11 Jun 2012

Dr Ariffin & Syed Shahir Angkat Sumpah Senator Wakili Negeri PR Pulau Pinang

Ahli akademik Dr Ariffin Omar dan aktivis kesatuan sekerja Syed Shahir Syed Mohamud hari ini mengangkat sumpah sebagai senator mewakili negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara amat bangga atas perlantikan kedua-dua senator tersebut sebagai ahli Dewan Negara.

“Dua wakil senator ini mempunyai latar belakang yang cemerlang. Kita berharap Dr. Ariffin dan Syed Shahir dapat menjalankan amanah mereka untuk menuntut prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan layanan saksama,” kata beliau kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah itu di sini.

Beliau juga berharap agar dua senator dari Pulau Pinang itu dapat menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

Dr. Ariffin Omar merupakan salah seorang pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Malaysia dan pakar dalam Sejarah Asia Tenggara dan Sains Politik. Beliau yang juga pengasas dan bekas pemimpin Aliran.

Beliau yang juga ahli DAP banyak menyumbang dalam penerbitan buku-buku berkaitan bangsa Melayu, budaya orang Islam dan kini sedang menulis mengenai hubungan antara kaum serta kebebasan beragama di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Ariffin menjelaskan dakwaan kononnya beliau ‘dipergunakan’ oleh DAP sebagai kenyataan yang tidak masuk akal sama sekali.

“Kita perlu terbuka. Saya rasa hairan kenapa apabila orang Melayu menyertai DAP, dia dikatakan alat. DAP adalah parti politik pelbagai kaum yang berjuang atas dasar demokrasi dan hak asasi.

Menyifatkan parti-parti berasaskan kaum sudah ‘luput’, beliau berkata, tiada salahnya untuk memilih mana-mana parti, terutamanya yang bersifat pelbagai kaum dan terbuka.

“Kita akan ketengahkan usul pendidikan, hak dan kebajikan semua kaum yang terpinggir termasuk soal pembangunan masyarakat termasuk orang Melayu,” ujar beliau lagi.

Syed Shahir pula merupakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang banyak memperjuangkan hak golongan pekerja di Malaysia. Dalam bidang politik, beliau merupakan bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan dan pernah bertanding sebagai calon PKR pada tahun 2008.

Bagi Syed Shahir, perlantikan beliau sebagai senator adalah penting untuk pekerja kerana sejak lebih enam tahun Dewan Negara tidak diwakili golongan tersebut.

Beliau menyifatkan perlantikannya sebagai senator oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai memberi nafas baru kepada golongan pekerja di Malaysia.

Selain Dr Ariffin dan Syed Shahir, tiga orang Senator lain turut mengangkat sumpah pagi ini adalah Roslin Abdul Rahman, Datuk Lim Nget Yoon dan Toh Puan Zaitun Mat Amin. – Roketkini

Imej Polis Terus Tercemar: Dua Kes Konstabel Lakukan Jenayah

Penjawat awam dituduh cabul remaja dalam lokap

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Konstabel Sokongan dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan mencabul remaja di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa Februari lalu.

Gambar: Mohd Shahrul Izuairi menutup mukanya mengelak daripada wajahnya dirakam media selepas di bawa keluar dari mahkamah semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Shahrul Izuairi Ibrahim, 31, didakwa melakukan kesalahan terhadap remaja Thailand itu kira-kira jam 10 pagi pada 5 Februari lalu di sel lokap berkenaan.

Bapa kepada dua anak itu dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan remaja berusia 15 tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluannya yang ketika itu ditahan reman kerana dikaitkan kesalahan Imigresen.

Penjawat awam itu, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Muhamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Fazali.

Noor Dayana menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh bagaimanapun, Mohd Shahrul Izuairi meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut dengan alasan dia mempunyai dua anak serta menghadapi masalah kewangan.

Bagaimanapun, Mohd Fazaly Ali menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dan tarikh sebutan semula kes ialah pada 10 Julai ini.

Tertuduh ketika di bawa keluar dari mahkamah menutup mukanya dengan menggunakan jaket untuk mengelak wajahnya dirakamkan pihak media. -SH

Pakatan licik konstabel muda

RUMAH kongsi inilah yang menjadi tempat seorang konstabel sokongan dan tiga rakannya melakukan samun sebelum diberkas di Kemaman, Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Kegiatan seorang konstabel sokongan bersekongkol dengan tiga rakannya untuk menyamun sebuah rumah kongsi didiami buruh Indonesia di Jalan Jakar, Kemaman, berbalas apabila dia ditahan kelmarin.

Konstabel berusia 27 tahun tersebut ditahan ketika dia sedang beristirehat di kuarters Balai Polis Chukai, Kemaman pada pukul 7.30 malam iaitu selepas 15 jam kejadian samun itu berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, kejadian itu berlaku apabila tiga rakan konstabel tersebut menyerbu rumah kongsi berkenaan dengan menyamar sebagai polis cawangan narkotik pada pukul 4 pagi.

Katanya, selepas mengejutkan semua penghuni, salah seorang suspek yang memakai vest mempunyai perkataan polis meminta semua buruh warga Indonesia tersebut berkumpul di hadapan rumah berkenaan dan menunjukkan pasport masing-masing.

“Dua lagi penyamun masuk ke dalam rumah kongsi dan mengambil sebuah beg mengandungi wang RM400 milik seorang buruh berusia 34 tahun.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu konstabel tersebut yang sedang menunggu berdekatan premis itu,” katanya.

Kosmo


[GEMPAR] Bapa Lee Chong Wei 2 Kali Cuba Bunuh Diri

Polis halang bapa Chong Wei terjun

GEORGETOWN: Bapa pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya diselamatkan daripada cubaan untuk terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2, menghala tanah besar di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Lee Ah Chai, 61, pada mulanya dilihat menangis di tepi laut berhampiran pusat beli-belah Queensbay Mall, Bayan Lepas.

Orang awam yang melihat kejadian itu memaklumkan kepada polis sebelum anggota peronda bergegas ke lokasi berkenaan untuk memujuknya pulang ke rumah di Taman Serumpun, Butterworth.

Menurut sumber, selepas hampir tiga jam dipujuk, Ah Chai memberitahu dia mahu pulang ke rumah dan polis mengiringi kereta dipandu lelaki itu untuk memastikan keselamatannya terjamin. -hm

Bapa Ahli Sukan Cuba Bunuh Diri Di Jambatan Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Polis menggagalkan dua cubaan membunuh diri bapa kepada seorang ahli sukan negara termasuk di atas Jambatan Pulau Pinang.

Lelaki berusia 59 tahun itu yang menetap di Butterworth pada mulanya dikatakan cuba membunuh diri berhampiran pusat beli-belah Queensbay, Bayan Lepas awal pagi ini namun digagalkan pihak polis yang bertindak memujuknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT). ACP Azman Abd Lah berkata pihak polis menerima maklumat lelaki itu sedang menangis di tepi laut berhampiran pusat membeli belah Queensbay kira-kira pukul 4 pagi Ahad.

"Pasukan peronda dihantar ke tempat kejadian dan bertindak memujuk beliau agar pulang ke rumahnya.

"Anggota kita mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memujuknya sebelum dia mahu pulang dengan baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata pasukan peronda polis itu juga bertindak mengiringi bapa ahli sukan itu yang memandu kereta bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Sebaik tiba di kilometer dua Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 7.45 pagi, dia memberhentikan kereta di tepi jambatan dan keluar serta cuba terjun ke laut. Bagaimanapun hasil tindakan pantas polis, kita berjaya menyelamatkannya," katanya.

Azman berkata lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan keterangan awal, beliau mendakwa menghadapi masalah keluarga kerana anggota keluarganya tidak mempedulikannya," katanya.
BERNAMA


Jangan Ambil Cukai Jika Mahu Selangor Beri Pendidikan Percuma - MB Selangor

Jika benar mahu Kerajaan Negeri membiayai pendidikan percuma di negeri Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Kerajaan Pusat tidak mengambil wang cukai daripada Selangor.

Menurut Abdul Khalid, pendidikan percuma pasti dapat dilaksanakan jika segala sumber Kerajaan Negeri tidak disalurkan kepada Kerajaan Pusat seterusnya diuruskan dengan lebih baik oleh Kerajaan Negeri.


“Jika dilihat, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan Kerajaan Pusat.

“Walaupun urusan universiti ini di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, namun jika kita diberi peluang mengurus sumber dan hasil yang diperolehi sendiri, maka kita dengan senang hati akan melaksanakan dasar pendidikan percuma di negeri ini,”
sindir beliau.

Beliau yang ditemui pada Kejohanan Etiqa Selangor International Junior Masters 2012 di Kelab Golf Seri Selangor petang tadi turut mengulas mengenai rancangan mencairkan aset Universiti Selangor (Unisel) yang diumumkan sebelum ini.

“Sebelum isu ini ditimbulkan, kita memang sudah ada rancangan untuk menggunakan aset-aset Unisel bagi tujuan penambahbaikan prasarana, pembesaran dan sebagainya.

“Sebab itu kita pantas menyediakan pelan tindakan jangka pendek bagi membantu ibubapa dan pelajar jika PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) meneruskan rancangan pembekuan pinjaman terhadap pelajar baru Unisel kerana kita mempunyai aset yang cukup untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, dengan pengumuman terbaru penarikan pinjaman itu, kita rasakan adalah lebih baik aset yang ada digunakan untuk pelan jangka panjang pembangunan Unisel dengan harapan lebih ramai lagi pelajar dapat kita beri tempat di masa hadapan,” jelasnya lagi.

Enggan mengulas lanjut cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menyediakan dana RM30 juta seperti diumumkan, beliau dengan sinis meminta pimpinan Umno-BN belajar dahulu cara menguruskan dana rakyat.

“Barangkali Kerajaan Pusat tidak mengajar mereka untuk menguruskan dana rakyat dengan betul dan amanah serta berintegriti.

“Jadi adalah lebih baik mereka diam sahaja dan cubalah belajar untuk menjadi pemimpin yang sebenar dalam memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu berbaloi bagi setiap sen dan bukan disia-siakan seperti yang sering dilakukan mereka,” kata beliau. -selangorku


Rafizi desak Khaled Nordin minta maaf

SHAH ALAM - Mohd Rafizi Ramli mendesak Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta maaf kepada rakyat dan khususnya mahasiswa atas keterlanjurannya membekukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini.

"Tindakan Khaled jelas menunjukkan yang beliau terdesak untuk menutup malu apabila membuat dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat (PR) bijak bermain sandiwara politik berhubung isu PTPTN," kata Pengarah Strategi PKR ini ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Tambah Rafizi, tindakan Khaled juga secara tidak langsung menghukum mahasiswa sebagai alat mainan politik Umno.

"Saya bertegas dalam hal ini agar Khaled tidak cuba 'menegakkan benang yang basah' kerana jelas yang Khaled tersalah langkah dengan membuat keputusan untuk membekukan pinjaman PTPTN sebelum menarik semula keputusan itu," katanya.

Beliau juga mencabar agar Khaled melontarkan idea, pandangan dan cara penyelesaian yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan beban mahasiswa daripada terus dibebani hutang PTPTN.

"Janganlah terus-menerus menyerang PR tanda tidak ada sebarang buah fikiran untuk selesaikan beban mahasiswa.

"Khaled sepatutnya memberi cadangan dan berbincang secara ilmiah berhubung usaha kerajaan persekutuan bagi menambah baik mutu pendidikan tinggi negara," tegas beliau.

Tambah Rafizi, PR telah mengemukakan cadangan mereka untuk memberi pendidikan tinggi secara percuma kerana yakin mampu untuk direalisaikan apabila PR mendapat mandat memerintah negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Beliau mesti jawab persoalan ini dan kemukakan idea berhubung beban hutang yang terpaksa ditanggung mahasiswa," tambahnya.

Khaled sebelum ini mendakwa yang PR sekadar menabur janji untuk memberikan pendidikan percuma apabila berjaya membentuk kerajaan pada PRU akan datang, walhal perkara itu mustahil dilaksanakan.

Khaled mendakwa PR bijak bermain dengan sandiwara politik sedangkan hakikat sebenarnya mahasiswa begitu memerlukan bantuan kewangan daripada PTPTN.

Menurutnya, sekiranya PR ingin merealisasikan janji berkenaan, ia sudah boleh dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negeri yang ditadbir kerajaan PR dan tidak perlu tunggu sehingga mengambil alih pentadbiran negara.
-SH


[BONGKAR] Akta Kesalahan Pilihanraya Dipinda Untuk Lindungi Penipuan SPR

Kerajaan BN meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya demi melindungi penipuan yang terdapat dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demikian menurut Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa apabila ditanya tentang pindaan terhadap seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) yang menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

Pada 2002 dalam kes Likas di Sabah, di mana hakim membatalkan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Likas dengan alasan daftar pengundi SPR didapati penuh dengan penipuan.

“Hakim mendapati SPR gagal menyelesaikan isu daftar pemilih dan menganggap SPR cuai dalam menjalankan perkerjaan mereka.

“Selepas itulah kerajaan BN membuat pindaan undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya supaya daftar pengundi tidak boleh dicabar.


“Kita memang tak boleh terima undang-undang ini kerana mana boleh undang-undang digunakan untuk melindungi penyelewengan seperti mana dalam daftar pemilih SPR itu,” ujar beliau yang juga seorang pengamal undang-undang.

Ketika menyentuh ruang tindakan yang ada bagi samada bagi Kerajaan Selangor, parti politik atau orang awam terhadap penipuan dalam daftar pemilih SPR, beliau berkata ruang untuk berbuat demikian masih ada dengan membuat kajian lebih mendalam.

Sivarasa turut menolak pandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil tindakan saman terhadap SPR dan Kerajaan Pusat.

“Dalam isu sekiranya daftar pemilih SPR terbukti tidak bersih, pengundi dan parti politik lebih baik kemukakan saman, tetapi Kerajaan Selangor juga boleh sebab ia berbeza dengan prinsip saman fitnah.

“Kalau dalam saman fitnah memang badan kerajaan tidak boleh kemukakan saman fitnah kepada individu, pengamal media atau mana-mana pihak yang mengkritik badan awam itu,” katanya lagi. -selangorku

Ulasan GB

Seperti yang GB ulas sebelum ini, kita sudah tiada pilihan lain.

Sekarang ini mari sama-sama kita berdoa agar Allah menurunkan pengajarannya kepada SPR, JPN, SPRM, PDRM, JPM dan lain-lain yang melakukan kerja-kerja khianat untuk memenangkan UMNO BN di dalam pilihanraya akan datang.

Setelah tuntutan kita supaya daftar pemilih dibersihkan dan Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat task-force pemberian Mykad kepada warga asing tidak diindahkan, maka tiada pilihan lain, selain mengadu kepada Allah swt supaya semua perancangan mereka digagalkan dan mereka diberikan pengajaran sewajarnya untuk tidak berlaku khianat kepada rakyat.