19 Feb 2012

Debat Soi Lek - Guan Eng Selesai Sudah, Debat Najib - Anwar Bila Lagi?

Susulan debat DAP-MCA, giliran Najib-Anwar susul?

KUALA LUMPUR - Rakyat muncul pemenang sebenar dalam debat antara parti MCA dan DAP kerana ia membolehkan mereka menilai sendiri pendirian serta polisi Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Pemenangnya ialah rakyat, dan bukan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) atau Chua Soi Lek," kata presiden MCA itu pada sidang akhbar bersama sejurus menamatkan perdebatan yang menarik minat ramai rakyat, terutama masyarakat Cina, serta disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro AEC dan Awani.

"Penglibatan seperti ini akan membolehkan rakyat melihat pendirian BN dan Pakatan," katanya selepas debat sejam bertajuk 'Kaum Cina di Persimpangan: Apakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua bangsa?' anjuran Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) serta kumpulan pemikir MCA Institut Analisis
Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) di sini.

Sejak awal lagi, Soi Lek dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bersetuju berdebat secara profesional serta tidak menggunakannya sebagai platform bagi
menentukan siapa menang atau kalah.

Debat itu dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Tan Ah Chai.

Mengulas isu sama ada mereka menjawab soalan yang dibangkitkan dalam debat itu, Soi Lek berkata, beliau yakin mampu memberikan penjelasan lebih baik jika diberikan lebih masa dan peluang untuk berbuat demikian.

Guan Eng pula berkata, debat itu boleh menjadi satu permulaan yang baik ke arah mewujudkan masyarakat demokrasi lebih matang, dan ia patut dianjurkan lebih kerap.

"Saya rasa ini sesuatu yang baik serta berharap ia bukan yang pertama dan terakhir. Saya rasa ia akan membuka minda rakyat kita kerana isu perlu dibahas secara rasional dan waras," katanya sambil menambah, beliau bersetuju untuk berdebat sekali lagi dengan Soi Lek dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris, dan butiran lain seperti topik, masa serta venue akan diputuskan kemudian.

Beliau juga berkata, debat yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia ialah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, ketika perdebatan, yang dihadiri lebih 600 khalayak, Soi Lek berkata, DAP hanya tahu menyerang kerajaan BN dan menyalahkan parti komponen itu dalam setiap perkara bagi menyembunyikan kelemahan mereka.

Beliau berkata, DAP juga menyemai politik kebencian di kalangan rakyat terhadap BN selain mahir melaga-lagakan orang Cina sesama sendiri.

Katanya, sejak DAP berkuasa di Pulau Pinang, ia tidak mampu menyelesai dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk negeri itu, malah gagal meluluskan tanah untuk membina sekolah Cina.

Soi Lek juga menegur DAP kerana mendesak sistem dua parti sedangkan pada realitinya, ia hanya satu slogan bagi meraih undi, selain bercanggah dengan sasaran pilihan raya mereka baru-baru ini untuk 'tidak mempunyai pembangkang' di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada segmen di mana pendebat diberi peluang menyoal lawannya, Soi Lek meminta Guan Eng menjelaskan model ekonomi Pakatan Rakyat dan bagaimana ia boleh memacu Malaysia menjadi negara maju.

Bagaimanapun, Guan Eng seolah-olah tidak dapat berbuat demikian sebaliknya memilih untuk menjawab secara umum tanpa memberikan butiran berkaitan pembangunan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang. - Bernama

Ulasan GB

Kalau ke Majlis Thaipusam boleh hadir dengan alasan untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan di sana takkanlah program debat tak berani, sedangkan dalam program debatlah dasar-dasar kerajaan itu boleh diulas dan dipertahankan.

Daftar Pemilih Meragukan: Mat Sabu Alu-alukan BERSIH 3.0

Cheras: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengalu-alukan Jawatankuasa Bersih menganjurkan Bersih 3 bagi membantah kenaikan daftar pemilih yang didakwa 'pelik' di sembilan kawasan Parlimen di Selangor.

"Daftar pemilih di Selangor berlaku satu perkara yang pelik di sembilan kawasan Parlimen. Parlimen Subang kenaikan daftar pemilih sebanyak 35 peratus.

Kawasan Kota Raja naik lebih kurang 28 peratus. Puchong lebih kurang 20 peratus. Serdang dan sebagainya. Sembilan kawasan Parlimen kenaikan pengundi lebih daripada 20 peratus.

"Oleh itu hadirin sekalian, Bersih 3 mesti diadakan,"katanya ketika berucap pada siri jelajah Asalkan Bukan UMNO (ABU), di Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik, di sini malam tadi.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, mesyuarat Pakatan Rakyat baru-baru memandang serius perkara itu.

Oleh itu katanya, Pakatan Rakyat akan menyokong sekiranya satu lagi perhimpunan bersar-besaran diadakan bagi membantah daftar pemilih yang meragukan itu agar pilihan raya dapat dijalankan dengan adil dan bersih.

" Cara nak buat, kita serah kepada badan induk itu. Serah kepada Datuk A. Samad Said bagaimana untuk kita lancarkan Bersih 3.Pas, Keadilan dan DAP akan menyokong sebarang tindakan yang dicadangkan oleh NGO Bersih 3," ujarnya lagi.

Beliau memberi contoh bagaimana kenaikan daftar pemilih di Subang yang begitu tinggi dilihat begitu berbeza dengan kawasan berhampirannya itu Petaling Jaya Utara.

" Sedangkan Parlimen yang bersebelahan Petaling Jaya Utara kawasan Tony Pua, kenaikan daftar pemilih hanya 7 peratus. Kenapa berlaku begitu tidak seimbang? Ini yang menjadi bahan renungan kita. Sepatutnya kalau Subang nak 35 peratus, sekurang-kurangnya Petaling Jaya Utara 25 peratus,"katanya.

Tambahnya lagi, senario pertambahan jumlah daftar pemilih ini lah yang menyebabkan kerajaan Pas di Terengganu tumbang pada 2004.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penyiasatan terperinci terhadap 42,000 senarai nama yang meragukan di dalam senarai daftar pemilih yang tidak mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sekiranya perkara itu tidak di atasi segera, Pakatan Rakyat mendesak SPR supaya tidak melaksanakan pilihan raya sehinggalah siasatan selesai," katanya pada sidang media Ibu Pejabat PKR baru-baru ini. -antarapos

3 Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Dungun

Dungun – Hajat enam sekeluarga untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Paya Kemudi di sini semalam.

Gambar: ORANG RAMAI melihat keadaan kereta mangsa kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Paya Kemudi, Dungun semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Tengku Shafuddin Tengku A. Rahman, 46, dan isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, maut di tempat kejadian sementara anak mereka, Tengku Muhammad Aqil Tengku Shafudin, 9, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ibu kepada Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, berada dalam kritikal manakala dua lagi anak pasangan itu, Tengku Amir Haziz, 10, patah paha kanan dan Tengku Nor Azira 18, cedera ringan. Kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kampung Syukur, Pasir Raja untuk menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Gong Pasir. -kosmo

Tiga Beranak Maut Kereta Dinaiki Bertembung Lori Barang

DUNGUN: Tiga beranak maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah lori barang di kilometer 21.5 Jalan Dungun-Bukit Besi berdekatan Kampung Paya Kemudi di sini, Sabtu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 11.40 pagi ketika Tengku Shafudin Tengku A Rahman bersama lima anggota keluarganya dalam perjalanan menghadiri kenduri kahwin saudara mereka.

Dalam insiden itu, Tengku Shafuddin, 46, dan isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, mati di tempat kejadian manakala anak mereka Tengku Muhammad Aqil, 9, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Dungun.

Sementara itu, Ibu Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, yang parah di kepala dan patah kaki kanan, kini dilaporkan kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Dua lagi anaknya, Tengku Amir Haziz, 10, patah peha kanan dan dirawat di HSNZ manakala Tengku Nor Azira, 18, yang cedera ringan, menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Tengku Shafuddin dari arah Bukit Besi ke Dungun dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori dari arah sama.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis sama yang berada di belakang lori tersebut dikatakan cuba mengelak daripada melanggar kenderaan mangsa dan ini menyebabkan ia berpusing serta terbabas ke bahu jalan, sebelum merempuh tiang elektrik.

Pemandu kereta Mohd Adli Rashid Abdullah, 36, bersama isterinya, Haslinda Mohamad, 35, serta dua anak mereka yang berusia empat dan sembilan tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, Mohd Adli yang juga kakitangan Jabatan Alam Sekitar Kuantan, berkata mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kuala Berang.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Ismail Abdullah ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Pemandu lori terbabit, Mohamad Abdullah, 58, dari Kampung Gong Pasir, Dungun pula cedera di bahagian lutut dan dirawat sebagai pesakit luar.
- BERNAMA


Ladang Fidlot Manjung Timbulkan Tandatanya - Apakah Ada Kaitan Dengan Shahrizat?

Adakah Shahrizat terlibat Ladang Fidlot Manjung?

PARIT, 19 Feb: PAS Perak mahu kerajaan negeri bertanggungjawab dan menjawab kegagalan projek Ladang Satelit Fidlot Nasional di Gelung Pepuyu, Manjung yang masih belum beroperasi sehingga sekarang.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, dalam tinjauan ke tempat tersebut baru-baru ini mendapati tanah seluas 100 ekar di atas padang ragut telah terbiar walaupun seratus peratus siap dibina.

Katanya, menurut sumber, projek tersebut dimulakan sejak 4 tahun yang lalu di mana status tanah telah bertukar kepada taman kekal pengeluaran makanan.

Difahamkan Jabatan Pertanian telah membelanjakan RM6.7 juta untuk membangun infrastruktur seperti membina 2 kandang untuk muatan 600 ekor lembu pada sesuatu ketika, bekalan elektrik, pagar dan bekalan air.

Menurutnya, konon pesertanya dari kalangan orang-orang yang berkemampuan dari segi kewangan untuk membela lembu yang dibekalkan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Tambahnya, bagaimanapun diberitakan pihak NFC sehingga sekarang tidak mampu untuk membekal lembu-lembu yang dijanjikan, maka tinggallah ladang dan kandang tersebut kosong manakala pengurus projek itu juga telah diberhentikan kerja.


“PAS Perak menyifatkan projek yang menelan belanja berjuta ringgit duit rakyat ini dibazirkan begitu sahaja. Kami mahu kerajaan negeri menjawab isu ini,” katanya.

Katanya, timbul juga persoalan kemungkinan projek itu ada kaitan dengan isu NFC yang melibatkan suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


“Inilah contoh kerakusan dan salah urus tadbir pihak tertentu dengan melibatkan tanah kerajaan dan duit rakyat.

“PAS Perak mahu kerajaan negeri yang meluluskan tanah tersebut menjawab isu ini kepada rakyat, sekiranya berlaku penyelewengan atau amalan rasuah, tindakan sewajarnya hendaklah diambil,” ujarnya. -HD

Siapa Yang Mula-mula Buat Kenyataan Najib Gadai Akidah?

Lawatan Najib ke Thaipusam tidak gadai akidah

KUALA LUMPUR –Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menempelak pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggadaikan akidah kerana melawat Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam lalu.

Beliau berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian terhadap Najib sebagai pemimpin Islam dan beliau kecewa kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Menurutnya, perkara ini tidak timbul kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi garis panduan mengenai hukum ketika beliau berada di kawasan berkenaan.

“Najib tidak terlibat dalam upacara keagamaan dan acara yang dianjurkan, justeru, tidak timbul soal akidahnya. Beliau (Najib) telah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Beliau tahu mana yang boleh dan mana yang tidak.

“Ini yang merosakkan agama (Islam) apabila umatnya sendiri sanggup menuduh dan membuat pelbagai dakwaan berniat jahat semata-mata tidak sehaluan dengan pemimpin negara,” katanya semasa memberi ucapan dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Menurut Jamil Khir, Najib telah mengikut nasihat pakar dan ulama melalui susun atur perjalanan majlis dengan berada di dalam dewan untuk menerangkan program kerajaan kepada masyarakat India beragama Hindu.

Menjawab mengenai pakaian 'purta' yang dipakai Najib, beliau berkata, ia adalah kostum kebudayaan orang India dan bukan ‘pakaian agama Hindu’.

“Kalau lelaki India pakai baju Melayu dalam majlis, itu tidak bererti mereka telah masuk Islam dan menjadi orang Melayu. Sama juga yang berlaku pada Najib, beliau tetap orang Islam,” katanya.

Sekiranya yang dilakukan Najib boleh dianggap menggadaikan akidah, kata Jamil Khir, perkara yang sama perlu diajukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bertemu dengan penganut agama lain di kuil dan pada masa yang sama menghulurkan sumbangan wang.

“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah.

“Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” katanya.

Menurut Jamil Khir, umat Islam lemah perlu mengetepikan pendapat, sebaliknya merujuk kepada pakar dan ulama serta tidak menjadikan laman sesawang sebagai hukum-hakam untuk kehidupan seharian. -SH

Ulasan GB

Siapa yang sebenarnya memulakan "serangan" ke atas Najib dengan perkataan "gadai akidah" sebelum ini jika bukan mufti dari Perak?

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Najib itu adalah syirik, dan beliau sendiri telah mengakui bahawa beliau telah "menasihatkan" PM setiap tahun tetapi tidak diindahkan.

Malah beliau meminta menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.
-petikan TMI


Hanya selepas beberapa hari selepas kenyataan itu dibuat, mufti berkenaan membuat pusingan U dengan menyatakan menghadirkan diri di majlis Thaipusam itu tidak salah.

Sekarang masing-masing boleh jawab; siapa yang membuat tuduhan dan kenyataan tanpa usul periksa?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Dr.Asri Tegur Hassan Ali: Henti Guna Agama Untuk Kepentingan Peribadi

Pemimpin politik harus henti guna agama demi kepentingan peribadi, kata Dr Asri

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Zainul Abidin menegaskan pemimpin parti politik perlu “memisahkan” agama dari politik agar kesucian sesuatu agama itu terjamin dan dihormati.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider, Asri berkata pemimpin politik sering mempergunakan agama untuk kepentingan sendiri semata-mata mahu menyelamatkan diri dan menghalang kebenaran.

“Saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

“Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama,” katanya.

Jelas beliau, sesuatu agama akan dipandang serong sekiranya ia dipergunakan pihak tertentu.

“Sebab itu amatlah merbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.

“Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi,” katanya.

Tambah Asri, pemimpin politik seharusnya sedar dan tidak lagi menjadikan agama sebagai “mangsa” dan “alat” untuk tujuan peribadi.

“Maka tidak hairan jika melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh ahli politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis manusia yang berkepentingan.

“Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam sebaliknya semua agama,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyentuh mengenai seorang pemimpin yang baru dipecat keanggotaan dari sebuah parti — merujuk kepada Datuk Dr Hasan Ali, yang bangkit memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

“Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja-raja Melayu sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam demikian juga raja.


“Jika Islam diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun apabila Islam dipergunakan, Islam dinodai untuk tujuan tersendiri. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita?” katanya.

Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat awal Januari lalu, akan menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan “Jati” untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu. -TMI

Festival Layang-layang Sedunia Di Pasir Gudang Dihentam Ribut

Pasir Gudang: Kemeriahan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-17 di sini semalam, terganggu seketika apabila lebih 10 daripada 15 khemah peserta antarabangsa acara itu rosak teruk akibat diterbangkan angin kencang.

Gambar: Peserta, petugas Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang menyelamatkan diri dan barangan selepas kawasan festival dilanda ribut di Bukit Layang-Layang, Johor, semalam. - Foto Roslan Khamis

Kejadian jam 4.20 petang itu ketika peserta festival terbabit sedang menerbangkan layang-layang mereka, sebelum angin bertiup kencang sehingga menerbangkan deretan khemah berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar, berkata tiada kecederaan dilaporkan dan pihaknya sedang berusaha memasang kembali khemah yang rosak akibat diterbangkan angin kencang itu.

“Kejadian ini berlaku dengan pantas dan kita tidak menjangka khemah terbabit boleh diterbangkan angin kerana seperti kebiasaan semua khemah yang ada di sini dipasang dengan aspek keselamatan sudah diperiksa terlebih dulu.

“Nasib baik tiada insiden buruk menimpa peserta atau pengunjung yang hadir di festival ini. Namun, saya percaya kejadian ini tidak menjejaskan kelancaran program yang berlangsung sejak Rabu lalu dan dirasmikan esok (hari ini) dan berakhir Ahad,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

On berkata, kejadian itu menyebabkan semua aktiviti membabitkan layang-layang terpaksa dihentikan seketika petang semalam, namun aktiviti seperti pertandingan memasak dan mewarna tetap diteruskan seperti biasa.

“Semua peserta sedang berlindung dalam Muzium Layang-Layang akibat hujan lebat selepas kejadian angin kencang itu. Aktiviti menerbangkan layang-layang akan disambung esok (hari ini) sebelum majlis perasmian festival ini berlangsung sebelah petang.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk melihat festival kerana aspek keselamatan ketika acara berlangsung dijaga pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi semalam melalui laman web melaporkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri. -BH

MCA Takut Berdepan DAP Di Kawasan Majoriti Penduduknya Cina

DAP dicabar letak calon di kawasan Melayu

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencabar DAP meletak calon di kawasan Melayu terutama kerusi UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Gambar: SOI LEK (kanan) menyampaikan hujahnya pada sesi perdebatan dengan Guan Eng (kiri) yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Operasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Ah Chai di Kuala Lumpur semalam.

Tegas beliau, cabaran itu dibuat apabila melihat DAP yang wujud sejak 46 tahun lalu hanya berani bertanding di kawasan majoriti penduduknya adalah kaum Cina.

“Ini sama sekali tidak mencerminkan imej parti DAP yang mendakwa ia adalah parti berbilang kaum,” katanya pada sesi perdebatan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertajuk Adakah Sistem Dua Parti Menjadi Sistem Dua Bangsa di sini semalam.

Beliau berkata, parti pembangkang itu mempunyai pengalaman hanya dengan mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.

“Jika kita tinjau, masalah mereka hanya berani bertanding di tempat di mana majoritinya adalah penduduk Cina.

“Mereka beritahu orang Cina, sudah tiba masanya untuk mengajar UMNO tetapi parti pembangkang tidak berhadapan dengan UMNO sebaliknya hanya berani dengan parti-parti di kalangan masyarakat Cina,” tegasnya. -kosmo

Ulasan GB

Apa yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek itu sebenarnya satu helah untuk menghambat DAP supaya jangan bertanding di kawasan dimana ramai pengundi Cina agar MCA mempunyai peluang untuk bernafas.

Jika saya menjadi pimpinan DAP saya akan mencabar pula supaya MCA jangan bertanding di bandar tetapi bertanding di kerusi-kerusi orang Melayu dan umat Islam terutama di kawasan PAS.

Semua orang tahu bahawa masyarakat Cina sudah hilang kepercayaannya kepada MCA. Ia adalah hasil daripada kekalahan teruk parti berkenaan di dalam pilihanraya pada 2008 yang lepas.

MCA sudah hampir pupus di peta politik negara dan kini mencari jalan dan helah baru bagi menarik sokongan kepada parti itu yang telah dikuasai oleh DAP, sebuah parti komponen Pakatan Rakyat.

Lebih ramai masyarakat Cina kini telah mengerti bahawa politik perkauman yang ditunjungi oleh parti-parti komponen BN sudah tidak berupaya untuk kekal lama di pesada politik tanahair, malah BN sendiri sudah dilihat sebagai sebuah parti yang bakal pupus dan bakal dikerandakan oleh rakyat di pilihanraya akan datang.

[Bergambar] Anwar Dibawa Dengan Motosikal Ke Tempat Ceramah Di Pekan Pahang

Sekatan Sebabkan Jalan Raya Sesak 5 Km, Anwar BONCENG Motosikal GEMPUR Kubu Najib di PEKAN, Pahang

Blog pkrnegeripahang melaporkan program ceramah Ketua Umum PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim di dua lokasi berasingan di Pahang, iaitu di Taman Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan dan juga di Pekan, Pahang.

Walaupun dimomokkan dengan isu Israel oleh media propaganda milik UMNO, namun hal itu tidak menghalang ribuan rakyat tempatan menghadiri ceramah beliau. Blog rasmi PKR Pahang itu mendakwa tidak kurang 3000 penduduk di Taman Mahkota Aman mendengar penjelasan Anwar berkaitan dengan isu semasa dan isu Israel yang diputarbelitkan oleh media perdana.

Program ceramah di Taman Mahkota Aman itu bermula pada jam 9.00 malam dan Dato' Seri Anwar tampil sebagai penceramah pertama memandangkan beliau akan bergegas pula ke Pekan untuk program ceramah berikutnya

Ceramah Anwar di Kuantan, Pahang





Orang ramai membanjiri lokasi ceramah di Mahkota Aman



Ceramah Anwar di Pekan, Pahang



DEMI RAKYAT....Dato' Seri Anwar menaiki motosikal ke Pekan





Kredit gambar: blog pkrnegeripahang

Berbeza daripada situasi di Mahkota Aman, perjalanan Dato' Seri Anwar menuju ke Pekan terganggu apabila pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi menuju ke tapak ceramah. Sekatan polis itu menyebabkan orang ramai yang ingin ke lokasi ceramah merungut kerana berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang teruk.

Kesesakan sejauh 5 km seperti yang dilaporkan oleh MK itu memaksa Dato' Seri Anwar menaiki motosikal ke lokasi ceramah.  Tiba di lokasi ceramah, Anwar disambut tidak kurang daripada 4 000 penduduk tempatan yang sabar menunggu untuk mendengar penjelasan tentang pelbagai isu semasa. Sambutan dan jumlah penduduk yang hadir pada ceramah itu sesungguhnya sesuatu yang luar biasa kerana Pekan dimomokkan sebagai kubu kuat Najib 1Malaysia. -DuniaCacaMarba

P/s: Walaupun polis mengadakan beberapa sekatan jalan raya di laluan ke tapak ceramah, namun kunjungan penduduk tempatan dalam jumlah yang besar sudah tentu menggerunkan Najib. Bayangkan jika tiada sekatan jalan raya, agak-agaknya berapa ribu yang hadir semalam?

Berkaitan:

Sekatan akibatkan kesesakan 5km di ceramah Anwar
[MK] Sekatan jalan raya di jalan utama menuju ke ibupejabat PAS di Pekan, tempat ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas sepanjang lima kilometer.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad, mereka yang mahu mendengar ceramah Anwar terperangkap dalam kesesakan tersebut selama "lebih daripada 40 minit".

Katanya, beliau terpaksa ke tempat ceramah dengan menaiki motosikal, begitu juga dengan Anwar.

Menurutnya lagi, kesesakan lalulintas itu menyebabkan kelewatan ceramah bermula, sehinggakan ucapan Anwar melebihi waktu had permit polis sehingga jam 12 tengah malam.

Katanya lagi, anggota polis berada tepat jam 12 tengah malam, tetapi Anwar dapat melanjutkan program tersebut, kerana masalah kesesakan untuk ke sana.

Dzulkefly berkata, kira-kira 3,000 orang menghadiri program tersebut, "kebanyakannya penduduk tempatan", yang disifatkannya sebagai "luar biasa bagi Pekan".

Kerusi Parlimen Pekan diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang 'diwarisi' dari bapanya, Tun Abdul Razak Hussein - perdana menteri kedua Malaysia, yang meninggal dunia pada tahun 1976.


-blog duniacacamarba

Anwar naik motosikal gempur Parlimen Pekan

PEKAN: Sekatan polis yang cuba menghalang orang ramai ke Markas PAS di sini, Pahang malam semalam tadi, tidak menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu rakyat.

Penuh kesungguhan, Ketua Umum KEADILAN itu meredah kesesakan lalu lintas dengan menaiki motosikal sejauh tiga kilometer untuk tiba di lokasi ceramah di Kampung Mengkasar di sini.

Asal jumpa rakyat, naik motosikal pun Anwar sanggup.

Mengikut jurugambar Keadilan Daily, Yuisriah Yusuf, Anwar membonceng motosikal seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk mengikuti ceramah berkenaan.

“Ia menyebabkan ceramah bermula lewat. Anehnya, sebaik Datuk Seri (Anwar) tiba, polis menghenti sekatan,” katanya, menambah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menaiki motosikal atas sebab sama.

Sekatan polis dibuat berhampiran lokasi ceramah hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira lima kilometer. Kesesakan itu dikatakan berlarutan lebih sejam.

Mengikut Yuisriah, polis juga cuba menghentikan ceramah Anwar atas alasan melebihi waktu sedangkan Ketua Pembangkang itu lambat tiba di lokasi berikutan kesesakan sekatan polis tetapi diteruskan selepas rundingan dibuat.

Pedulikan sekatan polis, rakyat mahu dengar ucapan Anwar

Sekalipun banyak sekatan polis dilakukan hingga menyebabkan sebahagian rakyat gagal tiba di lokasi ceramah, kira-kira 3,000 penduduk setempat sempat mengikuti amanat Anwar dan pimpinan lain.

Halangan sedemikian bukan sesuatu yang menghairankan kerana kawasan itu adalah kubu kuat Umno dan terletak dalam kawasan Parlimen Pekan disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
-KD