29 Okt 2011

MTUC Sah Lancar Piket Seluruh Negara 3 Nov Ini

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)sah akan menganjurkan piket di 16 lokasi seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.

Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, piket itu akan diadakan di enam lokasi di Selangor serta setiap satu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah.

"MTUC sendiri ada 800,000 ahli dan ada 5.7 juta pekerja seluruh Malaysia, kita harap pekerja seluruh Malaysia sertai kita dan dapat 'good crowd' hari itu," katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.

Pada 6 Oktober lepas, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.

Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Abdul Halim berkata, piket itu akan berlangsung antara pukul 5 petang dan 6.30 petang dan sebanyak 100,000 risalah akan diedarkan serta 41 buah kain rentang akan dibawa sepanjang piket itu berlangsung di seluruh negara.

Katanya, MTUC akan menyerahkan surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan dan lokasi piket itu diadakan sambil menegaskan piket itu akan berlangsung secara aman.

"Kita sudah serah surat kepada Perdana Menteri minggu lepas supaya akta itu dapat ditarik balik dan dibincangkan semula dengan pekerja," katanya.

Beliau berkata isu terbesar mengenai piNdaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja di mana ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan itu.

Katanya, sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan dan ini akan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Bila seorang pekerja ditimpa kemalangan ketika bekerja bagaimana dengan pampasannya, ini amat merumitkan kerana pekerja tidak bekerja dengan majikan tetapi buat kerja untuk majikan itu," katanya.

Abdul Halim berkata selain itu, pindaan terhadap pekerja separuh masa, cara menetapkan masa kerja pekerja wanita, masa pembayaran berbeza antara gaji dan elaun serta prosedur pengurusan kes gangguan seksual turut "merisaukan" MTUC.

"Jika dilihat pindaan ini boleh memudahkan pekerja ditindas dan dianiaya terutamanya oleh kontraktor tenaga kerja, kita mahu menyelesaikan isu ini secara domestik terlebih dahulu, kita tidak mahu bawa ini ke peringkat antarabangsa buat masa ini," katanya. -mstar


Laporan sebelum ini
sila klik untuk baca



Tanda BN Nak Tumbang: Peluru & Nota Ugutan Bunuh Dihantar Kepada Aziz Bari

Sebutir peluru diposkan ke rumah pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari di rumahnya di Gombak hari ini, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebelum ini.

Katanya, bersama peluru itu, diselitkan juga sepucuk surat bertulis: "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti".

"(Dihantar dengan) pos biasa saja.

"Saya waktu itu baru hendak keluar rumah, dalam perjalanan ke Utara, ke satu program forum dengan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu di Bagan Serai," katanya yang kini dalam perjalanan bersama keluarganya.

Ketika dihubungi Malaysiakini awal petang ini, Aziz berkata, peluru itu dihantar oleh posmen dalam sampul surat biasa warna coklat ke peti surat rumahnya pada jam 11.45 pagi tadi.

Oleh kerana dalam keadaan tergesa-gesa, laporan polis akan dibuat akan dibuat selepas ini, selewat-lewatnya esok, kata Aziz.

Beliau bagaimapun tidak tahu jenis peluru itu tetapi menggambarkannya sebagai "kecil sahaja".

Ditanya perasaannya sama ada takut, beliau berkata "tidak" kerana pernah mendapat ancaman bertulis sebelum ini ketika mengkritik kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar pemilihan parti itu pada 2009.

"Saya OK. Saya bukan biadap dengan sultan. Saya bukan kata 'natang'. Itu jauh sekali.

"Saya cuma bercakap tentang exercise of power," kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Pada 23 Mac 2008, sekumpulan orang, dipercayai penyokong bekas Menteri Besar Terengganu dilaporkan mengadakan perhimpunan di hadapan kediaman rasmi menteri besar di Kuala Terengganu sambil membawa kain rentang bertulis "kami nak Idris, natang".

"Natang", dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang.

Aziz sebelum ini berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan dalam isu DUMC tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Tindakan itu menyebabkannya disiasat pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan UIA yang turut menggantung jawatannya selama beberapa hari.

Dalam masa yang sama, pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, kakitangan akademik universiti, NGO, pemimpin pembangkang, bahkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tampil menyatakan simpati terhadapnya. -mk

Ulasan GB

Gejala hantar surat ugutan & peluru, simbah cat merah, pecah rumah & pejabat, lempar molotov koktil dan larikan komputer riba serta seumpamanya sudah menjadi trend - tapi malangnya satu trend yang bebal.

Dilakukan oleh pihak yang merasakan dirinya mempunyai kuasa paling hebat atas dunia. Mereka ingat rakyat bodoh sangat ker tak tahu angkara siapa semua itu. Sama macam kes longgokan baju BERSIH yang diletak dengan molotov koktil di ibu kota beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 7 Sepetember lalu untuk memburukkan perhimpunan berkenaan.

Walhal ia menampakkan lagi kebodphan bahawa pihak itu desperado, terdesak sebab kerajaan yang disokong dan didokong sebenarnya sedang berada di ambang keruntuhan. Mereka sanggup kini melakukan apa saja, hatta suruh berbogel tengah jalan pun mereka sanggup, membunuh pun mereka berani.

Tetapi tahan macam mana pun, reputnya BN sudah menggigit tiang serinya... tunggu masa tersembam ke atas mukabumi. Masa tu Allah akan dedahkan siapa punya kerja semuanya ini: hantar peluru, simbah cat merah, simbah asid, pecah rumah YB, baling bom molotov koktil, larikan komputer riba dan sebagainya.

Seperti GB kerap nyatakan, kebenaran itu tetap akan terdedah jua... langit tak selalunya mendung, berarak awan hitam ke tepi, tampaklah cahaya terang benderang sang mentari.


Tindakan UiTM Ugut Gantung Pelajar Sokong Aziz Bari Dikecam

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan amaran penggantungan pengajian oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam terhadap Khalid Mohd Ismath.

“Ini berkaitan tulisan beliau dalam blognya yang “menghentam” pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan penglibatan beliau dengan demonstrasi aman kebebasan akademik di UIAM, Jumaat lalu, kata Wan Farel, penyelaras segmentasi mahasiswa SAMM itu.

Beliau bertanya, “sedangkan pihak pentadbiran UIA sendiri sudah melepaskan Aziz Bari membuktikan tindakkan UIA tidak berlandas kepada peraturan maka di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka?

“Kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil ’pembonsaian minda’ terhadap mahasiswa.

Katanya, pihaknya berpendapat tindakan amaran penggantungan itu adalah satu tindakan yang zalim dan tidak relevan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang terkandung dalam Perkara 10(1)(B) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).

Menurut sumber tertentu melalui tulisan di blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai tidak patut memandangkan Abdul Aziz digantung sebelum dibicarakan lantas Khalid mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan pentadbiran UIA Selasa lalu.

Wan Farel berkata, perkara ini membuktikan, hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan jelas telah dilacurkan oleh pihak Universiti atas tindakan memanggil Khalid dan mengarahkan beliau memadamkan tulisan di blognya. Atas desakan pihak Universiti, Khalid terpaksa akur dan memadamkan tulisan yang ditulis diblognya.

“Jika sebelum ini ada pihak yang cuba membangkitkan bahawa kuasa mahasiswa atau kehebatan mahasiswa tidak sehebat seperti era 70an, namun sebenarnya yang “membisukan” suara mahasiswa adalah sikap pentadbiran seperti yang ditunjukkan UiTM dan juga Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang jelas masih mencengkam suara mahasiswa.

“Sekiranya pihak pentadbiran UiTM mengambil tindakan terhadap Khalid, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran dan akan bekerjasama dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mendesak keadilan buat Khalid. -FMT


Pelajar UiTM dinasihat henti tulis tentang Aziz Bari

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dipanggil pihak pentadbiran universiti itu semalam berkaitan tulisan dalam blognya yang "menghentam" Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Khalid Mohd Ismath dipanggil oleh timbalan dekan hal ehwal pelajar UiTM tengahari semalam, yang "menasihatkannya" supaya berhenti menulis tentang isu Abdul Aziz dan tidak lagi menghentam pentadbiran UIA.

Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

"Pihak atasan sudah tahu mengenai perkara ini. Mereka tengah berbincang mengenai tulisan Khalid (itu)," kata sumber yang rapat dengan Khalid.

Menurut sumber itu, dalam tulisan dalam blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai adalah tidak patut dan mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantahnya Selasa lalu.

Sebelum itu, ratusan pelajar universiti tempatan mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di UIA membantah penggantungan Dr Aziz Bari.

Bagaimanapun, kira-kira 50 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menukar rancangan untuk berdemonstrasi itu, dengan mengadakan protes secara senyap.

Perkataan 'kurang enak'

Mereka berhimpun di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Menurut sumber lagi, Khalid dikatakan menggunakan perkataan yang "kurang enak" terhadap pentadbiran UIA.

Susulan perjumpaan tersebut, sumber berkenaan berkata Khalid akur dengan arahan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang meminta beliau membuang tulisan tersebut.

UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti".

Beliau diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya.

Ia berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Isnin lalu, pihak pentadbiran UIA telah menarik balik penggantungan pakar perlembagaan itu sebagai pensyarahnya berkuatkuasa serta-merta. - mk


Terlebih Bayar RM270 Juta, Ng Yen Yen Tiada Asas Nafi Audit

Exco Pelancongan Negeri Selangor, Elizabeth Wong mempersoalkan asas penafian Menteri Pelancongan berhubung lebihan pembayaran RM270 juta untuk iklan kementerian itu tahun lalu.

Penafian Datuk Seri Ng Yen Yen itu dibuat meskipun Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kementerian itu memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka bagi iklan berkenaan.

“Semua dakwaan ataupun teguran jabatan audit perlulah diterima dan jika pihak tertentu mahu menafikan, ia perlu dijawab dengan fakta yang betul,”

“Saya rasa kenyataannya melucukan dan hanya sandiwara. Beliau (Ng Yen Yen) jangan sekadar nafi tetapi perlu memberi penjelasan,” kata Elizabeth Wong.

Menurut Adun Bukit Lanjan itu, bagi sesuatu projek yang besar, kementerian pelancongan pada prinsipnya perlu melaksanakan pemberian tender terbuka dan bukan rundingan terus.

“Banyak tender secara langsung diberikan dan sekiranya tender terbuka dibuat, ia memberi lebih banyak persaingan antara syarikat yang boleh menawarkan harga (iklan) yang jauh lebih murah,”

“Ini adalah penting untuk ketelusan dan menyemak latar belakang syarikat,” tambah beliau.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini dipetik berkata, kementerian berkenaan terlebih bayar RM270 juta untuk iklan apabila ia memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka.

Laporan itu menyatakan kementerian juga telah melanggar peraturan-peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan dalam pekeliling pada tahun 2007.

Selain itu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membeli sebanyak 1,000 unit rak besi risalah Visit Malaysia 2007 berjumlah RM1.95 juta juga dibuat secara runding terus tanpa kelulusan kementerian kewangan.

Bagaimanapun menterinya Ng Yen Yen hari ini menafikan perkara itu tanpa memberikan sebarang asas.

Elizabeth sebelum ini pernah menggesa Ketua Audit Negara menyiasat kontrak luar biasa RM1.8 juta untuk laman Facebook Kementerian Pelancongan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat.

Tender untuk kontrak selama tiga tahun itu diberikan kepada syarikat tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan rakan Ng Yen Yen.

Keupayaan syarikat itu bukan saja dipersoalkan, malah ia didapati turut tidak mempunyai laman web sendiri. -KD

Ketua Audit Negara: Kementerian Pelancongan terlebih bayar RM270m untuk iklan

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) - Kementerian Pelancongan terlebih bayar hampir RM270 juta untuk iklan apabila ia memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka, Ketua Audit Negara hari ini melaporkan.

Laporan itu menyatakan bahawa dalam berbuat demikian, kementerian juga telah melanggar peraturan-peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan dalam pekeliling pada tahun 2007.

Kementerian juga membelanjakan mencecah RM1.95 juta untuk membeli 1000 rak - RM1, 950 setiap rak - untuk memegang risalah pelancongan, kata laporan itu, sekali lagi menunjukkan langkah itu dilakukan tanpa kelulusan perbendaharaan.


Papan iklan di Indonesia tanpa kelulusan Kementerian Kewangan

Semakan Jabatan Audit Negara mendapati perolehan pemasangan lima papan pengiklanan berjumlah RM3.64 juta di Medah, Surabaya dan Jakarta, Indonesia untuk tempoh setahun telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Semakan lanjut jabatan itu mendapati pemasangan papan iklan di Indonesia telah dibina pada 27 Januari 2009 sebelum mengambil kira ulasan dan maklum balas daripada pengawai Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) cawangan Medan melalui emel bertarikh 26 Januari 2009.

Pegawai tersebut juga tidak bersetuju dengan pemasangan billboard di lokasi tersebut disebabkan perkara berikut:

1. bilangan kenderaan yang melalui kawasan adalah terhad terutamanya pada waktu punak.

2. terletak di kawasan perumahan dan di lokasi pinggiran Kota Medan.

3. Bilangan billboard yang terlalu banyak dibina di sekitar lokasi tersebut.

Perkara ini dibangkitkan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010.

Laporan itu menyebut, pihak Audit berpendapat LPPM perlu melaksanakan perolehan papan iklan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memastikan harganya kompetitif.

Selain itu, katanya, LPPM juga perlu memilih lokasi yang sesuai untuk pemasangan papan iklan tersebut.

Dalam penjelasannya, LPPM berkata pengiklanan tersebut perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan menteri pada ketika itu akan membuat lawatan rasmi ke Indonesia pada 28 Januari 2009.

Lawatan tersebut, tambahnya, turut bertujuan untuk melancarkan kempen pengiklanan bagi pasaran Indonesia melalui TV, media cetak dan billboard.

Bagi mendapatkan impak yang tinggi hasil daripada lawatan itu, tambah LPPM, papan pengiklan di Indonesia terpaksa dinaikkan pada 27 Januari 2009.

Menurutnya lagi, bahagian pengiklanan mengambil maklum akan maklum balas TM Medan bertarikh 26 Januari 2009 tersebut.

Lanjutan daripada itu, tambahnya, pegawai bahagian pengiklanan telah meninjau sendiri lokasi papan pengiklanan tersebut pada 8 Februari 2009 bagi memastikan ia tidak menjejaskan kempen pengiklanan ini.

Tinjauan tersebut, tambahnya, turut disertai wakil media, pengarah dan timbalan pengarah TM Medan.

Hasil daripada tinjauan tersebut, jelas LPPM, TM Medan bersetuju bahawa lokasi tersebut sebenarnya adalah bersesuaian dan strategik serta visual yang dipaparkan adalah jelas.

Mengenai pemasangan papan pengiklanan di dalam negara, lawatan audit di lokasi pengiklanan sekitar Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Lembah Klang mendapati lokasi pemasangannya kurang strategik, papan pengiklanan roboh dan tidak dipasang lampu.

Pihak audit berpendapat LPPM perlu mengenal pasti lokasi yang strategik bagi pemasangan papan pengiklanan dan memastikan ia dipantau supaya dalam berkeadaan baik.

"Ini bagi memastikan perbelanjaan pengiklanan yang dibuat dapat memberi manfaat untuk menarik pelancong dalam negeri," tambahnya.

Dalam penjelasannya, LPPM berkata pemasangan papan pengiklanan di Jalan Tanjung Tokong, Pulau Pinang adalah untuk menarik pengunjung kompleks membeli belah di pasaraya Island Plaza, Pulau Pinang dan pejalan kaki di sekitar kawasan terseburt dan bukan bermaksud untuk kenderaan di jalanan.

Katanya, kedudukan papan pengiklanan yang roboh di Lebuhraya Utara Selatan telah diambil maklum oleh LPPM dan pembayaran kepada agensi pengiklanan tidak dibuat dan pihak agensi pengiklanan juga bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan pembayaran.

Manakala tempahan ruang pengiklanan di Mid Valley yang tidak dipasang lampu adalah khusus untuk menarik tumpuan pengguna lebuh raya pada waktu siang sahaja, terutamanya pengunjung yang ingin pusat membelibelah itu.

Oleh itu, tambahnya, LPPM tidak memasng lampu untuk menarik perhatian pengguna jalan raya pada waktu malam.

Mengenai kehilangan lampu papan pengiklanan di Batu 3, Shah Alam, LPPM menjelaskan bahawa ia telah dimaklumkan kepada agensi pengiklanan dan surat amaran telah dikeluarkan.

LPPM, katanya, tidak akan membuat pembayaran papan pengiklanan kepada agensi tersebut bagi tempoh berkenaan.-mk

BN Tumbang Jika Teruskan Pindaan Akta Pekerja - MTUC Beri Amaran Kepada Najib

Batal pindaan Akta Kerja atau hadapi kesan masa PRU, MTUC beri Najib amaran

SUBANG JAYA, 28 Okt ― Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi amaran keras kepada Datuk Seri Najib Razak bahawa undi melibatkan 5.7 juta pekerja akan menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke-13 melainkan pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang ditarik balik.

Kami minta perdana menteri mendengar permintaan kami, suara kami bagi pihak 5.7 juta pengundi (pekerja).

“Ada 5.7 juta pekerja yang berdaftar. Ini isyarat kami kepada beliau,” kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor pada sidang media di sini hari ini.

Badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan mewakili 802,323 ahli telah merancang untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini.

MTUC mengesahkan bahawa piket itu, yang kedua selepas tindakan di kawasan bangunan Parlimen pada 3 Oktober lalu, akan diadakan 20 lokasi di seluruh negara.

Pergerakan itu mendakwa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu akan memberi laluan mudah kepara para pelabur dan majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja kontrak berbanding tenaga kerja kekal.

Jelas Halim, pihaknya sudah menghantar surat kepada Najib dan timbalannya minggu lepas berhubung permohonan mereka mendesak pertimbangan semula pindaan berkenaan Akta Kerja, namun sehingga kini belum mendapat respons.

“Sekiranya masih lagi tiada jawapan, kemungkinan besar kami akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini,” tegasnya lagi.

Kata Halim, MTUC lebih rela menyelesaikan kemelut ini secara domestik berbanding melibatkan pihak luar.

Namun begitu, sekiranya ia menemui jalan buntu, pihaknya akan membawa isu ini ke Persidangan Serantau Pertubuhan Tenaga Buruh Antarabangsa di Kyoto, Jepun pada 4 Disember ini.

Terdahulu, sebanyak 107 pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara menyokong pendirian MTUC, memprotes pindaan Akta Kerja 1955, yang membolehkan kontraktor tenaga kerja dianggap sebagai majikan yang sahih.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak berkenaan menegaskan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia bertegas dengan pendirian membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat awal bulan ini.

Ia telah pun diluluskan di Dewan Rakyat minggu pertama bulan ini dan kini tunggu giliran perbahasan Dewan Negara.

Laporan The Malaysian Insider kelmarin menyebut pertemuan antara MTUC dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam Selasa lalu gagal mengelak piket peringkat nasional badan induk kesatuan sekerja itu 3 November ini.

Kedua-dua pihak terbabit tidak menggunakan pertemuan itu yang berlangsung kira-kira sejam untuk menghindar pertikaian berkaitan dengan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011).

Kementerian Sumber Manusia juga dikatakan tidak meminta MTUC agar menggugurkan rancangan berpiket kali kedua bulan depan.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, Dr Subramaniam juga tidak menimbulkan sebarang pertanyaan mengenai piket mereka ― yang kedua ― yang akan diadakan di seluruh negara secara serentak awal bulan depan.

MTUC memutuskan piket nasional pada mesyuarat majlis am pada 10 Oktober lalu.

Piket pertama berkaitaan rang undang-undang itu telah diadakan pada 3 Oktober lalu di kawasan bangunan Parlimen.

Justeru tegas, MTUC akan meneruskan piket kebangsaan 3 November bagi memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kaum pekerja mengenai kesan pindaan Akta Kerja 1955.

MTUC juga meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Piket 3 Oktober lalu diadakan bagi mendesak Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) di Parlimen tetapi desakan dan rayuan MTUC tidak dilayan pihak kerajaan.

MTUC mendakwa ia tidak membantah keseluruhan pindaan Rang Undang-undang Kerja sebaliknya hanya beberapa peruntukan baru termasuk sistem kontraktor bagi tenaga kerja. -TMI

Pensyarah Terlampau Cabul Pelajar Dalam Bilik Pejabat

Pensyarah minta tubuh

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK). -hm



Budak Maut Dirempuh Kereta Cikgu

Kepala Batas - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.

Gambar: MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.

Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.

Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.

"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.

"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam. -kosmo

[Bergambar] Najib Diberikan Sambutan "Hangat" Oleh BERSIH Di Australia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Perth Rabu lepas bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel(CHOGM) dan mesyuarat berkaitan.

Delegasi dari 54 negara Komanwel menghadiri persidangan 3-hari di Pusat Konvensyen Perth pada Okt 28 dan kesempatan tersebut diambil oleh, Rangkaian Tindakan CHOGM (CAN), untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap situasi politik di Malaysia.

CAN dianggotai oleh serangkaian besar gerakan sosial termasuklah Bersih.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM yang disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Mustapa Mohamed serta pegawai kementerian berkenaan telah diberikan sambutan hangat oleh rakyat Malaysia yang berada di Australia yang berpakaian kuning berhampiran pusat konvensyen berkenaan.

“CHOGM adalah satu persidangan antarabangsa dan ini merupakan masa terbaik untuk memberitahu dunia apa yang sebenarnya yang berlaku Malaysia,” kata Chom Lee told FMT, jurucakap CAN.

“Masyarakat luarnegara telah terpedaya dengan penipuan kerajaan dan ramai beranggapan Malaysia mengamalkan demokrasi yang sebenarnya, sedangkan kikatnya adalah disebaliknya.”

Beliau berkata CAN berharap agar ketua-ketua Komawel menyoal Najib mengenai tuntutan Bersih 2.0 mengenai 8 perkara dan juga mengenai rasuah dan isu pengasingan kuasa di Malaysia.

Beliau memberikan beberapa contoh penyalahgunaan kuasa dan rasuah termasuk kematian mereka yang disoalsiasat SPRM dan polis, pembelian kapalselam Scorpene dan kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud.

Lee, yang kini menetap di Perth sejak 10 tahun lalu, menyatakan keluarganya menghantar beliau keluar dari Malaysia kerana mendakwa beliau menjadi mangsa kepada sistem yang korup.

“Saya kini telah bekerja sepenuh masa di sini disamping memperjuangkan hak generasi yang akan datang kembali ke tanahair,” he said.

Lebih seribu orang beratur dan membuat demonstrasi aman dengan mendapat kerjasama baik dari polis Australia.













kredit gambar: Facebook Bersihkan Malaysia

RM55 Billion Wang KWSP Diberikan Pinjaman TANPA Sokongan Kerajaan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan pinjaman bernilai RM55.1 bilion tanpa sokongan jaminan kerajaan.

Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati hanya satu daripada 13 peminjam yang layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion.

Daripada 12 baki penghutang tersebut, dua daripadanya dikecualikan daripada jaminan kerajaan kerana mereka mempunyai penarafan kredit yang tinggi.

Pinjaman kepada kedua-dua pihak berkenaan berjumlah RM7.3 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Khazanah Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad).

Menurut Laporan Kedua Audit Negara itu lagi, KWSP juga telah meluluskan 15 pinjaman bernilai RM35.69 bilion sehingga 31 Disember 2010.

Daripada 15 pinjaman yang diberikan - menurut laporan itu - dua diluluskan kepada syarikat bukan subsidiari kerajaan walaupun mempunyai jaminan kerajaan - masing-masing bernilai RM1.24 bilion dan RM5 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Assets Global Network [AGN] dan Valuecap Sdn Bhd.)

KWSP menjelaskan AGN dimiliki sepenuhnya Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan oleh itu, merupakan syarikat subsidiari kerajaan.

Valuecap dimiliki oleh tiga syarikat induk, iaitu Khazanah, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan masing-masing memerang peratus kepentingan yang sama.

Menurut penjelasan itu lagi, Valuecap adalah mirip kepada agensi kerajaan memandangkan dua daripada pemegang sahamnya adalah merupakan agensi kerajaan. -mk

Ulasan GB

Dilaporkan "satu daripada 13 peminjam yang layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion."

Apakah nama 1 peminjam yang menerima pinjaman sehingga RM21.3 billion itu?

Apakah FELDA?

Aiseh, Lelaki Tumbuk Sepupu Wanitanya Hingga Patah Hidung

Kuantan - Seorang lelaki menumbuk sepupu wanitanya sehingga patah hidung kerana geram dengan wanita itu yang mengambil dompetnya sebagai satu gurauan. Gambar fail.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supritendan Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu pergi berjumpa sepupunya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot di Raub, pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum beredar, dompet lelaki terbabit telah diambil oleh sepupunya berusia 24 tahun tanpa disedari sebagai satu gurauan.

"Kira-kira 12 tengah hari itu, wanita tersebut ke rumah sepupu lelakinya di Taman Raub Jaya untuk memulangkan semula dompetnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, selepas memulangkan dompet berkenaan, mangsa yang hendak pulang telah dihalang oleh sepupu lelakinya itu, yang melepaskan tumbukan ke bahagian muka sepupunya selain menyepak dan menghantuk mangsa ke dinding, kerana dipercayai geram dengan gurauan itu.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai terlalu marah kerana memerlukan kad pengenalannya untuk belajar memandu. - Bernama