Nazri) seorang pemimpin, jadi seorang “gentleman” dan ikut jejak Shahrizat, ambil cuti sementara siasatan sedang dibuat,” kata pengarah strategi PKR itu di sidang media hari ini, kali kedua semenjak semalam.

Chia baru-baru ini dibersihkan namanya dari tuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman selepas badan pencegahan rasuah Hong Kong mendapati beliau cuba untuk menyeludup wang ke Malaysia, adalah “dana politik” untuk Umno Sabah dan bukan wang peribadi Musa.

Rafizi memberitahu Nazri, yang baru-baru ini menggelarkan dirinya sendiri sebagai “menteri undang-undang nombor satu”, mungkin akan didapati bersalah kerana beliau adalah menteri yang memberitahu Parlimen bahawa Musa telah dibebaskan dari tuduhan rasuah.

Dengan mengumumkan Musa bebas dari tuduhan rasuah, Rafizi menambah, Nazri secara tidak langsung membebaskan Chia juga, walaupun gagal mengemukakan siasatan kepada kedua-dua individu berikut, sama ada dari SPRM atau dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

“Jika apa yang kami katakan tidak benar, dedahkan semuanya, Nazri, Jabatan Peguam Negara dan SPRM, semua harus dedahkan kertas siasatan mereka bahawa mereka mendakwa Chia tidak melakukan kesalahan tersebut,” kata Rafizi lagi.

“Kami tidak akan hanya ikut kata Nazri bulat-bulat, kami juga mengalami pengalaman yang sama sebelum ini semasa kes NFC. Kita mesti buktikan bahawa ICAC telah membersihkan Chia, dari Hong Kong sendiri.

” Rafizi tidak bersetuju dengan kenyataan Nazri semalam bahawa tidak ada perselisihan kepentingan apabila anaknya menggunakan Hummer milik Chia, dengan mengatakan Nazri mempunyai pengaruh yang kuat dalam Parlimen.

“Dengan kenyataannya di Parlimen, yang membersihkan nama Chia ke atas pertuduhan tersebut, ia membawa pengaruh dalam kenyataannya, lebih dari SPRM sendiri,” katanya lagi.

Dengan Nazri mengisytiharkan kes Musa-Chia telah ditutup, ia bagaimanapun tidak ada kenyataan dari SPRM atau ICAC.

Apabila ditanya tentang tuduhan Rafizi semalam, Nazri semalam tidak menafikan atau mengatakan bahawa anaknya menggunakan Hummer milik Chia, sebaliknya beliau berkata tidak ada salahnya jika ianya betul.

Menteri senior itu juga berkata tidak perselisihan kepentingan dalam hal ini, dan mengatakan beliau tidak menyiasat atau membersihkan nama Chia dalam kes rasuah itu.

“Keterangan Nazri tidak masuk akal langsung, dan saya lebih ‘gentleman’ dari dia kerana saya berani memilih jalan ini dan bersuara, dan tidak berlindung di sebalik imuniti ahli Parlimen.

“Dan saya rela untuk dihadapkan ke mahkamah,” kata Rafizi yang kini menghadapi dua kes dalam pendedahannya terhadap NFC — kerana tuduhan fitnah Shahrizat, dan melanggar undang-undang bank.

Pada awal sidang media, Rafizi memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video semalam yang menunjukkan keluarga Nedim menggunakan kenderaan mewah Chia.

Video itu menunjukkan perjalanan Hummer tersebut dari kediaman kondominium mewah di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan tinggal di rumah tersebut.

Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu oleh isterinya.

Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan untuk kenderaan ‘menyimpan barang’.

Bagaimanapun, tidak ada satu video memaparkan Nedim atau ahli keluarganya. -TMI

Rafizi: Nazri Perlu Bercuti Hingga Selesai Di Siasat SPRM PETALING JAYA, 2 NOV – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz bercuti buat sementara waktu dari jawatannya sementara menunggu sisatan SPRM berhubung dakwaan keluarganya mendapat habuan dari ahli perniagaan, Michael Chia. Saranan ini dibuat Rafizi ekoran Nazri Aziz lantang mengkritik Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang pernah dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan menyaksikan penglibatan keluarganya. “Mengambil kira pendekatan yang telahpun diambil oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bila berdepan dengan seorang menteri yang dituduh di dalam rasuah yang melibatkan keluarga beliau seperti mana kes NFC dan Datuk Seri Shahrizat Jalil, maka wajarlah Datuk Seri Nazri Aziz bercuti dari jawatan beliau sementara menunggu siasatan dijalankan untuk membersihkan nama beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini. Rafizi juga turut merujuk Akta SPRM 2009 Bahagian IV, (Kesalahan dan Penalti) kesalahan menerima rasuah yang menakrifkan pelakuan rasuah mengikut Seksyen 16(a) dan 16(B). Seksyen 16(a) menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati orang lain. Seksyen 16(B) menguatkan lagi dakwaan yang didedahkan PKR dengan menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun tiada suapan sebenar yang diterima. Kenyataan Rafizi tersebut ekoran pendedahan beliau berhubung dakwaan penggunaan kereta mewah Hummer dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Michael Chia oleh Nedim Nazri Aziz dan keluarganya. Ahli perniagaan Michael Chia telah didakwa dikaitkan dengan dengan pendedahan mengenai wang berjumlah RM40 juta yang dipercayai mempunyai kaitan ‘rapat’ dan ‘mempunyai hubungan baik’dengan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Umno Sabah. Menurut Rafizi lagi, beliau menyambut baik reaksi pantas yang dibuat Nazri meskipun banyak menghamburkan kata nista terhadapnya yang bersifat peribadi. Beliau yang sebelum ini seorang akauntan berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan peribadi dengan sesiapa sebaliknya memberikan fokus kepada persoalan rasuah dan salahguna kuasa yang mungkin berlaku. Sehubungan itu, PKR akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegaha Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin hadapan pada jam 3 petang. Sebelum ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang turut menggesa kerajaan agar sebuah suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyeludupan dana asing oleh Umno, terutamanya berhubung “sumbangan politik” RM40 juta yang juga dikaitkan dengan Michael Chia.

Pengerusi MCA N Sembilan Dapat Tanah Hutan Simpan Jempol


Keadilan hari ini mendedahkan, 1014 hektar tanah hutan simpan tetap di Mukim Serting Ulu, Jempol diberi kepada ASLI-YNS Sdn Bhd, syarikat milik Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Dr Yeow Chai Thiam.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan pada 3 Mac 2004 meluluskan permohonan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) untuk meminda keputusan pemberian milikan tanah itu bagi perladangan getah kepada ASLI-YNS.

Beliau turut menunjukkan salinan surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang menyatakan kelulusan itu.

“Lebih memalukan syarikat ini hanya ada modal keseluruhan sebanyak RM10, dan Yeow hanya miliki pelaburan berjumlah RM5 sahaja,” jelasnya sambil menunjukkan salinan maklumat syarikat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Rafizi berkata, walaupun nama syarikat itu seolah-olah menggambarkan ia adalah usahasama dengan YNS, carian rasmi di SSM mengesahkan ia dimiliki oleh Yeow.

Menurut salinan maklumat SSM yang turut dilampirkan, ASLI-YNS juga dimiliki Chan Ah Meng dengan pelaburan RM2 dan Yong Ing Kiat pula RM3.

Pendedahan terbaru ini menyangkal dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan tempoh hari bahawa tanah hutan simpan tersebut dimiliki YNS dan hanya dipajak kepada pihak swasta.

Skandal Tanah N9: Tiga lagi Syarikat milik Umno-BN Akan Di Dedah

PETALING JAYA, 2 NOV – PKR akan mendedahkan tiga lagi syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung skandal Hutan Simpan di Negeri Sembilan yang dipercayai dimiliki oleh pimpinan-pemimpin Umno-BN.

Hari ini PKR mendedahkan nama sebuah syarikat swasta yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal hutan simpan di negeri itu yang dikaitkan dengan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Dr Yeow Chai Thiam.

Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR,Pengarah Straterginya, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa tanah tersebut tidak pernah dipindahmilik kepada syarikat swasta kerana kekal dimiliki Yayasan Negeri Sembilan adalah tidak benar.

Merujuk kepada satu surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 4 Mac 2004, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan yang bermesyuarat pada 3 Mac 2004 telah meluluskan permohonan dari Yayasan Negeri Sembilan untuk meminda keputusan pemberian milikan tanah seluas 1,014 di Mukim Serting Ulu, Daerah Jempol.

Pindaan ini bagi tujuan ladang getah kepada sebuah yarikat bersama ASLI-YNS Sdn Bhd.

Lebih memalukan katanya, pelaburan Dr Yeoh di dalam syarikat tersebut hanyalah berjumlah RM5 dari modal keseluruhan RM10.

“Walaupun nama syarikat ini memberi gambaran seolah-olah ia sebuah syarikat usahasama dengan Yayasan Negeri Sembilan, carian rasmi dengan Suruhanjya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan bahawa ia dimiliki dan dikawal oleh Senator Dr Yeow Chai Thiam yang juga Pengerusi MCA Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, skandal tanah hutan simpan ini didedahkan berdasarkan Laporan Audit 2010 yang yang menegur Kerajaan Negeri berkenaan penggantian kawasan hutan simpan.

Sehubungan itu, PKR menunggu penjelasan pihak Menteri Besar sebelum mengambil tindakan lanjut sebelum mendedahkan tiga lagi syarikat lain yang terbabit. -selangorku




Pemandu Maut Kereta Junam Ke Laut


Georgetown - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam laut selepas merempuh Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 7.9, menghala ke arah Georgetown, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kereta Proton Persona yang dipandu Tan Kean Loon, 26, dari Air Itam di sini dipercayai merempuh tembok pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam laut.

Kejadian itu hanya disedari selepas pasukan peronda lebuh raya yang membuat rondaan menjumpai tayar kereta di tepi jambatan manakala tiang lampu juga tumbang ke dalam laut.

Mengesyaki ada kenderaan terjunam ke dalam laut, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Skuba memulakan gerakan mencari kenderaan dan mangsa kemalangan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk mengesan lokasi kereta mangsa di dasar laut.

“Kereta berjaya diangkat menggunakan kren pada jam 12.

30 tengah hari dan mayat mangsa ditemui tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim dipetik Bernama berkata, pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas dipercayai adalah warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan warga tempatan.

"Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ," katanya dan menurutnya polis juga sedang menunggu untuk mengambil keterangan daripada seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang untuk mengetahui identiti sebenar kesemua mangsa.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas.

Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 September tahun lepas.

Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.

[VIDEO] Perhimpunan Di Seremban Esok Tetap Diteruskan

PPra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban esok (Sabtu) tetap diteruskan walaupun tiada kebenaran permit daripada polis, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau berkata, tidak timbul isu permit kerana tapak himpunan itu nanti akan diadakan di tanah lapang milik persendirian di Taman Seremban Jaya, kira-kira 2 kilometer dari Plaza Tol Senawang, Seremban.

“Tak perlu permit. Kalau di Dataran Merdeka sebelum ni tiada permit pun boleh berjalan, inikan pula tempat persendirian,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan permit kerana penganjur gagal mengisi maklumat permohonan dengan lengkap.

Sekaligus perhimpunan itu dianggap sebagai melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Namun Mat Sabu berkata beliau mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada polis bagi memastikan program pada hari itu berjalan lancar.

Beliau juga optimis himpunan itu nanti akan mendapat sambutan sekurang-kurangnya 50,000 penyokong.

Ini merupakan kali ketiga lokasi berubah selepas usaha untuk menganjurkan himpunan di Majlis Perbandaran Seremban terpaksa ditukar kerana gagal mendapat kebenaran daripada pihak perbandaran dan polis.

Penganjur juga pada awalnya merancang untuk mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun dalam sidang media mengumumkan terpaksa ditunda atas alasan mahu memberi laluan kepada perlawanan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012.

Namun, FMT mendapati tiada sebarang perlawanan berlangsung di Bukit Jalil pada hari berkenaan, sebaliknya Piala Suzuki bermula pada 24 November depan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Manakala Stadium Nasional hanya digunakan untuk perlawanan antara Harimau Malaya menentang Singapura pada 25 November ini.

Himpunan besar-besaran bagi mengumpul kekuatan sejuta penyokong di Bukit Jalil katanya akan diteruskan pada satu tarikh yang akan ditetapkan pada tahun depan.

Kediktatoran Mahathir Telah Dekatkan PAS, DAP


Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri".

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA).

Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya) di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff, merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa.

Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup dari hari ke hari (tangkapan tidak dibuat serentak tapi berperingkat-peringkat) membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun dan merasakan gerak-geri mereka diintip serta menjadi target.

Bakal disumbat

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman.

Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya. DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul "Percikan Darah Syuhada".

Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985.

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Tidak pencetak berani

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati.

Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong.

Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Kini genap 25 tahun

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman.

Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

PAS, DAP saling mengenal di Kamunting

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.

Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara.

Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Laluan bentuk kerajaan alternatif dirintis

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara daripada cengkaman sebuah parti dominan.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu: "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja."

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang.

Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Membilang hari-hari akhir

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP.

Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas pilihan raya 1999, ekoran isu Negara Islam, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga mendekam dalam lokap dan penjara. -Ahmad Lutfi Othman

Masyarakat Cina Mula Terima Hudud - Kajian UMCEDEL

Masyarakat Cina kini mula menerima dan memahami pelaksanaan hukum hudud, menurut kaji selidik terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Walaupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilihat bekerja keras menentang pelaksanaan hukum Islam tersebut, kaji selidik kedua berkenaan hudud yang dijalankan antara 1 September hingga 16 Sept 2012 itu menunjukkan peningkatan sekali ganda sokongan masyarakat Cina iaitu kepada 24 peratus, berbanding 12 peratus dalam kaji selidik sebelum ini pada 25 Oktober hingga 15 Disember tahun lalu.

Daripada sejumlah 385 responden berbangsa Cina, hanya satu peratus peningkatan menentang pelaksanaan hukum hudud, berbanding kaji selidik sebelumnya, iaitu sejumlah 51 peratus.

Sementara kumpulan yang tidak pasti sama ada hudud boleh dilaksanakan di Malaysia walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum menurun kepada 25 peratus berbanding 38 peratus dalam kaji selidik sebelum ini.

"Terdapat peningkatan sokongan masuarakat Cina terhadap pelaksanaan hudud.

"Perbezaan sembilan bulan antara kedua-dua kajian juga menyaksikan peningkatan 12 peratus; menjadikan peratusan menerima hudud meningkat kepada 24 peratus, dengan peningkatan (hanya) satu peratus tentangan terhadap pelaksanaan hudud.

" "Ini menjelaskan pengundi Cina semakin memahami isu tersebut," kata UMCEDEL dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, UMCEDEL turut mendapati generasi muda masyarakat Cina berkeinginan untuk mengetahui dengan lebih lanjut berbanding kumpulan responden yang lebih berumur.

"Generasi muda Cina menunjukkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding dengan mereka yang lebih berumur," jelas kenyataan berkenaan.

Kajian yang turut dijalankan terhadap 1041 responden Melayu itu juga mendapati majoriti responden yakin hudud akan memberikan keadilan kepada semua pihak dengan 55 peratus responden Cina berusia lingkungan 41 hingga 50 tahun yakin hudud akan memberikan keadilan.

Walaubagaimanapun, 53 peratus masyarakat Cina yang berusia 61 tahun ke atas menunjukkan keyakinan pelaksanaan hudud akan menggugat kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dari aspek lokaliti responden, masyarakat Cina di kawasan kampung dan kampung baru percaya hudud akan memberikan keadilan kepada semua mencecah sehingga 59 peratus, manakala masyarakat Cina bandar berada dalam kelompok 30 peratus menyokong.

Hudud telah sekian lama menjadi polemik politik tanah air apabila parti politik daripada Barisan Nasional (BN) dan PR masing-masing cuba menarik sokongan pengundi melalui isu hudud tersebut.

Presiden MCA dalam perhimpunan parti komponen BN ke-59 itu bulan lalu dilihat begitu agresif menentang hudud, malah mengeluarkan kenyataan negara yang melaksanakan hudud akan menjadi lebih korup, serta pelaksanaan hudud akan menyebabkan 1.2 juta rakyat negara ini kehilangan pekerjaan.

Selain pemimpin daripada BN, terdapat juga tentangan daripada DAP, apabila Pengerusi DAP, Karpal Sing menegaskan Malaysia tidak boleh melaksanakan hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, banyak pihak mula berdebat berhubung isu hudud yang nyata telah dipolitikkan demi kepentingan politik parti masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan MCA ekoran kenyataan-kenyataan Dr Chua terhadap hudud.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa juga telah menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta maaf kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan berikutan pendirian parti itu menolak hudud. -TMI

Awal-awal Kroni Sudah Besar Kepala, Syarikat Konsesi AES Menyamar Pegawai JPJ

Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan. -selangorku